HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Januari 2009

Himpunan Aman Palestin di Masjid Negara esok

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Pemuda PAS akan menganjurkan perhimpunan aman Palestin di Masjid Negara esok ( 2 januari 2009) selepas menunaikan solat Jumaat. Perhimpunan ini akan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Perhimpunan ini bagi menunjukkan bantahan dan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap kekejaman Israel terhadap umat Islam Palestin yang mana kejahatan dan kekejaman Israel tidak boleh dibiarkan begitu sahaja malah seluruh umat Islam wajib mempertahankan negara di mana terletaknya kiblat pertama umat Islam itu, demikian kenyataan yang dihantar ke Harakahdaily.

Sementara itu di Pahang Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Abdullah Abdul Karim memaklumkan bahawa Gabungan NGO-NGO Islam Pahang dan Pakatan Rakyat turut akan mengadakan Himpunan Aman Intifadah pada hari yang sama.

"Kita akan mengadakan himpunan mengutuk kezaliman regim zionis selepas solat Jumaat di Perkarangan Masjid Abu Bakar, Temerloh. Kita berharap orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan penduduk Palestin dapat turut serta dalam himpunan itu untuk menyatakan bantahan atas kekejaman Israel itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehingga semalam jumlah yang maut ialah seramai 360 orang dan hampir 1700 orang cedera akibat kebiadapan Israel. Pada hari Sabtu lalu Israel melanggar ketetapan yang telah dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan dengan sengaja membunuh lebih 200 penduduk awam di Palestin.

Memorandum bantahan telah diserahkan oleh Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kepada wakil kedutaan Amerika pukul 12.00 tengahari 30 Disember lalu dan lebih 500 orang daripada pelbagai NGO dan parti-parti politik menyertai himpunan di hadapan kedutaan Amerika tersebut.

Perhimpunan aman palestin di masjid Negara pada Jumaat ini adalah siri seterusnya bantahan umat Islam kepada kebiadapan Israel selama ini.

Pemuda PAS juga turut mengajak semua seluruh umat Islam yang cintakan Islam bersama bersatu membantah kejahatan Israel ini. Ini termasuk juga masyarakat bukan Islam yang cintakan keamanan turut diseru menyertai himpunan ini bersama-sama. - azm _

Letak jawatan: Mike tunggu Anwar

Abdul Rahim Sabri
(kemaskini)


S Manikavasagam hanya meletakkan jawatan timbalan ketua perhubungan PKR Selangor tetapi mengekalkan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan ahli parlimen Kapar.

Beliau mengugut meninggalkan parti selepas berdepan masalah dengan kepimpinan kerajaan Selangor yang diketuai oleh ketua perhubungan PKR negeri Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap dalam satu sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini, Manikavasagam berkata beliau telah menghantar surat peletakkan jawatan itu pagi tadi yang berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, beliau bersedia menerima apa-apa bentuk tindakan disiplin daripada PKR yang bermesyuarat malam ini.

"Apa-apa tindakan kepada saya, saya rela. Disingkir daripada parti, (saya) tidak ada masalah kerana saya membela nasib orang yang miskin," katanya, yang sering dipanggil Mike.

Jumaat lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, beliau akan keluar daripada PKR kerana tidak bersetuju dengan Abdul Khalid, termasuk cara menteri besar itu mentadbir Selangor.

Abdul Khalid pula dilaporkan berkata Manikavasagam bebas untuk berbuat demikian. Beliau juga tidak berminat untuk berjumpa Mike atau merayunya menimbang semula keputusan tersebut.

Menteri besar itu kemudiannya menafikan pernah berkata demikian.

Beliau bagaimanapun menafikan mempunyai perselisihan peribadi Abdul Khalid.

"Tidak ada perselisihan faham dengan Tan Sri Khalid kerana saya bawa isu masyarakat. Boleh jumpa (beliau) bila-bila masa," katanya.

Manikavasagam menambah, nasibnya dalam PKR akan ditentukan selepas beliau berbincang dengan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa minggu lagi.

"Keluar parti? Tunggulah. Kena bincang dengan Anwar. Kena bincang dengan beliau dulu," katanya.

Beliau akan terus mengekalkan jawatan ahli parlimen walaupun disingkirkan daripada PKR, tambahnya.

Anwar dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekarang berada di luar negara dan dijangka pulang 6 Januari ini, sementara Manikavasagam pula akan ke India antara 5 hingga 15 Januari.

Perjumpaan dengan Anwar itu antaranya untuk berbincang "beberapa perkara penting di Selangor" dan juga negeri-negeri yang dikuasai negeri Pakatan Rakyat.

Isu-isu yang beliau tidak berpuas hati termasuklah pelantikan ketua kampung Melayu di sebuah taman yang majoritinya penduduknya berketurunan India dan kemerosotan jualan akibat pemindahan stesen bas lama Klang ke terminal baru di Jalan Meru.

Di sidang media yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan-kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Karpal Singh yang menggesa beliau keluar parti.

"Semua itu menyakitkan hati. Sedangkan mereka tidak tahu pendirian saya," kata Mike lagi.

Mengulas dakwaan beliau bakal menyertai MIC, Manikavasagam menjelaskan beberapa pemimpinnya pernah mengajak beliau untuk menyertai parti tersebut.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini beliau tidak berhasrat untuk menyertai sebarang parti termasuk Barisan Progresif India (IPF), Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP).

Mike mendakwa kira-kira 300 hingga 400 penyokongnya terutama di Johor menunggu isyarat lanjut daripadanya.

Tambahnya, beliau juga mendakwakan mendapat sokongan di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

SU Umno PJS: Ketua 'cawangan hantu' sertai PAS

Jimadie Shah Othman


Pemimpin Umno cawangan mengikut langkah bekas ketua bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim minggu lalu didakwa datang daripada "cawangan hantu".

Setiausaha bahagian itu Mohamad Yahya Sudin mendedahkan, cawangan-cawangan berkenaan hanya wujud menjelang mesyuarat agung tahunan Umno sahaja.

Susulan itu, tambahnya, Umno bahagian itu masih kuat dan berfungsi seperti biasa walaupun tanpa bekas ketuanya itu yang menyertai PAS pada 24 Disember lalu.

Menurutnya lagi, angka sebenar ketua-ketua cawangan Umno yang melompat parti dikenal pasti dalam mesyuarat khas malam tadi di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Dipengerusikan timbalan ketua bahagian itu Datuk Raja Hapipudin Raja Nong Chik, mesyuarat tersebut membincangkan usaha memantapkan Umno Petaling Jaya Selatan selepas menerima tamparan hebat akibat tindakan mengejut Zahar.

Bekas kapten bersara itu - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter – mendakwa 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian mengikut jejak langkahnya.

Tidak menolak jumlah ketua cawangan tersebut yang berbuat demikian, Yahya berkata sebahagiannya bukan cawangan yang sah atau "cawangan hantu."

Beliau bagaimanapun menjelaskan hanya tujuh daripada 39 AJK bahagian itu yang meninggalkan Umno, bukan 13 orang seperti yang didakwa.

"Itu pun ahli jawatankuasa yang dilantik, bukan dipilih," tambahnya.

Yahya berkata, daripada tujuh AJK itu pula, empat daripadanya merupakan “orang Zahar” yang menguruskan pejabat Umno bahagian dan dibayar gaji oleh bekas ketua itu.

Umno Petaling Jaya Selatan mempunyai 39 AJK – 20 dipilih, sepuluh dilantik dan sembilan lagi mewakili sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Bahagian itu juga mempunyai lebih 100 cawangan dengan jumlah keanggotaan lebih kurang 20,000 orang.

Pencetus berita utama 2008 jatuhnya kepada ...

MALAYSIA KINI


Tanda-tandanya mula kelihatan sejak penghujung tahun lalu lagi. Bagaimanapun, laporan-laporan risikan, analisis dan keresahan daripada masyarakat di akar umbi itu terus diabaikan.

Tinggal tanda tanya, sama ada akibat rasa terlalu yakin mendorong pihak berkuasa menjadikan penangkapan demi penangkapan pemimpin politik untuk terus mengertak dan menakut-nakutkan pencabar mereka penghujung 2007.

Tindakan yang sudah lazim itu bagaimanapun membangkitkan keberanian yang selama ini terpendam sejak beberapa dekad.

Oleh kerana mereka berjaya melakukan sesuatu yang sukar diramal sama sekali, Malaysiakini menganugerahkan gelaran pencetus berita sepanjang tahun ini kepada... rakyat Malaysia!

Kami menghormati sokongan majoriti rakyat secara senyap-senyap yang mendapat suara mereka hanya di internet, perbatasan teknologi yang dipergunakan semaksimum mungkin.

Blog-blog tumbuh bagai cendawan selepas hujan - termasuk mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menyerang penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya Khairy Jamaluddin serta "ahli-ahli tingkat empat" di Putrajaya.

Rakyat kebanyakan - yang tidak pernah bertindak selama ini - tiba-tiba merapatkan saf bagi menahan badai kegagalan dalam bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Bersih cabar Rashid seret ke mahkamah

Abdul Rahim Sabri


Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengalu-alukan tindakan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menfitnahnya secara peribadi sepanjang beliau mengetuai badan tersebut.

"Kita alu-alukan supaya dakwaan tidak berjawab akan didedahkan dalam mahkamah," kata setiausaha sekretariatnya Faisal Mustaffa kepada Malaysiakini.

"Bawa ke mahkamah, kita berpeluang untuk dapat jawapan (daripada dakwaan) yang tidak dijawab."

Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman hari ini dilaporkan sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan tersebut dan sedang mengumpulkan dokumen berkaitan untuk diteliti oleh peguamnya sebelum mengambil sebarang tindakan perundangan termasuk kepada anggota parlimen pembangkang.

Faisal menjelaskan pihaknya bagaimanapun tidak jelas isu atau alasan yang hendak dikemukakan untuk tindakan saman itu.

Tambahnya, semua kenyataan media yang dikeluarkan Bersih untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil berasaskan penyelidikan dan mendapat persetujuan daripada ahli-ahli jawatankuasa induk gabungan lebih 70 NGO, termasuk parti-parti pembangkang.

Jelasnya lagi, dakwaan-dakwaan Bersih terhadap suruhanjaya itu dan bekas pengerusinya berdasarkan fakta dan bukannya tuduhan melulu.

Rebat air RM100 untuk keluarga miskin

MALAYSIA KINI


Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mula mengkreditkan bantuan kewangan RM100 kepada keluarga miskin di Pulau Pinang sebagai rebat bil air.

Pengurus Hal Ehwal Korporat K Jeyabalan berkata RM100 itu dikreditkan dalam empat bayaran sebanyak RM25 bagi setiap bil bermula 15 Nov, lapor Bernama.

"Sebanyak 143,197 pengguna layak menerima RM3.58 juta dalam bayaran ansuran pertama," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata 14,000 permohonan lain masih dinilai dan akan siap pada akhir bulan depan.

Katanya, semua pengguna yang tinggal di rumah kos rendah dan kos sederhana rendah serta keluarga yang menerima bantuan kebajikan dan kumpulan di bawah kategori miskin tegar akan secara automatik menerima bantuan kewangan ini.

"Keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 sebulan layak menerima bantuan kewangan ini dan hendaklah memohon melalui borang yang diedarkan oleh pembaca meter PBAPP," tambahnya.

Untuk keterangan lanjut hubungi PBAPP di talian 04-5096509 atau layari laman webnya di www.pba.com.my.

Syed Qutb menolak konsep Islam Hadhari?

Ali Bukhari Amir


Ketika mengarang ini, rumah di desa sedang berusrah. Dan, tatkala menyelak-nyelak pustaka rumah yang termuat di dalamnya buku-buku usrah, saya terlihat kitab Syed Qutb, Maalim fit Thariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) yang diterjemah dalam bahasa Melayu.

Lalu dalam bab Islam Adalah Tamadun (al-Islam Huwa al-Hadharah), penulis yang amat terkenal dengan ketajaman mata pena itu menulis mengenai Islam sebagai berikut:

(Saya menitipkan beberapa perenggan dengan melompat-lompat dan tidak tersusun..)

'Masyarakat Islam' ialah masyarakat yang di dalamnya dilaksanakan Islam: akidah, ibadah, undang-undang, moral dan cara hidup.

Manakala masyarakat jahiliyah itu ialah masyarakat yang Islam tidak dilaksanakan di dalamnya; masyarakat yang tidak dipandu oleh Islam, baik dari segi akidah, konsep, nilai, sistem dan undang-undang, moral dan tatasusila.

'Masyarakat Islam' bukanlah sebuah perkumpulan atau organisasi manusia yang menamakan diri mereka 'MUSLIM' sedangkan syariat Islam tidak menjadi undang-undang masyarakat itu, walaupun mereka patuh bersembahyang, menunaikan rukun puasa dan naik haji ke Mekah.

'Masyarakat Islam' dengan bentuk seperti yang disebut di atas itulah sebenarnya masyarakat yang bertamadun, manakala masyarakat 'jahiliyah' dalam segala bentuknya adalah masyarakat 'songsang.'

'Islam Hadhari' dalam fahaman Syed Qutb
Maka.. pengarang Syed Qutb kembali menyambung hujahnya..

Saya pernah memasang iklan mengenai sebuah buku karangan saya yang masih di dalam percetakan.

Buku itu asalnya berjudul: 'Menuju masyarakat Islam yang bertamadun', tapi dalam iklan kali berikutnya saya buang perkataan 'bertamadun' dan judul buku itu diubah menjadi 'Menuju Masyarakat Islam' saja.

Perubahan judul ini rupanya menarik perhatian seorang penulis Al-Jazair (Algeria) yang selalu menulis di dalam bahasa Perancis.

Beliau lantas menulis sebuah artikel mengenai perubahan judul ini, dalam mana beliau telah membuat tuduhan bahawa perubahan judul itu berpunca daripada apa yang dinamakan beliau 'operasi mempertahankan Islam dari dalam jiwa.'

Beliau menyatakan kesalnya atas perubahan judul itu kerana itulah kononnya saya dianggap beliau sebagai tidak layak lagi membuat ulasan masalah itu mengikut keadaan yang sebenar.

Saya tidak ambil hati kepada penulis itu atas sikapnya yang demikian, sebab pada ketika mula-mula menulis judul buku berkenaan, cara berfikir saya masih serupa dengan cara berfikir beliau.

Persoalan yang berlegar dalam kepala saya ialah persoalan definisi 'tamadun' sama sahaja dengan persoalan yang selalu menari di dalam kepala beliau.

Syed Qutb mengaku tersilap dan jujur membetulkan kesilapannya
Akhirnya, Syed Qutb dengan penuh kejujuran, telah mengaku bahawa beliau sendiri telah terkeliru dengan konsep tamadun.

Maka, di atas kesilapan itu, beliau dengan mudah membetulkan kesilapannya. Ini kerana, beliau berfikir, merenung dan mengarang dengan penuh kejujuran dan keikhlasan..

Saya (Syed Qutb) terpaksa mengaku dengan berterus-terang bahawa cara berfikir saya pada ketika itu pun masih belum bebas sepenuhnya dari pengaruh sisa-sisa kebudayaan Eropah yang sama sekali asing dari selera keIslaman.

Sekali pun arah pemikiran saya begitu jelas ke arah Islam, namun sisa-sisa cara berfikir ala Eropah itu masih lagi mempengaruhi saya.

Definisi 'tamadun' ala Eropah selalu sahaja bermain-main dalam ingatan saya. Perkataan ini, kalau tidak penjelasan secukupnya, boleh mempengaruhi para pembaca dengan bayangan konsep asing yang aneh itu.

Perselisihan pendapat itu sebenarnya ialah mengenai definisi 'tamadun' dan dengan demikian perlulah persoalan ini dihuraikan dengan agak luas.

Islam itu sendiri telah mengusung makna tamadun
Dan akhirnya terserlah jualah kebenaran, 'Masyarakat Islam' adalah sebenar-benarnya masyarakat yang 'bertamadun'.

Dan pada akhirnya..Syed Qutb sendiri telah menarik satu kesimpulan sebagai berikut:

Perkataan 'bertamadun' sebenarnya tidak perlu dipakai, kerana ia adalah suatu omong kosong, tidak membawa sesuatu apa pun yang baru.

Wallahu'alam..

Kenapakah orang-orang seperti Syed Qutb ini dengan mudahnya mengaku kesilapannya sendiri? Pertamanya, beliau tidak memiliki apa-apa kepentingan diri. Hidup dan matinya telah diwakafkan seluruhnya untuk kemerdekaan jiwa, demi Islam dan Muslimin.

Beliau tiada kepentingan siasah seperti Abdullah Ahmad Badawi. PM seperti Abdullah ada cita-cita politik ketika membawa Islam Hadhari di dalam Perhimpunan Agung Umno dan ini membuktikan bahawa Abdullah tak jujur dan ikhlas dengan Islam Hadhari.

Pada tahun baru yang bakal menjelang sebentar sahaja lagi, dan bersempena Maal Hijrah ini, tulisan ini menyeru kepada Abdullah supaya bersikap ikhlas di dalam menerajui pemerintahannya.

Jika didapatinya ada kesilapan seperti mana Syed Qutb, maka dengan jujur hendaklah dia menggugurkan kalimat Islam Hadhari itu dan gunalah istilah lain seperti Muslim Hadhari atau apa-apa saja istilah bagi tujuan membetulkan dan membatalkan khilaf terdahulu.

Janganlah Abdullah risaukan sangat bahawa nantinya umat Islam di Malaysia akan mengejek-ejeknya pula di atas kesilapan tersebut. Itu tidak mengapa. Syed Qutb dengan rela dan ikhlas telah mengaku khilafnya. Tiada manusia sempurna.

Paling penting, gugurkanlah PPSMI ini. Abdullah sendiri tahu bahawa PPSMI ini adalah dasar yang batil. Yang menyebabkan Abdullah masih lagi pertahankan PPSMI, mungkin ini disebabkan oleh keegoannya.

Atau, andaian kedua, mungkin beliau masih takut dan gementar kepada Tun Dr Mahathir yang mengasaskan PPSMI tersebut. Wahai Abdullah, ikhlaskan dirimu mentadbir urusan-urusan kehidupan kami; warganegara Malaysia seluruhnya.. Wallahu'alam..

Ketua Wanita MCA letak jawatan Pempena

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Pempena Sdn. Bhd.

Chew berkata, keputusannya itu bagi membolehkan Tourism Malaysia, pemilik syarikat itu, mengambil langkah-langkah bagi memajukan syarikat itu.

"Saya telah melengkapkan fasa satu penstrukturan organisasi (Pempena)," kata Chew dalam blognya hari ini.

Dengan pemilihan sebagai Ketua Wanita MCA dua bulan lalu, kata Chew, beliau memerlukan masa untuk menguruskan sayap itu dan Pempena.

Chew telah dilantik memegang jawatan itu 2 Mei tahun lalu.

Pada 19 November lalu, Penasihat DAP Lim Kit Siang membuat aduan polis terhadap Pempena berhubung dakwaan penyelewengan, pecah amanah dan salah guna kuasa.

MB Perak: 2 pemimpin PKR boleh teruskan pemilihan calon ketua kampung

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pemilihan calon ketua kampung baru Gunung Rapat, Ipoh yang dijalankan oleh dua wakil rakyat Parti Keadikan Rakyat (PKR) akan diteruskan sebagaimana dirancang hari ini.

Mohammad berkata, beliau tidak pernah menyatakan beliau terkilan atau marah dengan tindakan Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Simpang Pulai, Chan Ming Kai meneruskan proses penamaan calon pemilihan ketua kampung tersebut seperti yang dilaporkan media.

"Saya hanya minta laporan berhubung perkara tersebut. Media telah menyalah tafsir apa yang saya katakan.

"Mereka akan meneruskan pemilihan calon ketua kampung baru itu esok kerana itu hak ADUN untuk melaksanakannya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Isnin lalu, Mohammad Nizar dilaporkan melahirkan rasa terkilan dengan tindakan kedua-dua wakil rakyat PKR itu yang enggan mematuhi larangan kerajaan negeri tidak membenarkan proses penamaan calon bagi pemilihan ketua kampung baru tersebut.

Mohammad Nizar berkata, walaupun pemilihan calon itu akan diteruskan tetapi kuasa lantikan tetap di bawah kerajaan negeri.

"Secara dasarnya, kerajaan negeri tidak membenarkan pemilihan bagi ketua kampung baru tetapi setiap kampung dibenarkan mencadangkan nama calon yang dirasakan sesuai.

"Bagi kes kampung baru Gunung Rapat ini nanti, penduduk akan memilih mana-mana calon yang mereka mahukan melalui pemilihan dan nama yang menang itu nanti akan dicadangkan kepada kita sama ada boleh dilantik menjadi ketua (kampung)," katanya.

Mohammad Nizar berkata, jika calon yang dicadangkan itu tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri, maka pihaknya boleh melantik orang lain yang dirasakan lebih layak.

Katanya, beliau juga telah menerima laporan mengenai proses penamaan calon bagi kampung baru Gunung Rapat yang diadakan Ahad lalu daripada Chan pagi semalam.

"Selain itu, Chan turut menjelaskan kepada saya, kampung baru Gunung Rapat ini agak istimewa kerana sebelum ini, ketua kampung mereka adalah terdiri daripada ketua persatuan-persatuan Cina di kawasan itu dan mereka tidak pernah didedahkan dengan pemilihan calon ketua kampung.

"Kampung baru ini tidak sama dengan kampung-kampung Melayu. Jadi nanti kita bimbang kemungkinan timbul salah faham jika lantikan terus dilakukan. Jadi, ini akan dijadikan projek percubaan," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mempertimbangkan pemilihan ketua kampung diadakan secara pemilihan selepas ini, Mohammad Nizar berkata, perkara itu akan diteliti.

"Setakat ini yang kita tetapkan, pemilihan ketua kampung baru adalah secara lantikan selama dua tahun," katanya.

Jumaat lalu, Mohammad Nizar berkata, ketua kampung baru bagi negeri Perak akan dibuat secara lantikan dan tidak membenarkan ia dijalankan secara pemilihan. Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh exco kerajaan negeri itu adalah ketua kampung baru akan dilantik oleh kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun akan datang, berbeza dengan kampung tradisional yang mana pemilihannya telah dibuat sebelum ini.

Sementara itu, Lee ketika dihubungi berkata, beliau telah berjumpa Mohammad Nizar malam kelmarin berhubung isu penamaan calon pemilihan ketua kampung baru Gunung Rapat tersebut.

Lee berkata, beliau telah menerangkan kepada Mohammad Nizar bahawa tindakannya dan Chan meneruskan proses penamaan calon pemilihan bagi menentukan calon ketua kampung itu adalah semata-mata untuk memberi peluang kepada penduduk untuk memilih sendiri ketua yang dimahukan mereka.

"Saya memberitahu beliau, apa yang kita lakukan adalah untuk memberi peluang kepada penduduk untuk menyatakan hasrat mereka memilih ketua kampung yang mereka rasakan layak.

"Bagaimanapun, kuasa untuk melantik tetap di tangan Menteri Besar dan kerajaan negeri," katanya.

Lee berkata, Mohammad Nizar menerima rasional tindakannya itu dan membenarkan pemilihan itu diteruskan.

Ditanya sama ada beliau ada berbincang dengan Mohammad Nizar berhubung kemungkinan calon yang dipilih penduduk nanti tidak dipersetujui kerajaan negeri, Lee berkata, hal itu tidak dibincangkan.

"Bagaimanapun, calon-calon yang ada begitu berkaliber jadi saya percaya, tidak akan timbul masalah untuk mendapatkan calon ketua kampung yang baik.

"Bagaimanapun terserah kepada penduduk untuk menentukan," katanya.

Manika, Jenapala bebas tindakan disiplin PKR

Keputusan MP Kapar letak jawatan Timbalan Pengerusi Selangor diterima

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi memutuskan tiada sebarang tindakan disiplin akan diambil terhadap Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan bekas Timbalan Setiausaha Agungnya, P. Jenapala.

Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, soal tindakan disiplin tidak timbul pada peringkat ini.

"Tindakan disiplin tak timbul, kalau bincang pun mungkin pada masa yang lain... tapi setakat ini tak timbul soal disiplin.

"Ini adalah proses demokrasi dan kita tak mahu proses dan perbincangan ini (dibawa) ke luar kerana kita tahu perbincangan yang keluar itu biasanya tak mendapat liputan yang adil," katanya.

Ditanya mengenai peletakkan jawatan Manikavasagam sebagai Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Syed Husin berkata, isu berkenaan sudah selesai kerana beliau masih lagi kekal sebagai ahli PKR.

"Soal Manikavasagam sudah dikira selesai... dia tidak keluar daripada parti dan tidak pindah tempat sebagai ahli Parlimen.

"Dia cuma letak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi negeri Selangor dan dia pernah kata mahu letak jawatan dalam bulan September lalu tapi tak jadi...dan kali ini jadilah," katanya.

Tambah beliau lagi, PKR tidak mempunyai masalah dengan peletakkan jawatan itu.

Mengulas mengenai isu Jenapala, Syed Husin menjelaskan bahawa beliau sememangnya digugurkan daripada jawatannya itu kerana didapati muflis.

"Dia bukan letak jawatan... tak betul dia letak jawatan," katanya.

Syed Husin berkata hasil siasatan parti, didapati Jenapala diisytiharkan muflis sejak lebih dua tahun yang lalu, namun tidak memaklumkan kepada pimpinan tertinggi parti.

"Sudah lama dia diisytiharkan muflis, tapi tak beritahu.

"Sehinggalah baru-baru ini dalam dua minggu lalu selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan saya dan Setiausaha Agung, Datuk Salehuddin beritahu bahawa Jenapala seorang yang muflis dan ikut undang-undang dan perlembagaan beliau terpaksa digugurkan daripada jawatan parti," katanya.

Tambah beliau, isu bahawa PKR mengenepikan kepentingan masyarakat India dalam parti itu langsung tidak timbul, malah usahanya untuk mengumpulkan pemimpin-pemimpin kaum India dalam PKR tidak berjaya.

"Saya dimaklumkan bahawa lebih ramai wakil media yang hadir berbanding pemimpin, itu menunjukkan bahawa tidak ada sokongan kepada dia.

"Bagi kita mesyuarat mereka tidak menimbulkan apa-apa masalah, apa yang kita tahu parti kita masih kuat dan bersatu padu serta tidak lemah seperti mana yang diuar-uarkan oleh sesetengah akhbar," katanya.