HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2021

Banjir: Khidmat Malaysia Muslimat Perak ke Kota Raja

HARAKAH DAILY
 

IPOH: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Muslimat Negeri Perak telah menghantar para petugas untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Selangor, kelmarin.

Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad melakukan pelepasan para petugas tersebut yang diselaraskan dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Menurut beliau, ia bertujuan mengelakkan berlakunya pertembungan khidmat bantuan dan perkara yang tidak diingini seperti lambakan barangan sumbangan atau sukarelawan dalam satu-satu masa. 

“Untuk fasa pertama ini, sukarelawan (daripada) Muslimat PAS Perak dengan kerjasama Pertubuhan Erat ditugaskan berkhidmat Kota Raja. Insya-Allah Muslimat kita akan membantu operasi di sana hingga (hari) Ahad ini. 

“Kami telah mengagihkan tugasan di mana setiap kawasan dan zon mempunyai tugasan tersendiri (termasuklah) menyediakan barang sumbangan mengikut keperluan yang dimaklumkan oleh wakil dari Selangor,” ujarnya. 

Jelas Dr Najihah, beliau akan turut sama menyertai misi ini bersama delegasi Muslimat PAS Perak di mana akan bergerak di lapangan sebagai doktor yang bertugas dengan membawa bekalan ubat-ubatan. 

Terdahulu, kira-kira 50 petugas itu telah menyertai sesi taklimat khas sukarelawan Khidmat Malaysia yang diadakan secara atas talian bersama wakil Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Idyawati Abd Karim.

Sumbangan orang ramai bagi membantu mangsa banjir boleh disalurkan ke akaun BIMB Dewan Muslimat PAS Perak 0808 6010 0263 82 dan hubungi Halimatun (012-5923376), Yusmaliza (016-3757509) atau Rohawati (019-559069) untuk maklumat lanjut. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: