HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mei 2021

Pemuda Pas lancar kempen ‘self lockdown’, seru anak muda duduk rumah

Mohd Zaini Samsu Hadi
Ir. Khairil Nizam Khirudin
Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas dan Pemuda Perikatan Nasional (PN) melancarkan kempen ‘self-lockdown‘ bagi menyeru rakyat dan anak muda supaya duduk di rumah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang sedang berkuatkuasa ketika ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kempen itu dibuat bagi menyedarkan rakyat terutama golongan muda berkenaan pentingnya duduk di rumah ketika negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Kempen ini menyeru kepada rakyat dan anak muda khususnya pemuda untuk ‘self-lockdown’ di rumah melainkan ada keperluan atau kepentingan tertentu untuk keluar daripada rumah.

“Tanamkan dalam diri kita semua bahawasanya hari ini, ‘We are the frontliners‘,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, kerajaan telah menggunakan pelbagai cara serta kaedah dalam mengharungi cabaran memerangi pandemik Covid-19 yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Ujarnya, kerajaan terpaksa membuat keputusan yang tidak popular bagi mengimbangi di antara kepentingan ‘lives versus livelihood’.

“Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta saranan daripada KKM sendiri, saya rayu kepada semua rakyat Malaysia khususnya anak muda di seluruh negara untuk mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kendiri atau ‘self-lockdown’.

“Jangan keluar rumah sekiranya tidak ada keperluan dan jika tidak perlu berkerja. Rancang urusan-urusan kita di luar rumah secara teratur dan minimumkan pergerakan.

“Saya percaya, perjuangan melawan Covid-19 bukan hanya perjuangan KKM semata-mata tetapi ianya mestilah diharungi secara bersama dengan penuh rasa tanggungjawab,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: