KUALA LUMPUR: Najib Razak akan memberi keterangan sebagai saksi terakhir pihak pembelaan dalam kes rasuah isterinya, Rosmah Mansor berhubung projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion pada 10 Jan depan.
Kehadiran bekas Perdana Menteri itu di mahkamah diawalkan kerana seorang lagi saksi, iaitu bekas pegawai khas Najib, Siti Azizah Sheikh Abod, akan menunaikan umrah ketika perbicaraan bersambung selama empat hari pada bulan depan.
Najib ialah seorang daripada 10 saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pihak pembelaan pada penutupan kes tahun lalu.
Siti, saksi kedua, hari ini memberi keterangan dengan membacakan 13 daripada 60 muka surat keterangan saksi sebelum prosiding ditangguhkan tengah hari tadi.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 402B (6) Kanun Prosedur Jenayah bahawa Siti dianggap membaca keseluruhan kenyataan selepas menandatangani dokumen itu.
Wanita itu akan kembali ke mahkamah pada 4 Feb untuk disoal balas pihak pendakwaan dan pemeriksaan semula oleh peguam Rosmah.
Zaini berkata, beliau menggunakan pilihan itu, yang turut dibenarkan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan, kerana tidak mahu menambah tarikh perbicaraan memandangkan peguam kedua-dua pihak juga sibuk dengan kes lain.
Peguam Akberdin Abdul Kader kemudian menggesa Zaini mempertimbangkan semula keputusannya kerana semua saksi pendakwaan membaca keseluruhan kenyataan mereka di mahkamah.
“Saya menggunakan budi bicara saya di bawah Kanun Prosedur Jenayah dan turut mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Saya sudah meneliti kenyataan Siti dua kali sebelum beliau membacanya di mahkamah. Saya akan baca kenyataannya sekali lagi,” kata Zaini sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua yang hadir di mahkamah sebelum prosiding berakhir.
Terdahulu, Siri berkata, sebagai pegawai khas Najib, beliau antara lain menyelia program bekas Perdana Menteri itu, termasuk aktiviti Rosmah.
“Setahu saya, hanya ada seorang pegawai khas kepada Najib dan tiada lantikan lain dibuat untuk Rosmah,” katanya.
Saksi pendakwaan, Rizal Mansor berkata, beliau dilantik sebagai pegawai khas untuk mengendalikan hal ehwal Rosmah, termasuk media massa dan sosial.
Siti berkata, beliau mencadangkan sebuah bahagian tidak dinamakan di Jabatan Perdana Menteri dijenamakan semula sebagai Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), selepas Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009. Cadangan itu kemudiannya diterima.
“Bahagian baharu tidak dibentuk. Ia ada lanjutan daripada entiti terdahulu yang tidak dinamakan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan