HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Disember 2008

Nasib Zaid, MT putuskan esok?

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk memutuskan tindakan ke atas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Zaid Ibrahim berikutan kehadirannya pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin.

"Saya tiada apa-apa komen tentang perkara itu. Itu keputusan MT," kata Timbalan Presiden Umno itu selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Negara di Parlimen, di sini, hari ini.

Kehadiran Zaid telah menimbulkan rasa tidang senang di kalangan ahli Umno kerana dikatakan menunjukkan beliau tidak setia kepada parti.

Bagaimanapun, Zaid dalam laporan sebuah laman web mempertahankan kehadirannya di kongres itu dan mendakwa beliau masih merupakan anggota Umno dan tidak melihat pembangkang sebagai musuh.

Zaid juga berkata, kehadirannya di kongres berkenaan menunjukkan beliau masih berminat dalam politik dan tidak menjangkakan akan dipecat daripada Umno.

Semalam, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Zaid memberi penjelasan berhubung kehadirannya pada majlis parti pembangkang itu.

Zaid sebelum ini pernah diberikan surat tunjuk atas tindakan beliau menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri dan mengadakan pertemuan dengan pembangkang berhubung syor Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika dihubungi minggu lalu berkata, Zaid telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut dan keputusan mengenai tindakan ke atas beliau akan diputuskan dalam mesyuarat MT esok.

Tokoh Seniman Negara dikebumi di Bukit Kiara

BERNAMA
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Tokoh Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan yang ditemui mati di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Rawang dekat sini malam tadi, akan dikebumikan di Bukit Kiara.

Bekas isterinya, Norhayati Hashim berkata, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur hari ini.

Sementara itu, anak Allahyarham, Norsham Syed Alwi ketika dihubungi mStar Online berkata, arwah ayahnya meninggal dunia disebabkan penyakit vertigo.

Dia juga mengesahkan tokoh seniman negara itu, terhantuk sebelum terjatuh didalam rumahnya kelmarin.

Perkara tersebut sekaligus menolak kemungkinan,seniman tersebut menghembuskan nafas terakhirnya akibat disamun.

Tepat pada pukul 1:30 tengah hari tadi, jenazah Syed Alwi disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Petaling Jaya.

Kira-kira 150 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepad keluarga Allahyarham.

Antara artis yang hadir ialah, pelawak Sabri Yunos, Rozita Mahmud, Ketua Pengarah Istana Budaya, Juhari, Zulhaila Siregar dan Ellie Suriaiti.

BERITA TERDAHULU

Tokoh Seniman Syed Alwi ditemui mati, kesan calar

SUNGAI BULOH: Tokoh Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan ditemui mati di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Kuang, Rawang dekat sini, kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Hasnan Hassan berkata, mayat mangsa yang berusia 78 tahun itu dijumpai di bahagian dapur rumah banglo berkenaan oleh anaknya, Norsham, 27, yang baru pulang ke rumah.

"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih kurang 48 jam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Hasnan berkata, siasatan awal mendapati ada kesan calar dan lebam di badan mangsa, yang tinggal seorang diri sejak Jumaat.

Katanya tiada kesan pecah masuk di banglo milik Allahyarham tetapi terdapat sebuah meja yang terbalik dengan banyak ubatubatan di sekitarnya.

Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dalam satu kejadian samun selain kemungkinan beliau jatuh lalu meninggal dunia.

"Perlakuan jenayah (dalam kes ini) akan disiasat," katanya.

Mayat Syed Alwi dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Syed Alwi, anak kelahiran Taiping, Perak mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Pondok Tanjung dan Sekolah Taiping.

Beliau melanjutkan pelajaran ke University of Minnessota, Amerika Syarikat dalam bidang teater dan kewartawanan serta merupakan anak Melayu pertama yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang berkenaan.

Syed Alwi pernah menerima Hadiah Pelajaran Tabung John D. Rockefeller III untuk mengkaji perkembangan teater dan filem semasa di Amerika antara April dan Jun 1980.

Beliau adalah antara penggiat teater yang melalui dua zaman iaitu zaman penjajahan serta zaman kemerdekaan dan banyak menghasilkan karya yang mantap dan mempunyai impak khususnya dalam memperkatakan isuisu berhubung bangsa Melayu.

Syed Alwi dianggap sebagai tokoh terkemuka yang mengangkat martabat teater tanah air daripada corak purbawara dan bangsawan kepada corak yang lebih bersifat kontemporari.

Antara karyanya yang memenangi pelbagai hadiah ialah drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) serta dua drama berbahasa Inggeris "I Remember The Rest House" (1992) dan "Member of The Club" (1994).

Syed Alwi adalah pengasas Kumpulan Teater Seni Malaya (Malayan Art Theater Group) pada tahun 1951, yang kemudian bertukar menjadi Malaysian Art Theater Group.

Beliau pernah mengarah dan berlakon dalam beberapa pementasan teater terkenal antaranya Midsummer Nights (Starveling), Androcles and the Lion (Slave) dan Henry V (Duke of Bedford) sehingga 1953.

Syed Alwi pernah bertugas dengan RTM, TV3 dan NTV7 sebagai pengurus, penerbit, pelakon, penulis dan pengarah selain pernah bertugas dengan Filem Negara, Panggung Negara, Akademi Seni Kebangsaan, Universiti Malaya dan Pejabat Penerangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Seni Negara pada 19 September 2002, iaitu satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni negara.

Mesyuarat mekanisme harga minyak bermula pagi tadi

oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bermesyuarat hari ini bagi membincangkan mekanisme penentuan harga minyak sama ada menetapkan satu harga lantai atau diapungkan mengikut harga mentah dunia.

Mesyuarat yang bermula pada jam 9:30 pagi tadi dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, MTEN akan bermesyuarat bagi memutuskan mekanisme yang lebih sahih dan stabil bagi menentukan harga petrol.

Shahrir berkata, majlis itu juga akan melihat kepada 'pro dan kontra' setiap mekanisme, dari segi kelebihan-kelebihan kepada orang ramai secara lebih luas, sumbangan kepada kerajaan simpanan kerajaan dan kesan perkembangan sumber tenaga alternatif.

Harga minyak dijangka turun 15 sen lagi awal bulan ini, menjadikan harga petrol di pasaran turun daripada RM2 kepada RM1.85 sen seliter.

Pada 17 November lepas, Najib mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 sen kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 sen kepada RM1.90 seliter.

Orang Melayu perlu proaktif martabat tulisan Jawi

SIASAH ONLINE


KOTA BHRU: Bangsa Melayu digesa bersikap proaktif untuk memartabatkan kembali tulisan jawi untuk memastikan kesinambungan warisan yang menjadi jati diri orang Melayu itu.

Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Dr. Johari Mat berkata, langkah untuk memartabatkan tulisan Jawi dan Bahasa Melayu perlu mempunyai gerakan perubahan yang menyeluruh bermula dari awal kanak-kanak hingga ke peringkat menara gading.

"Ia lebih kepada soal jati diri, bahkan kekuatan sesuatu bangsa bergantung kepada bagaimana mereka menghargai warisan bangsa mereka sendiri. "Tidak usahlah bercakap mengenai isu global andainya bangsa sendiri terabai," katanya pada satu majlis di sini.

Kata beliau, memandangkan tulisan Jawi merupakan warisan bangsa Melayu, sewajarnya ia dimartabatkan ke tempat sepatutnya dan harus disedari bahawa tulisan Jawi adalah tulisan istimewa oleh kerana di serluruh dunia tulisan Jawi hanya ada pada masyarakat Melayu saja.

Katanya, bangsa Melayu bertanggungjawab memartabatkan tulisan Jawi, bahkan mereka wajib mempertahankannya oleh kerana ketinggian teknologi dan kekuatan ekonomi Melayu tidak bererti sama sekali andainya tulisan Jawi yang menjadi warisan bangsa gagal dipertahankan.

Katanya, sebelum pengetahuan moden dengan perbendaharaan yang sofistikated diperkenalkan, tulisan Jawi digunakan Istana dalam bidang persuratan, perjanjian dan undang-undang.

"Bagaimanapun serangan untuk menjatuhkan tulisan Jawi di Tanah Melayu dilakukan sebelum penjajah meninggalkan Tanah Melayu menerusi lidah anak Melayu sendiri," katanya.

Beliau berkata, jatuhnya tulisan Jawi berperingkat termasuk pada Kongres Persuratan Melayu 1952 yang akhirnya melahirkan resolusi;; "Tulisan Rumi dan Jawi digunakan dalam Persuratan Melayu dan tulisan Rumi dijadikan tulisan Rasmi".

Manakala Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGSM) pada kongres keduanya (1854) mengusulkan Kongres itu dengan merakamkan; "Bahawa Persuratan Melayu Se-Malaya yang bersidang pada 1 Januari 1954 di Seremban mengambil keputusan sudah sepatutnya tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya".

Beliau berkata, usul itu turut dipersetujui Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) menerusi memorandumnya pada 27 Mac 1954.

"Memorandum itu memaparkan 11 kelebihan dan satu kelemahan tulisan Rumi, manakala tulisan Jawi pula mempunyai 12 kelemahan dan satu kelebihan.

"Memorandum itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pelajaran Razak dan menerimanya setelah menimbangnya dengan halus mengenai penggunaan tulisan Rumi atau Jawi dalam Bahasa Kebangsaan dan mencadang supaya digunakan tulisan Rumi dengan syarat diadakan pelajaran Jawi bagi murid-murid Islam," katanya.

Menurutnya, ekoran itu tulisan Jawi yang sebelum itu dipandang hebat mulai hilang pengaruhnya.

"Betapa hebatnya orang Melayu dahulu merancang untuk menjatuhkan tulisan Jawi, tulisan yang menjadi saluran kekuatan bangsanya sendiri," ujar beliau.

Dr Johari menambah, rancangan untuk menjatuhkan orang Melayu dengan tulisan yang berdasarkan huruf-huruf wahyu dan mengubah sebutan serapan Arab agar orang Melayu menyebut kata tertentu dengan tidak betul akhirnya menemui kejayaan,.

Sehubungan itu, Dr. Johari berkata langkah memartabatkan semula tulisan Jawi hendaklah dipandang penting, bukan sekadar tulisan warisan, tulisan hiasan dinding.

"Setiap bangsa mempunyai bahasa dan tulisannya, kerana ianya merupakan lambang kepada citra dan jati diri bangsa itu. "Sekiranya kita orang Melayu tidak berbangga dan tidak memartabatkan tulisan Jawi, samalah tidak berbangga dengan budaya dan citra bangsa sendiri."

Zaid wajar dihukum -Subang desak pecat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Subang mendesak agar pucuk pimpinan UMNO supaya memecat keahlian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada parti kerana hadir pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor semalam.

Ketuanya, Harrison Hassan berkata, setelah apa yang dilakukan Zaid, UMNO tidak perlu berbincang mahupun memberikan beliau pilihan.

‘‘Ini adalah kerana beliau sendiri telah membuktikan tidak setia kepada parti. Ini bukanlah insiden pertama yang mana beliau membelakangkan parti dan menghiris perasaan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu.

‘‘Pemuda UMNO Bahagian Subang merasa marah dan kecewa dengan tindakan beliau yang dengan senang bersekongkol bersama parti pembangkang, sedangkan kami di akar umbi telah sekian lama berjuang dalam merapatkan barisan serta memperkukuhkan parti,’’ kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Harrison berkata, Pemuda UMNO Bahagian Subang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zaid yang menyertai program dan majlis anjuran parti pembangkang.

‘‘Selain menghadiri majlis perasmian kongres PKR, beliau turut menghadiri majlis kemenangan rakyat Pulau Pinang anjuran parti DAP sebelum ini.

‘‘Kenyataan Zaid dalam Mingguan Malaysia hari ini yang beliau mengakui masih menjadi ahli UMNO dan tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang pada masa akan datang, harus ditangani oleh pucuk pimpinan dengan serta-merta,’’ katanya.

Turun harga barang selaras harga minyak - PM

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memastikan harga barang makanan yang diturunkan selaras dengan penurunan harga minyak mesti merupakan barangan yang digunakan rakyat setiap hari.

Dalam nada kesal, Perdana Menteri berkata, peniaga kebiasaannya begitu liat malah lewat untuk menurunkan harga barang pada setiap kali harga minyak diturunkan tetapi begitu cepat pula tanpa disuruh menaikkan harga apabila harga minyak naik.

"Saya dah beritahu Shahrir (Datuk Shahrir Abdul Samad), bahawa barang yang diturunkan mesti barangan yang digunakan setiap hari.

"Ini satu masalah yang dihadapi oleh rakyat," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

10 sebab henti merokok

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


RAMAI berkata mengatasi ketagihan rokok jauh lebih payah dari berhenti menagih dadah. Perkara ini diakui pakar perubatan dan bekas penagih. Walaupun tahu merokok membahayakan kesihatan seperti menyebabkan kanser paru-paru dan mulut dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD), tetapi ramai yang tidak mampu melawan pengaruh nikotin ke atas otak.

Jika anda perasan, antara garis panduan umum untuk mengelakkan penyakit atau mengekalkan kesihatan yang diberikan mana-mana doktor ialah berhenti merokok. Ini kerana merokok boleh menjadi agen perangsang kepada pelbagai masalah kesihatan dan penyakit kronik.

Mungkin hanya perokok saja yang tahu kemanisan merokok. Secara rasionalnya kita masih tercari-cari di mana manisnya merokok terutama di kalangan wanita. Tanpa sedar ia bukan saja membakar wang dan kesihatan tetapi turut menyebabkan gigi kuning dan berkarat - yang mencacatkan kemanisan senyuman!

Selain itu ada lebih 10 sebab mengapa anda perlu berhenti merokok. Masih ada masa untuk menyambut tahun baru dengan perubahan positif yang memberi manfaat kepada semua orang terutama diri sendiri dan orang tersayang.

# Alzheimer - Merokok menyebabkan fungsi otak merosot lima kali lebih cepat terutama bagi perokok berumur. Berdasarkan kajian ke atas 9,200 perokok lelaki dan wanita berumur 65 tahun ke atas yang disiarkan dalam jurnal Neurologi, didapati fungsi otak perokok merosot lebih cepat walaupun mereka tidak mempunyai sejarah keluarga mengalami masalah dementia (nyanyuk).

Bagaimana ini boleh berlaku? Merokok memberi kesan kerosakan berpanjangan terhadap salur darah, menyebabkan darah boleh membeku yang meningkatkan risiko serangan strok dan kemerosotan daya ingatan.

# COPD dan kanser paru-paru - Satu-satunya punca kepada dua penyakit kronik ini ialah rokok. Risiko penyakit ini boleh dikurangkan dengan berhenti merokok seawal mungkin. Perokok tegar yang merokok sejak muda akan mengalami kerosakan paru-paru yang lebih teruk dan sedihnya kerosakan ini tidak boleh dipulihkan. Ada banyak kes pesakit terpaksa bergantung kepada bekalan gas oksigen untuk bernafas yang perlu dibayar dengan harga mahal sedangkan kita sememangnya dikelilingi oksigen percuma!

# Kanser mulut - Banyak kajian menunjukkan antara punca utama kanser mulut ialah merokok selain tabiat makan sirih. Risiko kanser mulut akan hilang jika anda berhenti merokok dan semua masalah lain seperti ulser juga akan sembuh.

# Lupus - Sistemik Lupus Eritematosus atau lupus adalah penyakit auto imun di mana sistem imun tersilap tafsir dan menganggap badan sendiri sebagai bahan asing yang perlu dihapuskan. Ini adalah penyakit auto imun yang kronik dan boleh mengakibatkan keradangan, kesakitan dan kerosakan tisu badan.

Penyelidik Universiti Harvard mendapati perokok mempunyai risiko yang agak tinggi untuk mendapat lupus. Ini bukanlah penemuan yang menghairankan kerana asap rokok mengandungi lebih 4,000 jenis racun yang boleh menukar mana-mana fungsi badan termasuklah sistem imun. Bagaimanapun risiko ini boleh dihilangkan dengan berhenti merokok.

# Sindrom bayi mati mengejut (SIDS) - Kajian yang dijalankan penyelidik Eropah ke atas 2,400 bayi mendapati daripada 745 kes SIDS, kurang daripada separuh (50 peratus) kematian disebabkan bayi tidur meniarap atau mengiring. Hampir 16 peratus kematian dikaitkan tidur bersama ibu terutama yang merokok dan risikonya dikatakan 17 kali ganda lebih tinggi.

# Bayi alami masalah sakit perut - Pendedahan kepada asap rokok boleh meningkatkan risiko masalah kolik atau sakit perut. Inilah rumusan dari lebih 30 kajian di seluruh dunia. Masalah sakit perut bermula beberapa minggu selepas bayi dilahirkan dan kes paling tinggi dicatatkan apabila bayi berumur lima hingga lapan minggu yang boleh berlarutan sehingga umur mencapai empat bulan.

Asap rokok boleh menaikkan paras hormon dalam darah dan usus yang dipanggil motilin. Hormon ini akan membuat pengecutan otot perut dan usus menjadi laju; yang secara tidak langsung mempercepatkan pergerakan makanan. Inilah sebabnya bayi boleh mengalami sakit perut dan berasa tidak selesa.

# Risiko mati pucuk - Pasti ada perokok yang mendakwa walaupun kuat merokok, mereka tetap ramai anak. Itu bagi perokok yang bertuah dan anda perlu bersyukur dikurniakan cahaya mata. Kurniaan itu seharusnya dipelihara sebaiknya dengan tidak mendedahkan anak-anak anda kepada racun asap rokok.

Prestasi di bilik tidur memang penting bagi lelaki dan untuk mengekalkannya, anda perlu berhenti merokok. Soal selidik ke atas hampir 5,000 lelaki di China mendapati mereka yang merokok lebih sekotak sehari mempunyai kecenderungan sebanyak 60 peratus mengalami masalah mati pucuk berbanding bukan perokok.

Secara keseluruhan 15 peratus perokok mengalami masalah ereksi berbanding 12 peratus lelaki tidak merokok seperti yang dilaporkan dalam Seminar Pencegahan dan Epidemiologi Penyakit Kardiovaskular di Miami, Amerika Syarikat.

Mati pucuk bukan sekadar masalah di bilik tidur saja. Ia sebenarnya menjadi petanda paling penting kepada pelbagai masalah kesihatan lain dan merokok akan menyebabkan tahap kesihatan anda bertambah buruk.

# Hilang penglihatan - terutama perokok berumur. Perokok mempunyai risiko empat kali lebih tinggi untuk menjadi buta disebabkan kemerosotan makular akibat penuaan. Lebih 25 peratus kes kemerosotan makular yang boleh membawa kepada kebutaan berkaitan dengan tabiat merokok. Berhenti merokok boleh merendahkan risiko ini dan memanjangkan hayat penglihatan anda.

# Artritis Reumatoid - Individu yang mempunyai genetik lemah akan lebih mudah mendapat artritis reumatoid jika mereka merokok. Kajian penyelidik Sweden mendapati risikonya ialah 16 kali lebih tinggi berbanding individu tidak merokok.

# Berdengkur - Masalah yang memalukan ini biasanya lebih buruk di kalangan perokok. Bahkan pasangan anda yang tidak merokok juga akan mendapat kesannya. Lebih 24 peratus perokok tidur berdengkur berbanding 20 peratus kumpulan yang sudah berhenti merokok dan hanya 14 peratus bagi golongan tidak pernah merokok.

Perokok sekunder (orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok) juga mendapat tempiasnya. Kajian mendapati 20 peratus individu yang menghidu asap rokok di rumah berdengkur.

# Kanser payudara - Wanita yang mula merokok sebelum berumur 20 tahun atau sekurang-kurangnya lima tahun sebelum mereka hamil dan merokok bagi tempoh yang lama mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara.

Kadar kelaziman kanser payudara di kalangan perokok dan perokok sekunder ialah 30 peratus dan ini adalah jumlah yang membimbangkan kerana jumlah perokok wanita kian bertambah setiap tahun. Kanser payudara pula adalah antara penyakit yang belum ada cara untuk mencegahnya.

Biasanya ibu amat marah dan kecewa jika bayi mereka digigit nyamuk tetapi ramai yang tidak sedar dengan merokok mereka sebenarnya mendedahkan anak kesayangan kepada lebih banyak ancaman kesihatan. Jadi jika anda benar-benar sayangkan anak, berhentilah merokok.

K'jaan Pakatan disaran tubuh 'bank kampung'

Jimadie Shah Othman


Kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat disaran menubuhkan skim kredit mikro ataun "bank kampung" bagi menghadapi kemelesetan ekonomi global yang turut dirasai kesannya oleh Malaysia.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Gaddafi Kamal berkata, konsep "bank kampung" seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan skim Tekun yang bersifat anjal akan membantu mengurang beban usahawan kecil.

Cadangan itu, katanya, bersesuaian dengan kuasa yang ada pada kerajaan-kerajaan negeri.

Gaddafi berucap demikian ketika membahaskan usul ekonomi pada hari kedua kongres nasional kelima PKR di Shah Alam hari ini.

Kira-kira 1,000 perwakilan, termasuk pemerhati dan media hadir pada hari kedua perbahasan usul pagi ini.

Beliau turut mencadangkan agar Selangor melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri mempromosikan pendidikan ekonomi dalam kewangan dan perbankan.

"Kita boleh gunakan Universiti Industri Selangor (Unisel) yang dimiliki kerajaan Selangor," katanya.

Dengan kepakaran yang ada, tambahnya, Selangor mampu menawarkan peluang itu di peringkat sijil sehingga ijazah.

Beberapa pembahas turut mengambil peluang mengkritik Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tidak menguntungkan pelbagai kaum, termasuk Melayu.

Perwakilan Melaka, Ginie Lim berkata jurang miskin-kaya yang wujud sekarang bukan disebabkan oleh faktor pendatang asing atau Pakatan rakyat, tetapi dasar-dasar Umno-BN yang telah disalahgunakan.

Perwakilan Perak, Chang Li Kang pula menggesa kerajaan menghapuskan DEB.

Kedua-dua mereka berkata, PKR telah menyediakan dasar baru Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) sebagai alternatif kepada dasar afirmatif yang pro-bumiputera itu.

PKR: Bubar dasar Inggeris bagi ajar Matematik, Sains

Abdul Rahim Sabri


PKR berjanji akan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, termasuk mengubah kembali dasar pengajaran bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Mohd Noor Manuty.

Berucap membentang usul pendidikan di kongres nasional PKR hari ini, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu memberi contoh tokoh akademik seperti Profesor Dr Mohamad Shahrir Md Zin yang menguasai Sains dan Matematik melalui pendidikan Melayu tetapi masih mampu menguasai bahasa Inggeris.

Oleh yang demikian, tambahnya, jika PKR dan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan persekutuan, parti akan melakukan reformasi pendidikan bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Mohd Noor, bekas ahli akademik kanan di Universiti Islam Antarabangsa, juga mengupas kelemahan pemimpin institusi pengajian tinggi yang menyebabkan kualiti pendidikan tinggi negara terus merosot.

Beliau kemudian menggesa universiti membuka ruang kebebasan akademik, termasuk kepada pelajar-pelajar agar tidak lagi dibelenggu oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Tegasnya, PKR dan Pakatan akan menghapuskan akta tersebut jika berjaya mentadbir negara ini.

Beliau turut memberikan komitmen untuk menaikkan mutu pendidikan Islam dengan menitikberatkan pendekatan berfikir di kalangan daripada menghafal seperti amalan sekarang.

"Akibatnya dalam masa panjang, pelajar-pelajar tidak dapat meletakkan diri mereka dalam masyarakat. Gugup berbicara tentang perkara-perkara penting seperti bidang ekonomi," kata Mohd Noor.

PKR juga beriltizam untuk melaksanakan dasar pendemokrasian pendidikan bagi membolehkan semua rakyat mendapat pendidikan terbaik dari peringkat rendah sehingga peringkat universiti.

Membahaskan isu yang sama, seorang perwakilan Perak menyifatkan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2004 sebagai "satu pengkhianatan terhadap bahasa Melayu" sebagai bahasa ibunda dan bahasa pengantar.

Sementara perwakilan dari Sarawak, Baru Bian menuntut peruntukan biasiswa yang lebih besar kepada penduduk Sarawak sekiranya PKR dan Pakatan Rakyat menguasai Malaysia.

Baru, keturunan Orang Ulu, berkata ramai penduduk di pedalaman Sarawak dan Sabah mengalami keciciran dan memerlukan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

Perwakilan Sabah, Datuk Dr Hamzah Amir pula menyatakan kekesalannya berhubung sejumlah kecil sahaja pelajar-pelajar dari negeri itu berjaya masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, 70 hingga 80 peratus pelajar-pelajar yang menuntut di univerisiti tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar luar Sabah.

Kata Hamzah, pelajar Sabah yang berjaya ke UMS pula tidak ramai menguasai bidang sains dan kejuruteraan.

Beliau menjelaskan, kelemehan itu berpunca akibat kemiskinan, infrastruktur pendidikan yang usang terutama di pedalaman dan kekurangan guru di Sabah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar PKR memberikan tumpuan khusus terhadap para pelajar di Sabah agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana pendidikan negara.

Pencabar Anwar ingin sertai PKR

Beh Lih Yi


Datuk Arif Shah Omar Shah, pencabar tokoh utama PKR sewaktu pilihanraya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu, sedang mempertimbangkan untuk menyertai parti itu.

Beliau berkata kini 30 peratus peluang beliau menyertai parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu selepas mendakwa diketepikan dengan serius oleh ketua bahagian Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

"Saya harus berbincang dengan (ketua menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng dahulu supaya beliau selesa (dengan kemungkinan beliau menyertai Pakatan Rakyat," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"(Pemimpin) PKR (negeri) mempelawa saya (menyertainya), mereka mengalu-alukan kehadiran saya tetapi ia bukan keputusan yang mudah, banyak perkara perlu difikirkan dan saya harus menyelesaikan satu persatu."

Mengulas sama ada pergeseran beliau dengan Abdul Jalil - yang mengekalkan jawatan ketua bahagian Umno pada Oktober lepas - dengan kepemimpinan atasan Umno, Arif Shah berkata beliau akan membawa perkara itu jika beliau ingin meninggalkan parti itu.

Diminta mengulas lanjut sebab-sebab yang mendorongnya melompat kepada parti pembangkang itu, Arif Shah berkata penyalahgunaan kuasa yang didakwa dilakukan Abdul Jalil telah menghalangnya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Arif Shah menguasai DUN Seberang Jaya, dalam bahagian Permatang Pauh, selama dua penggal berturut-turut. Dua lagi DUN bawah parlimen itu masing-masing dikuasai PAS (Permatang Pasir) dan PKR (Penanti).

"Banyak perkara yang saya harus melalui beliau (Abdul Jalil) termasuk di kawasan DUN saya sendiri, saya tidak boleh bertemu dengan pemimpin-pemimpin cawangan," katanya.

"Bagi saya, jika orang memerlukan khidmat saya, tanpa mengira sama ada mereka Melayu, Cina atau India, saya mesti menolong mereka."

Ditanya sama ada PKR menawarkan sebarang jawatan, beliau berkata: "Perkara itu tidak penting, saya perlukan wadah untuk menyalurkan khidmat saya."

Arif Shah dilaporkan ditawarkan jawatan timbalan ketua menteri I yang kini dipegang oleh wakil rakyat Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin.

Beliau bagaimanapun berkata perlu masa untuk mengambil keputusan muktamad.