HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Disember 2010

XPDC dakwah Gamis sambut 2011

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menjemput seluruh mahasiswa dan anak muda Malaysia bersama-sama menyertai XPDC Dakwah tahun baru 2011 di sekitar KLCC pada hari ini.

“XPDC ini adalah sebagai salah satu usaha mahasiswa Islam yang sayangkan masysrakat Malaysia terutama golongan muda yang banyak terlibat dengan aktiviti tidak sihat dan gejala sosial ketika meraikan sambutan tahun baru seperti seks bebas, minum arak dan berpakaian tidak senonoh,” ujar timbalan pengarah program, Syahirah Zulkifli.

Katanya, Gamis melalui Majlis Dakwah dan Kebajikan Nasional telah menjadikan XPDC itu sebagai acara tahunan mahasiswa sebagai usaha memberi khidmat kaunseling secara terus dari mahasiswa ke masyarakat dalam usaha membantu kerajaan mengurangkan masalah buang bayi dan seks bebas.

Dengan itu, pihaknya menjemput seluruh mahasiswa Malaysia sebagai mahasiswa yang prihatin untuk turun bersama-sama dalam program tersebut.

Tambahnya, antara agenda utama pada malam nanti adalah solat hajat di Masjid As-Syakirin KLCC, mengedarkan risalah, ucapan umum mahasiswa, forum dan khidmat kaunseling.

Mahasiswa, ujatnya diminta berkumpul di Masjid KLCC sekitar jam 6.30 petang untuk mengelakkan kesesakan untuk sampai di sana, diteruskan dengan solat Maghrib, solat hajat berjemaah sempena tahun baru, solat Isyak dan diteruskan dengan forum di masjid KLCC dan yang terakhir mengedarkan risalah.

Untuk memudahkan mahasiswa ke sana, boleh menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan LRT dan terus ke KLCC.

Tambahnya, untuk pertanyaan dan maklumat lanjut boleh rujuk di blog rasmi Gamis di www.mygamis.blogspot.com

Nasrudin sokong Teo, tegur isteri pemimpin negara

Nazri Abdullah

KUALA LUMPURs: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan menyokong pendirian Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching yang mahu meneruskan amalan melawat masjid biarpun dikritik hebat media Umno BN.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nasrudin memberitahu bahawa beliau yakin, pendirian Teo itu dibuat kerana telah mula tertambat hati dengan rumah Allah di kala sebahagian umat Islam sendiri ada yang tidak lagi berminat ke masjid atau surau.

"Saya mengalu-alukan ikrar sedemikian...Mudah-mudahan ikrar itu sebagai permulaan untuk beliau melihat dari dekat bagaimana akhlak dan cara hidup Islam yang murni serta menghakis saki baki rasa keliru terhadap agama Islam.

"Wajarlah kita bersyukur kepada Allah SWT. Saya mengucapkan selamat datang kepada beliau," katanya.

Ikrar sedemikian dinyatakan Teo ekoran kntroversi kedua menimpanya ekoran didakwa masuk ke perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan memakai baju ketat dan melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid.

Sebelum ini, kontroversi sama menimpa Teo ekoran memasuki masjid di Kajang Ramadan lalu untuk menyampaikan bantuan membina pagar masjid.

Bagaimanapun menurut Nasrudin lagi, imam dan ahli jawatankuasa masjid yang bakal dilawati oleh Teo nanti mestilah mengambil langkah pro aktif untuk memberi penjelasan dan gambaran yang tepat mengenai Islam kepada beliau.

"Namun begitu suka saya tegaskan bahawa Teo Nie Ching pula wajarlah diberitahu beberapa perkara berkaitan adab dan akhlak atau moral yang perlu dipelihara sewaktu beliau melawat atau mengunjungi masjid.

"Kerana mengunjungi masjid sebagai rumah ibadah dan tempat suci ummat Islam tentunya berbeza dengan lawatan beliau ke pasar atau rumah-rumah kediaman biasa," tambahnya lagi.

Kepada pemimpin negara yang beragama islam pula, beliau mahu mereka menunjukkan contoh yang betul khususnya dalam tatacara berpakaian agar tidak mengelirukan orang lain khususnya bukan Islam.

"Saya juga mahu menegur pemimpin-pemimpin ummat Islam, tidak kira dari mana parti dia wakili, agar tidak mendedahkan aurat atau menjaga isteri dan anak-anak mereka tidak mendedahkan aurat serta menjebakkan diri dalam kancah maksiat dan mungkar.

"Barulah ia menjadi contoh yang baik kepada masyarakat dan orang ramai seperti Teo Nie Ching . Kalau isteri pemimpin negara sendiri tidak menutup aurat, maka bagaimanalah pemimpin itu mahu menegur Teo Nie Ching? tentu ia suatu yang sangat memalukan," katanya.

SUK mula tugas angkat sumpah depan MB

Ismail Hashin

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, keutamaan beliau sekarang adalah untuk mengembalikan sepenuhnya kuasa mentadbir negeri kepada kuasa yang dipilih rakyat.

Abdul Khalid berkata, menjadi amalan biasa sebelum ini pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) terlebih dahulu mendapat penerimaan Sultan dan Menteri Besar (MB).

Tetapi menerusi isu menghapuskan kekebalan Sultan sejak 1993 oleh Umno, kuasa melantik SUK telah 'dilupuskan' daripada Sultan dan MB.

Sejak itu, jelasnya, tiada lagi kuasa sultan dan MB untuk melantik Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang selain SUK.

Namun menurutnya, dalam pada itu masih terdapat satu kuasa menteri besar iaitu, setiap SUK yang ingin memulakan tugas mesti mengangkat sumpah di hadapan MB.

Abdul Khalid menegaskan demikian dalam majlis solat hajat dan bacaan Yaasin yang diadakan di kediaman rasmi beliau di sini, malam tadi.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjamaah, ucapan dari MB dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, solat hajat, bacaan Yaasin dan solat Isyak yang dipimpin oleh Ketua Penerangan KeAdilan, Dr Mohd Nor Manuty.

"Dalam menjalankan amanah rakyat mentadbir negeri ini, membina satu pasukan terbaik adalah keperluan utama untuk sama-sama merancang dan bertukar fikiran.

"Selain itu, SUK mestilah orang yang berpengalaman, dapat berucap dan difahami rakyat, menguasai Bahasa Inggeris dengan baik terutamanya dengan pelabur.

"Paling utama juga, beliau mestilah mempunyai rasa kemesraan tentang perjuangan rakyat, mampu menjana negeri terulung di negara ini, pembangunan dan perusahaan serta sebagai negeri maju," tegasnya.

Meskipun bagi beliau, isu ini merupakan perkara kecil sahaja dalam pengurusan namun bimbang jika disalahgunakan bukan untuk membangun tetapi meruntuhkan Negeri Selangor.

Sementara itu, Khalid di dalam ucapannya berkata, Sultan sewajarnya tidak dilibatkan di dalam politik jika ingin mendapat sokongan dari keseluruhan rakyat.

Beliau juga berkata, sudah menjadi amalan sesiapa pun tidak hadir sesuatu majlis walimatul-urus jika tidak mendapat undangan hadiri kenduri berkenaan.

"Datuk Khusrin perlu faham-faham sendiri, nama beliau tidak ada dalam senarai jemputan sebagai SUK," sindirnya akhiri ucapan.

Isu senamrobik: Mais mahu panggil nazir masjid

THE MALAYSIA INSIDER

KUALA LUMPUR — Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mahu memanggil nazir Masjid Taman Cheras Jaya untuk menjelaskan kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, dengan memakai pakaian ketat dan tidak menutup aurat semasa menyertai senamrobik di pekarangan masjid baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha Mais Abdul Halem Hapiz Salihin berkata, pihaknya juga akan menyiasat mengapa tindakan wakil rakyat daripada DAP itu yang tidak menghormati adab ketika memasuki kawasan masjid tidak ditegur oleh pihak pengurusan masjid.

Sambil melahirkan rasa kesal dengan sikap Teo yang tidak mengambil iktibar daripada teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, terhadap kelakuannya sebelum ini, beliau menyifatkan wakil rakyat itu tidak menghormati baginda.

Kata beliau, tindakan selanjutnya mengenai perkara itu akan diketahui selepas mendapatkan penjelasan nazir dan melakukan siasatan.

“Sudah beberapa kali dijelaskan yang adab masuk ke masjid serta kawasan sekitarnya perlu memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.

“Tetapi sebagai pemimpin kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di kawasannya, Teo Nie Ching seolah-olah tidak peka dengan adab dan peraturan sedangkan beliau pernah ditegur sebelum ini.

“Perkara yang lebih kita kesalkan mengapa pihak masjid atau orang Islam yang bersamanya ketika itu langsung tidak menegur kelakuan beliau,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Laporan akhbar itu semalam mendakwa Teo masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya di Balakong dengan mengenakan pakaian ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid.

Menurut Abdul Halem Hapiz, tidak salah melakukan aktiviti berfaedah seperti senamrobik di pekarangan masjid tetapi biarlah mematuhi adab seperti memakai pakaian yang sesuai.

Tambah beliau, sepatutnya wakil rakyat itu dinasihatkan memakai pakaian sukan yang lebih sopan seperti berlengan panjang dan menutup kepala serta senamrobik diasingkan antara lelaki dan wanita atau lelaki di hadapan dan wanita di belakang.

Ogos lalu Teo didakwa menyampaikan “tazkirah” di dalam sebuah surau di Kajang Sentral.

Bagaimanapun jawatankuasa surau menafikan wakil rakyat itu menyampaikan tazkirah sebagaimana dipertikaikan media milik Umno dan pemimpin-pemimpin mereka.

Kelakuannya itu dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin.

Teo telah memohon maaf kepada baginda di atas perbuatannya itu.

Semalam, Teo memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan meneruskan pendekatannya menyertai aktiviti anjuran umat Islam meskipun akhbar Utusan Malaysia milik Umno terus-menerus menyerangnya termasuk yang terbaru kerana mengambil bahagian dalam senamrobik di pekarangan sebuah masjid di Balakong.

Meskipun mengakui tindakan menyertai aktiviti itu di Masjid Taman Cheras kemungkinan menjejaskan sokongan undi orang Melayu, Teo berkata, beliau akan terus menyertai aktiviti seumpama itu dalam usaha merapatkan hubungan dengan para pengundinya.

Menurut Teo dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching, acara tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

“Apabila saya mendapat jemputan daripada masjid, saya akan pergi,” kata Teo kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Jika mereka (Utusan Malaysia) terus menyerang saya tanpa asas, saya tidak akan putus asa. Ia majlis komuniti yang kecil. Ini peluang untuk merapatkan hubungan dengan pengundi-pengundi saya,” kata beliau.

Teo berkata, beliau dijemput oleh Masjid Taman Cheras Jaya untuk mengambil bahagian dalam senamrobik.

“Jika mereka merasakan okey bagi bukan Islam untuk hadir, mengapa mesti saya tutup pintu,” soal Teo lagi.

“Ia majlis dianjurkan oleh (pengurusan masjid), di pekarangan masjid,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

KP Jakim: Kami tiada kuasa bertindak ke atas lelaki mengaku ‘gay’


KUALA LUMPUR — Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menjelaskan pihaknya tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki Melayu beragama Islam yang membuat pendedahan berani dalam laman YouTube bahawa dirinya seorang “gay”.

Lelaki tersebut, berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Awan Ismail dan bekerja sebagai jurutera selain penyair dan penulis, dalam pengakuannya mendakwa dia rela membuat pengakuan terbuka seumpama itu kerana percaya seseorang itu perlu mengenali siapa dirinya yang sebenar dan berhak memberitahunya kepada orang lain.

Wan Mohamad berkata, Jakim hanya boleh mengambil langkah-langkah pencegahan bagi membendung budaya “gay” dan tidak mempunyai kuasa mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap lelaki itu.

Sebaliknya, Wan Mohamad berkata agensi-agensi penguat kuasa lain mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas individu-individu berkenaan.

“Untuk ambil tindakan undang-undang Jakim tiada kuasa, yang boleh ambil tindakan undang-undang adalah agensi penguatkuasaan seperti pihak berkuasa agama negeri dan juga polis.

“Jakim bukan agensi penguat kuasa dalam kes ini, kita hanya boleh ambil langkah untuk menyekat budaya ini dengan bekerjasama kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkaitan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Baru-baru laporan media tempatan menyebut Jakim akan mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan ekoran pengakuannya.

Bagaimanapun Wan Mohamad memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya akan menyusun langkah bagi membendung budaya “gay” yang didakwa semakin berleluasa.

“Tindakan yang kita nak ambil tidak semestinya tindakan undang-undang, kita akan ambil langkah untuk menyekat budaya ‘gay’ di negara ini.

“Kita juga mengambil langkah lain dengan menyediakan program pemulihan kepada mereka yang terjebak dengan budaya ‘gay’ ini,” katanya.

Dalam video klip sepanjang dua minit 41 saat itu lelaki terbabit juga mendakwa dia mengambil masa yang lama untuk mengenali dirinya sebelum yakin dengan apa yang diamalkan itu serta masa depan kehidupannya menyebabkan ia mendorongnya membuat pengakuan terbuka berkenaan.

Pengakuan lelaki itu turut boleh dilawati melalui pautan laman sesawang “ohbulan” yang turut menyebut jurutera itu terpilih sebagai seorang daripada peserta kempen Seksualiti Merdeka yang mendapat sokongan pergerakan It’s Get Better Project.

Keberanian lelaki itu membuat pengakuan terbuka turut mengundang pelbagai kecaman orang ramai yang turut mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap perbuatan itu yang melanggar norma manusia dan ajaran Islam.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mengarahkan Jakim memantau kegiatan kumpulan pengamal seks songsang, termasuk gay yang kini semakin berani mempromosikan gaya hidup itu secara terbuka di alam siber.

Beliau berkata, kegiatan tidak sihat itu perlu dipantau dan diambil tindakan tegas kerana perbuatan kumpulan terbabit boleh mencemarkan kesucian agama Islam dan dikhuatiri ramai yang lemah pegangan agama mudah terpengaruh.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS pusat turut menggesa semua pihak berkuasa agama setiap negeri supaya memantau kegiatan “gay” secara keseluruhan kegiatannya yang didakwa semakin berleluasa.

S'gor mohon keadilan, kuasa lantik SUK

Fadzly Esa

Kerajaan Selangor kini menyerahkan kepada Ilahi untuk "mencari keadilan dan kebenaran" dalam kemelut yang timbul rentetan dalam pelantikan setiausaha kerajaan negeri (SUK) baru negeri itu.

Usaha itu dilakukan melalui satu majlis solat hajat yang dihadiri kira-kira 100 orang di kediaman rasmi menteri besar di Shah Alam malam semalam setelah cubaan mengadakan perbincangan dengan Sultan Selangor sebelum ini menemui jalan buntu.

Bercakap dalam majlis ringkas itu, menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim berkata solat hajat berkenaan bertujuan untuk mengembalikan kuasa pemilihan SUK kepada kerajaan negeri.

"Kita mahu kuasa diberikan kepada kerajaan negeri (dan kita juga mahu) perubahan supaya Selangor telus dalam usaha mentadbir rakyat di negeri ini," katanya ketika berucap di hadapan hadirin dalam majlis berkenaan.

Tambahnya, kerajaan Selangor telah membuat persediaan untuk memastikan pemilihan pegawai SUK itu akan dapat bersama-sama memperjuangkan hasrat pentadbiran negeri tersebut.

"Calon itu mesti mengikut tatacara dan enakmen kerajaan negeri dan saya telah meminta pegawai kerajaan negeri memberi nama calon.

"Akhirnya saya telah menerima lapan nama yang layak untuk proses pemilihan jawatan itu," katanya.

'Tak tahu kena bersaing hantar nama'

Khalid berkata panel jawatankuasa temuduga itu antaranya terdiri daripada exco kerajaan Selangor Dr Hassan Ali dan Dr Xavier Jayakumar yang telah mengemukakan tiga nama kepada Sultan Selangor.

"Yang kita pilih adalah mereka yang berpengalaman dan kepakaran khususnya bidang ekonomi serta menyesuaikan diri dengan jawatan dilantik.

"Saya tak diberitahu kena bersaing untuk hantar nama," katanya yang mengulas satu kenyataan daripada Istana Selangor sebelum ini yang mengakui menerima tiga nama calon untuk mengisi kekosongan itu tetapi "sudah terlewat."

Kenyataan daripada setiausaha sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani itu juga menyebut, Sultan Sharafuddin Idris Shah telahpun memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru, seperti dilaporkan.

Turut hadir dalam program solat hajat itu ialah ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, exco kebajikan dan hal ehwal wanita Selangor Rodziah Ismail, ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengarah komunikasi pejabat menteri besar Selangor Badrul Amin Baharom.

Baju ketat: Keluarkan senarai 'OK tak OK', kata Teo

MALAYSIA KINI

Anggota parlimen Serdang Teo Nie Ching yang dihurung kontroversi terbaru berhubung isu pakaiannya di perkarangan sebuah masjid di Cheras, hari ini meminta satu senarai pantang larang disediakan berhubung perkara itu.

Wakil rakyat DAP itu berkata, ini kerana, hampir 30 tahun tinggal di Malaysia, berdasarkan pelbagai persoalan sekitar umat Islam dan bukan Islam, beliau menjadi semakin keliru.

youth convension 111210 teo nie ching"Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk surau? Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk perkarangan masjid? Sama ada orang bukan Muslim boleh baca Quran? Sama ada orang bukan Muslim boleh guna Kalimah Allah?" soalnya bertalu-talu.

"Sekiranya Datuk Seri Najib (Razak) dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain cannot be bothered untuk menjawab soalan-soalan saya, mungkin pemimpin-pemimpin MCA, GERAKAN ataupun MIC boleh mengeluarkan satu senarai 'OK Tak OK' untuk semua warga bukan Muslim negara ini?" tegasnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, selepas kontroversi memasuki surau di Kajang Ramadan lalu, Teo didakwa masuk ke perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan memakai baju ketat dan melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid.

Memetik sebuah blog, harian berbahasa Melayu itu dilapor mempersoal sama ada Islam yang diperjuangkan PAS di Selangor berbeza dengan negeri-negeri lain, seperti Kelantan yang mengasingkan kaunter bayaran berlainan jantina.

Blog tersebut, Ruang Bicara Faisal juga dilaporkan menyindir sama ada tahun depan mungkin masjid itu boleh menganjurkan pesta tari-menari dalam kawasannya sebagai sebahagian acara sambutan Maal Hijrah.

Teo: Utusan tak layak beri ajaran agama

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Teo berkata, walaupun Najib memberikan pelbagai saranan kepada media dalam sebuah konvensyen akhbar Cina pada 20 Disember, dalam masa yang sama, Utusan "memainkan isu agama dan kaum yang sempit dan bahaya."

NONE"Adalah jelas sekali bahawa Utusan Malaysia bukanlah penggalak kesederhanaan tetapi penggalak ekstremisme, tetapi adakah perdana menteri ataupun menteri dalam negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia?" katanya.

Mempertahankan tindakannya, Teo yang juga pembantu setiausaha publisiti DAP menjelaskan, tindakannya menyertai program masjid itu bertujuan merapatkan hubungan antara komuniti.

"Sudah banyak kali saya lihat orang bukan Islam menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di perkarangan masjid. Jadi, apa kesalahan saya untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di perkarangan surau ataupun masjid apabila dijemput?"

"Adakah saya salah kerana saya memang telah melanggar ajaran Islam? Ataupun sebab saya seorang ahli politik DAP?" soalnya.

Mengambil peluang itu, beliau mengkritik Utusan yang didakwanya hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman ekstremis baik aspek kaum, jantina mahupun agama.

"Saya tidak akan ikut adat yang ditetapkan oleh Utusan Malaysia ataupun Umno kerana saya percaya Utusan Malaysia tidak layak untuk memberi ajaran agama Islam," kata anggota parlimen muda itu.

Khusrin mungkin ‘ganggu’ mesyuarat exco

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor diyakini akan mengalami masalah besar dalam pentadbiran dengan perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiuasaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru.

Ini kemungkinan berlaku apabila Khusrin memainkan peranannya dengan ‘mengganggu’ mesyuarat exco seperti yang diarahkan kerajaan pusat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, perlantikan Datuk Khusrin itu sendiri mempunyai agenda khusus dari kerajaan pusat untuk membolehkan Datuk Khusrin campur tangan bagi pihak kerajaan pusat dalam membuat keputusan Mesyuarat Exco Negeri Selangor.

"Apa saja keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Exco, sepatutnya setiausaha sulit akan keluarkan arahan dan laksanakan, kemudian putuskan dalam mesyuarat.

"Ini tidak, apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat Exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan daripada mesyuarat Exco," katanya dalam satu kenyataan media.

Kejadian seperti itu, menurut beliau, tidak mustahil akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika perlantikan Khusrin diteruskan sehingga akhirnya akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjaya digulingkan oleh kerajaan pusat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut melahirkan kebimbangannya berhubung perkara itu, berdasarkan pengalamannya sendiri sebelum ini yang pernah mengetuai sebuah kerajaan yang sah yang diberikan mandat oleh rakyat pada PRU Ke-12 lalu, tetapi digulingkan oleh pihak Umno BN menerusi rampasan kuasa.

Umno BN sebelum ini telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya bertindak lompat parti dan menjadi Adun Bebas. Mereka terdiri daripada Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Kelayakan ketiga-tiga Adun itu juga masih dipertikai kerana ketiga-tiga kerusi Dun itu telah diumumkan kosong oleh Speaker Dun Perak, V. Sivakumar.

Nizar yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak turut mempertikaikan perlantikan Khusrin kerana ia merupakan satu tindakan yang jelas membelakangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana keputusan tersebut dibuat tanpa meminta pandangan Khalid terlebih dahulu.

Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai jelas tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat, walaupun semua pihak tahu, Khalid patut diberikan peluang untuk membuat keputusan untuk memilih orang yang boleh berkerja sebagai setiausaha sulitnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) menggesa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengadakan sidang mesyuarat tergempar di Majlis Undangan Negeri, bagi menolak Setiausaha Kerajaan Negeri lantikan Kerajaan Pusat.

Presiden Selproa, Abdul Razak Ismail, dalam kenyataan medianya berkata, langkah itu perlu bagi melindungi kepentingan rakyat Selangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang melaporkan pihak Istana telah meluluskan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Khusrin ke jawatan kanan itu bermula 1 Januari depan.

“Saya mencadangkan persidangan tergempar menolak perlantikan Khusrin. Kita tidak mahu Khusrin menjadi gunting dalam lipatan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, terdapat bukti manipulasi istana oleh BN berhubung perlantikan Khusrin, apabila Istana digunakan untuk menghalalkan cara oleh Umno dan BN yang mahu merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Kelantan terkilan cuti hari Jumaat

Rizal Tahir

KOTA BAHRU- Kelantan melahirkan rasa terkilan berikutan kerajaan pusat memutuskan esok, (Jumaat) sebagai cuti umum berikutan pasukan bolasepak Malaysia berjaya merangkul Piala AFF Suzuki 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan DakwahNegeri, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah, berkata tindakan kerajaan berkenaan akan merugikan beberapa buah negeri yang telah bercuti hari Jumaat.

“Mereka juga ingin merayakan skuad negara yang menang pada perlawananitu, apa lagi pemain pasukan negara juga ada orang Kelantan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung keputusan Kerajaan Pusat yang mengisytiharkan hari Jumaat iaitu esok sebagai cuti umum.

Menurutnya lagi, sepatutnya kerajaan pusat pertimbangkan untuk mengistiharkan cuti umum pada hari-hari lain.

“Kelantan tidak boleh membawa ke hadapan cuti umum berkenaan keranaianya jatuh pada hari Jumaat.

“Lainlah andainya ia jatuh pada hari Sabtu, boleh dibawa pada hariesoknya,” ujarnya lagi.

Malam tadi Malaysia berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki buat pertama kalinya setelah berjaya menewaskan Indonesia walaupun perlawanan akhir kedua malam tadi, Indonesia berjaya mengalahkan 'Harimau Malaya' 2-1.

Bagaimanapun Malaysia berjaya menggungguli kejuaraan edisi ke-14, dengan agregat 4-2.

Dalam perlawanan akhir pertama Malaysia berjaya membelasah Indonesia 3-0, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Disember lalu

"Jangan harap kepada pemimpin Semenanjung" – Marajin


sabahOleh Luke Rintod

KOTA BELUD: Seorang peguam tempatan terkemuka menggesa penduduk Sabah dan Sarawak agar tidak mengharapkan pemimpin dari Semenanjung memperjuangkan hak mereka.

Penduduk Sabah dan Sarawak patut bersatu kembali di bawah payung parti politik negeri masing-masing dan menyokong mana-mana kumpulan yang akan memenuhi permintaan mereka," kata Peter Marajin yang bertanding atas tiket bebas dalam pilihanraya umum 2008 dan memperoleh 1,700 undi.

"Kita di Sabah dan Sarawak tidak patut mengharapkan mereka untuk menyokong permintaan dan kemahuan kita walaupun ia hak negeri kita.

"Mereka akan berjuang demi hak mereka. Kita tidak boleh mengharapkan mereka dari Semenanjung untuk berjuang untuk kita di Sabah dan Sarawak," katanya kepada sekumpulan pemimpin di Dewan Mayang Sari di sini semalam.

Beliau berucap mengenai politik semasa dan senario politik masa depan Malaysia dan memberi komen mengenai parti baru, Barisan Borneo Bersatu (UBF).

Meskipun percubaan beliau untuk mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Kadamaian gagal, undi yang diperolehnya meyakinkan beliau bahawa pengundi di negeri ini mahu menentukan sendiri masa depan negeri mereka.

Beliau berkata rekod masa lalu dan dewasa ini menunjukkan hampir keseluruhan pemimpin dari Semenanjung tidak boleh diharap untuk mendapatkan sokongan dalam isu hak Sabah dan Sarawak.

Kegagalan pemimpin pusat

Marajin 56, yang mempunyai firma guamannya sendiri di Kota Kinabalu berkata hujahnya adalah berdasarkan kepada kegagalan pemimpin pusat selama 47 tahun untuk menghormati dan memahami keperluan penduduk di kedua-dua buah negeri ini.

Marajin berkata tidak ada kefahaman dan rasa hormat menyebabkan Sabah menjadi negeri termiskin di Malaysia hari ini.

Walau bagaimanapun beliau percaya masih ada peluang untuk memperbetulkan perkara ini kerana pilihanraya umum ke 13 akan datang tidak lama lagi.

"Tedapat 222 kerusi parlimen di Malaysia: 57 di Sabah dan Sarawak, termasuk satu di Labuan. Ini bermakna ada 165 kerusi untuk direbut oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

"Jika Pakatan mengekalkan kuasa di 83 kerusi, parlimen akan tergantung kerana BN hanya ada 82 kerusi. Sejumlah 57 kerusi dari Sabah dan Sarawak akan menentukan siapa yang akan memerintah negara ini.

Parti sendiri diperingkat negeri

"Kini sudah tiba masanya untuk kita di Sabah dan Sarawak untuk mempunyai parti sendiri di peringkat negeri, yang benar-benar berjuang untuk mewakili kita di peringkat persekutuan.

Dengan permintaan kita yang sah, kita boleh mendapatkan perjanjian bertulis dari parti bersekutu di Semenanjung (PR atau BN) untuk memenuhi permintaan kita.

"Kita tidak boleh menggunakan perjanjian secara mulut sahaja," kata beliau. Marajin, seorang bekas anggota PKR kini merupakan ahli majlis tertinggi Parti Progresif Sabah (SAPP) berkata pengundi di Sabah dan Sarawak mesti menyedari akan kuasa yang mereka miliki untuk membentuk atau menghancurkan kerajaan.

Beliau menambah parti politik negeri di bawah BN atau PR sudahpun menggadaikan hak negeri mereka.

"Jika kita terpedaya kepada janji dan kata-kata manis pemimpin Semenanjung dalam pilihanraya umum ini, kesusahan kita akan berterusan… kita akan kekal menjadi penduduk paling miskin di negara ini," kata beliau.