HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Januari 2010

Fenomena gerhana bulan separa


Fasa penuh gerhana bulan ini dapat disaksikan pada pukul 3.24 pagi selepas fasa peratama pada pukul 11.00 malam semalam dalam program pencerapan gerhana bulan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Lebih 1,500 pengunjung berkumpul di pekarangan Masjid Negara tengah malam tadi untuk melihat gerhana bulan separa yang bermula dari pukul 1 hingga 5 pagi ini.

Mereka melihat kejadian gerhana itu menggunakan 10 teleskop yang disediakan sempena Program Pencerapan Gerhana Bulan Separa di masjid berkenaan.

Program itu merupakan anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Masjid Negara dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Mufti Selangor dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Fasa pertama yang berlaku pada pukul 1.17 pagi dapat dilihat dengan jelas, bagaimanapun gerhana maksimum pada pukul 3.24 pagi tidak begitu jelas kelihatan akibat terlindung oleh awan tebal.

Fenomena itu dapat disaksikan kembali dengan jelas pada fasa ketiga pukul 3.46 pagi sungguhpun gerhana maksimum sudah melepasi waktunya.

Turut berada di pekarangan masjid itu ialah Pengarah Angkasa, Azreena Ahmad dan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad

Pengunjung juga berpeluang melihat planet Zuhal dan Marikh yang turut kelihatan pagi ini melalui teleskop.

Turut diadakan pada program berkenaan adalah solat sunat gerhana berjemaah dan ceramah berkaitan kejadian gerhana bulan.

Kali terakhir fenomena gerhana bulan separa dilihat di Malaysia adalah pada 17 Ogos 2008.

Bagi mereka yang terlepas menyaksikan fenomena itu, ia boleh ditonton semula menerusi laman web Angkasa di www.angkasa.gov.my.

Seorang pengunjung, Ahmad Kamal Hafis Kamarul Zamil, 18, dari Subang Jaya, Selangor, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan fenomena gerhana itu kali ini.

"Saya datang ke ibu negara hanya untuk menyaksikan fenomena ini tambahan pula pihak penganjur menyediakan teleskop bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri gerhana bulan," katanya.

Bagi Abu Turab Malik Tassaduq Abbas, 21, dia sanggup menempuh kesesakan jalan raya dari rumahnya di Setapak untuk menyaksikan fenomena berkenaan.

"Walaupun mengetahui program ini agak lewat, namun ia amat berbaloi," katanya.

Sementara itu, seorang pensyarah, Raja Azlita Raja Abdul Rahman, 30, berkata, dia begitu terpesona menyaksikan fenomena itu secara langsung.

"Saya berasa satu kelainan yang luar biasa selepas melihat fenomena ini dengan mata saya sendiri," ujarnya.

Kantin sekolah tidak boleh naikkan harga makanan

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Pengusaha kantin sekolah tidak boleh menaikkan harga makanan dan minuman sewenang-wenangnya pada sesi persekolahan yang akan bermula Isnin ini ekoran kenaikan harga gula 20 sen sekilogram.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, soal kenaikan harga makanan dan minuman yang dijual mereka tidak timbul kerana ia tidak wujud dalam kontrak perjanjian antara pengusaha kantin dan pihak sekolah.

Katanya, beliau difahamkan semua harga makanan yang dijual pengusaha kantin perlu dipamerkan, dan ia perlu mematuhi kontrak yang dipersetujui semasa pengusaha kantin itu mengemukakan tender kepada pihak sekolah.

"Saya minta guru besar sekolah menguatkuasakan (harga yang ditetapkan), jangan ada pihak yang ambil kesempatan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan forum Pemuda 1Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, kontrak yang ditandatangani antara pengusaha dengan pihak sekolah tidak menyatakan bahawa harga makanan atau minuman boleh dinaikkan selepas suatu tempoh masa dan pengusaha kantin juga tidak boleh merayu kepada pihak sekolah untuk menaikkan harga.

Ka Siong berkata, kenaikan harga gula itu mungkin ada 'kebaikan' kerana ia mungkin boleh mengurangkan pengambilan gula melampau di kalangan orang ramai demi kesihatan.

"Mungkin ada hikmahnya juga, sekiranya gula dahulunya manis sangat, sekarang boleh dikurangkan sedikit, itu satu cara yang masih boleh diterima atas nama kesihatan, tapi bukan dengan menaikkan harga barang," katanya.

Harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak, berkuatkuasa hari ini.

Jumaat, 1 Januari 2010

Jual pesawat MIG29N, sandiwara kerajaan

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR : Kenyataan terbaru Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid bahawa kerajaan belum ada keputusan yang muktamad untuk menjual pesawat MIG29N dipersoal.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar semalam menganggap kenyataan Ahmad disebabkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkritik kerajaan sebelum ini.

"28 Oktober lalu di Dewan Rakyat, (Ahmad berkata) perkhidmatan pesawat tempur MIG29N akan di tamat tahun depan (2010), tibak-tiba apabila Tun menegur dan kritik, (Ahmad) Zahid kata belum muktamad lagi," jelasnya.

Beliau menganggap, kenyataan Ahmad sekadar meredakan kemarahan Tun sahaja - yang tidak mahu pihak tertentu mengaut keuntungan komisen, sebagaimana yang berlaku dalam transaksi kapal selam Scorpene dan pesawai Sukhoi sebelum ini.

Sebagaimana kes kehilangan dua enjin jet F5E baru-baru ini, beliau mendakwa Ahmad cuba menyembunyikan niat sebenar kerajaan untuk membeli pesawat yang baru.

"Hakikat mereka sedang disembunyikan (adalah) nak jual MIG29N dan beli pesawat baru, semacam mereka sembunyikan dua injen pesawat F5E selama 3 tahun baru-baru ini," jelasnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa pihak atasan dalam Tentera Udara DiRaja Malaysia (TLDM) terlibat dalam beberapa penyelewengan tersebut.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan Mahathir supaya pesawat MIG29N itu dinaik taraf dengan kelengkapan teknologi terkini sahaja.

"kita naik tarafkan semua injin MIG29N seperti mana kerajaan India membuat perjanjian dengan Rusia (ke atas) semua MIG milik India," jelasnya.

Jelasnya lagi, perjanjian tersebut membenarkan Hindustan Aeroautics Pte. Ltd. iaitu syarikat pertahanan-penerbangan milik kerajaan India untuk mendapatkan pemindahan teknologi dalam pembikinan enjin baru MIG milik tentera udara India.

Begitu juga dengan Polond, mendapatkan kepakaran Rusia untuk menaik taraf kesemua 32 pesawat MIG29N yang dijangka siap sekitar 2012-2015.

Beliau juga menjelaskan bahawa United Kingdom turut menaik taraf pesawat-pesawat juang negaranya.

"Jet pengebom UK English Electric Canberra diguna sejak tahun 1950 hingga Perang Teluk yang pertama setelah dinaik taraf beberapa kali, sesuai dengan usianya dan modelnya," jelas.

Beberapa usaha kerajaan itu, sekali gus mendorong rakyat menganggap kerajaan membazirkan wang rakyat.

Khairy gigit jari lagi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Selepas disebut-sebut bakal menyertai kabinet, nampaknya Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin terpaksa menggigit jari apabila Perdana Menteri mengumumkan, pemimpin dari Sarawak akan menggantikan Sulaiman Abdul Rahman Taib yang meletakkan jawatan.

Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya di Kuching berkata, pemimpin dari Sarawak akan menggantikan Sulaiman sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

"Ya dari Sarawak. Kita sudah ada nama tetapi tidak boleh diumumkan lagi," kata Najib selepas merasmikan mesyuarat agung Sarawak Progressive Democratic Party's (SPDP) di Dewan Suarah 29 Disember lalu.

Sulaiman, 41, yang juga Timbalan Ketua Pemuda, Parti Pesaka Bumiputera (PBB) telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada 19 Mac 2008 lalu semasa Tun Abdullah masih Perdana Menteri.

Beliau kemudiannya dikekal dalam kabinet apabila Najib ambilalih jawatan PM pada April lalu.

Pada 4 Disember lalu, Sulaiman mengumumkan, dia telah meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri dengan alasa peribadi.

Najib kemudiannya menerima perletakan jawatan itu selepas berbincang dengan ayah Sulaiman, Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak.

Sebelum itu, Najib disebut-sebut bakal membuat rombakan kabinet dan nama Khairy disebut-sebut bakal dilantik menjadi timbalan menteri.

Sebuah akhbar politik, Siasah melaporkan di muka depannya, Khairy bakal gigit jari lagi untuk menyertai kabinet. Akhbar itu mengaitkan serangan bertubi-tubi Tun Dr Mahathir terhadap kerajaan dan Umno pimpinan Najib sebagai tanda-tanda bantahan Mahathir terhadap berita angin itu.

Ini kerana, sejak sekian lama, iaitu semasa Tun Abdullah, bapa mertuia Khairy adalah Perdana Menteri, Mahathir menjadikan Khairy sebagai sasarannya.

Selepas pemilihan Umno lalu, anak Mahathir, Mukhriz yang kalah di tangan Khairy dalam merebut jawatan Ketua Pemuda Umno telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Pemenang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim juga dilantik sebagai timbalan menteri iaitu di Kementerian Belia dan Sukan.

Namun, Khairy yang menang Ketua Pemuda tidak mendapat sebarang jawatan dalam kerajaan.

Apabila ura-ura Najib mahu membuat perubahan dalam kabinetnya, nama Khairy disebut-sebut bakal menjadi timbalan menteri. Turut melaporkan ura-ura ini adalah akhbar Umno, Utusan Malaysia.

Apabila Sulaiman meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri, nama Khairy sekali lagi disebut-sebut.

Namun dengan pengumuman Najib bahawa orang Sarawak akan menggantikan Sulaiman, Khairy nampaknya terpaksa menggigit jari lagi.

Ziarah Kasih: Ibarat doktor temui pesakit

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR : "Ingat, kita ibarat doktor, dan mereka ialah pesakit-pesakit kita. Jadi dekati mereka dengan lemah-lembut , bukan dengan cara yang agresif dan membuatkan mereka benci kepada kita."

Demikian pesanan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hasan dalam taklimatnya kepada kira-kira 100 sekarelawan 'Ziarah Kasih' sebelum bergerak mendekati pengunjung sambutan malam tahun baru 2010 di sekitar KLCC malam tadi.

Seperti tahun-tahun terdahulu, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) dan Nisa' Wilayah Persekutuan (NISAWP) mengambil inisiatif untuk 'bersama-sama' warga kota Kuala Lumpur menyambut ketibaan tahun baru.

Bezanya, jika orang ramai berkunjung ke KLCC semata-mata untuk menanti detik 12 malam dan menyaksikan percikan bunga api bernilai puluhan ribu ringgit menghiasi langit malam, mereka pula ada misi sendiri, iaitu untuk mendekati pengunjung bagi memberikan sedikit kesedaran kepada mereka agar tidak hanyut dibuai keseronokan dunia, terutamanya golongan remaja dan belia.

Malam tadi, berbekalkan beberapa risalah dakwah yang disediakan DPPP dan Nisa', kira-kira jam 10.30 malam,setelah selesai sesi taklimat, pembahagian kumpulan dan bacaan doa di Masjid As-Syakirin, mereka mula bergerak mendekati para pengunjung yang mula membajiri sekitar KLCC.

Ada pengunjung yang hadir bersama-sama keluarga, secara berkumpulan, dan tidak kurang juga anak muda Melayu yang hadir bersama-sama 'teman istimewa' masing-masing.

Seperti yang diingatkan Nasrudin selaku ketua ekspedisi, para sukarelawan menyapa dan mendekati pengunjung dengan salam dan senyuman mesra, tidak hanya mengedarkan risalah.

Nasrudin sendiri, tanpa kekok menyapa sekumpulan remaja lelaki lalu duduk bersila santai bersama-sama mereka sambil bertanya khabar dan diselitkan dengan pesanan-pesanan lembut, seperti seorang ayah menasihati anaknya.

Kumpulan remaja berkenaan tidak pula menunjukkan riak wajah marah, sebaliknya menerima kehadirannya dengan reaksi 'malu-malu'.

Nasrudin ditemani Setiausaha DPPP, Kamaruzaman Mohamad yang juga Ketua DPPPWP mendekati satu-persatu kumpulan anak muda Melayu yang pelbagai fesyen pakaiannya. Segala jenis fesyen remaja terkini yang 'up to date' dapat dilihat malam tadi.

Hasil tinjauan, rata-rata mereka masih lagi bersekolah dan tinggal bersama-sama ibu-bapa.

"Sekolah tingkatan berapa...datang ke sini, mak dan ayah tahu ke...lepas tegok bunga api, balik rumah ye..ustaz harap tak ada yang buat perangai bukan-bukan...ini ada risalah dari ustaz. Sambil-sambil tengok orang ramai, bolehlah baca."

"Baik ustaz, kami saja datang sini suka-suka, nak tengok orang ramai, nak tengok bunga api.Lepas ni kami balik."

Itu antara dialog Nasrudin dengan remaja-remaja berkenaan sebelum risalah yang dibawa bertukar tangan.

"Engkau elok baca risalah ni..Bagus ni kalau kau nak bertaubat.Kiamat kan dah dekat," terdengar juga 'gurauan nakal' seorang remaja lelaki tatkala melintasi kumpulannya.

Namun, ada juga sedikit gangguan daripada pihak keselamatan sewaktu Ziarah kasih berjalan apabila beberapa orang pemuda dari Gombak didatangi sekumpulan anggota keselamatan.

Mereka meneliti risalah yang dibawa sambil bertanya beberapa soalan. Namun, ianya dapat diselesaikan dengan baik tanpa berlaku rampasan risalah seperti setiap kali berlakunya perhimpunan aman.

Mungkin pihak keselamatan berkenaan yang semuanya Melayu, menyedari hakikat bahawa anak muda kini ketandusan peringatan berguna, dan risalah dakwah itu sedikit sebanyak dapat membantu.

Manakala risalah yang dibawa salah seorang sukarelawan Nisa' dirampas oleh pekerja keselamatan beruniform putih, tanpa sebarang sebab.

Ziarah Kasih berkenaan dihentikan pada jam 12.15 pagi, setelah para pengunjung bersorak riang melihat percikan bunga api.

Ketika para pengunjung mula berpusu-pusu beredar meninggalkan lokasi, para sukarelawan ini sempat mengedarkan risalah sebelum berkumpul semula di masjid Syakirin untuk mendengar ucapan penutup daripada Nasrudin.

"Alhamdulillah kita berjaya menjalankan amanah kita, dan saya ucapkan terima kasih kepada adik-adik yang sanggup menyertai ziarah kasih kita pada malam ini.

"Saya pasti, setiap kumpulan mempunyai pengalaman tersendiri sewaktu ziarah tadi. Ada yang disambut baik, ada yang dingin, ada yang cuba mengganggu, namun kita kena ingat, itulah cabaran yang perlu kita tempuhi untuk menyampaikan dakwah," katanya dalam ucapan penutup sebelum bersurai.

Meskipun program sedemikian dipandang remeh dan kecil oleh sesetengah pihak, namun sedikit sebanyak, ianya dapat memberikan kesan kepada pengunjung yang hadir.

Dalam kesibukan manusia mengejar keseronokan dunia, ada segelintir pihak yang sanggup turun padang demi menegakkan amar ma'ruf, nahi mungkar di Kota Metropolitan Kuala Lumpur.

Naik harga gula: 'Kapitalis didahulukan, keuntungan diutamakan'

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dicadangkan menukar tema 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kepada tema yang baru - 'Kapitalis didahulukan, keuntungan diutamakan'.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memberi cadangan sinikal tersebut sebagai respon pada keputusan kerajaan menaikan harga gula RM0.20 bermula 12 tengah malam semalam.

Beliau yang juga Ahli Perlimen Pokok Sena berharap rakyat menilai semula slogan 1Malaysia Najib dan sistem Aras Tanda Pencapaian (KPI) kerajaan yang kononnya demi kepentingan rakyat.

Selain mengkritik Najib, Mahfuz juga mendakwa keputusan yang diambil oleh Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri bukanlah keputusan terbaik demi kepentingan rakyat.

"Ia tidak bantu meningkat pendapatan rakyat, kenaikan harga gula akan tinggalkan kesan berantai pada kenaikan harga susu, tepung, roti, biskut dan barang keperluan rutin yang lain," jelasnya.

Dakwanya, kenaikkan harga gula itu mengambarkan bahawa kerajaan seolah-olah sedang mengurangkan subsidi gula dengan membiarkan pemegang permit kebenaran (AP) tertentu sahaja mengimport gula.

Tambahnya lagi, kerajaan sepatutnya melonggarkan undang-undang kastam dengan membenarkan rakyat tempat mengakses barang-barang asasi, termasuk gula untuk kegunaan rutin dari negara-negara jiran.

Dengan berbuat demikian, beliau berkata, mampu memberikan rakyat suatu tawaran harga paling minima dan murah kerana para pembekal barang-barang asasi terpaksa bersaing memenuhi keperluan rakyat.

Ianya sekaligus, memecahkan blok monopoli oleh kapitalis tertentu dan mengukuhkan blok konsumerisme rakyat di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, sebelum ini, harga sekilo gula di Malaysia dan kepulauan Borneo masing-masing adalah RM1.45 dan RM1.55.

JAIP, JAIS Tahan 81 Pasangan Disyaki Berkhalwat

BERNAMA


KUANTAN: Pelajar berusia 16 tahun adalah antara 29 pasangan ditahan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) kerana disyaki berkhalwat di hotel dan rumah tumpangan di sini sempena sambutan Tahun Baru hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIP, Ahmad Raffli Ab Malek berkata, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 55 tahun termasuk pelajar sekolah dan kolej di sini.

Dalam operasi Insaf 2010 itu katanya, kesemua pasangan ditahan di 20 buah hotel bajet dan rumah tumpangan di Jalan Wong Ah Jang, Jalan Besar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Teluk Sisek dan Jalan Stadium.

Menurutnya, seramai 30 pegawai dan anggota JAIP bersama 60 ahli Briged Cegah Mungkar yang terdiri daripada sukarelawan menyertai operasi itu mulai jam 6 pagi hingga 9 pagi tadi.

"Ada juga yang cuba terjun dari bangunan bilik hotel untuk meloloskan diri selain tidak memberikan kerjasama dan ada juga yang terlibat dalam kes berulang tetapi dicekup dengan pasangan lain pada hari ini," katanya kepada pemberita di sini.

"Siasatan awal mendapati, ada di antara mereka yang datang dari negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Terengganu untuk bertemu dengan pasangan mereka," katanya.

Selain itu, Ahmad Raffli berkata, dua orang ditahan kerana kesalahan minum minuman keras dan tiga orang atas kesalahan mendedahkan tubuh di khalayak ramai.

Sementara itu di Klang, Selangor, dua pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan antara 52 pasangan yang ditahan kerana dipercayai berkhalwat dan minum minuman keras dalam operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Mohd Hidayat Abdul Rani berkata, kesemua pasangan itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar daerah Klang, Shah Alam dan Kajang, merangkumi kawasan tasik, taman rekreasi, hotel dan pusat hiburan.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun dan mereka ditahan dalam operasi yang bermula 12 tengah malam dan berakhir kira-kira pukul 5 pagi tadi," katanya.

Selain itu, beliau berkata, hampir 100 individu yang berkelakuan tidak sopan turut dibawa ke Pejabat JAIS di Shah Alam untuk diberi kaunseling.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan akan didakwa Isnin ini di Mahkamah Syariah Shah Alam, Klang dan Kajang mengikut Seksyen 29 (1a) dan (1b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Usahawan Kosmetik Bekas Isteri Penyanyi Rock Popular Ditangkap Berkhalwat

Oleh Wartawan Hiburan Mstar


PETALING JAYA: Seorang usahawan kosmetik terkenal yang kini sedang menjalani majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan RM1.38 juta ke atas bekas suaminya seorang penyanyi rock popular di Mahkamah Tinggi Syariah yang masih lagi belum menemui jalan penyelesaian telah ditangkap berkhalwat tengah malam semalam.

Serbuan khalwat itu dilakukan di Astana Damansara Kondominium di sini setelah mendapat aduan daripada masyarakat sekeliling.

Menurut sumber yang menghubungi mStar Online, serbuan itu dilakukan oleh pihak Masjid Kolej UIA yang diketuai oleh seorang ustaz. Serbuan khalwat tersebut difahamkan dibuat pada jam 12.30 tengah malam.

"Sekitar jam 12 malam, kami ke unit kondominium yang dimaksudkan setelah mendapat maklumat daripada penduduk kawasan. Kami sudah lama menerima aduan dari penduduk dan setelah menyiasat kesahihan berita, kami memulakan operasi pada malam semalam," kata sumber itu yang hanya mahu dikenali sebagai pembaca mStar Online.

Menurutnya, seramai lapan orang terlibat dalam serbuan mencegah maksiat dan khalwat yang dijalankan pada malam tahun baru itu.

Kata sumber itu lagi, pintu unit A2 di salah sebuah blok diketuk berkali-kali bermula dari jam 12.05 malam tapi hanya dibuka selepas setengah jam kemudian.

"Mereka yang terlibat di dalam operasi itu ialah pegawai Masjid Kolej UIA yang diberi tauliah penguatkuasaan mencegah maksiat dan khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Suspek lelaki yang berusia sebaya usahawan kosmetik itu adalah seorang duda beranak tiga dan difahamkan berketurunan Indonesia. Usahawan popular itu mengaku berada berdua-duaan dalam unit tersebut.

"Mereka juga meminta maaf kepada penguatkuasa kerana berada dalam keadaan yang boleh disyaki berkhalwat," kata sumber itu lagi.

Jelasnya lagi, usahawan kosmetik itu memberi alasan beliau telah singgah ke kondo sewaan teman lelakinya itu selepas keluar makan malam.

Tujuan beliau singgah ialah untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan yang direncanakan berlangsung pada minggu hadapan.

"Pasangan itu mengaku bersalah dan jahil dalam agama," kata sumber itu.

MStar Online cuba mendapatkan pihak JAIS dan usahawan kosmetik terkenal itu berhubung insiden tersebut tetapi gagal.

Usahawan kosmetik itu adalah bekas isteri kepada penyanyi satu kumpulan rock popular tanahair yang kemudiannya menjadi penyanyi solo dan pernah memenangi anugerah juara lagu dalam kategori rock.

Mereka berkahwin dalam satu majlis penuh meriah pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor, namun bercerai talak satu pada 26 Mei 2009 selepas penyanyi berkenaan tidak lagi duduk sebumbung dengan usahawan kosmetik berkenaan.

Kini mereka sedang menjalani majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan harta berjumlah RM1.38 juta oleh usahawan tersebut ke atas suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah yang masih lagi belum menemui jalan penyelesaian.

Satu lagi proses sulh akan diadakan pada 12 Januari ini.

Pemuda Umno Bantah Kenaikan Harga Gula

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI


KUALA LUMPUR: Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Megat Firdouz Megat Junid hari ini membantah kenaikan harga gula yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam.

Megat dalam satu kenyataan media merasakan perkara ini tidak patut berlaku walaupun kenaikan sekadar 20 sen ia tetap memberi impak negatif serta kesengsaraan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Di saat dunia menjangkakan ekonomi akan beransur pulih, rakyat dikejutkan dengan kenaikan mendadak ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, Pemuda Umno berharap kenaikan harga gula dapat dibatalkan atau ditangguhkan demi menghayati konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan.

"Pemuda UUMNO sedar kerajaan Malaysia sedang mendidik rakyat agar mengurangkan pengunaan gula, tetapi dengan cara menaikkan harga gula..sebenarnya kerajaan (kementerian) membebankan rakyat," katanya.

Beliau berkata, kaedah lain boleh diambil bagi mendidik rakyat. Dalam konteks kenaikan gula mentah dunia, Pemuda Umno berharap kerajaan serta pengilang yang selama ini mengaut keuntungan, menanggung beban harga kenaikan agar rakyat Malaysia dapat menarik nafas lega meneruskan kehidupan seharian.

Katanya, Pemuda UMNO Malaysia juga berharap roti putih tetap disenaraikan sebagai bahan kawalan kerana khuatir pihak pengeluar roti akan sewenangnya menaikkan harga roti.

"Adakah roti selepas ini akan menjadi bahan makanan mewah? Rakyat Malaysia merungut, dan kami Pemuda UMNO akan sentiasa mendengar rungutan serta bersuara untuk rakyat," katanya.

Terdahulu pukul 12 tengah malam tadi, harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak yang diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom.

Menurut beliau, kerajaan turut membuat keputusan tidak akan memberi subsidi bagi roti putih mulai esok (1 Januari 2010) dan barangan tersebut akan ditarik keluar dari skim kawalan harga.

Katanya, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

Mahkamah: Larangan guna perkataan 'Allah' tidak sah

Hazlan Zakaria


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut.

Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal”.

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'.

Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.