HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2021

PAS Lenggong kehilangan ahli Amal yang istiqamah

HARAKAH DAILY
 

LENGGONG: PAS Kawasan Lenggong kehilangan seorang anggota Jabatan Amal, Mohd Hafiz Badarudin dari Kampung Banggol Belimbing, di sini yang menghembus nafas terakhir di Hospital Taiping, pagi semalam.

Allahyarham yang bekerja sebagai seorang anggota keselamatan di Klinik Kesihatan Lenggong telah mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar sebelum dirujuk ke Hospital Taiping.

Menurut Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Lenggong, Nor Azian Zakaria, pada 17 September lalu Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria bersama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lenggong ada menziarahi arwah.

Dimaklumkan, kunjungan dibuat berikutan Allahyarham ketika itu sedang terlantar di rumahnya akibat kemalangan jalan raya di mana sebelah kakinya mengalami kecederaan.

 

“Malam tadi kami dimaklumkan mantan Ketua Pemuda PAS Cawangan Banggol Belimbing itu telah dibawa ke Hospital Taiping dari Hospital Kuala Kangsar, dan pagi ini kami dikejutkan dengan kepergiannya,” katanya.

Nor Azian berkata, Razman yang juga Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak sempat menziarahi jenazah Allahyarham.

Katanya, solat jenazah ke atas Allahyarham didirikan di Surau Kampung Bor, Banggol Belimbing dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Belimbing. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: