HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mei 2021

Majlis Raja-Raja digesa semak kos vaksin, elak penyelewengan

Nizam Zain
MGF12062019_PETISYEN-PARLIMEN-JASIN_13
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu digesa membuat semak dan imbang kepada kos perbelanjaan bagi pembelian vaksin Covid-19 untuk program vaksinisasi negara.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ia bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyelewengan susulan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal membentangkan setiap perbelanjaan kerajaan.

“Sepanjang tempoh proklamasi darurat, YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa untuk melaksanakan semak-imbang mengenai kos sebenar perbelanjaan bagi program vaksinisasi negara.

“Setiap perbelanjaan dana kerajaan serta duit rakyat mesti disemak-imbang untuk mengelakkan dari segala bentuk unsur penyelewengan oleh kalangan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu juga perlu mempersoalkan perbezaan ketara kos perbelanjaan antara tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.

“Amerika Syarikat belanja RM6 bilion untuk vaksinisasi 100 juta rakyatnya yang bererti kos vaksin setiap orang rakyat adalah RM60.

“Vietnam pula belanja RM4.5 bilion bagi vaksinisasi 150 juta rakyatnya. Ini bererti kos vaksin setiap rakyatnya Adalah RM30 saja.

“Tetapi Malaysia belanja RM5 bilion untuk 32 juta orang yang membawa erti kosnya adalah RM256.25 untuk setiap orang,” dakwanya.

Katanya lagi, perbelanjaan negara tidak disentuh dan tidak dibentangkan langsung oleh Perdana Menteri bukan sahaja perbelanjaan lain bahkan pembelian vaksin Covid-19 tidak dilakukan secara telus.

“Keseluruhan rakyat amat bimbang dengan cara kerajaan tebuk atap PN berbelanja sehingga reserve negara juga telah digunakan tanpa dibentang seterusnya tidak mendapat kelulusan daripada Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: