BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 27 tan buah kurma bernilai RM448,000 di sini hari ini kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Abdul Ghapar berkata rampasan itu dibuat dalam satu serbuan di sebuah gudang syarikat mengimport dan mengedar kurma di Bandar Perda di sini pukul 11.00 pagi, hasil maklumat awam dan risikan bersama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP)
"Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu mengimport kurma dari pelbagai negara di seluruh dunia dan kami mendapati bungkusan kurma itu menggunakan logo halal tanpa kebenaran JAKIM malah ia (logo) juga tidak sama dengan yang asli.
"Serbuan itu adalah kejayaan terbesar pihak KPDNHEP dan JHEAIPP pada tahun ini kerana penggunaan logo halal tanpa kebenaran memang memberi kesan kepada orang Islam serta tidak boleh di gunakan dengan sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu, di sini.
Katanya berdasarkan siasatan, syarikat itu menggunakan logo halal tanpa kebenaran sejak tiga tahun lepas dan kurma yang mereka import adalah untuk pasaran di negeri-negeri utara sempena bulan Ramadan.
"Syarikat itu juga tidak pernah memohon logo halal daripada JAKIM malah memberi alasan tidak tahu tidak boleh menggunakan logo berkenaan tanpa kebenaran. Alasan itu tidak munasabah kerana pihak JAKIM sentiasa membuat hebahan mengenai perkara itu," katanya.
Mohd Ridzuan berkata susulan serbuan, pihaknya telah merekodkan keterangan pemilik syarikat berkenaan membantu siasatan kes dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Ditanya sama ada akan berlaku masalah kekurangan bekalan kurma berikutan serbuan berkenaan, beliau berkata beberapa syarikat lain dijangka mampu menampung permintaan kurma sepanjang bulan puasa nanti.
"Kes ini disiasat menurut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan ke atas produk-produk makanan terutama menjelang Ramadan ini bagi memastikan pembekal mematuhi peraturan terutama berkaitan logo halal.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan