HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Mac 2011

PAS Hina Pengundi DUN Kerdau

TEMERLOH: Tindakan PAS mempertikaikan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau disifatkan sebagai satu bentuk penghinaan terhadap pengundi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizal Abdul Jalil berkata, PAS telah merendah-rendahkan tahap pemikiran pengundi apabila melabelkan projek pembangunan sebagai rasuah untuk memancing undi.

"PAS ingat rakyat tak ada kebijaksanaan, mereka tidak sedar bahawa rakyat sememangnya mahukan pembangunan, keamanan dan perpaduan.

"Tindakan PAS itu adalah satu penghinaan kepada pengundi kerana mereka rasa seolah-olah pengundi tak boleh berfikir," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Salam Sayang bersama komuniti Cina dan India di Pekan Kerdau di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai modal kempen pembangkang di DUN Kerdau terutama dalam siri ceramah mereka bahawa BN cuba memancing undi apabila meluluskan banyak projek di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut Shahrizat berkata, sikap pembangkang yang suka menabur fitnah sewaktu berkempen pada pilihan raya merupakan amalan biasa kerana terdesak untuk mendapatkan sokongan.

"Fitnah adalah makanan utama pembangkang, rakyat pun dah tahu dah.

"Berbeza dengan kerajaan, apa yang kerajaan buat adalah untuk membantu rakyat dan kita tidak memfitnah pembangkang...itu bukan cara kita," katanya.

Tambah beliau, pembangkang sepatutnya tidak merendah-rendahkan pemikiran pengundi kerana beliau percaya rakyat Malaysia walaupun berada di kawasan luar bandar akan memilih sebuah kerajaan yang mampu membela nasib mereka.

"Walaupun mereka fitnah macam-macam, tapi rakyat tidak akan terpengaruh.

"Rakyat sentiasa fikir mengenai nasib dan masa depan anak-anak mereka, saya percaya mereka akan memberi undi kepada BN," katanya.

Memang Mahathir Pengkhianat Melayu

MSO

HUSAM Musa telah menulis didalam blognya mengemukakan beberapa bukti menunjukkan Mahathir Mohamad sebagai pengkhianat kepada bangsa Melayu. Tentu orang Umno dan para pengkagum bermata satu Mahathir akan marah dengan Husam dan akan mencemuh saya habis-habisan. Mungkin mereka yang otat kemetot akan nanar.

Mereka yang memandang kepada puncak bangunan berkembar Petronas (KLCC) tidak akan nampak akan kejahatan dan kejelekkan Mahathir. Mercu tanda itu akan dijadikan kehebatan dan kecemerlangan Mahathir dalam membantu negara ini. Kehebatan pembangunan duniawi ciptaan Mahathir akan melindungi segala dosa dan nodanya.

Selalu begitulah yang kita dengar, kehebatan Mahathir diukur dengan pembangunan material yang diilhamkannya. Tetapi kita tidak pernah soal dan tanya bagaimana dengan pembangunan manusia. Macam mana dengan pembangunan bangsa, pembangunan budaya, pembangunan agama dan sebagainya lagi.

Antara bukti menunjukkan Mahathir pengkhianat Melayu yang didedahkan Exco Kelantan itu ialah, Mahathir dengan sengaja mendaratkan gas dari perairan Kelantan di Songkhla, Selatan Thailand yang jaraknya lebih 270 km berbanding kalau didaratkan di Kelantan cuma 150 km. Inilah kecerdikan dan kejahatan Mahathir.

Kalau tidak jahat dan menganiaya orang Melayu kenapa beliau rela menaikan gas itu di Songkla? Katanya tindakan Mahathir itu satu perbuatan terancang yang memberi kesan kepada orang Melayu. Sesiapa pun tidak akan dapat memberi alasan untuk membela Mahathir atas perbuatan jahatnya itu. Tetapi Mahathir licit dia akan bermain dengan kata-kata seperti mana perlunya jambatan bengkok di Johor.

Tidaklah pula saya tahu apakah Mahathir tidak tahu menghitung, mana yang lebih dekat dan ekonomik didaratkan di tempat yang jaraknya 150km dengan tempat yang nun jauh lebih 200km? Apakah ketika membuat keputusan itu Mahathir terlupa makan ubat seperti mana kata Nik Aziz. Memang kalau seseorang ada penyakit jika tidak diambil ubat besar risikonya.

Bukti pengkhianatan lain Mahathir kepada Melayu kata Husam ialah apabila Matahthir tidak membayar royalti hasil gas dan minyak di perairan Kelantan serta menafikan pendapatan pembangunan hiliran. Manakala bukti lain pengkhianatannya apabila Mahathir membatalkan pemberian royalti minyak kepada kerajaan Terengganu apabila negeri itu diperintah oleh Pas.

Kata Husam mengapa Mahathir dikatakan pengkhianat Melayu kerana kedua negeri itu, Kelantan dan Terengganu adalah negeri Melayu, di mana 95% penduduknya berbangsa Melayu.
Apa lagi hendak dinamakan kalau tindakan-tindakan sebegitu baik atas alasan apa sekalipun, kalau tidak dinamakan pengkhianat Melayu? Memang jahat!

Saya bersetuju sangat dengan pendapat Husam itu. Saya konfius apakah sanjungan sesetengah pihak kepada Mahathir tepat ataupun sebaliknya. Kalaulah dengan tindakan sebegitu dilakukan saya tidak tahu mereka yang menyanjungi beliau sampai nak terberak, menilai menggunakan kanta pembesar berwarna apa? Sebab itu semasa para pemimpin Pas mengelilingi dan memuja Mahathir di satu majlis di Taman Melawati saya mengkritik perbuatan itu. Awal lagi saya mengatakan tindakan pemimpin Pas termasuk juga Husam silap kerana telah mengangkat semula Mahathir yang pada masa itu sudah hina kerana terjatuh dalam jambatan selepas berundur jadi PM.

Tetapi malangnya pemimpin memberi pertolongan, memuja balik Mahathir sama meraikan bekas PM itu dalam satu majlis makan malam di Kota Bharu. Selalunya kebenaran itu akan hadir di hujung waktu setelah kebatilan bermaharajalela.

Sebenarnya pengkhianat Mahathir bukan di situ saja. Apa yang dilakukan ke atas Kelantan dan Terengganu itu pengkhianatannya kurba terhadap Pas. Tetapi dalam konteks Umno sendiri juga Mahathir tidak terkecuali. Sedar atau tidak dia banyak melakukan pengkhianatan yang akhirnya menjadi Umno huru hara. Permasalahan dihadapi Umno kini adalah kesenimbungan daripada sikap diktator demokrasi yang menjadi amalan Mahathir.

Beberapa sejarah telah dicatat mengenai pengkhianatan Mahathir ini. Antaranya tindakan beliau mengharamkan Umno kemudian menubuhkan Umno baru, adalah sejarah terbesar. Mahathir sanggup melakukan apa saja demi mengekalkan kedudukan dan kekuasaannya. Beliau tidak memikirkan soal kesejahteraan Umno - Melayu tetapi apa yang diutamakan untuk dirinya dulu.

Akibat pengharaman Umno semua orang tahu akan kesannya. Tengku Razaleigh Hamzah terpaksa menubuhkan Semangat 46 untuk menyelamatkan orang Melayu. Kerana penubuhan itu akhirnya menjadikan Umno berontakan sesama sendiri. Tetapi Tengku Razaleigh seorang yang naif dalam menterjemahkan aksi politik. Selepas itu beliau kembali bersama Mahathir semula dengan harapan Mahathir memberi anugerah kepadanya. Wal hasilnya Tengku Razaleigh terus kena tipu oleh Mahathir.

Hal yang sama terjadi sekali lagi dalam tahun 1998 apabila Mahathir pecat Anwar Ibrahim dari Umno. Kerana tindakan Mahathir untuk mengekalkan kuasa dan mempertahankan kebobrokkan, akhirnya Melayu Umno berpecah dua. Keadaan yang wujud hari ini adalah kesan daripada tindakan politik sadis Mahathir Mohamad.

Saya yakin kalau Mahathir tidak rakus dan khianat kepada orang Melayu dan Umno, kehormonian di kalangan Melayu di negara ini akan tercapai. Kesimpulannya perpecahan Melayu baik di dalam Umno dan diluar Umno Dr Mahathir juga mempunyai saham, malahan beliaulah yang memegang golden sheir

Terima Kasih: Polis Kedah Beri Minuman Percuma Kepada Pesalah Trafik

BERNAMA

ALOR SETAR – Sejumlah RM4.85 juta saman telah dijelaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sejak November 2010 sehingga semalam, kata Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan.

Beliau berkata selepas kerajaan mengumumkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk bayaran pelbagai jenis saman, IPD itu menerima bayaran kira-kira RM363,000 pada bulan November, dan menjelang Disember, jumlah saman yang dijelaskan adalah RM2.004 juta.

"Jumlah saman yang dikumpul pada bulan Januari tahun ini kira-kira RM831,000 dan bulan ini sehingga semalam, kita telah menerima bayaran saman sebanyak RM1.653 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.

Adzaman berkata sejak dua minggu lepas, kaunter bayaran dilanjutkan sehingga 6 petang berbanding pukul 5 petang sebelum ini, selain dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu bagi memudahkan orang ramai menjelaskan saman.

"Kita juga turut memasang khemah di luar kaunter bayaran saman, dan semalam kita memberi air minuman kepada pesalah trafik yang datang membayar saman kerana keadaan cuaca di sini sangat terik,” katanya.

Bahan Cetak Kempen Pihak Kerajaan Merata2 Di PRK Kerdau Dan Merlimau.... Bagaimana Dengan PAS??

SEDAKA SEJAHTERA

Setenang-tenang air di lautan, jangan disangka tiada buaya.

Begitulah boleh diibaratkan tentang keadaan kempen dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau yang sudah masuk hari keempat.

Walaupun sekali imbas, kempen kedua-dua calon bertanding - Syed Ibrahim Syed Ahmad daripada BN dan Hassanuddin Salim daripada PAS - nampak tidak terlalu agresif, perkara sebaliknya berlaku dalam perang psikologi sesama mereka.

NONEDalam pusingan pertama ini, nampaknya BN lebih berjaya menarik perhatian dan memancing emosi sejumlah 8,999 pengundi di kawasan DUN itu melalui risalah tertentu.

Selain tabloid Suara Kerdau, Debat Rakyat, Khabar Pahang yang memuatkan penjelasan tentang isu yang dibangkitkan lawannya, terdapat juga majalah yang memaparkan 105 kejayaan Felda dan bahan kempen yang menghentam Hassanuddin dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Debat Rakyat misalnya memfokuskan tentang trend sokongan pada BN dalam 14 pilihan raya kecil sebelum ini dan menjawab hujah dalam dasar bersama Pakatan melalui "Buku Jingga" yang dipersetujui PKR, DAP dan PAS.

20 takrifan PAS


Bagaimanapun terdapat juga ruangan nakal dalamnya, seperti teka silangkata yang secara tak langsung mempermain-mainkan dan sinis kepada pembangkang dan pemimpinnya.

Akhbar 28 halaman itu antaranya meminta pembaca meneka jawapan dan mengisi tempat kosong bagi beberapa kenyataan seperti:

  • Anwar bijak ______ pengikutnya walaupun kebenaran terbongkar.
  • PKR janji ______ kuasa tetapi berebut kuasa.
  • Parti perkauman paling teruk di Pulau Pinang.
  • Dulunya PAS guna ______ untuk kempen parti. Sekarang PAS untuk sewa.
  • PARTI KELENTONG RAKYAT.
NONETabloid tanpa nama penerbit dan pencetak itu juga memberikan 20 takrifan kepada PAS dengan menggandingkannya dengan gambar pemimpin Pakatan.

Antaranya Putar Alam Semulajadi (dengan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim), Pemimpin Ajaran Sesat (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Puas Aku Sekarang (Lim Guan Eng), Perosak Akhlak Saja (Elizabeth Wong) dan Pelawak Ala Senario (Mohamad Sabu).

Suara Kerdau pula mengambil pendekatan memperkenalkan calon BN dan melaporkan aktiviti mereka sekitar pilihan raya kecil ke-15 itu dan menjawab kritikan PAS.

Manakala Khabar Pahang lebih untuk menceritakan usaha pembangunan oleh kerajaan BN di negeri Datuk Bahaman itu.

Sementara itu, di pihak PAS pula kelihatan tidak begitu rancak dengan risalahnya berbanding BN. Bagaimanapun bahan yang diedarkannya kelihatan lebih ilmiah dan kurang beremosi.

Timbulnya 'buaya' dalam lautan tenang


Bermula dengan pengedaran Buku Jingga dan ringkasannya pada hari pertama kempen, PAS juga mengambil inisiatif mengeluarkan bertajuk Gerhana dalam Pemerintahan Umno/BN Negeri Pahang.

Buku setebal 53 halaman itu, yang juga dikenali sebagai "Buku Kuning" di kalangan petugas PAS bagaimanapun menghimpunkan semula Laporan Audit Negara terhadap agensi kerajaan di Pahang yang didakwa berlaku banyak kelemahan.

NONEMenyedari betapa getirnya undi Melayu di kawasan di mana 88.79 peratus pengundinya daripada kaum itu, PAS juga menerbitkan risalah menjelaskan 15 peristiwa yang menempelak Umno dan BN sebagai "memperlihatkan seolah-olah mereka tidak belajar adab dan tatasusila Melayu".

Ia antaranya menyenaraikan 15 'insiden' pemimpin Umno dan Raja-raja Melayu semenjak tahun 1920 lagi apabila pengasas Umno Datuk Onn Jaafar didakwa dibuang dari Istana Johor kerana mengkritik Sultan dalam isu harta.

Belum ada tabloid kelihatan dikeluarkan oleh pihak PAS, mungkin kerana mereka lebih bergantung kepaada ceramah yang diadakan saban malam bermula 26 Februari lalu apabila kedua-dua calon disahkan bertanding.

Bagaimanapun, memasuki hari keempat berkempen, 'kepanasan' itu dilihat mula naik ke permukaan apabila BN mula mendirikan lebih banyak papan besar ala papan iklan di pelbagai tempat strategik di jalan-jalan dalam kawasan seluas 273 km persegi itu.

Manakala PAS pula mula menyaingi lautan biru bendera BN dengan kehijauaan benderanya. Banyak lagi 'buaya' dalam lautan tenang timbul keluar ke permukaannya apabila tempoh berkempen masuk pusingan kedua tidak lama lagi.

Sogokan Mee Segera: Mengapa SPR membisu?

Hafiz Zainuddin

Sebelum pergi kepada isu yang akan saya sentuh, mari kita imbas antara bajet yang diperuntukkan kerajaan Malaysia untuk pembangunan ekonomi negara meliputi perindustrian, pertanian dan infrastruktur sepanjang tempoh lebih separuh dekad ini.

Bajet 2005 antara lain menyebutkan sebanyak 49.1% peruntukan untuk pembangunan. Ini bererti sejumlah RM13.9 bilion telah disediakan bagi sektor ekonomi dalam menampung keperluan infrastruktur, pertanian dan perindustrian.

Dalam Bajet 2007 pula, kerajaan di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi telah memperuntukkan sebanyak RM3.4 billion untuk pembangunan luar Bandar antaranya melibatkan projek pembinaan jalan, bekalan air dan elektrik. Ia turut melibatkan perkembangan pendidikan pra-sekolah di bawah KEMAS, kegiatan masyarakat dan latihan kemahiran. Jumlah keseluruhan bajet 2007 yang diperuntukkan kepada sektor ekonomi melibatkan sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur ialah RM20.8 billion manakala bajet pada tahun 2008 pula adalah sebanyak RM20.6 billion diperuntukkan untuk sektor-sektor tersebut.

Manakala Bajet 2009 telah memperlihatkan peningkatan lebih RM7 billion. Secara keseluruhannya, bajet ini memperuntukkan RM27.8 billion untuk pembangunan sektor ekonomi yang merangkumi sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur.

Kerajaan dilihat terus memberi penekanan serius dalam mempertingkatkan pembangunan negara. Bajet 2010 telah memperlihatkan sejumlah RM25.4 billion diperuntukkan walaupun mencatatkan pengurangan lebih RM2 billion. Peruntukan-peruntukan kepada pembangunan ekonomi melibatkan infrastruktur dalam bajet yang dibentangkan memperlihatkan usaha kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup dan ekonomi rakyat.

SPRM: Penubuhan yang sia-sia

Isu pada kali ini kita akan memberi fokus kepada beberapa perkara penting yang mungkin telah kita terlepas pandang dan lupakan. Isu ini adalah antara isu yang sangat penting dalam pembentukan sebuah negara yang berintegriti dan telus. Berintegriti dan telus boleh diertikan dengan keberkesanan urus tadbir dan bebas rasuah. Apa pula kaitan bajet-bajet berkenaan dengan isu integriti dan rasuah?

SPRM telah ditubuhkan sejak zaman Abdullah Ahmad Badawi untuk memerangi gejala rasuah secara lebih meluas dan bebas dalam mewujudkan urus tadbir yang telus dan berkesan. Apakah rakyat boleh katakan bahawa objektif SPRM tercapai sejak penubuhannya?

Melihat kepada siri-siri berita jam 8 di RTM1, semestinya kerajaan pimpinan Najib diperlihat sangat cakna terhadap masalah rakyat, berintegriti dan telus dalam menjalankan tanggungjawab termasuk memerangi rasuah. Soalan pertama saya; sejauh mana rakyat yakin kepada ketelusan dan integriti pentadbiran Najib? Teluskah pentadbiran Najib apabila indeks CPI Malaysia berada pada skor 4.4 di tangga ke-56 pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 berada pada skor 4.5? Apakah ertinya semua ini?

Terus terang saya katakan bahawa usaha kerajaan dalam memerangi rasuah tidak akan mencapai matlamat yang diingini walaupun kerajaan dilihat bersungguh menaik-taraf BPR kepada sebuah suruhanjaya, SPRM. Usaha memerangi rasuah digambarkan sebagai menyeluruh tetapi hasilnya ala-kadar, bersifat kosmetik dan berpilih-pilih. Saya percaya, anda juga akan bersetuju dengan saya. Rakyat dipertontonkan malah muak dengan siri-siri penangkapan "ikan bilis" manakala "jerung-jerung" besar masih bebas dan mengganas. Rakyat juga tidak terkejut dengan timbunan fail-fail berprofil tinggi yang masih "dalam siasatan" dan ada pula yang sudah mulai "mereput"- malah, sejak sekian lama, ia telah pun menjadi rahsia umum.

Isu rasuah bukan cuma melibatkan pemberian kontrak kepada kroni-kroni, sampul bawah meja di pejabat-pejabat maupun di kopitiam-kopitiam, antara pesalah trafik dan pihak berkuasa, hadiah melancong ke Batam seumpamanya ataupun hamper dan seperti yang kita sedia maklumi. Isu rasuah juga boleh menjadi sebuah "cara hidup"-gaya hidup yang boleh menjamin kemewahan. Seperti sumpah-sumpah, rasuah mampu mencorak dirinya mengikut tempat dan keadaan!

Integriti dan jalan kampung yang tak pernah sempurna?

Seperti kebiasaan, rasuah juga berlaku secara berleluasa semasa pilihan raya. Saya sangat tertarik dengan isu rasuah semasa pilihanraya memandangkan tahun 2010 dan 2011 telah menyaksikan banyak pilihan raya kecil diadakan. Sehingga saat ini Kerdau dan Merlimau sedang menyaksikan persaingan sengit siapa yang akan merangkul juara sebagai YB nanti. Banyak projek kononnya untuk "memperkasa ekonomi rakyat" dilancarkan, banyak jalan-jalan kampung yang diturap. Malah jalan yang masih elok tetap juga diturap. Buldozer dan lori pasir mula masuk kampung. Episod-episod drama sedang bermula, inilah medan untuk berlumba-lumba membuat kebajikan.

Mari kita imbas kembali ketika berlangsungnya proses kempen di Pilihanraya Kecil di Galas. Selain dituduh merasuah syurga kepada para pengundi (isu evergreen), sosok kerdil Nik Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan ini juga dituduh merasuah beberapa warga orang asal dengan wang sebanyak RM300 walaupun ia merupakan wang zakat. Relevan atau tidak pemberian wang zakat semasa pilihan raya kecil di Galas bukan isu yang ingin saya bawakan.

Mengulas isu "rasuah zakat" ini, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar berkata, mengikut tafsiran undang-undang, pemberian wang kepada pengundi yang boleh mendorong mereka mengundi adalah rasuah. Ia juga boleh ditafsir sebagai membeli undi yang mana perkara ini jelas diletakkan di bawah tajuk sogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Bahagian III.

Mari kita lihat salah satu kandungan akta tersebut di bawah tajuk "Penyogokan":

Orang-orang yang berikut hendaklah disifatkan sebagai bersalah atas kesalahan menyogok:

(a) tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberi, meminjamkan atau bersetuju untuk memberi atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan, apa- apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain.

Persoalan penting yang harus diselesaikan

Persoalan demi persoalan timbul. Sekiranya Menteri Besar Kelantan dituduh "menyogok", apa pula istilah yang sesuai untuk Najib yang baru beberapa hari lepas meluluskan RM10 juta bagi pembangunan Kerdau. Dan apa pula istilah untuk peruntukan RM500,000 untuk pembinaan dewan serbaguna di tokong Yong Hock Kiong di Labis semasa pilihanraya Tenang baru-baru ini. Ini cuma sebahagian kecil fakta yang diketahui. Banyak lagi "peruntukan-peruntukan khas" telahpun diumumkan sepanjang berlangsungnya pilihanraya-pilihanraya kecil ini. Ya. Secara terang-terangan. Rakyat semakin musykil; dari manakah pula peruntukan untuk projek mee segera ini datang?

Selain itu, saya ingin mengajak anda untuk berfikir. Bagaimana pula dengan sejumlah peruntukan besar dalam bajet-bajet Malaysia semenjak tahun 2005 sehingga 2010 yang memberi tumpuan utama kepada pembangunan infrastruktur luar bandar seperti yang telah saya senaraikan di atas.

Apakah bajet-bajet tersebut dilihat tidak berjaya membangunkan kawasan luar bandar sehingga menyebabkan kerajaan menjanjikan pelbagai projek mee segera semasa pilihanraya kecil? Maka, apakah pula rasional projek mee segera ini ketika pilihanraya kecil? Atau kita boleh labelkan sahaja sebagai "sogokan" yang bertujuan memancing undi. Kalau begitu, ternyata Najib telah melakukan rasuah pilihan raya bukan? Mana dia suara-suara meminta SPRM untuk menyiasat Najib? Sejauh mana integriti rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan isu rasuah pilihanraya ini?

Saya tidak mahu mengulas mengenai isu "projek mee segera" ini. Ia telahpun diulas banyak pihak. Isunya ialah kenapa SPR mendiamkan diri? Kenapa Wan Ahmad membisu? Perkara ini jelas menunjukkan SPR berat sebelah. Dalam ertikata lain; SPR telah diperalatkan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka. Inilah yang dipanggil sebagai double standard. Isu-isu yang melibatkan pilihanraya seringkali mencerminkan sikap SPR yang diragui dan hilang integritinya.

Kebangkitan Gelombang Kuning

Sejak sekian lamanya, kelemahan SPR inilah yang memberi inspirasi kepada Penubuhan gabungan BERSIH yang berjuang mendesak SPR untuk memenuhi tuntutan agar pilihanraya dijalankan secara bersih dan adil sehingga tercetusnya kebangkitan "gelombang kuning 100,000 rakyat" pada 10 November 2007 yang lepas. Gelombang ini telah memberikan impak besar kepada lanskap politik negara.

Keadaan perjalanan pilihanraya kecil yang semakin dicemari kekotoran dan manipulasi sejak akhir-akhir ini membawa erti sistem pilihanraya perlu diubah dan BERSIH sekali lagi memainkan peranan mereka dalam mendesak SPR agar bersikap adil dan professional. SPR harus bebas dari tekanan mana-mana pihak. Sistem demokrasi harus diberi keutamaan. Saya berpendapat, selagi SPR tidak mereformasikan sistem pilihanraya yang ada dan sanggup menjadi boneka BN, selagi itu mungkin ada kewarasan untuk BERSIH mengulangi sejarah yang pernah dicipta.

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Ali Rustam Tiru Gaya Najib Di Sibu

TVS NEWS

SHAH ALAM : Kerajaan Barisan Nasional di Melaka dianggap sebagai hipokrit apabila meletakkan syarat kepada rakyat supaya mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya kecil Merlimau, jika mahu bantuan disalurkan kepada mereka.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang berkata kerajaan akan memberi keutamaan kepada penyokong BN dalam memberikan apa jua bentuk bantuan.

"Melihatkan bahawa beliau (Ali Rustam) tidak memahami makna kerajaan dan dalam masa yang sama ini kenyataan yang bersifat hipokrit atau hipokrasi kerana di dalam masa yang sama masih lagi menggunakan slogan rakyat didahulukan tetapi meletakkan pula syarat dalam PRK Merlimau ini, sekiranya BN menang barulah mereka akan membantu rakyat,"katanya.

Menurut beliau, strategi yang digunapakai oleh Ali itu pernah dipraktikkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu meraih undi pada pilihanraya kecil Sibu tahun lalu.

Namun ujarnya, kenyataan itu akan digunakan sebagai pendekatan kepada PAS untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri Merlimau.

"Kenyataan yang penuh kebebalan ini menunjukkan bahawa mereka sudah terdesak dan menggunakan pendekatan seperti di Sibu di mana Perdana Menteri telah menyatakan "I'm help you, you help me" dan Ali Rustam pula menggunakan pendekatan seperti itu, saya kira akan memberi kelebihan kepada Parti PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK Merlimau," tambah beliau.

Katanya lagi, diskriminasi yang ditunjukkan kerajaan Umno-BN ini jelas menujukkan slogan yang dibawa tidak selari dengan apa yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat, di mana kebajikan rakyat hanya diberi perhatian menjelang pilihanraya atau pun apabila BN menang di kawasan terbabit.

"Kalau dahulu mereka popularkan slogan Rakyat Didahulukan tetapi dengan kenyataan Ali Rustam ini menunjukkan bahawa sebenarnya slogan itu hanyalah retorik politik yang bertujuan untuk memancing undi tapi tidak diamalkan malah dinyatakan dengan jelas secara terperinci bahawa rakyat hanya akan didahulukan sekiranya BN memenangi pilihanraya,"ujar beliau.

Malam semalam, Ali dalam ceramahnya berkata, beliau tidak mungkin dapat bekerja keras jika penduduk mengundi calon PAS, Yuhaizad Abdullah pada pilihan raya kecil Merlimau, 6 Mac ini.

Tambah Ali lagi, kerajaan negeri pimpinannya akan terus memberi keutamaan bantuan jika rakyat terus memberi sokongan kepada BN.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 orang di Kampung Lipat Kajang, Merlimau.

'Tawaran Baru' Muhyiddin, Cedok Idea Buku Jingga-Abdullah Sani

TVS NEWS

SHAH ALAM : Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid melihat Kerajaan Barisan Nasional (BN) kini sudah ketandusan idea sehingga terpaksa mencuri dasar Buku Jingga Pakatan Rakyat untuk dijadikan sebagai "gula-gula" kepada rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

"Mengapa harus ambil item yang telah dibuat dalam buku jingga untuk dijadikan sebagai panduan? Ini menunjukkan bahawa sekarang ini tahap mereka sebagai pencuri dan tidak tahu membuat kerja, meniru orang dan mengambil dasar orang untuk dijadikan dasar mereka," kata Abdullah.

Menurut beliau, tindakan Umno-Bn itu sekaligus membuktikan bahawa dasar yang direncanakan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga itu dapat dilaksanakan jika menawan Putrajaya kelak.

"Ini saya lihat sebagai mencuri dan meniru buku jingga dan kita yakin buku jingga ini merupakan satu transformasi dan dasar yang jelas kepada rakyat untuk mengangkat wacana martabat rakyat," jelasnya kepada Tv Selangor.

Perkara ini sekaligus menyangkal dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa negara akan bangkrap jika Pakatan Rakyat menaikkan gaji mahupun insentif kepada pendidik di negara ini.

"Kerajaan Barisan Nasional telah berada dalam kegelapan, ketakutan yang jelas menunjukkan bahawa mereka sekarang berada di hujung tanduk kehancuran mereka sendiri,"katanya.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan lagi ganjaran “tawaran baru” bernilai RM18.4 juta kepada pengetua dan guru, yang telah mempamerkan prestasi cemerlang melepasi sasaran Bidang Hasilan Utama Nasional (NKRA).

Timbalan presiden Umno itu berkempen bagi calon BN pada pilihan raya kecil Merlimau dan menggunakan kesempatan untuk mengumumkan ganjaran atas kapasitinya sebagai menteri pelajaran.

Kandungan tawaran itu menyebut, seramai 586 pengetua dari seluruh negara bakal menerima ganjaran sebanyak RM7,500 seorang diikuti sebanyak lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru di sekolah terbabit akan menerima RM1,800 manakala baki guru lain mendapat RM900.

Skim baru ini sebahagian daripada dana RM2.492 bilion yang disalurkan kepada sekolah dan jabatan-jabatan pelajaran di seluruh negara, dilihat sebagai satu lagi usaha kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Perak lancar dinar, dirham

BERNAMA

IPOH – Kerajaan Negeri Perak hari ini melancarkan Dinar Emas dan Dirham Perak, khusus untuk simpanan dan pelaburan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata dinar dan dirham itu mempunyai kandungan 99.9 peratus emas dan perak iaitu bersamaan emas 24 karat.

Beliau berkata dinar dan dirham berkenaan lebih berkualiti jika dibandingkan dengan produk pertama yang dihasilkan tokoh ilmuwan Islam Abdul Malik ibn Marwan pada tahun 75 hijrah iaitu 1,357 tahun lalu yang mengandungi 97 peratus kandungan bahan.

“Tetapi ini (dinar dan dirham) bukanlah berbentuk mata wang tetapi sebagai instrumen baru sebagai simpanan dan pelaburan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Dinar Emas dan Dirham Perak di sini hari ini.

Dr Zambry berkata pengeluaran dinar dan dirham berkenaan yang telah dibincangkan sejak tahun 2005, dikeluarkan Goldnet International Sdn Bhd (Goldnet), sebuah syarikat usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Katanya, sebagai permulaan sebanyak 1,000 keping dinar emas dan dirham perak telah dicetak dan akan dipasarkan melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) dan Nusantara Bullion Exchange (Nubex Sdn Bhd).

Ia membabitkan empat jenis instrumen iaitu setengah dinar emas seberat 2.125 gram dengan harga RM345, satu dinar emas seberat 4.25 gram pada harga RM690 dan dua dinar emas seberat 8.5 gram pada harga RM1,380 manakala set dirham perak dijual pada harga RM260.

Pada muka hadapan instrumen itu dicetak dengan lambang kerajaan negeri Perak manakala di bahagian belakang pula terdapat cetakan yang serupa dengan mata wan yang dihasilkan pada zaman Khalifah Abdul Malik ibn Marwan.

Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan nasyid kumpulan Rabbani dan penyanyi antarabangsa Maher Zain.

Merlimau: Calon PAS dekati pengundi dengan sekuntum bunga

BERNAMA

JASIN – Bak kata bijak bestari – hati manusia sukar diramal tetapi dengan sekuntum bunga dan senyuman ikhlas, anda mampu mendapat perhatian seseorang kaum hawa khususnya bagi tujuan tertentu.

Bagi calon PAS yang bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Merlimau, Yuhaizat Abdullah, taktik itulah yang digunakannya bagi menarik perhatian orang ramai di perhentian bas dan teksi Merlimau di sini hari ini.

Yuhaizat, 38, menghadiahkan sekuntum bunga kepada setiap wanita yang ditemuinya dalam sesi selama lebih setengah jam itu.

Diiringi Mohd Nasir Mustafa, Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Bukit Rotan, dan beberapa pembantunya, gelagat mereka menghadiahkan bunga menarik perhatian orang ramai di kawasan yang sentiasa sibuk dengan pelbagai pengunjung menikmati selera di beberapa gerai di situ.

“Saya suka sikap peramahnya dan orangnya tampak mesra,” kata seorang pengunjung ketika ditanya mengenai Yuhaizat yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka.

Yuhaizat berdepan calon Barisan Nasional, Roslan Ahmad, 44, dalam pilihan raya kecil itu pada 6 Mac ini, yang diadakan berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan.

“Insya-Allah, masuk hari ketiga berkempen ini, semua pengundi yang saya temui memberi respons yang baik dan kita akan terus menemui seberapa ramai pengundi di Merlimau ini,” kata Yuhaizat kepada Bernama.

Isteri beliau, Shakila Mohamad, adalah seorang guru dan pasangan itu mempunyai empat cahaya mata.

Ditanya rutinnya sepanjang tempoh berkempen bermula Sabtu lepas, Yuhaizat berkata dari Subuh sehingga lewat malam ia diisi dengan sesi pertemuan dengan orang ramai yang disusun oleh jentera parti.

Beliau adalah pengurus projek penyelengaraan di sebuah universiti di Bandar Melaka dan antara jawatannya sebelum ini ialah menjadi juruteknik di kilang Seimens SemiConduktor di Batu Berendam dari 1994 hingga 1996.

“Saya tahu pembangunan di Merlimau ini memang disediakan oleh BN tetapi masih ada masalah jalan raya, longkang dan parit yang perlu diketengahkan oleh pengundi,” katanya yang menawarkan diri bertanding kerana ingin memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat di Merlimau.

Beliau bersalaman dengan semua pengunjung di gerai-gerai makan di situ dan juga memasuki premis perniagaan di Bandar Merlimau yang dikenali juga sebagai Merlimau Lama.

Seorang pembantunya, dalam menarik perhatian pengundi, menggunakan taktik masakan yang sinonim dengan penduduk Melaka – asam pedas – ketika cuba meraih undi daripada seorang pemilik kedai di situ.

“Takkan hari-hari nak masak asam pedas kakak, kita tukarlah masakan lain, cuba dulu,” katanya yang merujuk penguasaan BN di Merlimau sejak sekian lama.

Namun, cubaan itu dibalas oleh wanita pemilik kedai berkenaan yang berkata: “Lauk memang boleh tukar encik, tapi kalau kerajaan, biarlah yang ada ini (BN).”

Calon PAS itu kemudian meminta diri dan beredar meninggalkan kawasan itu untuk menghadiri satu program lain di Permatang Serai.

Dalam pada itu, tohmahan pembangkang kononnya Barisan Nasional (BN) mengabaikan pembangunan di kawasan yang dikuasai pembangkang tidak melunturkan semangat Roslan untuk menemui pengundi.

Roslan, yang sentiasa diiringi isterinya, Zalifah Omar untuk bertemu pengundi di 15 kampung di DUN itu berkata pihak pembangkang akan menggunakan pelbagai cara dan taktik untuk menarik sokongan pengundi.

“Isu pembangunan dijadikan modal (pembangkang) untuk pancing undi... padahal pembangunan berjalan terus... tanpa pilihan raya kecil ianya tetap dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majis mesra rakyat bersama Syarikat Perumahan

Negara Berhad (SPNB) yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Chinchin di sini, hari ini.

Katanya, jika dirinya dipilih menjadi wakil rakyat pada pilihan raya kecil DUN Merlimau pada Ahad ini, beliau mahu meningkatkan tahap perkhidmatan dan kualiti penyelenggaraan insfrastruktur di kawasan itu.

Roslan turut terharu dengan kehadiran Muhyiddin dan isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman ke DUN Merlimau hari ini bagi membantu kempennya.

“Program bersama Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam amat menggembirakan dan dapat menambah suntikan semangat berjumpa pengundi,” katanya.

Pengundi perlu ubah kepercayaan hanya Umno-BN boleh tadbir, kata Nik Aziz



KUALA LUMPUR — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rakyat negara ini khususnya para pengundi perlu “mengubah daripada kepercayaan” bahawa hanya Umno-BN boleh memerintah dengan turut memberikan peluang kepada PAS-Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Kelantan membuat seruan ini ketika pengundi Merlimau dan Kerdau bersiap sedia untuk menuju peti undi sempena pilihan raya kecil serentak Ahad ini.

Malah wujud spekulasi negara akan mengadakan pilihan raya umum ke-13 tahun ini manakala rakyat Sarawak pula akan menyaksikan pilihan raya negeri bila-bila masa dari sekarang, kemungkinan awal April.

Pakatan Rakyat mencatatkan prestasi terbaik dan membentuk gabungan formal selepas pilihan raya umum 2008.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, menghadapi pilihan raya kecil ini, “saya mengajak para pengundi sekalian tetapkan niat dan iman semasa menggunakan hak mengundi “untuk ubah nasib hidup kita, demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.”

“Sesuai dengan niat tersebut, maka ubahlah kepercayaan kita dari mempercayai hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan membawa pembangunan, kepada memberi kepercayaan kepada PAS-Pakatan Rakyat yang juga boleh memerintah dan membawa pembangunan kepada bangsa, agama dan tanah air,” kata beliau dalam tulisan di blognya hari ini.

Dalam memberikan justifikasinya, Nik Aziz menambah, ini kerana parti Islam PAS sudah lebih 20 tahun berjaya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan membangunkan rakyat dan negeri di Kelantan.

“Dan, kini kejayaan itu turut berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor,” kata beliau lagi dalam perutusan sempena hari pengundian Ahad ini.

Nik Aziz yang memimpin kerajaan negeri PAS Kelantan sejak 1990 menulis, PAS di Kelantan mencapai kejayaan kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah, masuliah dan itqan yang selari dengan kehendak syariat.

“Justeru itu, kerajaan negeri Kelantan berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas dari riba dan subur dengan hasil mahsul anugerah Tuhan.

“Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama,” katanya lagi.

Nik Aziz berkata bermakna kerajaan negeri Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama - bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati.

“Inilah natijah perjuangan PAS yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum bahawa apa yang dilaksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini.

“Maka, Negeri Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah dinar emas dan dirham dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It’aam,” katanya lagi.

Malah Nik Aziz juga menulis bahawa Islam mengajar rakyat supaya berlaku adil kepada semua pihak, termasuklah ketika bertanding dalam pilihan raya.

Oleh itu katanya, setiap kali PAS bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok.

“Sentiasa memberi peluang kepada pengundi untuk menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan memilih dan mengundi PAS. Maka demi masa depan kita, undilah PAS pada kali ini. Ubahlah undi kita, dari undi Umno kepada mengundi PAS,” katanya lagi.

“Sebagaimana masyarakat Kelantan yang sudah menolak perjuangan Umno dan parti Umno bukan lagi parti kerajaan. Masyarakat Kelantan menolak perjuangan kebangsaan Umno adalah kerana dasarnya yang mengasing-asingkan dan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum, dan mengenepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam,” katanya.

Oleh sebab amalan itu tegas beliau, Umno telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini.

“Kegagalaan itu membuktikan perjuangan Umno tidak selari dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya,” kata Nik Aziz lagi.

Bertolak daripada itu kata Nik Aziz, beliau penuh yakin calon PAS-Pakatan Rakyat Yuhaizad Abdullah dan Hassanuddin Salim yang masing-masing membawa cabaran di Merlimau dan Kerdau adalah calon yang mesra dan rapat dengan semua lapisan pengundi.

Katanya, mereka berdua cukup berpengalaman selaku pimpinan parti dan masyarakat, maka sudah pasti mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi menunaikan harapan rakyat.