HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Februari 2013

Bila buku bertemu ruas

Ahmad Lutfi Othman,
 
Berbanding kajian badan-badan penyelidikan universiti yang lain -- khususnya Majlis Profesor Negara (MPN) -- saya lebih menunggu rumusan yang dihasilkan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Pertama, saya tertarik dengan kewibawaan pengarahnya, Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman. Beberapa kali berpeluang menemubualnya -- walaupun beliau lebih selesa dengan tema politik antarabangsa, terutama pergolakan di Timur Tengah, apatah lagi berkaitan gerakan Islam, misalnya Ikhwan Muslimin -- saya dapat mengesan pakar sejarah ini cukup mementingkan disiplin ilmu dan  cermat dengan pendekatan penyelidikan.

Kedua, meneliti carta organisasi UMCEDEL dan barisan felo penyelidiknya, saya kira, ia satu kombinasi yang mantap. Ketiga, beberapa buku yang dihasilkan, seperti "Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12: Isu dan Pola Pengundian", serta   empat  judul tentang siri pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Sibu, menambahkan lagi keyakinan kepada UMCEDEL.

Tulisan ini bukan sekadar bertujuan untuk respons  dapatan terbaru UMCEDEL, berdasarkan kajiannya pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013, yang dilihat menyenangkan pemimpin Pakatan Rakyat dan para penyokongnya. Saya cuba meneliti "sisi-sisi gelap" Pakatan yang boleh diambil iktibar pemimpinnya bagi mengkoreksi diri sebelum terlambat.

Selagi Parlimen dan Dun belum dibubarkan, dan kempen secara rasmi belum berjalan, saya lebih teruja dengan hasil kajian, tinjauan pendapat atau himpunan persepsi rakyat, yang dikira berjejak dan membumi, biarpun nampak negatif buat Pakatan. Kadang-kadang sebagai "pemain aktif" di lapangan, kita keliru dengan tanggapan "penonton".

Sekurang-kurangnya ia dapat membantu kita membuat pemerhatian secara lebih menyeluruh, dengan gambaran akar umbi yang menghampiri realiti sebenar. Selama ini agak sukar kita menelah atau meramal kecenderungan pengundi walaupun dibuat bancian atau culaan undi dari rumah ke rumah.

Ungkapan "undi itu rahsia" ketika di pusat mengundi rupa-rupanya menjadi pegangan ramai rakyat Malaysia, walaupun sebelum dan selepas hari mengundi. Ia turut difaktorkan  oleh suasana persekitaran yang tertutup dan  tidak demokratik. Menyokong parti pembangkang waktu itu dianggap satu kesalahan dan boleh menyebabkan kepentingan tergugat.

Justeru, saya lebih suka memberi perhatian kepada hasil kajian yang memungkinkan Pakatan dapat meneliti kelemahan dan kealpaan, yang sebahagiannya mungkin tidak disedari.

Ia juga seharusnya membantu para strategis mengatur langkah ke depan atau menawarkan formula penyelesaian, tanpa perlu mempertikai atau merendahkan kredibiliti badan penyelidikan walaupun sememangnya terserlah "udang di sebalik batu".

(Di zaman begitu ramai cendekiawan boleh "diupah" bagi menemukan keputusan yang menyenangkan "pengupahnya", memang agak sukar mencari hasil penyelidikan politik yang  benar-benar bebas).

Misalnya, apabila ada kajian mengunjurkan bahawa di antara empat negeri yang dikuasai Pakatan, kemungkinan Kedah sukar dipertahankan dalam PRU13, maka saya pasti rakan-rakan aktivis PAS di negeri kelahiran saya itu tidak memandang rendah perkara ini. Lagipun bukannya mudah untuk mempertahankan kemenangan untuk pusingan kedua.

Masing-masing melihatnya sebagai cabaran untuk merencanakan kembali pendekatan terbaik dan berusaha membetulkan salahfaham atau sistem penyampaian sehingga akhirnya memungkinkan Kedah dapat melonjak keluar daripada "zon kelabu".

Bagaimanapun, kajian UMCEDEL yang dikeluarkan pada 23 Januari, menghantar beberapa mesej
penting. Semasa banyak pihak lebih tertumpu kepada kemerosotan pengaruh BN dan menjunamnya populariti Najib, saya pula mahu menarik perhatian terhadap petunjuk lain.

Benar, populariti Najib merosot daripada 61 peratus (di antara 31 Mac - 15 April 2012) kepada 58 peratus (1 - 16 September 2012), seterusnya 54 peratus (26 Disember 2012 - 11 Januari 2013).

Bagi kajian persepsi pengundi kali pertama dalam PRU13, Dato' Seri Anwar Ibrahim jauh mengatasi Najib, iaitu 52 peratus berbanding 30 peratus.

Pastinya soalan yang paling menarik minat penyokong Pakatan ialah: "Dengan andaian anda tidak memihak kepada mana-mana parti politik, parti manakah yang anda jangka akan menang di peringkat nasional dalam PRU13 dan menguasai Putrajaya?"

Walaupun keputusannya lebih memihak BN, dan  kemerosotannya tidaklah begitu ketara, iaitu daripada 43 peratus (25 Oktober - 15 Disember 2011) kepada 42 peratus (26 Disember 2012 - 11 Januari 2013), namun peningkatan Pakatan nampak menonjol, iaitu daripada hanya 18 peratus kepada 37 peratus, berdasarkan tempoh yang sama.

Ia juga memaparkan keperitan yang terpaksa ditanggung Najib. Semakin dianjak tarikh PRU13 ke hadapan -- mungkin atas nasihat mentornya, Dr Mahathir Mohamad -- populariti Najib dan peluang BN kian merosot. Dan kini Najib tidak berpeluang lagi mencipta kejutan tarikh pembubaran Parlimen; dia sudah diasak sehingga ke dinding.

Dalam suasana yang nampak seimbang, iaitu kekuatan BN dan Pakatan hampir setara, tumpuan diberikan kepada kelompok 21 peratus yang masih belum membuat keputusan. Hasil kajian UMCEDEL mendapati pengundi muda dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun dan masyarakat Cina masih "tidak pasti", sama ada untuk mengundi BN ataupun Pakatan.

Dengan itu, persaingan sengit adalah untuk merebut hati dan menawan minda kedua-dua kategori ini: Pengundi muda dan masyarakat Tionghua. Sekali imbas, ia seolah-olah memberi kelebihan awal kepada Pakatan, namun kesungguhan Najib merapati kelompok belia, melalui pelbagai insentif dalam Belanjawan 2013, tidak boleh dipandang ringan.

Untuk meraih sokongan pengundi Cina, malah sehingga kepada 80 peratus, ia tidaklah mustahil, tetapi menghadapi karenah dan kompleksiti anak-anak muda, saya rasa peluang Pakatan dan BN hampir sama rata. Generasi muda, terutama yang pertama kali mengundi, masih belum membuat keputusan muktamad. Saya kira mereka  terus memerhati, menilai dan menghakimi, sehinggalah hari mengundi.

Harus diingat, pemberian bermacam-macam bantuan secara berkala oleh kerajaan, seperti BR1M dan baucer buku, turut dapat meningkatkan sokongan kepada BN, iaitu 75% berbanding hanya 61% (September 2012).

Begitu juga persepsi terhadap program transformasi kerajaan, seperti Kilnik 1Malaysia dan Kedai 1Malaysia. 73 peratus melihatnya positif buat BN, malah kepada pengundi wanita, ia meningkat sehingga 80%.

Tanggapan positif terhadap Bajet 2011,  yang dilihat memanfaatkan rakyat berada pada tahap 55%, namun bagi persepsi pengundi wanita melonjak kepada 63%. Sekurang-kurangnya ia memberi indikator penting -- walaupun telah disedar sejak lama -- bahawa kalangan kaum hawa lebih mudah dipengaruhi oleh BN. Dan seharusnya fenomena ini diberi tumpuan khusus, terutama oleh sayap wanita parti-parti dalam Pakatan.

"Peratusan pengundi muda adalah yang paling tinggi 'tidak pasti'," kata Dr Redzuan. Tambahnya, pengundi Cina pula paling sukar untuk menentukan sama ada mereka menyokong atau tidak dan terlalu berahsia serta sukar didekati.

Lebih menarik, majoriti pengundi "tidak pasti" ini terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan pendidikan tinggi iaitu berijazah di universiti sebanyak 49 peratus, berpendidikan SPM (18%) dan STPM (15%).

Meskipun pengundi Melayu mungkin dikira sudah membuat keputusan awal, tetapi pada hemat saya,  wajar diberikan perhatian istimewa kepada petunjuk lain kajian UMCEDEL ini.

Dari segi persepsi pengundi Melayu, Najib berada di depan sebagai tokoh paling layak menjadi PM selepas PRU13, memperolehi 46 peratus, berbanding Anwar 34%, manakala Tuan Guru Abdul Hadi Awang  mendapat 36%.

"Anwar wajar menilai kembali sokongan pengundi Melayu kepadanya," kata seorang pensyarah sains politik, "mungkin propaganda media Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 sedikit sebanyak berkesan juga, terutama yang tidak terdedah dengan media baru. Anwar memang popular di kalangan masyarakat Cina dan juga pengundi kali pertama, tapi segmen Melayu perlu lebih tumpuan."

"Ya, Anwar dan jurukempen serta strategisnya wajar memandang serius tanggapan rendah orang Melayu kepadanya. Media alternatif, terutama akhbar bercetak seperti Harakah dan Suara Keadilan, patut menyemak kembali, bukan saja kandungannya tetapi lebih penting lagi ialah sistem dan rangkaian pengedarannya," kata seorang veteran politik yang rajin menghubungi saya, meluahkan rasa bimbang Pakatan mungkin kalah disebabkan masalah teknikal dan bukannya kerana ditolak rakyat.

"Saya bimbang dua organ parti itu tidak sampai kepada golongan  akar umbi, yang masih bergantung dengan Utusan Malatysia dan TV3," tambahnya, sambil mengharapkan PAS dan KeADILan dapat merebut kembali sokongan majoriti masyarakat Melayu.

Mengenai isu-isu yang boleh menghalang sokongan pengundi kepada Pakatan Rakyat, soal percanggahan pendapat di kalangan parti-parti  dalam Pakatan dilihat penting, iaitu 59 peratus, kekal seperti kajian pada September 2012.

Semasa kredibiliti pemimpin BN berada pada kedudukan paling rendah dan dilihat telah mengkhinati amanah rakyat sejak lebih 55 tahun lalu, Pakatan pula "diancam" oleh sedikit rasa curiga pengundi, ekoran perselisihan pandangan para pemimpinnya.

Dibimbangi terdapat golongan yang sudah muak dan jelik dengan karenah dan keletah pemimpin Umnp-BN, tetapi mereka tidak bersedia untuk berubah hanya kerana ketakutan tidak berasas terhadap "pertelingkahan" Pakatan. Elok benarlah jika pemimpin utama Pakatan bersikap "menutup mulut" bila berdepan media musuh, yang sengaja mencungkil kelemahan dan kesalahan.

Dalam pada itu, walaupun hanya 43 peratus bersetuju persoalan "dominasi DAP dan bukan Melayu dalam Pakatan", serta "kehilangan kuasa politik Melayu",  boleh menjadi penghalang sokongan, bagi saya isu ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja, apatah lagi di kalangan responden Melayu, 53% bersetuju.

Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemimpin BN memang dimainkan dengan cukup berkesan. BN terpaksa lebih teliti dengan penampilan calon-calonnya dalam PRU13. Mungkin mereka perlu akur dengan senarai nama tokoh-tokoh yang tidak melepasi "tapisan" Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebanyak 78 peratus melihatnya sebagai isu yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada BN. Lebih menakjubkan, di kalangan pengundi Cina, isu integriti dan salahguna kuasa ini memperolehi 95%, satu angka yang cukup tinggi.

Saya merasakan pengundi Melayu juga boleh mempunyai kecenderungan yang sama jika isu-isu seumpama itu dapat disampaikan dengan lebih berkesan, terutama dengan mengemukakan kes-kes secara terperinci. Mungkin Harakah sendiri dapat membantunya, di samping penekanan oleh pemimpin PAS sendiri.

Hasil kajian UMCEDEL ini wajar ditelaah secara lebih khusus, juga mengambil kira tinjauan pendapat terbaru badan-badan penyelidikan lain, terutama Merdeka Centre. Masyarakat terbukti semakin terbuka dan bijak menilai, serta tidak bergantung dengan saluran maklumat tradisional sahaja.

Sementara Pakatan mengutamakan isu-isu yang praktikal dan menyentuh kehidupan seharian denyut nadi rakyat, BN masih dengan tradisi lapuk, iaitu bergantung harap dengan persoalan sensasi membakar sentimen, yang sengaja direka-reka bagi meneruskan "kebergantungan" pengundi Melayu kepadanya.

Beza Wira Gaza di Malaysia dengan Wira Gaza di Palestin

http://www.utusankini.com/,

MUDAHNYA DAPAT TARAF WIRA DI MALAYSIA


 

Wasatiah bukan untuk Najib dan BN

Subky Latif,

WASATIAH yang Najib perkenalkan sekarang adalah ganti Islam Hadhari yang sudah lenyap bersama perginya Tun Abdullah Badawi. Adakah wasatiah juga akan menerima nasib seperti Islam Hahdari?

Kalau Najib juga mengikut jejak Abdullah Badawi, maka pelepah wasatiah tidak boleh ketawa apa pelepah Islam Hadhari di bawahnya gugur. Ia pun akan gugur sama.

Mahathir adalah orang yang terlalu banyak slogan retorik. Semuanya sudah jadi pelepah bawah kecuali satu iaitu Wawasan 2020. Lepas tahun 2020 nanti ia pun mampus seperti Menteri Idris Jala pernah kata Malaysia mungkin muflis setahun sebelum tahun 2020 jika subsidi diteruskan.

Wasatiah kini menjadi tema bermacam perkara termasuk sambutan Maulud Rasul sekarang.

Ia adalah ajaran Islam yang terbaik kerana maksud kesederhanaannya itu adalah apa yang Allah tuntut dan apa yang Nabi SAW ajar dan laksanakan.

Tetapi  ia bukan Perdana Menteri Najib dan UMNO yang hendak melaksanakannya kerana sejak merdeka hingga sekarang, kerajaan yang bertulang belakangkan UMNO itu tidak tahu bersederhana dan bukan sekadar tiris di sana sini bahkan bocor di mana-mana.

Sejak zaman Tun Razak sampailah ke masa Dr. Mahathir, semua projek kerajaan main juta-juta hatta terhadap benda-benda yang kecil. Sejak zaman Abdulah Badawi, ia sudah  tidak main-main juta-juta lagi.  Bilion sana bilion sini.

Untuk semua masa, baik zaman juta mahu pun zaman bilion, tiadalah ia mencerminkan kesederhanaan, bahkan berlelbihan, boros dan membazir. Tetapi masa itu mereka tidak ada kesedaran wasatiah  disebabkan tiada Jamil Khir, Masitah Ibrahim dan Abdullah Zain.

Maka sekarang mereka telah tiapkan kesederhanaan atau wastiah itu hingga Najib menjadikan ia termasuk dalam program transformasinya.

Agak payah UMNO yang sentiasa boros itu hendak diwasatiah justeru boros itu sudah menjadi darah daging orang UMNO. Tetapi bukanlah mustahil ia programkan sebagai transformasi yang Najib bawa itu.

Tetapi adakah Najib itu sendiri lahir dari generasi dan keluarga yang sederhana? Dia tiada pengalaman susah, bahkan tidak ada kehidupan sederana. Dia lahir, bersekolah  dan besar dalam suasana serba mewah dan dapat semua yang dia mahu. Amat payah latar belakang  semua ada itu hendak menyesuaikan diri dengan sesuatu baru baru yang dinamakan wasatiah.

Hanya pengalaman yang terpaksa dihadapi oleh  anak Saddam, anak Mubarak dan anak Ghadafi, bukan  saja mengajar mereka jadi  wasatiah, bahkan di bawah paras wasatiah.

Adakah Najib sesuah dengan kehidupan  wasatiah yang dianjurkannya? Belum dan tiada kemungkinan.

Pada ketika Najib bercakap tentang kesederhanaan, isterinya menerima hantaran cincin RM24 juta sebentuk. Ketika yang sama dia ratusan  ribu untuk majlis pertunangannya. Dari mana belanja itu datang tidak penting, tetapi bil yang diterima tidak langsung ada  wastiahnya.

Kita tidak mahu kata  apa  tentang untung syarakat membeli kapal selam Perancis sejumlah setengah bilion. Orang wasatiah tidak meluluskan untung sebesar itu. Qarun yang terkaya sepanjang sejarah manusia pun cuak dengan untung setengah bilion itu.

Bil bulanan kediaman Perdana Menteri dan cara berbalanja isterinya tidak langsung mencerminkan suasana wasatiah. Setiap  bajet yng dibentangnya, dan sambutan menyampaikan wang BR1M hampir sama  besar dengan jumlah BR1M setempat. Belum lagi disebut juta-juta yang dikatakan diberi kepada MP dan ADUN Pakatan yang melompat.

Wasatiah itu bukan untuk Najib. Tetapi boleh  diisi oleh Pakatan Rakyat yang sedang menuju Putrajaya sekarang. Ia boleh menyambung dan mengisi konsep wasatiah itu.

Jelajah Kebangkitan Pendidik di Shah Alam Ahad ini

Salmiyah Harun,
 

KUALA LUMPUR: Warga pendidik dijemput untuk menghadiri program siri Jelajah Kebangkitan Pendidik Kebangsaan yang akan berlangsung pada 3 Febuari ini.

Program sehari anjuran Lujnah Pendidikan PAS Pusat akan dilancarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermula jam 9.00 pagi di Dewan MBSA Bukit Naga, Seksyen 32 Shah Alam.

Bertemakan "Bangkit Pendidik Memimpin Perubahan" pihak penganjur turut mengadakan ceramah yang akan membariskan beberapa penceramah antaranya mantan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin, mantan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak Datuk Adnan Ibrahim, mantan Pengarah Pelajaran Negeri Johor Ramlan Sariman, Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Pusat Datuk Abu Bakar Chik  dan Presiden Ngo Pendidik Cikgu Normala Sudirman.

Ceramah ini akan bermula jam 9.00 malam bertempat di Markaz PAS Bukit Naga Shah Alam.

Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan pengarah program Muhammad Abdullah di talian 017 2866571 ataupun boleh dilayari melalui www.ustream.tv/channel/cikgumalatv.

Mahathir: Pembangkang tangkap lawan jika berkuasa



Pakatan pembangkang akan bertindak terhadap pesaing politiknya sebaik sahaja ia berkuasa, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, mereka akan mengambil tindakan terhadap orang yang tidak baik dengan mereka atau yang mereka rasa tidak baik dengan mereka.

NONEBerucap di Kuala Lumpur hari ini, Dr Mahathir berkata, terdapat
desas-desus bahawa kerajaan persekutuan yang dikuasai Pakatan, akan menangkap orang seperti itu, termasuk dirinya sendiri.

Bekas perdana menteri itu berkata, ada yang mengatakan beliau harus meninggalkan Malaysia sebelum keputusan pilihan raya diumumkan.

"Itu perkara pertama yang mereka (Pakatan) akan lakukan (apabila berkuasa) ialah menutup semua lapangan terbang supaya tidak ada pesawat persendirian boleh berlepas.

"Tetapi saya tidak fikir mereka akan berbuat demikian. Pembangkang adalah orang baik. Mereka mungkin menangkap orang dan mendakwa mereka."

Mahathir secara berseloroh berkata, beliau gembira Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak lagi wujud dan bahawa Pakatan, yang menentang undang-undang tersebut, tidak boleh sebarangan menyumbat orang ke dalam penjara jika ia berkuasa.

"Tanpa ISA, saya berasa lebih selesa," katanya.

Ladang Gemilang: Sampai bila penduduk kena sewa

Harakahdaily,




KUALA TERENGGANU: Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah berkata, konsep pangsapuri ‘transit’ di Ladang Gemilang bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Menurutnya, pihak Amanah dengan wakil Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) pada 27Januari lalu telah mengadakan pertemuan dengan SUK (gambar atas) untuk cuba membantu penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang yang dalam keadaan susah membayar sewa mereka dan tidak tahu masa depan mereka selepas tamat perjanjian sewa mereka pada Oktober 2013.

Katanya, pada pertemuan tersebut Mazlan telah menyatakan pangsapuri tersebut bukan merupakan pangsapuri ‘transit’ dan ia merupakan rumah kos sederhana.

“Itu adalah di antara perkara-perkara yang dibincang bersama,” ujarnya dalam satu kenyatan yang dikeluarkan di sini.

Pada 28 Januari, sebuah rencana akhbar Berita Harian menyiarkan kenyataan seorang Pegawai Pembangunan Dun Ladang yang menyatakan pangsapuri itu dijadikan rumah transit dengan kadar sewa RM300 dan ada yang membayar RM850.

Raja Baharin berkata, perbandingan kos sewaan dengan pangsapuri Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menunjukkan hanya dengan kos RM125 sebulan mereka dapat kemudahan buang sampah, dewan serbaguna, surau di pangsapuri dan pejabat penyelenggaraan yang tidak terdapat di Ladang Gemilang.

Katanya, ketiadaan kemudahan buang sampah amat mendukacitakan kerana ia merupakan keperluan asas.

“Dalam tiga siasatan pasukan kami menziarahi penghuni Ladang Gemilang dari tingkat 1 hingga 12, tidak ada yang membayar kurang dari RM300 sebulan,” jelasnya.

Tambahnya, di dalam perjanjian penduduk Ladang Gemilang dengan pihak kerajaan negeri memang sah dan nyata bahawa ia merupakan semata-mata perjanjian sewa sahaja dan tidak ada disebut sewa beli.

“Kami amat bersimpati dengan kebimbangan mereka yang hanya tinggal tempoh beberapa bulan lagi untuk menyewa dan tidak ada tempat lain untuk tinggal setelah rumah mereka di Ladang Tok Pelam telah dirobohkan oleh kerajaan,” katanya.

Ada berita baik untuk penjawat awam?


Bernama


 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa permasalahan mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara selama ini.

"Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh kerajaan namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai.

"Tunggulah dan berdoalah agak panjang daripada biasa kerana mungkin ada berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Kelantan di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis dihadiri lebih 3,000 penjawat awam itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Muhyiddin berkata kerajaan sangat menghargai jasa dan peranan penjawat awam yang pada masa sama telah menjadi "mata dan telinga" kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat keseluruhan.

Beliau berkata melalui penjawat awam, kerajaan mendengar segala rintihan rakyat yang kemudiannya akan bertindak untuk membela mereka yang memerlukan pembelaan.

Timbalan perdana menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan peranan penjawat awam yang telah berjaya merealisasikan program transformasi negara sehingga lahir sebagai sebuah negara yang dikagumi.

"Saya bangga dengan peranan penjawat awam ini kerana segala yang kita sasarkan itu telah menjadikan keadaan negara jauh lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Beliau juga mahukan penjawat awam di semua sektor dapat memastikan setiap peruntukan pada belanjawan yang diumumkan dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi pembangunan negara.

Timbalan perdana menteri berkata soal politik tidak akan diambil kira dalam membangunkan Kelantan kerana yang penting adalah memastikan rakyat negeri itu sama-sama menikmati pembangunan negara.

Pada sesi dialog selepas itu, Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Beliau berkata pihak tertentu tidak boleh membandingkan saiz penjawat awam di Malaysia dengan negara lain kerana keadaan itu sangat berbeza sama sekali.

Muhyiddin jturut menafikan negara akan muflis seperti dakwaan pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan berkemampuan untuk membangunkan negara.

"Selagi kerajaan Barisan Nasional kekal memerintah, kita tidak akan menjadi negara yang bankrap kerana kita ada segala kemampuan," katanya.

Beliau juga berkata segala bentuk bantuan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan pada masa hadapan jika keadaan ekonomi yang baik ketika ini dapat diteruskan lagi.-Bernama

400 Pemuda pastikan Kuala Nerus milik PAS

Nurul Islah,


(Pemuda PAS berikrar menangkan PAS di semua kawasan di Kuala Nerus)

KUALA TERENGGANU: Lebih 400 pemuda PAS berikrar akan memastikan semua kawasan pilihan raya di bawah Parlimen Kuala Nerus akan dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum kali ini.

Ikrar itu dibuat dalam pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PAS Kuala Nerus semalam.

Selain Parlimen, Kuala Nerus mempunyai tiga kawasan Dun di bawahnya iaitu Bukit Tunggal, Seberang Takir, Telok Pasu dan Tepoh.

Ketua Pemuda PAS kawasan, Ustaz Riduan Hashim dalam ucapannya berkata, perhimpunan pagi ini adalah jihad dan menandakan pemuda sudah bersiap sedia menghadapi PRU13.

"Pemuda akan memastikan semua 4 dun menjadi milik PAS dan Pakatan," katanya.

Beliau mengarahkan jentera pemuda mulai hari ini bergerak 100 % dan bersiap siaga untuk mengempur jentera musuh bagi memastikan Kuala Nerus dimenangi oleh PAS.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam ucapan perasmianya menyeru semua jentera pemuda Kuala Nerus memastikan Pakatan menawan Putrajaya pada PRU13 nanti.

"Masanya telah tiba kerajaan rakyat memerintah Malaysia dan Terengganu kembali kepada pemerintah PAS," katanya.

Kerajaan PAS Terengganu yang dimenangi pada tahun 1999 hanya bertahan satu penggal apabila dimenangi semula oleh BN melalui penipuan daftar pemilih.

Akibat manipulasi ini, banyak kawasan pilihan raya yang mencatatkan hampir 90%  pengundi yang turun.

Bagi Mohd Nor, pemuda perlu berjuang bersungguh-sungguh untuk memastikan Umno BN ditumbangkan.

"Tapi yang penting setiap petugas perlu berakhlak tinggi dan berdisiplin dalam perjuangan," katanya.

Pemuda bertanggungjawap memastikan semua bahan kempen parti tidak disabotaj Umno.

"Pemuda perlu bersikap lunak dan berhemah menghadapi para pengundi bagi memastikan setiap undi di Kuala Nerus diberikan pada PAS," tegasnya.

Beliau juga mahu pemuda memastikan keselamatan bilek gerakan dan petugas parti terjamin kerana PRU 13 adalah pilihanraya paling sengit dalam sejarah Malaysia.

"Solat hajat serta qiamulai menjadi santapan jiwa pemuda dalam memastikan kekuatan iman sentiasa berada dalam diri setiap pejuang Islam," arah beliau.

Kelantan bubar Dun ikut proses biasa

Salmah Mat Husain,
 
PASIR PUTEH: Kelantan masih kekal dengan pendirian sebagaimana sebelum ini, tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) lebih awal.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata Kelantan akan mengikut proses biasa sebagaimana di negeri-negeri lain.

Beliau juga berkata, pelbagai perkara buruk akan berlaku sekiranya Dun Kelantan dibubar awal berbanding negeri lain.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menandatangani perjanjian usahasama projek pembinaan di Tok Bali yang melibatkan empat buah syarikat swasta, di Tok Aman Bali Resort, dekat sini semalam.

“Biarlah Selangor nak bubar awal pun, tetapi Kelantan tidak akan buat berasingan sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, andainya pilihan raya dibuat berasingan akan melibatkan belanja yang besar, banyak serangan dan sebagainya.

Anwar terlibat langsung dalam Projek IC, dakwa Dr M



 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat secara langsung dalam projek untuk mengeluarkan kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada pendatang yang tidak layak di Sabah dalam tahun 90-an, walaupun tanpa arahan darinya, dakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Beliau biasanya mengambil inisiatif dan kadang-kadang melakukan (lebih daripada yang diperlukan)," kata Dr Mahathir dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata, apa yang berlaku di bawah sering berbeza daripada arahan (dari atas).

Beliau berkata, Anwar dan pegawai pelaksana di Sabah pada masa itu bertindak sendiri dan tidak semestinya mengikut arahan.

Bekas perdana menteri itu berkata kerajaan telah mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai yang terlibat.

Dr Mahathir diminta mengulas sama ada beliau pernah mengarahkan Anwar, pada masa itu timbalannya, untuk mengeluarkan IC kepada pendatang yang tidak berkelayakan di Sabah.

Katanya, beliau mungkin tidak mempunyai bukti yang boleh dikemukakan di mahkamah, tetapi beliau "mempunyai pengetahuan" mengenai kemungkinan salahlaku Anwar.

Katanya, beliau akan memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah jika dipanggil.