Bernama
Syed
Saddiq serta 12 individu memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi
memulakan tindakan undang-undang berhubung pendaftaran Muda. - Gambar
fail/ Bernama
KUALA LUMPUR:
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu hari ini memperoleh
kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakan tindakan undang-undang
berhubung pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah
parti politik, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah
permohonan Muda.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu pada prosiding secara dalam talian hari ini.
Peguam
Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi pemberita
berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas AGC tidak membantah
permohonan Muda dan menetapkan 8 Jun untuk pengurusan kes di hadapan
Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli.
Peguam
Lim Wei Jiet, yang mewakili kesemua pemohon turut mengesahkan perkara
tersebut dan memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah
Zainudin masih belum membuat keputusan berhubung rayuan Muda untuk
mendaftarkan parti berkenaan.
Pada 26
April lepas, Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12
individu selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan
kehakiman untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap
rayuan mereka untuk mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik.
Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam
permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus untuk responden
pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan di bawah Seksyen
18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan pemohon terhadap keputusan RoS
pada 6 Jan lepas yang menolak pendaftaran Muda sebagai pertubuhan di
bawah kategori parti politik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh
perintah berkenaan.
Mereka juga memohon
suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang
akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan
dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.
Pada
4 Feb lepas, Muda menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya
sebagai sebuah parti politik kepada RoS dan Menteri Dalam Negeri Datuk
Seri Hamzah Zainudin.
Permohonan
pendaftaran parti itu dihantar pada September 2020 oleh Syed Saddiq yang
merupakan bekas Ketua Armada Bersatu, namun ditolak RoS pada Januari
lepas.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan