HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2021

Hasanuddin ikut semua prosedur sebelum, selepas pulang

Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus

AHLI Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus menegaskan beliau telah mengikut dan mematuhi semua prosedur sebelum serta selepas pulang ke tanah air.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT), Hasanuddin menjelaskan beliau telah berlepas ke Turki bersama-sama Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menghadiri Sidang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Hasanuddin memaklumkan, beliau dijadualkan pulang ke Malaysia pada 11 Disember lalu tetapi meneruskan perjalanan ke Iran dan Paskitan sebelum kembali ke Turki dan pulang ke Malaysia pada 21 Disember.

Menurutnya, beliau telah memberikan butiran penuh perjalanan di MySejahtera setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain itu, beliau juga telah menunjukkan surat pelepasan kuarantin di kaunter Kementerian Kesihatan (KKM).

Kata beliau, kakitangan KKM di KLIA memaklumkan surat pelepasan yang diterimanya masih sah selama sebulan daripada tarikh 11 Disember.

“Banyak prosedur operasi standard (SOP) di KLIA tetapi saya diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19. Ini bererti, sekiranya ujian RT-PCR saya adalah negatif, saya dikecualikan daripada menjalani kuarantin.

“Saya mengambil enam ujian RT-PCR sebelum terbang pulang dan satu lagi di KLIA yang hasilnya negatif. Jika surat itu tidak sah, saya tidak dibenarkan membuat ujian itu.

“Saya kemudiannya dibenarkan meninggalkan lapangan terbang tanpa perlu menjalani kuarantin di rumah,” katanya seperti dilapor FMT, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin turut memaklumkan telah berulang kali meminta jaminan pegawai KKM di KLIA mengenai pengecualian tersebut dan tidak diarahkan memakai gelang kuarantin.

“Mereka mengarahkan saya ke kaunter Imigresen sebelum meninggalkan lapangan terbang tanpa arahan menjalani kuarantin di rumah,” jelas beliau.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM sedang menyiasat dakwaan bahawa Hasanuddin tidak menjalani kuarantin selama tujuh hari selepas dilihat keluar membantu mangsa banjir hanya beberapa hari tiba dari luar negara.

Kata Khairy, Hasanuddin boleh dikenakan denda RM1,000 jika didapati melanggar SOP menjalani kuarantin di rumah.

“Kami sedang berusaha untuk mengetahui apa yang berlaku dalam kesnya. Dia sebelum ini memohon pengecualian kuarantin di rumah untuk perjalanan antara 8 hingga 12 Disember untuk menyertai Sidang OIC di Istanbul.

“Pengecualian itu diluluskan kerana protokol ujian dan pelepasan yang kita ada untuk perjalanan rasmi.

“Bagaimanapun, Hasanuddin tiba di negara ini pada 22 Disember lalu, maka permohonan asalnya untuk pengecualian di rumah bertindih kerana kita dapati beliau turut membuat perjalanan dari Turki ke Iran dan Pakistan.

“Namun pada 20 Disember lalu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan sudah menghantar e-mel kepadanya bagi memaklumkan permohonan kuarantin di rumah sudah diluluskan,” katanya dalam sidang akhbar.

Tiada ulasan: