KUALA LUMPUR – Didakwa tidak sensitif dengan masalah rakyat yang bergelut dengan banjir beberapa hari lalu, Pergerakan Wira Putra Malaysia mendesak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun meletakkan jawatan.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, tindakan Speaker Dewan Rakyat yang menolak daripada isu banjir dibahaskan di Parlimen pada Isnin lalu memperlihatkan dirinya tidak prihatin dengan derita dan kesengsaraan rakyat.
Wira Putra, katanya, sedih dengan keadaan rakyat yang terkesan akibat banjir besar yang berlaku di Selangor dan beberapa negeri, tetapi tidak ada sebarang tindakan pantas membantu rakyat yang nengalami kerugian selepas banjir.
“Agak mengecewakan apabila Speaker Dewan Rakyat tidak menganggap isu banjir sebagai penting dan perlukan perbahasan bagi membincangkan pelan afirmatif membantu mangsa banjir.
“Sebelum ini beliau juga halang dan beri pelbagai alasan untuk bahas usul darurat, sekarang ini usul tangani banjir pula dihalang. Nampak jelas sikap berat sebelah dan langsung tidak mencerminkan sikap profesional dan prihatin rakyat.
“Dari awal lagi kerajaan yang terbentuk dari pintu belakang ini gagal menangani banyak kemelut atau bencana yang menekan rakyat. Musibah datang bertimpa, tetapi pemimpin sama yang gagal masih mengepalai negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli menyifatkan kenyataan balas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad semalam sebagai sombong.
Katanya, sebagai ahli Parlimen yang sudah enam penggal menjadi wakil rakyat dan menyandang jawatan timbalan serta menteri, sepatutnya tahu dan faham tugasan atau fungsi portfolio yang dipegangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan