HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 November 2008

Peraturan baru rakyat Malaysia kunjungi Britain

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Britain akan mengenakan syarat-syarat baru terhadap pelajar, guru, dan pekerja mahir yang mungkin akan menyukarkan peluang pendidikan dan pekerjaan rakyat Malaysia di sana.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, negara itu sedang menggubal semula undangundang imigresennya dan akan menguatkuasakannya awal tahun depan.

"Saya akan memaklumkan huraian lanjut mengenai hal ini kepada Kabinet minggu ini, dan langkah-langkah untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai akan dilakukan bersama Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas mengenai lebih 30,000 rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh di United Kingdom yang diarahkan pulang.

Mengenai pembebasan penganalisis politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, Rais berkata, kerajaan Mongolia masih belum menghubungi kementerian itu.

"Jika mereka menghubungi kita, kita akan bantu dalam memberi maklumat, tetapi tidak akan membantah keputusan mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, pendirian Malaysia dalam mengiktiraf Kosovo sebagai negara berdaulat tidak berubah walaupun tidak dipersetujui oleh Serbia.

Beliau berkata, Malaysia akan bersahabat dengan mana-mana negara yang merdeka dan mempunyai perlembagaan sendiri.

"Walaupun Serbia tidak setuju, pendirian kita tidak berubah. Ini selaras dengan pendirian 51 buah negara lain di dunia termasuk Amerika dan sebahagian negara-negara Eropah," katanya.

Serbia mengusir Duta Malaysia ke negara itu, Datuk Saw Ching Hong ekoran keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Kosovo sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Beliau berkata, tindakan Serbia itu tidak membawa kesan buruk kepada negara kerana urusan yang mempunyai kepentingan Malaysia dan Serbia sama ada daripada segi komunikasi atau perdagangan terlalu sedikit.

Ketuanan Melayu: Zaid digesa minta maaf, bertaubat

BERNAMA


KANGAR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Senator Datuk Zaid Ibrahim mengenai ketuanan Melayu sebagai keterlaluan.

"Zaid perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu," kata Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.

Shahidan berkata, jika bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terus mempertikai konsep ketuanan Melayu, beliau tidak seharusnya menjadi Melayu lagi kerana sebagai bangsa Melayu Zaid seharusnya membela Melayu bukan memburukkannya.

"Beliau sepatutnya memiliki semangat Melayu dan tidak seharusnya mempertikai ketuanan Melayu secara terbuka," kata Shahidan yang ditemui pada majlis penutup Kejohanan Lumba Basikal Terbuka Perlis 2008 dan Kejohanan Lumba Basikal Wanita Piala Presiden di sini hari ini.

Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mahu Zaid memohon maaf kerana selama ini beliau dikenali dengan nama Melayu.

Baru-baru ini Zaid mendakwa konsep ketuanan Melayu adalah satu kegagalan yang membawa keburukan kepada kaum itu malah beliau menyifatkan konsep itu juga menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar negara.

Sabtu, 1 November 2008

Fatwa mengenai yoga
MALAYSIA KINI


Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa mengenai hukum senaman yoga , kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Katanya fatwa itu dibuat selepas kajian mendalam dilakukan selama enam bulan mengenai perkara itu dan setelah tiga kali perkara itu dirujuk kepada panel Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bercakap kepada pemberita di ibunegara hari ini, Bernama memetik beliau sebagai berkata, fatwa tersebut berkaitan akidah orang Islam yang mempraktikkan senaman itu.

Baru-baru ini seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.

Yoga amalan kesihatan yang diperkenalkan sejak 3,300 sebelum Masihi dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Amalan senaman harian itu kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu, manifestasi gerakan, konsentrasi dan posisi tubuh dilakukan sambil membaca mentera.

Dalam pada itu, Wan Mohamad kesal dengan sikap umat Islam di negara ini yang mudah terpengaruh dengan sesuatu budaya dari luar sehingga boleh merosakkan akidah mereka.

"Apabila mereka yang terlibat itu menganggap ianya trend, budaya itu akan membawa kepada jenayah yang lebih besar yang salah dari segi undang-undang syariah dan boleh meruntuhkan institusi keluarga," katanya.

Beliau berkata ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini yang mengharamkan pengkid iaitu wanita yang menyerupai lelaki sama ada dalam bentuk penampilan atau berpakaian adalah bagi menyelamatkan akidah orang Islam.

Katanya undang-undang syariah boleh dikenakan kepada orang Islam yang mengamalkan budaya yang boleh memesongkan akidah mereka.

Ketuanan Melayu gagal, kata Zaid

MALAYSIA KINI


Model Ketuanan Melayu telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa, kata bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zahid Ibrahim.

Berucap di persidangan LawAsia 2008 di ibunegara hari ini, bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ia juga telah dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara.

Zaid turut mengkritik dasar yang berasaskan kaum walaupun beliau ahli parti pemeritah - Umno - parti terbesar orang Melayu.

Beliau turut menyentuh cadangan naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perlunya diadakan forum tertutup antara pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk mencapai pendirian bersama dan memperbaharui kesepakatan berasaskan kepada kontrak sosial.

"Ini merupakan satu langkah positif tetapi ia harus merangkumi semua pemimpin politik dan berpremiskan kontrak sosial yang menjadi asas kemerdekaan," kata beliau yang sebelum ini menyertai kabinet selepas pilihanraya umum 8 Mac, dengan tugas untuk membawa pembaharuan dalam bidang kehakiman.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan bulan lalu sebagai membantah penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Zaid turut menekankan pentingnya ditingkatkan perbincangan dan dialog supaya rakyat dapat bersuara dan mendengar antara satu sama lain.

Beliau juga turut menegaskan perlunya diwujudkan semula komunikasi dan rasa percaya-mempercayai antara rakyat negara ini. Ucapan penuh

Koma dihentak dengan gitar

Oleh Nazarali Saeril


KLANG: Dia dikehendaki polis Klang dan Perak kerana terbabit dalam 12 kes jenayah. Dia turut diburu kerana melarikan diri di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah ketika dalam perjalanan ke Penjara Taiping, tetapi dia akhirnya tumpas selepas dihempuk dengan gitar kayu sehingga koma tiga hari di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Demikian kisah R Sivaneswaran, 24, seorang daripada enam anggota Geng Wani, yang dikehendaki polis sejak Jun lalu kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya 50 rompakan, pecah rumah, samun dan curi kereta.

Kehebatan Sivaneswaran berakhir disebabkan kecerdikan seorang mangsanya yang menghempuk kepala penjenayah itu sekuat hati menggunakan gitar kayu sejurus dia serta lima rakan jenayahnya mahu melarikan diri dari sebuah rumah yang dipecah masuk di Taman Orkid off Jalan Meru di sini, 24 Oktober lalu.

Mengimbau kembali detik kejayaan menumpaskan Geng Wani, Ketua Polis Daerah Klang, Asistan Komisioner Mohamad Mat Yusof, berkata ia berlaku jam 7.15 pagi ketika tuan rumah masuk ke kediamannya melalui pintu belakang.

“Dalam kejadian itu, mangsa baru masuk melalui pintu belakang rumah teresnya selepas menghantar cucunya ke sekolah, tetapi tidak mengunci pintu berkenaan kerana mahu keluar semula.

“Lima minit kemudian, enam penjenayah menyerbu masuk ke kediaman berkenaan sebelum mengikat mangsa serta pembantu rumahnya. Penjenayah kemudian menggeledah rumah itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Klang di sini, semalam.

Anggota Geng Wani menyelongkar rumah itu selama kira-kira 20 minit dan mengambil wang tunai RM7,000 selain komputer bimbit serta enam telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Bunyi bising keenam-enam penjenayah menyelongkar kediaman berkenaan menyebabkan dua anak lelaki tuan rumah yang sedang tidur, terjaga.

“Bagaimanapun, kedua-dua anak mangsa pura-pura tidur kerana bimbang diapa-apakan dan tidak lama kemudian, penjenayah cuba melarikan diri selepas mengambil semua barangan berharga berkenaan.

“Lima penjenayah melarikan diri manakala Sivaneswaran pula cuba melarikan Proton Savvy milik mangsa. Ketika itulah seorang anak mangsa meluru ke arahnya sebelum kepala lelaki terbabit dihentak dengan gitar kayu menyebabkannya cedera teruk,” katanya.

Polis yang dihubungi tiba di tempat kejadian jam 7.50 pagi dan menahan Sivaneswaran yang cedera dan pada masa sama, pemeriksaan di sekitar taman perumahan berkenaan juga membawa hasil apabila seorang lagi anggota Geng Wani ditahan ketika cuba melarikan diri.

Empat lagi penjenayah gagal dikesan dan polis turut merampas sebuah Hyundai Sonata yang disamun geng terbabit dalam kejadian itu.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta berkenaan, polis menemui penutup muka, besi kuku kambing, parang panjang dan pendek dipercayai digunakan penjenayah. Baki empat lagi sedang diburu berdasarkan maklumat dua suspek yang ditahan,” katanya.

Abdullah terkial-kial,curah air ke daun keladi

Safar Jumaat



DI PENGHUJUNG karier politiknya, Presiden Umno dan Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan yang menjadi bahan jenaka di kalangan ahli-ahli Umno, apabila beliau meminta para pelobi dan perayu undi calon-calon yang bertanding, menghentikan kegiatan mereka.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di PWTC, petang Jumaat lalu, Abdullah mengingatkan pelobi dan perayu undi supaya berhati-hati sebelum ditangkap pemantau parti.

Amaran yang tidak berkesan itu, tidak sepatutnya dibuat oleh Abdullah kerana semua jawatan dipertandingkan, tetapi Abdullah sudah tidak 'berada di situ' apabila perwakilan membuat keputusan memilih siapa yang mereka mahu nanti.

Malahan, Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri yang dinamakan sebagai penganti Abdullah, turut mengharapkan pencalonan kerana beliau sendiri mengharapkan 'menang tanpa bertanding' bagi jawatan Presiden di suatu sudut lain ada seorang calon lagi yang turut mengharapkan pencalonan jawatan nombor satu Umno itu.

Apakah orang-orang Najib tidak ada memainkan peranan menjadi pelobi dan perayu undi bagi mendapatkan pencalonan mutlak dari bahagian-bahagian?

Selagi Najib belum menerima pencalonan dari 132 bahagian, Najib sebenarnya tidak mampu untuk tersenyum girang, kerana saingannya (walaupun kelihatan seperti mustahil), masih mampu melakukan sesuatu.

Abdullah yang kelihatan terkial-kial untuk menafikan beliau lebih mirip menyokong Dato' Seri Mohd Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden Umno, semua pihak sedang meneliti kenyatan-kenyataan yang keluar dari mulut Abdullah mengenai pertandingan kali ini.

Selepas 27 tahun, jawatan-jawatan tertinggi Umno, buat pertama kali dipertandingkan secara terbuka. Walaupun Abdullah enggan mempertahankan jawatannya, atas kehendaknya sendiri, tetapi para penyokongnya yang belum bersedia untuk kehilangan Abdullah, menjalankan tugas dan gerak kerja untuk menafikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin boleh menang mudah bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.

Sejauh mana 'gerakan orang Abdullah' ini mendapat persetujuan Abdullah, namun tiada siapa mampu menafikan orang-orang termasuk Setiausaha Politiknya, Dato' Alwi Che Ahmad dan Dato' Reezal Merican Naina Merican menjalankan kerja-kerja melobi dan merayu supaya pencalonan untuk Mohd Ali dicukupkan.

Menjelang minggu ketiga persidangan bahagian berlangsung, Mohd Ali dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib berjaya mengumpul 40 pencalonan (Mohd Ali 23 dan Muhammad 17).

Kuota untuk bertanding Timbalan Presiden ialah 39, menunjukkan bahawa jika hanya seorang sahaja calon yang menentang Muhyiddin, dipercayai calon itu, berjaya mendapat cukup quota untuk bertanding - jika jumlah bahagian yang tidak mencalonkan Muhyiddin diambil kira.

"Najib memang beregu dengan Muhyiddin,"kata seorang bekas Naib Presiden Umno tetapi sehingga kini, belum ada satu kenyataan rasmi yang Najib keluarkan mengenai regunya kecuali usahanya menghalang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut bertanding Timbalan Presiden Umno.

Khabarnya, Najib ada memberi signal kepada beberapa ketua bahagian dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri, bahawa beliau mahukan Muhyiddin sebagai timbalannya tetapi disebabkan Najib pun bertanding bagi jawatan Presiden Umno, maka kenyataan itu tidak berani diucapkan secara terbuka.

Malahan, ada orang-orang Mohd Ali berkempen mengatakan Najib merestui Mohd Ali bertanding Timbalan Presiden bagi memudahkan Najib menjadi Perdana Menteri, tanpa ada gangguan dari timbalannya, yang merupakan seorang Ketua Menteri.

Justeru, seruan dan arahan supaya pelobi dan perayu undi pulang ke kawasan masing-masing dan jangan berada di hotel-hotel dan tempat-tempat pertemuan, ibarat mencurah air ke daun keladi.

Sebenarnya, Abdullah sendiri, pernah bertanding Ahli MT dan Naib Presiden cukup berpengalaman dalam soal pelobi dan perayu undi. Mana mungkin, mereka yang hendak bertanding tidak mempunyai pelobi dan perayu undi, kerana kerja itu adalah kerja sukarela yang bermanfaat.

Begitu juga Najib. Mustahil Najib mahu mengarahkan orang-orangnya supaya balik ke kawasan masing-masing kerana kedatangan mereka ke Kuala Lumpur dan pemergian mereka ke merata tempat, bagi berjumpa dengan perwakilan dan ketua-ketua bahagian, adalah budaya dan satu kemestian dalam pertandingan parti.

Ini bukan kerja baru. Ini bukan budaya baru. Ini bukan cerita baru. Kerja ini, sudah lama dilakukan. Budaya ini sudah lama diperkenalkan.

Cerita ini sudah menjadi rahsia terbuka kepada semua perwakilan dan ketua-ketua bahagian, khususnya mereka yang tidak berjawatan dalam kerajaan.

"Bila lagi nak rasa duit menteri,"kata seorang ketua bahagian dari Kuala Lumpur. Menurutnya, musim pertandinganlah menjadikan menteri (yang nak bertanding) bersifat pemurah. Jika tidak, jangan haraplah hendak merasakan belanja mereka, katanya.

Apa yang menarik, semua yang hendak bertanding bakal ditelanjangkan kisah mereka. Masing-masing akan memburukkan antara satu dengan yang lain. Akhirnya, mereka semuanya akan diketahui pekung mereka sebaik sahaja sampai tarikh mengundi.

Sudah ada risalah, makalah, sms, buku, vcd dan macam-macam dokumen memburuk-burukkan antara satu dengan lain tersebar. Ada juga tohmahan dibuat untuk memecahkan ikatan dan regu Najib-Muhyiddin.

Malah, orang-orang yang mengaku sebagai penyokong sejati Abdullah seolah-olah diharamkan daripada mengundi dan menyokong Muhyiddin. Abdullah mungkin menafikan cerita ini tetapi, di bawah - cerita ini tersebar dengan gagahnya.

Malahan, para penyokong totok Abdullah sedaya upaya mahu Najib 'tidak yakin' dengan kejujuran Muhyiddin supaya akhirnya nanti, Najib menolak Muhyiddin sebagai regunya.

Muhyiddin tahu semua ini tetapi apabila ditanya oleh kawan-kawannya, Muhyiddin berkata; "belum pernah saya menulis surat atau mengeluarkan kenyataan supaya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhenti. Jauh sekali saya mendesaknya supaya tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno. Kenapa apabila beliau enggan mempertahankan jawatan Presiden, saya dipersalahkan?" - mks. _

Kes bunuh Altantuya: Afidavit selamatkan Razak Baginda

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI 9 malam]


SHAH ALAM: Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda (gambar) telah "diselamatkan" oleh afidavitnya sendiri yang telah diterima oleh mahkamah sebagai alasan untuk membebaskannya daripada pertuduhan bersubahat dengan dua anggota polis dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan kenyataan pembuktian tidak bersalah yang terkandung dalam afidavit Abdul Razak telah membatalkan pertuduhan bersubahat yang dihadapinya.

Tindakan Abdul Razak memfailkan afidavit adalah di luar jangkaan sehingga disifatkan oleh kalangan perundangan sebagai "kini burung sudah terlepas dari sangkar".

"Pada pandangan saya, sebaik sahaja elemen penting bagi bersubahat, iaitu, secara hasutan, konspirasi dan bantuan, dan dalam konteks kes ini, kematian Altantuya tidak dibuktikan berdasarkan keterangan prima facie, sebarang kesimpulan dan keraguan lain yang mungkin timbul perlu diselesaikan, seperti perkara ini, memihak kepada tertuduh.

"Mahkamah tidak boleh memerintahkan bela diri hanya semata-mata untuk menjelaskan atau mengesahkan keraguan itu," kata Mohd Zaki dalam penghakimannya semasa membebaskan dan melepaskan Abdul Razak.

Hakim berkata, afidavit itu menyokong keterangan empat saksi, penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, sepupu Altantuya, Burmaa Oyuchimeg, Lans Koperal Rohaniza Roslan dan Siti Aishah Mohd Azlan, dan keadaan persekitaran yang lain.

Kenyataan pembuktian tidak bersalah bermaksud kenyataan oleh defendan atau tertuduh yang cenderung membebaskan defendan/tertuduh daripada pertuduhan, atau kenyataan yang cenderung memberikan justifikasi atau alasan bagi tindakan atau kehadirannya.

Afidavit itu difailkan oleh Abdul Razak untuk menyokong permohonannya bagi ikat jamin sebelum perbicaraan dengan niat untuk menunjukkan yang beliau tidak bersubahat dalam pembunuhan itu.

Dalam afidavit itu, Abdul Razak mendedahkan butiran hubungan sulitnya dengan Altantuya dengan menyatakan beliau bertemu wanita itu pada 2004 yang menyaksikan mereka bercuti bersama ke Hong Kong, Shanghai, Singapura dan Perancis.

Abdul Razak, yang berkahwin dengan Mazlinda Makhzan dan mereka mempunyai seorang anak perempuan, Rowena, berkata beliau memutuskan hubungan dengan Altantuya sekitar Ogos 2005.

Dalam afidavit itu beliau juga menyatakan yang dirinya diperas ugut oleh Altantuya.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki berumur empat dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Russia di National University of Mongolia.

Abdul Razak juga menyatakan dalam afidavit itu yang beliau mendapatkan khidmat penyiasat persendirian P. Balasubramaniam dan juga mendapatkan bantuan daripada pegawai polis DSP Musa Safri, kerana Altantuya "mengganggu" beliau dan keluarganya.

Dalam afidavit itu, Abdul Razak juga menceritakan yang beliau didesak oleh Balasubramaniam untuk mengusir Altantuya dari Malaysia tetapi beliau dan peguamnya Dhiren Norendra tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Abdul Razak juga berkata, DSP Musa menghubunginya menyatakan Azilah akan membantunya berhubung "gangguan" Altantuya.

Dalam keputusannya, Zaki berkata, tidak seperti kenyataan percakapan beramaran dan pengakuan, afidavit Abdul Razak bukan sebahagian proses penyiasatan.

Katanya, mengikut Seksyen 13 Akta Sumpah dan Ikrar 1949, pihak yang diberikan kuasa oleh akta itu untuk melaksanakan sumpah dan ikrar adalah terikat untuk menyatakan kebenaran.

"Oleh kerana afidavit ini adalah sebahagian kes pendakwaan, pada pandangan saya, dengan itu, seluruh isi kandungannya termasuk bahagian pembuktian tidak bersalah mesti diberikan pertimbangan sewajarnya sepertimana keterangan lain bagi pendakwaan," kata Mohd Zaki.

BICARA DUA TAHUN

Selepas dua tahun dibicarakan atas tuduhan bersubahat membunuh seorang wanita Mongolia, Abdul Razak dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi membebaskannya tanpa dipanggil membela diri.

Namun dua anggota polis yang menghadapi pertuduhan membunuh wanita itu, Altantuya Shaariibuu, diperintah membela diri.

Mahkamah menetapkan 10 November ini bagi Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, daripada Unit Tindakan Khas (UTK), untuk membela diri.

Air mata kegembiraan dan kesedihan menitis dalam mahkamah hari ini selepas Mohd Zaki menyampaikan keputusan itu.

Abdul Razak dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya, 28, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara 9.54 pagi, 10 Oktober dan 9.45 pagi, 19 Oktober 2006.

Azilah dan Sirul Azhar menghadapi pertuduhan membunuh Altantuya di satu lokasi antara lot 12843 dan lot 16735 di Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Keluarga Abdul Razak dicengkam emosi selepas Zaki memutuskan yang beliau mendapati tiada kes prima facie terhadap Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu.

Prima facie dalam bahasa Latin merujuk kepada kes yang mempunyai bukti yang cukup dan pada kadar minimum yang diperlukan untuk membolehkannya diteruskan dalam proses kehakiman.

Zaki berkata seluruh isi kandungan afidavit Abdul Razak mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang patut diterima dan diberi pertimbangan sewajarnya.

Kenyataan pembuktian tidak bersalah ialah kenyataan yang dibuat oleh defendan atau tertuduh yang cenderung membebaskan defendan/tertuduh daripada kesalahan seperti pertuduhan, atau kenyataan yang cenderung memberikan justifikasi atau alasan bagi tindakan atau kehadirannya.

Abdul Razak yang mengenakan kemeja berjalur biru muda, pada awalnya kelihatan seperti tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh hakim namun riak wajahnya bertukar kepada lega dan tersenyum lebar.

Isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan, anaknya Rowena dan anggota keluarganya menitiskan air mata gembira dan kesemua mereka bergegas memeluk Abdul Razak sebaik sahaja keputusan itu diumumkan.

Abdul Razak enggan memberikan sebarang komen ketika ditanya oleh media mengenai perasaannya berhubung pembebasannya itu.

Beliau beredar dari premis mahkamah di tingkat empat bangunan itu melalui tangga belakang.

SEDIH

Sementara Azilah dan Sirul Azhar terkejut besar, sedih dan kesal dengan keputusan mahkamah. Harapan mereka untuk dibebaskan kelam.

Mereka mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada tertuduh yang memilih untuk memberikan keterangan bersumpah, di mana tertuduh boleh diperiksa balas oleh pendakwaan.

Keterangan yang diberikan dalam kandang tertuduh pula tidak akan diperiksa balas oleh pendakwaan.

Jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen yang tertuduh didakwa. Dalam kes ini, hukumannya ialah mati mandatori.

TERIMA KENYATAAN

Dalam penghakimannya, Zaki menerima kenyataan yang diberikan oleh Azilah dan Sirul Azhar kepada polis sebagai sebahagian keterangan.

Azilah memberikan kenyataan yang mendedahkan lokasi tempat Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan manakala Sirul Azhar mendedahkan kepada polis tempat barangan kemas milik Altantuya disembunyikan.

"Saya berpuas hati bahawa wujud kes prima facie terhadap tertuduh pertama (Azilah) dan tertuduh kedua (Sirul Azhar) untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka. Saya dengan ini memutuskan tertuduh pertama dan kedua untuk membela diri," katanya.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masingmasing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Rusia di National University of Mongolia.

Pembunuhannya digambarkan sebagai amat kejam kerana mayatnya diletupkan dengan bahan letupan.

Pakar forensik menemui cebisan dagingnya bertaburan di kawasan di Puncak Alam di sini.

Kes itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

SELAMA 151 HARI

Mahkamah telah mengambil masa selama 151 hari bermula 4 Jun tahun lepas untuk mendengar keterangan daripada 84 saksi pendakwaan sebelum menangguhkan keputusan itu sehingga hari ini selepas kes pendakwaan ditutup pada 23 Jun lepas.

Hakim Zaki mengambil masa kira-kira 25 minit dari 9.40 pagi untuk menyampaikan penghakimannya. Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding kirakira 15 minit bagi memutuskan tarikh bagi Azilah dan Sirul Azhar membela diri.

Apabila prosiding disambung semula, Hakim mahu mendengar pembelaan diri oleh tertuduh petang ini tetapi menetapkan 10 November selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Azilah, Datuk Hazman Ahmad, dan peguam bela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin.

Hazman memaklumkan kepada mahkamah yang beliau mungkin akan memanggil enam hingga tujuh saksi manakala Kamarul Hisham berkata beliau akan memanggil penulis blog Raja Petra Kamarudin dan memanggil semula penyiasat persendirian P. Balasubramaniam untuk memberikan keterangan.

Raja Petra sedang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dalam pembunuhan itu.

Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.

Mahkamah juga membenar peguam bela Abdul Razak, Wong Kian Kheong untuk bertindak sebagai peguam pemerhati pada perbicaraan peringkat pembelaan.

Bapa Altantuya kecewa, pendakwa kemuka rayuan

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


SHAH ALAM: Dr. Shaariibuu Setev, bapa wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan penganalisis Abdul Razak Abdullah Baginda daripada pertuduhan bersubahat membunuh anaknya.

Bagaimanapun, Shaariibuu berkata beliau dan anggota keluarganya menerima keputusan berkenaan kerana hakim, yang membuat keputusan itu, telah mempertimbangkan semua alasan dan keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah.

Beliau turut bertanya mengapa Abdul Razak, yang mengenali anak perempuannya dibebaskan tetapi dua anggota polis yang tidak dikenali anaknya, diperintah membela diri.

Ditanya wartawan sama ada beliau menjangkakan Abdul Razak akan dibebaskan, Shaariibuu berkata beliau sangat kesal dengan nasib yang menimpa anaknya dan menyangka anaknya akan mendapat keadilan di Malaysia.

Mengenai sama ada keputusan Mahkamah Tinggi itu akan memberi kesan kepada sistem kehakiman di Malaysia, beliau berkata dunia mengikuti perkembangan kes anaknya dan beliau percaya keputusan itu, sedikit sebanyak, akan memberi kesan kepada kehakiman Malaysia.

Shaariibuu berkata, beliau enggan mengulas banyak mengenai keputusan berkenaan kerana tidak mahu campur tangan dalam kehakiman Malaysia, tetapi akan berunding dengan peguamnya berhubung tindakan selanjutnya.

Beliau bercakap kepada wartawan dalam bahasa Mongolia, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh setiusaha kedua Kedutaan Mongolia di Thailand, Siizkhuu Sainbileg.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin hari ini membebas dan melepaskan Abdul Razak tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia itu.

Namun dua anggota polis yang menghadapi pertuduhan membunuh Altantuya, diperintah membela diri. Mahkamah menetapkan 10 November ini bagi Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, daripada Unit Tindakan Khas (UTK), untuk membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar menghadapi pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi antara lot 12843 dan lot 16735 di Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Abdul Razak, 48, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dalam pembunuhan Altantuya, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara 9.54 pagi, 18 Oktoberdan 9.45 pagi, 19 Oktober 2006.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Peguam Karpal Singh, yang menjadi peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, semasa ditanya mengenai tindakan selanjutnya selepas keputusan pembebasan Abdul Razak, berkata, beliau akan menulis surat ke Jabatan Peguam Negara memohon pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Katanya, pembebasan Abdul Razak belum muktamad kerana pendakwaan boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang mengetuai barisan pendakwaan, beliau akan berbincang dengan Peguam Negara sama ada mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Tun Abdul Majid berkata, pendakwaan akan mempertimbangkan untuk memfailkan rayuan selepas meneliti penghakiman.

"Kami mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan tetapi kami perlu menunggu arahan Peguam Negara," katanya, sambil menambah kata bahawa pihak pendakwaan telah melaksanakan tugas secara teliti bagi membuktikan kes.

Kes bunuh Altantuya: Peguam bela mahu panggil Raja Petra saksi

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan Raja Petra Kamaruddin, yang kini ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebagai saksi kepada anak guamnya.

"Saya ingin mendapatkan keterangan Raja Petra sebagai saksi kerana berdasarkan kenyataannya yang terkandung dalam Akuan Bersumpah beliau sebelum ini mengenai kes ini," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Menurutnya, secepat mungkin beliau akan menulis surat kepada Mentei Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi mendapatkan kebenaran untuk mendapatkan keterangan Raja Petra.

"Terlebih dahulu mestilah saya akan berhubung dengan peguam beliau (Raja Petra) bagi mendapatkan keizinan.

"Kemudiaan kita akan dapatkan kebenaran daripada menteri," katanya.

Tambah beliau, jika beliau gagal mendapatkan kebenaran tersebut, pihaknya akan memohon mahkamah mengeluarkan sapina untuk membolehkan menemui Raja Petra.

Selain Raja Petra, Kamarul juga menjelaskan pihaknya akan mendapatkan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam sebagai saksi kes ini.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Bagimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, diperintah membela diri terhadap tuduhan itu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin yang membuat keputusan itu berkata beliau mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

URUTAN DETIK KES BUNUH WANITA MONGOLIA

Oeh ARIFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB


URUTAN DETIK PERBICARAAN KES BUNUH WANITA MONGOLIA

7.00 pagi: Pihak media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam.

7.15 pagi: Keluarga tunang Cif Inspektor Azilah Hadri tiba kawasan mahkamah.

8.30 pagi: Wartawan dibenarkan masuk ke dalam mahamah. 8.50 pagi: Bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev tiba bersama Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi dan Duta Mongolia ke Thailand yang juga ditauliahkan ke Malaysia, Siikhuu Saisainbileg.

8.52 pagi: Bapa Razak, Datuk Abdullah Malim Baginda tiba.

8.55 pagi: Isteri Abdul Razak Baginda, Mazlinda Makhzan tiba bersama anak mereka, Rowena.

8.57 pagi: Peguam pemerhati keluarga Altantuya dan kerajaan Mongolia, Karpal Singh masuk ke mahkamah.

9.00 pagi: Abdul Razak masuk ke mahkamah diiringi pegawai polis. Sejurus selepas itu isteri dan anak beliau berjumpa dan memeluknya dalam keadaan sebak sambil menangis.

9.15 pagi: Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar masuk dengan wajah mereka kekal ditutup.

9.35 pagi: Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin masuk dan mahkamah mula bersidang dengan membacakan keputusan mahkamah terhadap ketiga-tiga tertuduh.

9.50 pagi: Hakim memutuskan Abdul Razak dibebaskan kerana tiada kes prima facie terhadapnya manakala Azilah dan Sirul didapati mempunyai prima facie dalam kes ini dan perlu membela diri. Hakim kemudiannya mengumumkan untuk berhenti rehat selama 15 minit bagi beliau membuat keputusan untuk menetapkan tarikh pembelaan.

10.05 pagi: Mahkamah kembali bersidang. Pada mulanya hakim ingin menetapkan supaya proses pembelaan diadakan pukul 2.45 petang ini. Namun peguam kedua dua tertuduh minta ditangguhkan kerana mereka memerlukan masa untuk membuat persediaan serta ingin mendapatkan saksi. Hakim kemudiaanya menetapkan perbicaraan akan diadakan 10 November.

10.10 pagi: Abdul Razak dilihat meninggalkan kompleks mahkamah bersama keluarganya tanpa memberi sebarang komen kepada media yang menunggunya. Beliau hanya berkata: "Saya hanya mahu pulang ke rumah."

10.40 pagi: Azilah dan Sirul meninggalkan mahkamah dengan keadaan muka yang bertutup diiringi pegawai polis.

11.30 pagi: Wartawan mula berkumpul di pekarangan rumah Razak Baginda di Bukit Damansara.

12.00 tengah hari: Abdul Razak pulang ke rumah.

12.30 tengah hari: Abdul Razak keluar dari rumah tanpa mengulas apa-apa kepada pemberita.

2.00 petang: Abdul Razak pulang ke rumah sambil memaklumkan sidang akhbar diadakan pada hari yang lain.

2.10 petang: Abdul Razak keluar semula bersama anak perempuannya.