UMNO dan PAS diyakini merupakan gabungan parti politik yang lebih berkaliber untuk mentadbir negara berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kedua-dua parti tersebut mempunyai kekuatan masing-masing yang mampu membentuk sinergi kerja lebih baik berbanding Malaysia baharu PH.
Beliau berkata UMNO yang mempunyai bilangan keahlian yang ramai dan pernah memimpin negara hampir 60 tahun sebelum ini lebih arif untuk membina negara.
“PAS pula mempunyai kekuatan tersendiri meskipun tidak mempunyai pengalaman memerintah negara, sebaliknya berpengalaman memimpin negeri seperti Kelantan dan Terengganu.
“PAS juga mempunyai kekuatan dalam membawa Islam selain mempunyai semangat dan akar umbi yang kuat dengan apabila ditekan oleh mana-mana pihak akan menjadi semakin kuat.
“Kalau kedua-dua kekuatan ini digabungkan, kita akan bangunkan Malaysia jauh lebih baik daripada Malaysia baharu yang dicanang-canangkan oleh PH,” katanya ketika berucap dalam ceramah Perpaduan Ummah di Markas PAS Sanglang, di Perlis pada malam Ahad.
Dalam perkembangan sama, Mohd Amar berkata PAS menentang UMNO satu ketika dahulu untuk mengingatkan parti Melayu tersebut mengenai tuntutan Islam di sesebuah negara.
“Malah, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah berkata jika UMNO boleh terima Islam, mereka perintahlah sampai bila-bila, kita sedia terus menjadi pembangkang.
“Hari ini, kita hulur tangan kepada UMNO adalah untuk kepentingan Islam. Ini adalah saat paling baik untuk kedua-dua parti ini bermuhasabah mengenai kesilapan-kesilapan lalu,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan