HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Mei 2021

Henti berpolitik, jangan tuding jari-MN Selangor

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL

SHAH ALAM: Muafakat Nasional (MN) Selangor menggesa kerajaan negeri supaya tidak berpolitik dan menuding jari kepada kerajaan pusat dalam menangani kes Covid-19 yang terus mencatat peningkatan.

Malah, kenyataan yang bercanggah dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) menggambarkan kerajaan negeri gagal dalam mengawal pandemik yang boleh mengancam keselamatan rakyat Selangor.

MN Selangor dalam kenyataan bersama berkata, kerajaan negeri sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan pusat dengan menggerakkan semua kemudahan dan sumber negeri yang ada demi menghadapi pandemik ini.

“Walaupun Selangor merupakan salah sebuah negeri termaju dengan memiliki kemudahan asas yang terbaik dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang serba lengkap dan mewah, namun, gagal dalam mengawal pandemik ini.

“MN Selangor menyeru kerajaan negeri agar lebih fokus dan bertanggungjawab selain perlu bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan pusat agar penularan wabak ini dapat diuruskan dengan lebih baik dan sekaligus rakyat dapat keluar dari kepompong kebimbangan ini.

“Pada masa sama, MN Selangor juga mahu rakyat negeri ini mematuhi dan mengamalkan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dengan sentiasa mengamalkan norma baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Semalam, Malaysia merekodkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 tertinggi iaitu 6,075 kes berbanding semalam hanya 4,865 kes dengan 47 kematian.

Jumlah tersebut menyaksikan Selangor penyumbang terbesar kes positif iaitu 2,252 kes berbanding semalam 1,743 kes. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: