HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Disember 2021

Menteri, ahli politik ‘datang tangan kosong, ambil gambar, balik’, kata penyelaras PPS

Penyelaras PPS SJKT Ladang Emerald, Thayalan Krisnasamy, merayu pihak 
berkuasa mengambil alih operasi PPS kerana sukarelawan sudah keletihan.

SHAH ALAM: Ramai menteri dan ahli politik datang melawat pusat pemindahan sementara (PPS) SJKT Ladang Emerald yang menempatkan mangsa banjir dari Taman Sri Muda, Shah Alam, namun dengan “tangan kosong”.

Itu pendedahan Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SJKT Ladang Emerald, Thayalan Krisnasamy, yang juga penyelaras PPS itu kepada FMT.

Menurutnya, menteri turut turun padang melawat 1,500 mangsa banjir dan berjanji menghantar bantuan, namun sehingga hari ketujuh PPS itu dibuka, ia tidak kunjung tiba.

FMT sedang mendapatkan respons menteri berkenaan sebelum menamakan beliau.

Katanya, banyak agensi datang melawat, namun tidak menghulurkan apa-apa bantuan.

“Menteri datang, dia kata kita buat kerja yang bagus. Dia janji nak beri bantuan, tapi hingga kini tak sampai lagi. Ada juga wakil Jabatan Perdana Menteri datang, pun tak dapat juga (bantuan). Ada dari Jabatan Kebajikan Masyarakat datang, pun tak dapat juga.

“Ramai datang sini, angkat poster, tangkap gambar…lepas itu sudah tak ada (khabar berita). Agensi dan ahli politik ramai datang sini, bukan tak ada, tapi sekejap saja. Lima hingga 10 minit mereka baliklah. Mereka beri satu dua ‘peti’ air mineral, tangkap gambar, lepas itu mereka kata mereka sudah buat kerja.

“Tolonglah! Saya nak bantuan tenaga. Kita tak cukup orang. Sukarelawan kita sudah penat. Sudah tujuh hari kerja…letih,” katanya.

Menurut Thayalan, PPS itu dibuka atas inisiatif pihak sekolah dengan bantuan NGO, orang perseorangan, dan langsung tidak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri mahupun persekutuan.

PPS itu meliputi 20 bilik darjah dan 50 khemah NADMA. Namun khemah tersebut bukan disediakan NADMA secara langsung.

Keadaan di PPS SJK (T) Ladang Emerald, yang menempatkan 
khemah untuk mangsa banjir di tapak perhimpunan sekolah. 
(Gambar Thayalan Krisnasamy)

“Khemah-khemah ini bukan dari NADMA. Ada sebuah NGO yang uruskan dengan NADMA (untuk dibawa ke PPS ini),” jelas Thayalan.

PPS itu, menurut Thayalan, seolah-olah menjalankan sebuah “kerajaan kecil” di mana mereka terpaksa membuat kerja yang sepatutnya digerakkan kementerian.

“Seorang pegawai kerajaan pun tak ada dalam PPS ini. Kita ini menjalankan satu kerajaan kecil…(ada) ‘Kementerian Kesihatan’ (sukarelawan perubatan), ‘Kementerian Kebajikan’ (sukarelawan beri makan, minuman dan pakaian), ‘Kementerian Pengangkutan’ (sukarelawan lori dan 4×4), ‘Kementerian Wanita dan Masyarakat’ (sukarelawan urus isu-isu wanita) dan macam-macam kita aturkan,” katanya.

Malah, Thayalan berkata, beliau beberapa kali memohon pihak berkuasa mengambil alih PPS itu kerana semua sukarelawan terlalu penat.

“Saya sudah merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, KKM, minta ambil alih PPS itu, tapi mereka tak nak. Mereka kata tak cukup kakitangan. Kami sukarelawan, kami sudah letih sepanjang tujuh hari ini.

Sukarelawan di PPS SJK (T) Ladang Emerald memeriksa 
kesihatan mangsa banjir. (Gambar Thayalan Krisnasamy)

“Kami sudah tak boleh kawal mangsa banjir yang ramai macam ini. Tadi Exco Selangor, V Ganabatirau, datang dan kami minta pada dia juga. Dia kata akan buat sesuatu,” katanya.

Thayalan juga menceritakan beliau pernah memarahi agensi kerajaan yang padanya terlalu lambat bertindak untuk menyelamatkan mangsa banjir terperangkap dalam kediaman masing-masing.

“Hari kedua mereka kerja sampai 6 petang sahaja. Semua pergi rehat. Cuma sukarelawan bawa bot dari luar, bawa 60-70 bot, 24 jam mereka kerja. Kita minta bantuan daripada askar, mereka kata tak ada prosedur untuk masuk ke dalam lepas 6 petang. Tak ada kuasa nak masuk.

“Bomba, askar, JPAM semua tak tolong, mereka kata tak ada kuasa nak tolong. Hari ketiga, menteri nak turun (ke Taman Sri Muda), baru mereka pasang khemah dan pondok (di checkpoint pertama ke Taman Sri Muda) untuk selamatkan mangsa banjir.

“Hari keempat baru mereka ambil alih kawasan ini (checkpoint pertama) dan halang orang awam jangan masuk. Sebab media semua datang, buat liputan, mereka buat kerja,” keluh Thayalan.

Tiada ulasan: