HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Mei 2021

Polis siasat Tajuddin tidak pakai pelitup muka

Oleh MASZUREEN HADZMAN
TAJUDDIN Abdul Rahman semasa dalam sidang akhbar selepas meninjau kemalangan tren di stesen transit aliran ringan (LRT) KLCC, semalam.

PETALING JAYA : Satu siasatan dibuat ke atas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung rakaman video menunjukan beliau tidak memakai pelitup muka yang tular dalam media sosial, semalam.

Rakaman video tersebut diambil ketika beliau mengadakan sidang akhbar selepas meninjau kemalangan tren di stesen transit aliran ringan (LRT) KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988

“Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Semua pihak yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai dijalankan.

“Orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kegagalan mematuhi SOP membolehkan tindakan tindakan diambil mengikut undang-undang dan peraturan berkuat kuasa,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: