HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Julai 2009

PR bidas Hindraf tak kenang budi

BERITA HARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang pimpinan DAP membidas Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang didakwa mengugut dan menuduh Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bersifat perkauman berhubung isu Kampung Buah Pala.

Kerajaan negeri juga menyifatkan pemimpin pertubuhan haram itu tidak mengenang budi kepada DAP yang berjuang untuk membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Malah, kerajaan negeri juga mendakwa Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang melarikan diri ke luar negara cuba mengambil kesempatan daripada isu itu dengan meminta kerajaan supaya tidak dikenakan tindakan apabila pulang ke tanah air.

Perkara itu dinyatakan pada sidang media bersama Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RSN Rayer dan Adun Batu Uban, S Raveentharan di sini, semalam.

"Sebelum ini, siapa yang berdepan dengan pemaju (Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd)? Kalau kita tidak buat sesuatu, pemaju sudah roboh rumah tahun lalu. Di mana Hindraf masa itu?

“Jadi, jangan ugut dan berasakan kerajaan negeri lemah. Kita bertindak dan bersabar mencari jalan penyelesaian.

“Saya berada di sini, bukan di luar negara. Saya tidak minta tolong pihak yang anti-Malaysia. Saya di Malaysia, lawan dan buat di sini. Saya tidak berbohong dan tipu dengan lari ke luar negara, bersahabat dengan ejen untuk menjatuhkan Malaysia. Itu bukan kita (DAP)," kata Ramasamy.

Ramasamy mengulas kenyataan Waythamoorthy yang menuduh Guan Eng sebagai bersifat perkauman.

Waythamoorty dipetik sebagai berkata, kerajaan Pakatan Rakyat gagal memberi harapan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu dihadapi penduduk Kampung Buah Pala.

Penduduk sepatutnya mengosongkan rumah kerana pemaju akan merobohkannya hari ini, tetapi kerajaan negeri berjaya mendapat persetujuan pemaju supaya ditangguhkan selama sebulan.

Hadi syor sistem kewangan Islam dikaji semula

BERITA HARIAN ONLINE


AHLI Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pelaksanaan sistem kewangan Islam di negara ini perlu dikaji semula berikutan nilai keuntungan daripada pinjaman berasaskan sistem itu disifatkan terlalu tinggi.

Beliau berkata, kadar keuntungan terlalu tinggi memberi persepsi yang tiada perbezaan antara sistem kewangan Islam dengan konvensional.

Katanya, sistem kewangan Islam di negara ini bebas daripada riba atau faedah tetapi sistem itu membenarkan keuntungan tanpa had serta batasan.

"Ini bukan sifat sebenar sistem kewangan Islam kerana asas pelaksanaannya sejak zaman Rasulullah lagi adalah untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

"Dalam konteks ini peminjam adalah golongan yang memerlukan bantuan kerana kesempitan mereka telah membuatkan mereka perlu berhutang. Sepatutnya mereka ini dibantu dengan sebaik-baiknya dan bukan diambil kesempatan atas kesusahan yang mereka alami," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia 2009.

Pengunjung RWMF pakai topeng

BERITA HARIAN ONLINE


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengarahkan semua pengunjung Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) membasuh tangan dan memakai topeng sebelum memasuki tapak konsert bagi mengelakkan jangkitan wabak Influenza A (H1N1).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata kerajaan akan memperuntukkan antara 20,000 hingga 30,000 topeng bagi diedarkan kepada pengunjung, selain menyediakan tempat khas untuk membasuh tangan.

Katanya, langkah itu diambil berikutan kebimbangan terhadap wabak berkenaan dan semua pengunjung tidak kira warga tempatan atau pelancong akan diberi topeng dan diminta membasuh tangan sebelum dibenarkan masuk ke Kampung Budaya Santubong (SCV) bagi menyaksikan persembahan.

"Kerajaan sedaya upaya akan berusaha mengambil langkah pencegahan termasuk merancang langkah mengeluarkan penonton sekiranya berlaku jangkitan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kebimbangan berlaku penularan H1N1 ketika RMWF berlangsung pada 10 hingga 12 Julai depan mula dibangkitkan dengan kerajaan meminta Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menyediakan klinik khas bagi memantau pengunjung.

Difahamkan, sekiranya terdapat pengunjung yang mengalami simptom H1N1 ketika konsert berlangsung, seluruh kawasan SCV akan dikosongkan serta-merta dengan pengunjung akan diminta melakukan saringan.

Ditanya mengenai kewajaran RWMF dibatalkan, Dr Chan berkata, itu adalah langkah terbaik bagi menghalang penularan di kalangan penduduk tempatan namun ia membabitkan banyak pihak dan individu.

"Saya berpendapat festival itu ditangguh sehingga wabak ini reda namun berikutan tarikhnya semakin hampir, kita tidak dapat melakukannya malah ada artis antarabangsa sudah tiba.

"Dengan pelbagai langkah pencegahan, kita berharap wabak ini dapat dikawal dengan orang ramai masih boleh terus menghayati semangat festival itu," katanya.

Rabu, 1 Julai 2009

Wacana ilmiah: Khairy kata 'OK', DAP kecewa

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB dan G.MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyambut baik keberanian Dewan Pemuda PAS yang mengajak agar diadakan wacana ilmiah sambil berharap ia akan membawa kepada kerjasama lebih bermakna antara kedua-dua parti kelak.

"Usaha-usaha yang diambil pada masa-masa lalu untuk mengadakan perbincangan antara PAS dan Umno di peringkat pusat telah terjejas kerana pendirian sekutu-sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat," kata Khairy ketika ditemui di lobi Parlimen.

"Adalah sesuatu yang signifikan mereka mengambil langkah ini," tambah Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Minggu lalu Pakatan Rakyat telah menolak idea perbincangan kerajaan perpaduan yang pernah dilontarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pagi tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi menjemput Pemuda Umno untuk mengadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Beliau menyerahkan surat jemputan untuk mengadakan wacana itu kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim.

Khairy juga berharap bahawa perbincangan antara kedua-dua parti berkenaan akan menjangkaui isu-isu berkaitan dengan Islam dan kaum Melayu.

Justeru jelas Khairy, beliau juga berharap akan menyertakan pembabitan Pemuda Barisan Nasional.

Malah kata Khairy juga berharap pertemuan dua sayap itu akan membawa kepada perbincangan antara pemimpin-pemimpin pusat kedua-dua parti jika ada keserasian antara Pemuda Umno dan PAS.

”Kita belumpun melalui pertemuan pertama kami, kita akan lihat dulu," katanya.

Kedua-dua parti akan mewujudkan satu sekretariat untuk menetapkan formatnya selepas pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan bulan ini.

DAP KECEWA

Sementara itu, DAP melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Dewan Pemuda PAS menjemput Pemuda Umno untuk mengadakan wacana ilmiah itu yang didakwanya dilakukan tanpa mendapat persetujuan peringkat Pemuda Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke berkata, tindakan Pemuda PAS itu akan menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong Pakatan Rakyat memandangkan Pakatan secara jelas telah menolak sebarang perbincangan berhubung kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Saya terkejut dengan wacana ini walaupun PAS mempunyai hak (untuk mengadakannya), sebagai rakan dalam Pakatan, hal ini tidak pernah ditimbulkan sebelum ini.

"Kita sudah tegaskan, kalau mahu berdebat, mengapa hanya melibatkan dua parti. Jika melibatkan Pakatan dan Barisan Nasional, kita alu-alukan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan berjumpa dengan Nasrudin untuk meminta penjelasan, Loke berkata, ia akan dibangkitkan dalam mesyuarat Pemuda Pakatan minggu depan.

"Kita sepatutnya bermesyuarat pada Isnin lalu untuk berbincang mengenai penubuhan Pemuda Pakatan tetapi ia telah dibatalkan dan setahu saya oleh Nasrudin," katanya.

Marah kerajaan negeri: DAP keluar Pakatan Rakyat Kedah

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: DAP Kedah memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat hari ini ekoran tindakan kerajaan negeri itu yang didakwa tidak menyelesaikan siri isu yang wujud sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat Kedah diputuskan oleh DAP sebentar tadi, kata Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su ketika dihubungi mStar Online.

"Keluar, kami sudah buat keputusan... ini keputusan mutkamad kami (DAP Kedah)," kata beliau sambil menambah, atas prinsip dan pendirian parti, pihaknya memutuskan tindakan sedemikian.

Kata beliau, keputusan itu telah diambil selepas Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan rumah sembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar petang tadi.

Sepasukan anggota penguat kuasa MBAS merobohkan rumah sembelihan babi itu pada pukul 3.30 petang tadi.

Mengikut laporan media sebelum ini, premis itu sepatutnya dirobohkan penghujung Mei lalu, tetapi ditangguhkan selama sebulan sehingga semalam.

Ia merupakan antara beberapa isu yang menjadi punca retaknya kerjasama DAP dalam Pakatan Rakyat Kedah.

Satu lagi isu ialah kontroversi mengenai kuota perumahan 50 peratus bagi bumiputera.

Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah meningkatkan kuota tersebut daripada 30 peratus kepada 50 peratus bagi projek perumahan baru di negeri itu.

DAP mempunyai hanya seorang wakil rakyat di Kedah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darulaman, Lee Guan Aik.

Su berkata, ia merupakan antara beberapa isu yang tidak menemui penyelesaian walaupun dibangkitkan dan dibawa kepada perhatian kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

Kata beliau, pihaknya akan memanjangkan keputusan itu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam waktu terdekat untuk pengesahan.

"Keputusan ini perlu mendapat pengesahan CEC," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Pusat DAP, Teresa Kok ketika ditemui di lobi Parlimen memberitahu, beliau menyedari tentang keputusan tersebut sebentar tadi.

"Mereka mengambil keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat selepas tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan negeri tidak menyelesaikan masalah-masalah yang timbul... DAP Kedah mendapati banyak masalah masyarakat bukan Melayu tidak diselesaikan," katanya.

Ketika ditanya sama ada DAP akan membincangkan isu itu dalam waktu terdekat, Teresa memberitahu, perkembangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di sini esok.

H1N1: Pakar kesihatan WHO kemukakan cadangan menjelang musim haji

BERNAMA


DUBAI: Orang tua, orang yang uzur, wanita mengandung serta kanak-kanak perlu mengelak daripada menunaikan haji dan umrah tahun ini di tengah-tengah peningkatan jumlah kes selesema babi di seluruh dunia.

Ini adalah antara cadangan yang dikemukakan dalam sebuah bengkel mengenai kaedah berjaga-jaga berkaitan kesihatan semasa musim haji dan umrah yang diadakan di bandaraya Jeddah, Arab Saudi semalam.

Arab News memetik Menteri Kesihatan Saudi Dr Abdullah Al-Rabeeah sebagai berkata pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyertai bengkel itu berpuas hati dengan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh negara itu untuk membendung penularan virus terbabit dalam kalangan jemaah haji dan umrah.

Beliau berkata bengkel itu mencadangkan supaya jemaah haji dan umrah, penduduk tempatan serta penyedia perkhidmatan di kota suci berkenaan perlu diberikan vaksin terhadap virus H1N1 sekurang-kurangnya dua minggu sebelum meninggalkan negara asal mereka.

Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi dan delegasi haji yang mewakili pelbagai negara telah diminta menyimpan bekalan ubat-ubatan yang perlu untuk rawatan dan pencegahan virus yang mengakibatkan selesema babi.

Jemaah turut digesa supaya mengambil vaksin baru H1N1 apabila ia mula disediakan penghujung tahun ini, sebelum memulakan perjalanan mereka ke Arab Saudi.

Arab News berkata enam kes baru selesema babi dilaporkan di negara berkenaan, menjadikan keseluruhannya 81 kes yang dilaporkan.

Pengaruh Nik Aziz sangat besar dalam PAS...

MALAYSIA KINI


Pengaruh Musyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sangat besar dalam PAS menjadi faktor PAS membatalkan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan dengan Umno, kata seorang ahli akademik hari ini.

"Walau apapun pandangan orang terhadap Nik Abdul Aziz, hakikatnya beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam PAS," kata Pensyarah dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, Terengganu, Asri Salleh.

Malah, kata Asri, ada pihak yang beritahu beliau yang "orang boleh kata apa saja tentang PAS tapi jangan sentuh Nik Aziz", lapor Bernama

Bagaimanapun, beliau tidak menolak pendapat jika cadangan itu datang dari menteri besar Kelantan sendiri, perbincangan dengan Umno akan tetap berlangsung sekalipun dibantah DAP dan PKR.

Hakikatnya, kata beliau, apa juga motif PAS dalam perbincangan dengan Umno, hanya diketahui oleh mereka yang berkenaan.

Namun, katanya, yang pasti isu tersebut meninggalkan parut dalam pakatan pembangkang.

Cadangan mengadakan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan dengan Umno dicetuskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut disokong oleh Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa.

PAS pegang kunci

Bagaimanapun, cadangan itu ditentang oleh Nik Aziz serta anggota Pakatan yang lain - PKR dan DAP.

Malah beliau pernah menggesa Nasharuddin supaya keluar dari PAS dan meletak jawatan ahli parlimen Bachok, sekiranya beliau masih menyokong kerajaan perpaduan dengan Umno.

Ekoran itu, mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat baru-baru ini menolak cadangan tersebut.

Sementara itu, Asri juga PAS juga berpendapat, isu kerajaan perpaduan dengan Umno itu timbul mungkin kerana PAS mahu menguji kedudukannya dalam Pakatan Rakyat.

"Saya beranggapan ini strategi politik mereka. PAS melalui Abdul Hadi secara tidak langsung memberitahu Pakatan Rakyat bahawa PAS adalah parti dominan dalam pakatan, sebab pakatan itu bergantung kepada PAS.

"PAS tidak mempunyai masalah besar untuk berbincang dengan Umno, tapi bolehkah DAP atau PKR berbuat perkara yang sama?

"Jawapannya tidak, dan harus diingat di kebanyakan negeri Umno menang kerusi paling banyak berbanding komponen lain dalam BN," katanya.

Menurutnya lagi, PAS mungkin mempunyai kerusi Parlimen paling sedikit iaitu 23 berbanding dua rakannya (DAP 28 kerusi, PKR 30), tetapi dari segi kedudukan di beberapa negeri, PAS yang memegang kunci.

"Di Selangor, tanpa PAS kerajaan pakatan akan bubar, dulu di Perak macam itu juga. Malah sekarang pun, kalau PAS kembali berbincang dengan Umno, pembangkang terpaksa gugurkan hasrat mereka untuk kembali berkuasa di Perak," katanya.

Sokongan bukan Islam

Asri juga berpandangan PAS menghantar mesej kepada DAP bahawa mereka tidak memerlukan parti itu untuk mendapat sokongan bukan Islam.

"Sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin kuat menerusi kelab penyokong parti itu.

"Malah mereka merancang untuk jadikan kelab itu sebagai salah satu sayap dan kalau ini yang berlaku sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin utuh.

"Itu sebabnya saya katakan PAS tidak perlukan DAP. Malah jika diperhatikan selepas ucapan Hadi di muktamar, DAP yang paling gusar, sehingga cepat-cepat mengeluarkan kenyataan membantah dan mahu pakatan duduk berbincang. Ini menunjukkan DAP yang perlukan mereka bukan sebaliknya," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Abdul Hadi ikhlas ketika mengadakan perbincangan mengenai perpaduan dengan Umno yang berlaku sejurus selepas pilihanraya umum lalu.

"Mungkin pada masa itu mereka melihat ada keperluan untuk orang Islam, dan apabila sebut Islam ini pastinya merujuk kepada Melayu bersatu, tetapi entah macam mana ia menjadi isu yang sudah di luar kawalan," katanya.

Sementara seorang lagi pemerhati politik, Prof Madya Dr Ghazali Mahyuddin berpandangan PAS hanya menurut suara majoriti dalam pakatan pembangkang, yang jelas tidak senang dengan gagasan kerajaan perpaduan itu.

"Bila ada pakatan kenalah ikut suara ramai, tak boleh sendiri-sendiri. Malah dari segi persahabatan, tindakan PAS juga tidak kena kerana tidak membincangkan terlebih dahulu dengan rakan sekutu," kata pensyarah Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Siswa bertindak jika kena tindakan

MALAYSIA KINI


Kumpulan mahasiswa bersedia melancarkan bantahan besar jika Universiti Malaya mengambil tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya yang diseret ke mahkamah semalam.

Sehubungan itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM juga berharap pentadbiran kampus tidak mengambil tindakan pecat seperti yang pernah dialami oleh tujuh mahasiswa IPTA yang dituduh terbabit dalam satu perhimpunan haram pada 2001.

"Di pihak universiti pula, penulis ingin memberi peringatan supaya jangan sesekali mengambil tindakan dengan menghukum mereka sebelum mereka dibuktikan bersalah," kata presidennya Shazni Munir Mohd Ithnin di blognya hari ini.

"Jika seandainya hal yang pernah berlaku pada mangsa-mangsa ISA 7 berulang, penulis dan seluruh mahasiswa yang di dadanya kejap dengan perjuangan kemahasiswaan, tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan di segenap sudut."

Shazni Munir, kini sedang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng dan cubaan membakar dewan Akademi Pengajian Islam, juga berharap proses mahkamah berjalan dengan adil.

"Penulis dengan pengharapan yang menggunung, masih lagi mengharapkan proses perbicaraan berlangsung tanpa 'tangan-tangan ghaib' yang mengganggu, dan hakim mengadilinya dengan penuh adil serta saksama," katanya lagi.

Semalam, dua pelajar UM dituduh di mahkamah atas dakwaan menconteng dan cubaan membakar dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, 24 Jun lalu.

Mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyertai kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dibebaskan hari ini selepas dijamin RM5,500 tiap seorang.

Satu sumber polis memberitahu Malaysiakini semalam, kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, .

Selain Shazni Munir, polis juga sedang menjejaki Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani - kedua-duanya dipercayai pelajar akademi Islam - bagi membantu siasatan.

Nik Aziz tegaskan perjuangan PAS dan Umno jauh berbeza

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak tanggapan pemimpin Umno yang mendakwa perjuangan PAS dan Umno adalah serupa.

"Saya tegaskan PAS dan Umno tidak serupa, bahkan dalam contoh orang yang sembahyang sendiri pun Allah swt menyediakan sebuah neraka.

"Mereka sembahyang, tetapi ada yang bersembahyang namun masuk neraka kerana lalai dalam sembahyang. Sesungguhnya orang yang bersembahyang ada (yang masuk) syurga dan (ada yang masuk) neraka, mana serupa," katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dun semalam.

Beliau juga merujuk kelakuan bapa saudara Nabi Muhammad saw ketika Perang Badar.

Katanya, bapa saudara baginda datang kepada Nabi dan bertanya kenapa Nabi enggan menerimanya sedangkan dia membantu orang ramai dengan memberi air kepada orang ketika menunai ibadat haji.

Nabi menjawab bahawa adakah perbuatan itu sama dengan beriman, tentunya tidak sama.

"Dan dalam konteks Umno, mereka tidak ada 'aamana' (tidak beriman). Ada Islam sahaja. Mereka menolak Islam, nak dikatakan beriman macam mana.

"Pada zaman Nabi Muhammad saw, seorang sahabat membina masjid, yang disebut Masjid Dhirar. Nabi membina masjid, dia membina masjid juga, tetapi akhirnya masjid itu dibakar. Kenapa dibakar sedangkan itu sama-sama masjid.

"Ini perkara yang tidak ada dalam Umno. Umno menerima Islam tetapi mereka tidak beriman. Iman mesti ada, selain daripada Islam ialah iman," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Dr Mohd Fadzli Hassan berkata, manusia tidak boleh menutup perbezaan terutama perbezaan mengenai hukum hakam sebagaimana ditegaskan dalam Surah Al-Hujrat.

"Dan jika kamu terdiri dari golongan beriman, sekiranya berdepan dengan perselisihan faham dan berlaku peperangan di antara kamu, maka langkah pertama ialah mengambil sikap berbaik antara keduanya.

"Tetapi sekiranya masih bertelagah juga maka tempat rujukan untuk mencari penyelesaian dan perdamaian antara keduanya ialah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah.

"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, peruntukan Persekutuan untuk kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak disalurkan mengikut sepatutnya.

Menurutnya menjadi persoalan apabila wang yang telah diberikan disalur ke Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

"Begitu juga setiap projek yang disalurkan ke Kelantan, keputusan pemilihan kontraktor ditentukan kerajaan Persekutuan," ujarnya.

Mengenai cadangan pembangkang supaya dilantik wakil rakyat Barisan Nasional dalam PBT, kata beliau ia boleh dipertimbangkan.

Bagaimanapun katanya, Menteri Besar Kelantan sejak 1990 sehingga sekarang tidak pernah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri.

"Demikian juga dalam Lembaga Kelantan Selatan (Kesedar), walau pun dalam Akta Kesedar peruntukan dua orang wakil kerajaan negeri mesti dilantik, tapi hanya dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri sahaja.

"Begitu juga dalam Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), dua orang wakil kerajaan negeri mesti menganggotai lembaga pengarah Kada, tapi tak pernah dilantik," katanya.

Mengenai dakwaan pembangkang pembalakan di negeri ini dilakukan secara tidak terkawal, beliau berkata dakwaan itu sebagai satu penghinaan kepada Jabatan Perhutanan kerana ia tidak berlaku.

"Ini kerana Majlis Perhutanan Negara yang menentukan catuan dan had tebangan dan kayu balak tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya," katanya. - mj _

Presiden PAS tempelak BN, cuba pecah-belahkan Pakatan Rakyat

Muhammad Arif Ismail


KELANA JAYA - Presiden PAS Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menempelak usaha yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Umno untuk mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya, BN berusaha untuk melaga-lagakan setiap parti dalam Pakatan Rakyat dan perhimpunan malam tadi PAS menempelak tohmahan yang dilemparkan oleh parti pemerintah itu.

"Perhimpunan ini juga menjadi bukti perpaduan dalam Pakatan Rakyat masih kuat dan saya mengucapkan terima kasih kerana kehadiran saudara dan saudari pada malam ini ke dalam satu majlis perhimpunan ini untuk menunjukkan betapa Pakatan Rakyat dapat melakukan satu pembaharuan...perkara ini tiada dalam BN.

"Umno dan BN bergelut dengan pelbagai krisis lebih dari 20 tahun, tidak boleh selesai, termasuk krisis yang berlaku dalam parti kompenannya," katanya dalam ucapan Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 Pakatan Rakyat semalam.

Ini katanya, menyebabkan kedudukan Pakatan Rakyat menjadi sebuah parti yang matang dan boleh memimpin negara serta diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah negara dalam pilihanraya yang akan datang.

Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata ini menunjukkan bahawa BN sudah menjadi sebuah parti yang uzur, dan tidak mampu lagi untuk memimpin negara.

Menurut beliau, PAS adalah sebuah parti yang menjadikan akidah Islam sebagai pegangan, matlamat dan memperkenalkan cara perpaduan yang yang diajar oleh Islam sedangkan Umno, parti yang telah gagal menunjukkan model perpaduan yang sebenar.

Islam katanya, mengajar perpaduan untuk menegakkan keadilan, menegakkan kesaksamaan dan mengajar perpaduan di kalangan umat Islam berdasarkan hubungan akidah yang menyatukan mereka.

Beliau berucap sempena Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini semalam yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli.

Hadir sama dalam Majlis Himpunan itu ialah Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen negeri Selangor.

Menurut Ustaz Hadi lagi beliau yakin dan percaya dengan asas perpaduan yang kukuh telah ditunjukkan dalam pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Kuala Terengganu menyebabkan BN gagal memainkan Pakatan Rakyat.

"Malam ini kita akan buktikan kejayaan Pakatan yang berjaya mengadakan himpunan yang sangat besar ini.

"Kita harapakan perhimpunan pada malam ni dapat membrikan isyarat kepada semua rakyat untuk bersama dengan pakatan rakyat dan dalam pilihanraya umum ke 13 dan kita akan satu buat perubahan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid kerana membenarkan kita mengadakan perhimpunan di Stadium ini. Saya berani hadir untuk datang ke Selangor, kalau di Terengganu tidak mungkin saya akan hadir ke stadium," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang. - az