HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 April 2019

Miss Grand: Antara hiburan, budaya dan maruah

HAMDAN SANI

 
DEWAN Pemuda PAS Negeri Sarawak menolak sebarang bentuk penganjuran yang mengekploitasikan wanita untuk tujuan hiburan melampau seperti dalam acara Miss Grand 2019 yang bertempat di Miri, Sarawak. 
 
Menurut maklumat yang terdapat dalam facebook rasmi acara tersebut, Miss Grand Malaysia dihadiri oleh seorang ahli perniagaan yang merupakan transgender, Mohd Sajjad Kamaruzzaman. Sumber itu juga memetik, terdapat pertandingan tidak sesuai dengan budaya masyarakat Timur yang penuh budi bahasa dan maruahnya turut diadakan. 
 
Kita ada budaya kita sendiri yang penuh dengan budi bahasa, sopan santun dan seni yang tinggi dan luhur. Jangan dikorbankan maruah peribadi kerana mengejar sesuatu yang boleh menghakis jati diri kita.
 
Kami Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak ingin menasihatkan janganlah kita meniru dan mengikut budaya Barat dalam perkara yang boleh merosakkan norma masyarakat kita. Kami juga menyeru kepada seluruh persatuan, NGO dan rakyat di negara Malaysia dan negeri Sarawak khususnya untuk sama-sama menolak program seperti ini yang mengekploitasikan wanita dengan melampau.
 
Bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW daripada Abu Sa’id al-Khudri ( r.a ), beliau mendengar Rasulullah صلى الله عليه وستم bersabda:
 
“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.”
 
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak memperingatkan kepada pihak yang berwajib agar meneliliti semula keputusan yang telah ditetapkan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan dengan pertandingan ratu cantik yang telah diputus pada tahun 1997 yang lalu. 
 
Kami ingin tegaskan umat Islam dilarang sama sekali untuk melibatkan diri dalam pertandingan seumpama ini sama ada menjadi peserta, penganjur dan penonton. Kami juga menyeru pihak yang terlibat agar kembali ke pangkal jalan dengan mengharapkan Allah mengampuni dosa kita. 
 
HAMDAN SANI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: