HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Mei 2021

No DAP, Yes PAS tapi UMNO kena pilih presiden baharu: Nazri Aziz

Datuk Seri Nazri Aziz meneruskan tekanan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

UMNO perlu memberi fokus kepada kerjasama politik sedia ada yang dijalin dengan PAS dan tidak obses untuk membentuk jajaran politik baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata langkah pertama sebelum menghadapi PRU adalah UMNO perlu terlebih dahulu memilih presiden baharu untuk menerajui parti dalam pemilihan yang perlu dijalankan tahun ini dan kemudiaan mengukuhkan kerjasama yang dijalin dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya nanti.

“Pertama kita pilih Presiden kita dan Insya-Allah apabila ada pimpinan baharu kita akan hadapi pilihan raya… dan bagi saya kita mesti kerjasama dengan PAS sebab pemeteraian Muafakat Nasional (MN) sepertimana yang diputuskan awal-awal dahulu.

“Kita kena jadi taktikal kena tengok keputusan PRU15 kalau kita tak perlu bekerjasama dengan mana-mana parti tak payahlah kita buat sendirilah, bersama rakan lama dengan GPS sarawak,” katanya kepada Agenda Daily.

Menurut Nazri, UMNO perlu membentuk kerajaan bersama rakan komponennya yang sedia ada dalam Barisan Nasional (BN) dan tidak perlu bersama dengan DAP sebaliknya menumpukan kepada jalinan persefahaman bersama dengan MN.

“Jadi kita kira lepas PRU dengan rakan-rakan dalam BN kita boleh tubuh kerajaan tubuh kerajaan tak payahlah DAP, maksud saya kena tunggu PRU dulu sekarang tak boleh cakap, jadi saya tekankan Muafakat Nasional,” katanya lagi.

Dalam pada itu, tegasnya buat masa ini UMNO tidak perlu terlalu memfokuskan kepada jajaran politik baharu.

“Saya tak fikir jajaran baharu… saya hanya fikir untuk kepentingan UMNO dan jajaran baharu itu kita fikirkan selepas keputusan PRU15 tapi pada hari ini sepertimana yang dikehendaki oleh akar umbi kita adalah Muafakat Nasional,” katanya.

UMNO dan PAS pada September 2019 memeterai piagam kerjasama, yang dinamakan Piagam MN semasa Himpunan Penyatuan Ummah berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Tegas Zahid, jajaran baharu itu tidak melibatkan PN yang ada sekarang bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang akan bersama dalam gabungan baharu itu.

Namun, sebelum ini beberapa pemimpin parti mendakwa Zahid sedang berusaha untuk membawa UMNO duduk serumah bersama PKR dan DAP.

Khabar angin juga semakin kuat kedengaran Zahid adalah perancang utama untuk menjayakan kerjasama antara UMNO dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15 nanti.

Malah, klip audio tular Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Zahid juga membuktikan wujud pakatan sulit antara kedua-dua individu untuk memastikan gerakan rahsia tersebut berjaya.

Dalam pada itu, DAP sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada UMNO untuk menjalinkan jajaran baharu politik itu namun perlu menerima calon perdana menteri daripada PH, iaitu Anwar sekiranya mahu bekerjasama.

Tiada ulasan: