HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mei 2021

RM114 juta: Tun Mahathir masih tak puas hati – Najib

Manzaidi Mohd Amin
MGF_18022021_NAJIB-RAZAK-1MDB_03-1
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berulang kali menjawab wang sebanyak RM114 juta yang dirampas di kediamannya di Pavilion adalah sumbangan kepada Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kata bekas Perdana Menteri itu, walaupun beliau sudah memberi jawapan kepada persoalan itu, namun Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap mendakwa wang itu datang dari 1MDB.

“Dia tanya dana RM114 juta itu datang dari mana jika bukan dari 1MDB, walaupun saya entah berapa kali sudah jelaskan.

“Tun (Mahathir) fikir polis tak tanya soalan itu ketika saya disiasat? Wang itu dipindah dari peti-peti besi amat besar di Pejabat Perdana Menteri pada malam BN kalah PRU14.

“Tun bukan tak tahu. Sebab Tun yang bina peti-peti besi ini untuk tujuan yang sama. Jadi Tun, kenapa kamu bina peti-peti besi itu? Untuk simpan apa, ya? Wang itu adalah sumbangan untuk PRU14 parti BN,” katanya yang dipetik menerusi Facebooknya hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan, kerajaan gagal dalam permohonannya untuk melucuk hak wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018, didakwa milik Najib dan UMNO.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Katanya, pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu, Asisten Komisioner D. Rajagopal gagal menunjukkan wang itu adalah harta curi, wang dipindahkan hasil daripada pecah amanah jenayah atau penipuan serta gagal menjelaskan bagaimana pecah amanah jenayah atau penipuan berlaku.

Mengulas lanjut, Najib berkata, ketika siasatan, polis ada bertanya siapa penyumbang dana tersebut dan beliau juga telah menjawab, ianya VVIP yang amat terkenal.

Katanya, senarai nama penyumbang itu juga telah diberikan kepada polis dan mereka turut dipanggil memberi keterangan.

Sebab itu, kata beliau, polis dan pendakwaraya tidak dapat buktikan ianya adalah sumber haram selepas tiga tahun menyiasat walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah cuba sedaya upaya untuk mengaitkan dana itu dengan hasil jenayah.

“Paling sedih ialah geng Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dahulu tuduh dan buat laporan polis bahawa dana itu adalah hasil 1MDB sudah tukar cerita.

“Sekarang, mereka keluarkan kenyataan untuk suruh saya derma dana itu kepada Palestin atau peniaga kecil pula tanpa sebarang permohonan maaf walaupun pernah fitnah saya.

“Pertama sekali, wang itu adalah sumbangan kepada parti. Ianya bukan wang Najib. Ianya sumbangan dana politik dan sebab itu, ianya tidak boleh dicukai dan tidak boleh dituntut kerajaan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” ujarnya.

Jelas Najib, kerajaan merampas duit itu amat laju dan menyimpannya untuk tiga tahun, iaitu suatu tempoh lebih lama berbanding tempoh satu tahun maksimum diberikan kepada kerajaan untuk menyimpan harta sekiranya tidak mendakwa harta itu adalah hasil jenayah.

Bagaimanapun, tegasnya, kerajaan mengenakan pula saman sivil ke atasnya supaya boleh mengelak mengembalikan duit itu kepadanya.

“Sekarang kerajaan sudah kalah dalam mahkamah untuk saman sivil ini, tapi masih belum kembalikannya.

“Siapa yang nak bayar ganti rugi? Faedah ke atas dana untuk tiga tahun itu sudah berapa?,” soalnya.

Menurut Najib lagi, seperti dijelaskan dalam kes mahkamah, sekurang-kurangnya RM642 juta itu adalah sumbangan dari Arab Saudi termasuk dipindah dari akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi.

“(Wang itu) untuk saya guna sesuka hati termasuk untuk kegunaan saya jika saya mahu.

“Namun, dibuktikan dalam mahkamah bahawa 99.9 peratus dana yang saya terima itu telah digunakan untuk kerja aktiviti tanggungjawab sosial korporat CSR, sedekah dan parti politik, bukan untuk kegunaan peribadi.

“Selama ini, mereka tuduh saya rompak RM42 bilion untuk simpan dalam rumah, beli cincin, beli handbag dan sebagainya,” kata beliau.

Namun, akhirnya, beliau pula dihukum penjara 12 tahun sebab bukan hak untuknya sedekah RM42 juta itu.

“Ya, ‘perompak’ ini terima dana free dari sumber asing untuk diguna sesuka hati, tapi digunakan untuk kerja kebajikan termasuk menderma kepada semua masjid dalam negara serta bantuan besar kejadian banjir untuk empat tahun berturut-turut.

“Termasuk juga untuk menolong balu, menghantar umat Islam menunaikan fardu haji, menyokong pendidikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik, berpuluh kereta van untuk kerja NGO, mengadakan majlis keagamaan dan perpaduan dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: