HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Mei 2021

Insiden LRT: Presiden PAS doakan penumpang sembuh

 HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut mengikuti berita tentang kejadian kemalangan membabitkan pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berhampiran stesen Kampung Baru, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau mendoakan supaya semua penumpang yang telah diuji dengan musibah yang berlaku itu selamat dan diberikan kesembuhan oleh Allah SWT.

Beliau memetik hadis Rasulullah SAW Riwayat Muslim yang bermaksud: Tiada seorang hamba yang ditimpa dengan musibah, kemudian dia berdoa: ‘Kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali. ‘Ya Allah berikanlah pahala atas musibah yang aku hadapi dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini’, kecuali Allah akan memberikan pahala terhadap musibah yang dihadapi olehnya dan memberikan ganti yang lebih baik daripada musibah tersebut.

Menerusi satu hantaran di laman Faceook beliau hari ini, Ahli Parlimen Marang itu mengucapkan terima kasih kepada petugas-petugas keselamatan dan kecemasan yang bertindas pantas dalam kerja-kerja menyelamat dan merawat mangsa yang terlibat.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rawatan penuh kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden pertembungan dua tren LRT itu diberi keutamaan.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau memandang serius kemalangan itu dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenal pasti punca kemalangan, dan tindakan yang tegas harus diambil dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah.

Menurutnya, kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: