Astro Awani
Mustafa
berkata, walaupun UMNO merupakan parti paling banyak kerusi, namun DAP
akan lebih patuh kepada Anwar jika parti itu bersama PH. - Gambar fail/
Bernama
KUALA LUMPUR:
UMNO akan dibuli lebih teruk oleh DAP berbanding ketika bersama Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jika memilih untuk bergabung di
bawah jajaran baharu bersama Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya
Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Ketua UMNO
Bahagian Seremban, Mustafa Salim mendakwa, UMNO tidak akan menjadi lebih
kukuh dan selamat kerana DAP sudah sekian lama berdendam dan hanya akan
mempergunakan Melayu untuk kepentingan bangsanya.
"DAP
cara mana sekalipun dia tidak akan boleh menerima parti Melayu
khususnya UMNO, sebab kalau kita hendak kata dengan Pas dia pernah
bersama, kalau bersama Bersatu pun pernah bersama.
"Tetapi
saya nampak DAP tidak akan menerima UMNO khususnya orang Melayu di
bawah naungan UMNO sebab kita lebih kepada mempertahankan Raja-raja
Melayu. Kita juga lebih mempertahankan ketuanan Melayu walaupun itu
dinafikan sesetengah pihak khususnya orang Melayu di dalam DAP.
"Jadi
kalau UMNO mengambil tindakan atau membuat pilihan bersama DAP, saya
nampak DAP akan lebih teruk lagi atau akan membuli UMNO mengikut
kehendak dia. Ini kita sudah nampak... walaupun macam mana hebat
sekalipun Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa dia menerajui Malaysia di
bawah kerajaan PH ketika itu, tetapi Lim Guan Eng khususnya, meminta
jawatan tertentu yang khusus kepada DAP.
"UMNO
tidak boleh menerima keadaan itu. Jadi sebelum benda itu berlaku UMNO
tidak boleh menerima. Sebilangan besar Melayu tidak akan menerima
bersama DAP walaupun selepas PRU15," dakwanya semasa dihubungi pada
Ahad.
Sebelum
ini, Dr Mahathir membayangkan tidak akan ada mana-mana parti yang
memenangi kerusi pada PRU15 boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
Beliau
berkata, ini kerana pada masa ini terlalu banyak parti yang mahu
bertanding, namun tidak ada satupun parti dominan dan gabungan
parti-parti politik yang berlaku selepas PRU15 tidak akan menjadi sebuah
kerajaan yang stabil kerana mereka akan saling mengugut jika tuntutan
tidak dilayan.
Sementara itu, Mustafa
berkata, walaupun UMNO merupakan parti paling banyak kerusi, namun DAP
tetap akan lebih patuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika parti itu
bersama PH.
Sebelum ini Ketua UMNO
Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa, jajaran
politik baharu UMNO bersama parti DAP dan PKR tidak mustahil boleh
berlaku memandangkan Pas dahulu pernah bersama kedua-dua parti itu di
bawah Pakatan Rakyat (PR).
Kata beliau,
ahli-ahli UMNO khusunya perlu menerima kemungkinan situasi itu jika
norma baharu politik tersebut benar-benar berlaku.
Namun
katanya, timbul persoalan adakah ketiga-tiga parti boleh duduk semeja
dan menyesuaikan ideologi masing-masing di bawah satu bumbung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan