PETALING JAYA: Dua hari selepas “menasihati” Perdana Menteri mengenai pengurusan banjir, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, menjadikan Ketua Umno Selangor, Noh Omar, dan Menteri Besar Amirudin Shari sasaran terbaharunya.
Saiful berkata, “cukup menjengkelkan” apabila seorang Menteri dan Menteri Besar dari negeri sama bertelagah mengenai siapa yang menjadi Pengerusi MKN negeri.
“Agak-agak, rakyat peduli ke siapa pengerusi? Apa faedah berebut jawatan kalau masalah rakyat masih belum selesai? Cuba ambil contoh daripada sebegitu banyak NGO dan orang awam yang berterusan membantu rakyat,” katanya.
Selasa lepas, Amirudin memaklumkan beliau akan mempengerusikan MKN Selangor. Susulan itu, Noh yang dikatakan Pengerusi MKN sejak November, dikritik orang ramai kerana dilihat gagal menguruskan bencana banjir.
Keesokannya, Noh, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menuduh Amirudin tak faham tentang arahan MKN yang menetapkan Menteri Besar Selangor itu bertanggungjawab ke atas pengurusan bencana, manakala beliau (Noh) bertanggungjawab mengenai keselamatan dan ketenteraman awam.
Teguran terbuka Saiful terhadap Noh yang juga Pengerusi Umno Selangor dan Amirudin dari PKR itu menyusul, setelah pemimpin Bersatu itu berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu lebih aktif mengetuai penyelarasan operasi bantuan banjir.
Beliau berkata, banjir adalah bencana besar dan tanggungjawab utama membantu rakyat mestilah diletakkan di atas bahu Perdana Menteri. Ismail juga Naib Presiden Umno.
Dalam reaksi keras, pemimpin veteran Umno, Nazri Aziz, menyifatkan Wan Saiful sebagai “bangang” kerana cuba merendahkan kredibiliti Ismail.
Beliau berkata pengurusan banjir ialah tanggungjawab langsung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad.
“Latiff ini daripada Bersatu. Dia ini Menteri Bersatu,” Nazri mengingatkan.
Dalam muatan di Facebook hari ini, Wan Saiful tidak komen pandangan Nazri itu, tetapi mengulas apa yang dilihatnya sebagai pertikaian antara Noh dan Amirudin.
Lantas, beliau mengingatkan ahli politik jangan bersengketa kerana jawatan.
“Dalam waktu begini, saya nasihatkan orang politik yang bawa ‘perangai lama’ ni supaya sudah-sudah lah. Lagi kamu tunjuk perangai, lagi rakyat marah.”
Saiful berkata, beliau dan beberapa kumpulan sukarelawan yang membantu mangsa banjir bertungkus lumus bekerja tanpa memerlukan jawatan rasmi.
“Tak ada seorang pun dalam kalangan kami bertelagah siapa nak menjadi ketua. Kita semua saling bantu- membantu untuk buat kerja. Yang penting, ada beribu-ribu rumah perlu dibersihkan segera. Itu tumpuan kita.
“Disebabkan kamu tamak berebut jawatan, habis semua orang politik tercemar sama. Padahal yang perangai buruk kamu saja. Kami yang lain ni nak buat khidmat, tapi terpalit sebab perangai kamu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan