MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujiburrahman Ishak telah
menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan
Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sekara di sini kelmarin.
Seramai
41 mangsa daripada 21 keluarga menduduki PPS ini sejak empat hari
sebelumnya di mana mereka dipindahkan berikutan aras air Sungai Pahang
berhampiran telah melimpah memenuhi kawasan kediaman masing-masing.
Bersama dalam lawatan ini ialah Penghulu Mukim Sekara, Khairul Azman Bakar dan Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman di mana sumbangan pek makanan turut diberikan kepada setiap keluarga.
Menarik perhatian Ustaz Mujibur ketika menziarahi di PPS ini apabila dapat bertemu tiga pasangan kembar iaitu pasangan Nur Aqil Faizal Zikry Abd Zaini dan Nur Aqil Faizul Zikry Abd Zaini berusia 19 tahun.
Juga pasangan Nur Aina Syazwana Abd Hadi dan Nur Aina Syazwani Abd Hadi berumur 16 tahun serta pasangan Nur Arra Fateema Hafizzudin dan Nur Arwa Fateema Hafizzudin berusia 1 tahun 2 bulan.
Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Maran dalam pada itu telah menggerakkan operasi bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir ke PPS di SK Pesagi, di sini semalam.
Ketua Operasi Khidmat Malaysia Maran, Sahaludin Yaakub, memimpin usaha menghantar 29 pek makanan kepada mangsa di PPS ini, manakala 91 pek makanan lagi diagih kepada penduduk yang terputus hubungan darat.
Juga termasuk penduduk yang berada di rumah rakit persendirian di Kampung Pesagi menggunakan empat bot di tebing sungai Pahang di situ.
“Walaupun jarak bilik operasi jauh hendak ke Kampung Pesagi ini, kami tetap akan berusaha memastikan makanan sentiasa cukup bagi PPS dan penduduk yang terputus hubungan darat di sini,” ujar beliau.
Dalam pada itu Khidmat Malaysia Maran juga telah berjaya menjejaki dan menghantar bantuan pek makanan serta minuman bersih kepada penduduk di Kampung Sentang, Kampung Sembal, Kampung Nyak dan Kampung Tebing Tembah serta Kampung Telok.
Semua mereka adalah penduduk yang masih tinggal di rumah sendiri berikutan terputus hubungan jalan darat. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan