HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2021

Operasi banjir PAS Temerloh dibantu petugas dari Setiu

HARAKAH DAILY

TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh sepertimana tahun-tahun sebelumnya telah membuka Bilik Operasi Bencana Banjir yang digerakkan di Pusat Tarbiah Darul Ansar, Kampung Chempaka, Lanchang, di sini.

Naib Yang Dipertua PAS Temerloh, Hasan Omar mengetuai operasi bersama-sama wakil Dewan Muslimat PAS Temerloh memulakan operasi mencuci rumah di perumahan Taman Lanchang Indah, di sini kelmarin.

Menurut beliau kira-kira 100 rumah ditenggelami air banjir berikutan taman ini bersebelahan Sungai Semantan dan dianggap sebagai kawasan paling teruk di mana dikategorikan ‘total lost’ kerana paras air hampir mencecah atap rumah.

Turut bersama operasi ini adalah petugas Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Kawasan Setiu diketuai Pengarah Operasinya, Rosdi Che Lah merangkap Ketua Penyelaras DUN Permaisuri.

Juga Ketua Kontinjen, Anuar Mat Zain yang juga Ketua Pemuda DUN Permaisuri dan Ketua Pemuda PAS Cawangan Batu Rakit, Nasrullah Kamarudin bersama 95 orang petugas serta dilengkapi dengan peralatan cucian.

Pun begitu menurut Rosdi, disebabkan masalah tekanan air yang perlahan, proses mencuci tidak dapat diselesaikan dan fokus utama adalah mengeluarkan segala harta benda yang telah rosak dan mengeluarkan lumpur di dalam rumah.

Menurut salah seorang mangsa banjir, Azmi Mad Yusof, banjir kali ini melebihi paras bahaya berbanding awal tahun 2021 yang lalu di mana pada kali ini air hampir mencecah bumbung rumah di semua rumah taman ini.

Katanya, kerosakan yang dialami hampir 100 peratus kerana tidak dapat menyelamatkan harta benda disebabkan paras air naik terlalu cepat di mana ia menjadi ujian sangat besar kepada mangsa-mangsa. – HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: