KUALA LUMPUR – Kerajaan dipersoal tindakan membenarkan kasino dan pusat perjudian beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuatkuasa, lagi-lagi ketika penularan Covid-19 masih tinggi.
Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan bertanya mengapakah masih ada lagi kelab-kelab mesin slot judi beroperasi dan tidak diarahkan ditutup.
Pembukaan kasino dan pusat perjudian ini seolah-olah mengiyakan wujudnya ‘golongan kayangan’ yang langsung tidak boleh disentuh sama sekali.
“Saya hendak tanya, mengapa ada lagi kelab-kelab judi ini beroperasi dan tidak diarahkan ditutup ketika PKP, semasa kes semakin hari semakin meningkat dan angka kematian menggerunkan rakyat.
“Oleh kerana SOP telah diperketatkan, kini ramai juga yang berselindung dalam kelab-kelab tersebut untuk aktiviti-aktiviti tertentu, persoalan saya, adakah golongan kayangan tidak boleh di sentuh?
“Tolong jangan cakap nanti kita tidak beritahu pula atau ‘tidak tahu’. Saya maksudkan insiden perjudian di Genting Highlands baru-baru ini.
“Kementerian Kewangan dan Menterinya, jangan berpura-pura tidak tahu kerana lesen dikeluarkan oleh anda, jadi tolonglah. Kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), tolong ambil perhatian,” tulisnya dalam Facebook beliau.
Pada 7 Mei, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar yang mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19.
Mereka menaiki dua bas dalam perjalanan dari 22 April hingga 24 April, yang diatur oleh syarikat pelancongan berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, semalam dilaporkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pengurusan Genting telahpun diarah menutup operasi kasino serta-merta.
Ismail Sabri berkata, beliau telah mengeluarkan arahan penutupan serta-merta ke atas kasino tersebut pada Jumaat lepas (21 Mei). -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan