HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2021

Keprihatinan PAS melangkaui semua kaum, agama

HARAKAH DAILY
 

BUKIT GANTANG: Kebajikan PAS tidak mengenal soal bangsa dan agama, sebaliknya meraikan semua selari slogan ‘PAS For All’ yang tidak hanya merdu didengari, tetapi benar-benar diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Rahim Ismail berkata, PAS sangat prihatin dengan beban ditanggung rakyat berikutan penularan COVID-19 sejak dua tahun lalu dan kini berhadapan pula dengan bencana banjir di beberapa negeri. 

“Pusat Khidmat PAS Parlimen Bukit Gantang yang beroperasi enam hari seminggu bersedia menerima aduan rakyat, menguruskan permohonan bantuan dengan agensi-agensi kerajaan dan menyalurkan sumbangan bakul makanan kepada golongan memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Sumbangan Kotak PEMULIH COVID-19 yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Datuk Hashim, Simpang, dekat sini kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Zulkefly Ahmed dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Bukit Gantang, Basheer Ahamed Seeni Ibrahim.

Sepanjang tahun ini, PAS Bukit Gantang sentiasa menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan seperti golongan asnaf, pesakit kronik, mangsa banjir, keluarga yang dikuarantin akibat COVID-19 dan sebagainya.

“Walaupun pihak-pihak tertentu melabelkan PAS sebagai jumud, ekstrem dan pelampau, namun hakikatnya PAS memperjuangkan keadilan, keharmonian dan kesejahteraan di negara ini,” ujarnya.

Pada majlis yang dianjurkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS dan Pusat Khidmat PAS Bukit Gantang ini, seramai 44 penerima terdiri daripada masyarakat Cina dan India sekitar DUN Changkat Jering menerima sumbangan Kotak PEMULIH. 

Kelmarin, seramai 30 penerima dari DUN Trong telah menerima sumbangan yang sama, manakala untuk DUN Kuala Sepetang, sumbangan akan disampaikan dalam waktu yang terdekat ini. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: