HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Julai 2013

PRK Besut Medan Ujian Pertama Buat Pas dan UBN




Oleh Mohd Sayuti Omar

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Besut Terengganu kalau boleh dielakkan rasanya semua pihak mahu mengelakkannya. Lengguh dan letik semasa menghadapi pilihan raya umum lalu masih belum reda lagi. Tetapi kerana ia tidak dapat dielakkan hendak tidak hendak terpaksa dihadapi juga.

Namun bagi hantu politik mereka tidak merasa akan keletihan itu. Kekosongan mana-mana kerusi sesuatu yang dinanti-nantikan, konon kekosongan itu boleh dijadikan untuk menguji kekuatan parti masing-masing.

Sebaliknya juga bagi parti politik pilihan raya kecil pertama itu sesuatu yang membimbangkan. Terutamanya pihak UBN kerana pilihan raya itu amat mencemaskan mereka. Pilihan raya itu akan memberi natijah tersendiri kalau tiba-tiba UBN kalah. Kekalahan boleh menyebabkan berlaku sesuatu yang diluar dugaan di Terengganu.

Kekalahan UBN menjadikan kedudukan kerusi seimbang di antara UBN dengan Pas 16 - 16. Dengan kedudukan ini menyebabkan tidak ada siapa yang mendapat kelebihan kerusi dan berhak untuk menubuh kerajaan. Kerajaan sedia ada (UBN) bermasalah dan tidak dapat berfugsi lagi. Salah satu jalan terbaik atau kemungkinan diambil ialah Dun Terengganu dibubarkan.

Tertakdir berlaku demikian, kedudukan kerusi sama 16:16 - kalau ingin kepada keharmonian, menjimatkan wang rakyat, boleh dibentuk hanya dengan mewujudkan kerajaan bersama antara kedua-dua parti berkenaan.

Erti akan wujud kerajaan bersama di Terengganu. Untuk tujuan ini bolehlah jawatan MB digilir-gilirkan, dua tahun setengah seorang di antara Pas dengan UBN. Itu idealisnya. Tetapi Pas sebagai sebuah parti yang ghairah untuk mengganti Umno tidak mungkin akan bersedia. Pas akan merasakan lebih baik untuk diadakan pilihan raya semula. Kalau pun Pas Terengganu bersetuju atas 'maslahat' tertentu namun Pas Pusat akan menenangnya.

Situasi itulah maka menjadikan pilihan raya kecil Kuala Besut ini penting. Sebab itu saya katakan kalau ia boleh dielakkan, atau dibayar berapa sekali pun Umno Terengganu sanggup berbuat demikian. Kerana kalau bertanding ia belum tentu dapat meraih kemenangan dan UBN boleh meneruskan kerajaan yang sedia ada.

Pilihan raya kecil itu akan memberi signifiken kepada Umno dan Pas. Ia menjadi indikator kepada kedua-dua parti selepas berlangsungnya pilihan raya umum. Apakah perkembangan selepas pilihan raya umum berubah atau tidak? Pilihan raya itu akan memberi jawaban.

Wujud beberapa perkembangan selepas pilihan raya umum lalu, sangat diperhatikan oleh orang ramai bagaimana keputusan pilihan raya itu nanti. Pihak Pakatan Rakyat tidak menerima keputusan pilihan raya lalu atas alasan ianya dilakukan dalam keadaan tidak bersih, kotor dan penuh penyelewengan. Maka gerakan himpunan Black505 dilancarkan untuk menyatakan manifestasi itu. Kemuncak himpunan itu ialah di Padang Merbok dua minggu lepas.

Apakah perkembangan selepas pilihan raya itu akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat? Apakah rakyat khasnya di Besut menilai semua itu atau mereka tidak sedikitpun mengambil peduli. Memandangkan imbasan-imbasan (flash) mengutuk SPR berkenaan bersifat nasional saya tidak merasakan soal-soal tuntutan itu menjadi perhatian rakyat di Besut.

Dalam perhatian saya Black505 tidak memberi kesan besar kepada pilihan raya kecil di Besut itu, jauh sekali untuk mengharapkan pengundi di Besut akan membuat ralat besar ekoran kononnya berlaku penyelewengan dilakukan SPR berkenaan. Bagi rakyat Besut mereka mungkin pun tidak merasakan sedikitpun SPR bersalah.

Seperkara lagi bila bercakap soal pilihan raya kecil itu subjek tidak kurang peting ialah calon. Calon yang bakal diturunkan kedua-dua parti menjadi penentu. Kredibiliti calon menguasai 30% peluang kepada parti. Kemenangan UBN menerusi Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar baru-baru ini ialah kerana keistimewaan yang ada kepadanya. Beliau merupakan anak tempatan Pulau Perhentian yang suka bergelombangan dengan rakyat. Allahyarham juga mempunyai keperibadian yang baik dan disenangi orang bawahan.

Kelemahan yang ada kepada calon Pas, Nafisah Ismail ialah dia seorang perempuan dan kedua dia tidak dilihat tokoh yang mengauli rakyat. Sosio budaya di Besut berbeza dengan kawasan hampir pekan atau bandar. Maka ia memerlukan seorang calon yang bergaul dengan mereka. Dalam istilah lain calon-calon yang tidak berpijak di bumi akan ditolak.

Perbezaan gender juga menjadi persoalan baru-baru ini di mana masyarakat di Besut tidak begitu yakin dengan calon Pas seorang muslimat. Walaupun penampilan dan peranan wanita kini hampir sama dengan kaum lelaki, tetapi persepsi bahawa wanita itu tetap berada di bawah masih diterima.

Jadi dalam ulasan saya berhubung pilihan raya kecil Besut ini Pas sekiranya mahu menang atau setidak-tidaknya memberi tentangan kepada UBN sila kemukakan calon yang berpijak di bumi, seorang yang bergual dengan rakyat dan boleh bercerita mengenai ikan dan laut, pukat atau perahu. Calon-calomn branded dari atas kayangan rasnaya tidak sesuai. Kehebatan mereka dalam bidang mereka duduki baik agama atau perniagaan tidak banyak membantu.

Rasanya untuk pilihan raya Besut ini tidak sesuai kalau Pas meletakkan calon yang gah dengan nama atau profesyennya. Begitgu juga calon dari luar Besut tidak membantu. Pas harus cari anak tempat biarpun beliau itu bukan berkelulusan tinggi, atau berjebang lebat dan pandai membaca hadith dan ayat-ayat Quran.

Barang kali cukup kalau dia seorang juragan atau taukeh ikan di Kuala Besut. Apa yang perlu disedari masyarakat di pesisir pantai begitu suka kepada orang yang sehidup semati ataupun mudah ditemui. Kalau pun calon itu terkenal dan gah namanya di Kuala Lumpur ia tidak bererti kepada mereka.

Mungkin kriteria calons begini sedang diperhatikan oleh pucuk pimpin Pas Terengganu untuk diletak pada pilihan kecil Besut yang dijangka akan dilangsung bulan Ramdhan ini.http://msomelayu.blogspot.com

Bekalan gula terputus di Kota Kinabalu

 Menurut KPDNKK, bekalan gula dijangka akan tiba awal Julai ini.

Oleh Mavin Augustin

KOTA KINABALU: Kekurangan bekalan gula dari Semenanjung menyebabkan bekalan komoditi tersebut terputus di sekitar bandaraya ini sejak dua minggu lalu. Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Suhaimi Mat Sari menjangkakan bekalan gula akan sampai pada awal bulan Julai ini.

 Beliau menasihatkan pengguna supaya tidak tergesa-gesa membeli gula dan menyimpan stok gula yang banyak hingga boleh menyebabkan fenomena kekurangan gula yang tidak benar.

 Menurutnya, harga gula kawalan semasa yang ditetapkan adalah diantara RM2.50 dan RM2.60 satu kilo, namun ada di kalangan pekedai runcit mengambil kesempatan untuk menaikkan harga gula mereka dari RM2.50 kepada RM3.50 satu kilo.

“Tindakan akan dikenakan kepada peniaga yang mengambil kesempatan untuk meningkatkan harga gula dan tinjauan akan dibuat dari masa ke semasa di sekitar bandaraya ini dan pekan-pekan utama di Sabah,” katanya.

 Kesihatan 

 Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Marimuthu Nadason berkata, adalah penting kerajaan memikirkan kepentingan aspek kesihatan pengguna.

Katanya, tidak semua rakyat tahu akan kesan penggunaan gula berlebihan, yang boleh menyebabkan penyakit seperti kencing manis dan menjurus kepada sakit jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

 Menurut Persatuan Pengguna Malaysia (CAP), penduduk Malaysia mencatatkan tempat kelapan di dunia paling tinggi dalam penggunaan gula. Pada tahun 70an, penduduk Malaysia mengambil sebanyak 17 sudu gula, meningkat kepada 21 sudu gula pada tahun 80an, 24 sudu gula pada 90an dan sekarang sebanyak 26 sudu gula.

Ujar beliau, “perkembangan ini amat merisaukan kerana ia akan menjurus kepada penurunan tahap kesihatan penduduk negara ini.” Menurut statistik Kementerian Kesihatan, sebanyak 11.6 juta penduduk Malaysia menghidapi penyakit yang tidak dapat diubati seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Malaysia mencatat tempat pertama di Asia mempunyai jumlah penduduk obesiti teramai di mana 54 peratus penduduk mengalami masalah berat badan berbanding dengan 24 peratus, 10 tahun yang lalu.

International Diabetes Institute (IDI) meletakkan Malaysia pada tempat keempat jumlah tertinggi pesakit kencing manis di Asia, mencatatkan 800,000 pesakit pada tahun 2007 meningkat kepada 1.3 juta pesakit tahun 2010.

Persoalan Angkat Sumpah



Oleh Khalid Samad

Persoalan angkat sumpah sebagai ahli Parlimen telah banyak menimbulkan perbahasan di kalangan semua pihak. Ada di kalangan penyokong PR sendiri yang beranggapan bahawa Ahli Parlimen PR tidak seharusnya mengangkat sumpah.

Mengikut pandangan mereka, mengangkat sumpah akan memberikan ‘legitimasi’ kepada proses pilihan raya yang jelas tercemar dengan beberapa isu tidak ketelusan.

Walaupun tidak ramai yang berpandangan begini, namun usaha mereka untuk meyakinkan semua Ahli Parlimen supaya tidak mengangkat sumpah dilakukan secara bersungguh-sungguh. Komitmen mereka terhadap usaha ini dan kesanggupan mereka untuk memperjuangkan pandangan mereka, sehingga berhadapan dengan pihak FRU di hadapan Parlimen untuk menghantar memorandum, amat saya kagumi.

Mungkin harapan mereka disebalik desakan dan tindakan mereka ialah supaya dengan itu Parlimen tidak dapat berfungsi dan dibubarkan dengan segera dan pilihan raya diadakan kembali. Tanggapan mereka ialah sekiranya Ahli Parlimen tidak mengangkat sumpah, khususnya Ahli Parlimen PR, maka pihak BN akan tertekan sehingga terpaksa membubarkan Parlimen dengan kadar segera.

Walaupun saya mempunyai pandangan berbeza dalam persoalan ini, saya menghormati pandangan mereka serta kesungguhan mereka dalam menyatakan pandangan dan keyakinan mereka. Saya harap mereka juga boleh menghormati pendirian saya sepertimana akan saya jelaskan di bawah ini.

Ahli Parlimen BN mempunyai sikap yang ‘seakan sama’ dengan rakan kami di atas. Namun sikap mereka adalah atas niat dan tujuan yang berbeza. Sebenarnya mereka ingin supaya diberi laluan mudah di Parlimen. Hanya mereka tidak menyatakan niat mereka sebenar tetapi sebaliknya mengatakan bahawa kehadiran kami adalah pengiktirafan bahawa pilihan raya ke 13 adalah pilihan raya yang adil dan telus. Bila ditanya mengapa ianya boleh disimpulkan begitu, mereka tidak mampu menjawab dan hanya berdiam. Bagaimanakah kehadiran kami mengangkat sumpah dianggap pengiktirafan terhadap bersih dan telusnya pilihan raya ke 13?

Hakikatnya, hujjah mereka hanya helah untuk menghalang kami dari hadir. Dengan itu mereka akan mencapai apa yang merupakan matlamat di sebalik penipuan semasa pilihan raya ke 13. Iaitu menghilangkan suara wakil PR di dalam Parlimen!

Saya, seperti saudara saudari semua yakin bahawa pilihan raya ke 13 sememangnya banyak kepincangannya. Namun saya merasakan saya wajib menghadirkan diri untuk mengangkat sumpah. Ini adalah kerana kemenangan saya adalah hasil dari perjuangan gigih warga Shah Alam sehingga segala penipuan dan kepincangan diatasi! Amatlah pelik apabila kemenangan yang diusahakan dengan sebegitu gigih dicapai, maka ianya ‘diserahkan’ kembali kepada pihak lawan.

Kedua, saya tidak yakin bahawa ketidak-hadiran kami akan menyebabkan pihak BN gelisah dan keluh-kesah sehingga akan bubarkan Parlimen dengan seberapa segera. Malahan bagi mereka ianya akan menjadi peluang keemasan untuk meluluskan persempadanan baru, GST dan sebagainya tanpa sebarang perbahasan atau bantahan. Pada ketika itu mereka akan menyatakan bahawa ianya diluluskan sebulat suara tanpa bantahan dan kita akan dipersalahkan oleh rakyat kerana tidak berusaha kearah menghalangnya setelah rakyat memberikan mandat. Kita diberi amanah dan tanggung-jawab untuk membahaskan semua isu di Parlimen tetapi memilih untuk tidak hadir.

Oleh itu ketidak-hadiran kita akan dilihat sebagai tindakan tidak bertanggung-jawab oleh masyarakat umum. Ianya juga akan dilihat sebagai tindakan ingin memaksakan sesuatu ke atas masyarakat dan akan back-fire. Dalam erti kata lain, tindakan itu akan menyebabkan masyarakat marah dan bukan menyokong kita.

Ketiga, yang kita bantah ialah golongan yang menang melalui penipuan. Bukan mangsa penipuan tetapi telah berjaya mengatasi penipuan tersebut! Maka sepatutnya yang dibantah adalah yang menang melalui penipuan yang sudah pastinya bukan Ahli Parlimen PR.

Saya memahami keresahan yang dirasai rakan dari kumpulan NGO. Sememangnya pilihan raya di Malaysia amat sangat berat sebelah dan tidak adil. Daftar pemilihnya tercemar, media dikuasai dan banyak lagi yang tidak patut berlaku telah berlaku. Namun dalam keghairahan kita untuk membawa perubahan kita perlu mengakui juga beberapa fakta. Pertama, UMNO/BN masih mendapat sokongan rakyat, khususnya orang Melayu. Walaupun mereka menyokong atas sebab diputar-belit fakta, dimomok-momokkan dan sebagainya, hakikatnya, sokongan itu tetap ada. Walaupun ianya bukan majoriti dari rakyat, ianya jumlah yang tetap agak besar.

Fakta kedua yang perlu kita iktiraf juga ialah, sebahagian dari penyokong PR itu sendiri adalah pada dasarnya penyokong atas pagar. Mereka boleh saja berubah dan menyokong BN kembali sekiranya dilihat kita tidak memenuhi peranan seperti yang mereka rasakan perlu. Mereka bukan penyokong tegar yang memahami semua persoalan sepertimana kita fahami.

Oleh itu, biarlah tindakan kita bersifat berhikmah dan berperancangan. Kita terus bina kekuatan dan sokongan. Masih banyak yang perlu diperjelaskan kepada rakyat dan jangan kita bertindak dengan cara yang memungkinkan sokongan yang ada hilang. Jangan jadi seperti kata pepatah “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran”.

Akhir kata, ini bukan kali terakhir kita akan berbeza pendapat. Oleh itu adalah amat sangat diharapkan bahawa perbezaan pendapat dapat diterima dan diuruskan denga cara yang matang dan penuh perasaan saling hormat menghormati.

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

PRK Kuala Besut bangkitkan kembali isu UG?


Oleh Zulkifli Sulong

Belum cukup 60 hari berehat, Malaysia terpaksa bersedia untuk menghadapi pilihan raya lagi. Dalam masa 60 hari dari sekarang, pilihan raya kecil Kuala Besut, Terengganu akan diadakan.

Ia terpaksa diadakan ekoran kematian Adunnya, Dr. A. Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu.Ini adalah siri pilihan raya kecil (PRK) yang pertama selepas pilihan raya umum ke 13, 5 Mei lalu.

Ia sangat memenatkan bagi mereka yang terlibat.

Kerusi-kerusi yang terlibat dalam PRK selepas PRU 12 adalah Parlimen Kuala Terengganu (PAS menang), Permatang Pauh (PKR), Bukit Gantang (PAS), Hulu Selangor (BN), Sibu (DAP) dan Batu Sapi (BN).

Kerusi DUN adalah Galas (PAS), Bukit Selambau (PKR), Batang Air (BN), Penanti (PKR),  Manek Urai (PAS), Permatang Pasir (PAS), Bagan Pinang (BN), Tenang (BN), Merlimau (BN), Kerdau (BN).

KRITIKAL

Pilihan raya kecil ini amat kritikal untuk kerajaan negeri Terengganu kerana kini BN mempunyai 17 kerusi manakala Pakatan Rakyat 15 kerusi.

Dengan kematian Dr Rahman, jumlah kerusi adalah BN 16 dan Pakatan 15.

Jika Pakatan menang dalam  pilihan raya kecil ini nanti bermakna DUN Terengganu akan mempunyai bilangan ahli yang sama antara BN dan Pakatan.

Jika itu berlaku, apa akan berlaku kepada kerajaan negeri Terengganu tidak dapat diramalkan. Ia adalah DUN yang tergantung.

Ekoran itulah, banyaklah suara-suara nakal yang meramalkan akan berlaku UG (Unity Government) antara PAS dan Pakatan Rakyat dengan BN di Terengganu.

Istilah UG sangat sensitif kepada PAS. Ini kerana di dalam PAS ada satu puak yang digelar geng-geng UG.

Ia tuduhan dilemparkan kepada kumpulan yang mahu diadakan kerjasama antara PAS dengan  Umno dalam membentuk kerajaan selepas pru 12 lalu.

Pelopor golongan ini sudah tidak ada lagi dalam PAS atau tidak aktif lagi.

UG atau kerajaan perpaduan asalnya satu  gagasan baik dari Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk meredakan kepanasan suasana politik tanah air, namun ia dijadikan isu politik dan tidak boleh dipertahankan kerana salah faham yang berlaku mengenainya.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut dalam sidang medianya selepas mesyuarat Badan Perhubungan PAS Terengganu semalam berkata, tidak mustahil PAS boleh menang dalam PRK Kuala Besut ini.

Ini kerana, PAS pernah menang dua kali di kerusi itu iaitu 1969 dan 1999. Ini bermakna, PAS menunggu 30 tahun untuk menang semula kerusi itu.

Jika aturan itu sekata, PAS perlu tunggu pilihan raya 1929 untuk menang sekali lagi.

Pada pilihan raya tahun 1999, PAS berjaya memenangi 26 dari 32 kerusi DUN Terengganu termasuk kerusi Kuala Besut.

Hasilnya Presiden PAS, Abdul Hadi dilantik sebagai MB Terengganu.

Namun kerajaan Terengganu bertahan hanya satu penggal sahaja. Dalam pilihan raya umum 2004, PAS kalah apabila memenangi hanya enam kerusi sahaja.

Ekoran itulah, Datuk Idris Jusoh (kini Menteri Pelajaran 2) menjadi MB Terengganu.

Idris adalah anggota Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Besut. Selepas PRU 2008, Idris tidak lagi menjadi MB Terengganu.

Ini ekoran istana Terengganu tidak berkenan dengan beliau. Ekoran itu terpilihlah Datuk Seri Ahmad Said sebagai MB hingga sekarang.

CALON

Dalam PRU 1999, calon PAS Ustaz Nik Zawawi Salleh menang di DUN Kuala Besut. Selepas itu kerier politik Nik Zawawi meningkat.

Beliau kini adalah Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, badan yang tertinggi dalam PAS.

Namun begitu dalam PRU Mei lalu, Nik Zawawi tidak terpilih sebagai calon PAS.

Difahamkan kerana bantahan pemimpin PAS tempatan yang tidak bersetuju dengan beliau.

Politik PAS sejak dahulu sentiasa panas di Besut. Ada pemimpin PAS yang dilaporkan  pernah ditumbuk kerana berusaha untuk menyelesaikan masalah politik tempatan.

Sebab itulah, dalam pemilihan PAS dua tahun lalu, nama baru naik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan.
Ustaz Wan Azhar, yang baru pulang dari Sabah dipilih menjadi YDP PAS Kawasan.

Mungkin atas faktor itulah juga calon wanita dipilih dalam pilihan raya umum lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, calon PAS, Napisah Ismail kalah kepada Allahyarham Dr A Rahman dengan majoriti 2,434 undi. Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 peratus Cina dan 0.1 peratus India.

Sekarang, fokus utama untuk menentukan kemenangan mana-mana parti di sini adalah calonnya. Jadi siapakah calon PAS dan Umno dalam pilihan raya umum kali ini?

Bagi PAS sekurang-kurangnya senam nama disebut-sebut bakal dinamakan sebagai calon. Ini kerana, kata putus akhir terletak kepada Majlis Syura Ulama.

Yang pertama adalah Setiausaha Majlis Syura sendiri yang pernah menang PRU 1999 lalu iaitu Datuk Nik zawawi Salleh.

Ini berdasarkan rekod beliau pernah menang di situ dan anak tempatan.

Yang kedua adalah Napisah Ismail sendiri, bekas calon PAS di situ.

Namun kekalahan dengan majoriti 2,400 undi agak menyusahkan bagi PAS untuk memilih beliau semula.
Yang ketiga adalah Ridhuan Mohd Nor, calon PAS Parlimen Besut dalam PRU 13 lalu.

Beliau juga  Ketua Penerangan Dewan pemuda PAS Pusat.

Manakala yang keempat adalah YDP PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar.

Walau beliau juga kalah di DUN Jertih dalam pilihan raya baru-baru ini namun nama beliau tetap popular sebagai pemimpin PAS tempatan.

Turut disebut adalah Ahmad Sabki Yusof, Penolong Setiausaha Agung PAS dan juga Dr Ahmad Samsury Mokhtar, Setiausaha Politik Presiden PAS yang kedua-duanya berasal dari Besut.

Difahamkan, nama Wan Azhar yang paling popular sekarang kerana rumah beliau dan keluarga adalah dalam DUN Kuala Besut walaupun bertanding di Jertih dalam PRU baru-baru ini. Beliau juga mendapat sokongan padu pelbagai golongan di Terengganu termasuk ulama.

Siapa pula calon BN untuk Kuala Besut? Ia satu yang sukar untuk diteka.

Ini kerana, semua tokoh-tokohnya sudah menang dalam PRU 13 lalu. Cuma isu yang menariknya adalah samada dia orang pilihan  Ahmad Said MB Terengganu atau orang Datuk Idris Ketua Umno Kawasan Besut.

PENGUNDI

Kuala Besut pada asasnya adalah kampung nelayan. Di sini juga terletak jeti bot untuk ke pulau-pulau peranginan iaitu Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

Oleh itu, faktor nelayan dan industri pelancongan mewarnai pengundi di kawasan ini.

Satu lagi faktor adalah kakitangan awam. Walaupun Kuala Besut bukan pusat bandar utama untuk daerah Besut kerana pusatnya terletak di Jertih tetapi hampir kesemua pejabat kerajaan negeri dan pusat untuk daerah Besut terletak di Kampung Raja iaitu pekan utama dalam DUN Kuala Besut.

Ini bermakna, pengundi utama yang ada di Kuala Besut adalah nelayan, pegawai kerajaan dan mereka yang terlibat dengan industri pelancongan.

Faktor sempadan dengan Kelantan juga bakal menentukan corak kempen dan isu sepanjang pilihan raya ini.

Ini kerana Kuala Besut bersempadan dengan Pasir Puteh yang terletak di Kelantan yang ditadbir oleh PAS.

Perlabuhan Tok Bali kini menjadi perlabuhan nelayan yang penting di sebelah pantai timur. banyak bot-bot nelayan laut dalam yang mendaratkan tangkapan mereka di sini.

Dengan tidak langsung ia akan menjadi faktor juga dalam pilihan raya kali ini.

Pendek kata, pilihan raya kecil kali ini amat penting bagi kedua-dua pihak, Umno dipihak BN dan PAS di Pakatan Rakyat.

Menang PAS bermakna DUN akan menjadi 16:16. Namun ramai beranggapan, amat sukar untuk PAS menang.

Tetapi sebagaimana kata Wahid, peluang PAS untuk menang tetap ada jika kena dengan  calon dan strateginya serta usaha kuat dari petugasnya

SPR terus perbodoh rakyat: tiada logik dakwat kekal untuk PRK




Oleh Edy Noor Reduan

Susulan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar, SPR akan menggunakan dakwat kekal yang lebih baik dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) segera membidas cadangan yang mengelirukan rakyat.

Cukup-cukuplah dengan penipuan demi penipuan yang dilakukan SPR untuk menutup kegagalan sistem dakwat kekal, rakyat terus diperbodohkan lagi dengan cadangan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya kecil N1 Kuala Besut.

Apakah SPR tidak memahami hukum logik sistem penggunaan dakwat kekal sebelum melontarkan cadangan yang kononnya bertujuan meredakan kemarahan rakyat?

Logiknya penggunaan sistem dakwat kekal ialah untuk memastikan setiap pengundi dicalit dakwat tersebut sebagai tanda sudah mengundi, dan ia melibatkan semua pengundi pada pilihanraya umum. Dakwat seharusnya kekal selama 7 hari memandangkan hampir 300 ribu pengundi awal dan pengundi pos membuang undi mereka 5 hari sebelum hari mengundi. Maka jika sistem ini berjalan baik, mereka yang sudah mengundi samada pengundi awal atau pengundi biasa, tidak boleh mengundi kali kedua kerana dakwat masih dijari. Ini konsepnya.

Tetapi apa yang berlaku pada 5 Mei lalu ialah ratusan ribu pengundi awal telah terdedah untuk mengundi lebih dari sekali malah pengundi yang membuang undi 5 Mei juga boleh berbuat demikian kerana didapati dakwat kekal itu sebenarnya pewarna tiruan sahaja, tidak mampu kekal walau 5 minit merujuk kepada banyak kes dan laporan polis. Integriti pilihanraya hancur dan undang-undang PRU-13 dicemari dengan teruk sekali.

Kini setelah SPR hilang sepenuhnya kepercayaan rakyat dan didesak oleh majoriti rakyat supaya berundur, SPR yang sama telah cuba untuk perbodoh rakyat dengan cadangan sistem dakwat kekal di PRK K.Besut.

Mana mungkin sebuah pilihanraya kecil mengamalkan sistem dakwat kekal melainkan pengundi di seluruh negara selain pengundi DUN K.Besut ditandakan dakwat kekal terlebih dahulu sehari sebelum hari pengundian N1 K.Besut.

Dengan kata lain, menandakan dakwat kekal kepada hanya sekelompok pengundi di K.Besut sedangkan berbelas juta pengundi tempat lain bebas untuk masuk dan menyamar sebagai pengundi adalah sangat tidak relevan. Tiada logik sistem dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya kecil.

Justeru itu, SAMM melihat cubaan Timbalan Pengerusi SPR membuktikan dakwat yang bakal digunakan di PRK K.Besut lebih kekal dari 5 Mei adalah berniat jahat untuk menutup isu sebenar. Rakyat kini tidak mahu lagi dakwat kekal, rakyat mahu dakwat kekal pada 5 Mei dan kegagalan berbuat demikian sepatutnya kamu dan semua koncu kamu meletakkan jawatan.

Cubaan yang baik dari SPR, namun rakyat semakin bijak dan semakin kental untuk terus melawan! Biarpun ada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menerima keputusan pilihanraya sepertimana ahli parlimen Barisan Nasional, namun rakyat tetap menolak keputusan yang penuh penipuan, menggelapkan demokrasi yang juga merampas kemanangan rakyat.

Anak muda akan lawan sampai menang! Rakyat bersatu tidak akan dikalahkan!

IPF dibubar automatik jika kemelut tidak selesai dalam sebulan

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) meminta Datuk M. Sambanthan yang mendakwa dirinya sebagai presiden parti itu supaya bergabung dengan jawatankuasa parti sedia ada bagi mendaftarkan semula parti itu dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Presiden IPF M. V. Mathiyalagan berkata pihaknya telah menerima surat daripada ROS pada 6 Jun lalu yang menyatakan wujudnya dua barisan pemegang jawatan, dua pejabat urusan dan dua orang yang mendakwa dirinya sebagai presiden parti dan pada masa sama mengemukakan dokumen parti kepada ROS.

Katanya ROS memberi tempoh sebulan kepada mereka untuk mengadakan perbincangan dengan anggota parti bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan dan mematuhi notis ROS atau IPF akan terbubar secara automatik.

"Kami telah mengemukakan dokumen lengkap bagi pendaftaran semula parti daripada ibu pejabat kami di Jalan Ipoh, tetapi pada masa yang sama ibu pejabat pihak Sambanthan dari Serdang juga melakukan perkara yang sama.

"Justeru, ROS tidak boleh mengiktiraf parti kami sebagai sebuah parti yang sah kerana percanggahan itu," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat anggota parti di Wisma Tun Sambanthan di Kuala Lumpur hari ini.

Kemelut IPF bermula pada 2008 sejak kematian pengasas Tan Sri M.G. Pandithan yang menyebabkan parti itu terbahagi dua kumpulan di antara penyokong isteri mendiang Jayshree M.G. Pandithan dan Mathiyalagan.

Masalah semakin meruncing apabila Jayshree yang memangku jawatan presiden parti pada 2010 mengiktiraf Sambanthan sebagai presiden walaupun mesyuarat agung memilih Mathiyalagan.

Mathiyalagan berkata pihaknya telah menjemput pihak Sambanthan sebanyak dua kali untuk mengadakan perbincangan untuk bergabung selepas menerima surat daripada ROS.

"Kami telah menghantar dua jemputan untuk mengadakan perbincangan tetapi malangnya beliau bukan sahaja tidak memberi respons, sebaliknya menghantar surat jemputan kepada kami menjadi anggota parti itu dengan mengemukakan yuran tahunan sebanyak RM3.

"Dalam surat jemputan itu juga mereka tidak menawarkan sebarang jawatan tinggi kepada kami dan hanya menawarkan keanggotaan biasa sahaja," katanya.

Mathiyalagan berkata pihaknya tidak mahu menerima jemputan itu yang dianggap sebagai tidak adil; malah, ROS masih belum mengiktiraf parti IPF sebagai parti yang sah.

Beliau turut berharap ROS dapat melanjutkan tempoh kepada enam bulan untuk menyelesaikan masalah itu sebelum mesyuarat perwakilan parti dan pemilihan semula diadakan, dijangka pada Januari depan.

Mathiyalagan yang merupakan pejuang parti itu selama 25 tahun juga berkata jawatankuasa di bawah pimpinannya terdiri daripada 10 anggota jawatankuasa tertinggi dan mempunyai 150,000 anggota di 1,000 cawangan seluruh negara berbanding Sambanthan yang mempunyai lima anggota jawatankuasa tertinggi, 80,000 anggota dan 360 cawangan di seluruh negara.

Mathiyalagan turut meminta Sambanthan berhenti menggunakan identiti sebagai presiden parti ketika memberi kenyataan kepada umum selagi parti itu belum disahkan oleh ROS.

Katanya pihaknya akan menghantar memorandum berhubung penggabungan itu kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak dan barisan kepimpinan tertinggi BN dalam masa terdekat. - Bernama, 1 Julai, 2013.

Idris: Pas tetap tak boleh perintah Terengganu


Datuk Seri Idris Jusoh
Datuk Seri Idris Jusoh
 
BESUT - Pas tidak akan boleh memerintah Terengganu walaupun parti itu menang dalam Pilihan raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan.

Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kelebihan satu kerusi speaker menghalang Pas memerintah negeri ini walau pun ditakdir parti itu menang.

Menurutnya, sekarang BN mempunyai kedudukan 18 kerusi termasuk satu kerusi speaker, manakala pembangkang 15 kerusi dan kalau mereka menang PRK kali ini, kedudukan masih 16-17.

“Sekiranya pembangkang menangpun ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada mereka tetapi akan menyulitkan pembangkang. Justeru, rakyat perlu terus mengundi BN kerana rakyat akan mendapat manfaat yang besar,” katanya selepas Taklimat Khas PRK Dun Kuala Besut di Damai Beach Resort dekat Kampung Raja, semalam.

Hadir sama, kepimpinan parti peringkat negeri dan bahagian Besut.

Idris berkata, Umno sedang menyusun pelbagai strategi dan gerak kerja semua peringkat termasuk bantuan pusat untuk menghadapi PRK kali ini.

Beliau berkata, beberapa cadangan calon BN tempatan telah disenaraikan dan senarai akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon.

“Kita akan mencari calon tempatan yang disenangi dan disukai oleh rakyat kerana calon yang disukai rakyat akan memberi lebih kemenangan,” katanya.

Pemilihan Umno: Nama Ku Li muncul lagi...


Pemilihan Umno: Nama Ku Li muncul lagi...
 
KETIKA Umno dikatakan mahu menjadikan partinya lebih demokratik dalam menentukan pucuk pimpinan parti, nama yang tidak asing lagi meniti di bibir pemerhati ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Ku Li digambarkan sebagai individu yang begitu mendambakan kedudukan Datuk Seri Najib Tuan Razak dalam Umno sejak sekian lama.

Maka tidak hairanlah, mungkin dek kerana sejarah lampau itu, nama Ku Li kembali menjadi sebutan tatkala pemilihan Umno semakin hampir.

Menurut Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, setiap kali menjelang pemilihan Umno, nama Ku Li akan menjadi sebutan untuk merebut jawatan nombor satu itu.

"Setiap kali adanya pemilihan parti nama Ku Li akan diangkat sebagai seorang calon yang akan bertanding menentang Najib," katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online.

Pemilihan Umno yang akan berlangsung tahun ini menyaksikan beberapa perubahan yang memberi kebaikan kepada parti itu dan menjadikannya lebih demokratik dan terbuka.

Beberapa pindaan besar telah dilakukan dalam Perlembagaan Umno pada 2009 sejak jawatan presiden parti disandang Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemilihan parti yang dahulunya tertakluk kepada sistem kuota telah dipinda, di mana ia membolehkan jawatan presiden serta timbalan presiden parti dicabar oleh mana-mana ahli.

Malahan sistem kuota juga tidak lagi terpakai dalam pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Kenyataan sama turut diperkukuhkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih mesra dengan panggilan Ku Nan.

Menurutnya, parti itu tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan diri bertanding termasuk bagi merebut jawatan nombor satu parti.

"Semua jawatan boleh bertanding. Semua jawatan dari peringkat presiden hinggalah ke jawatan Ahli Majlis Tertinggi.

"Hanya daftarkan diri... semua boleh bertanding," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal menegaskan, jawatan presiden dan timbalan presiden wajar dipertandingkan, tidak seperti pandangan beberapa pimpinan Umno, yang mahu ia kekal milik Najib.

Namun katanya, ia mestilah bertunjangkan semangat demokrasi matang, di mana tidak akan berlaku perpecahan apabila jawatan itu dipertandingkan kelak.

"Semangat demokrasi ini baik untuk ahli, namun jangan sampai amalan demokrasi ini boleh memecahbelahkan ahli parti, ianya tidak baik," katanya.

Sementara itu, menurut pensyarah Geografi Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Azmi Hasan, kenyataan Ku Nan supaya diadakan pertandingan bagi merebut jawatan dalam pemilihan Umno adalah sangat baik.

"Saya lihat amalan ini merupakan satu praktik demokrasi yang subur.

"Parti Umno sangat kuat sekarang, jadi tiada sebab kenapa pemilihan Umno tidak diwujudkan pertandingan (jawatan tertinggi)," katanya.

Sementara ketika ditanya mengenai calon yang sesuai untuk bertanding bagi jawatan presiden, beliau mengatakan ada desas-desus yang mengatakan bahawa Ku Li akan bertanding merebut jawatan tersebut.

"Kemungkinan Ku Li, namun begitu, saya lihat Ku Li tidak mendapat sokongan akar umbi.

"Beliau banyak mendapat sokongan daripada kalangan orang luar parti bukan ahli perwakilan Umno sendiri.

"Maknanya Ku Li harus berkerja kuat untuk menang jawatan tersebut," katanya.

Sementara itu Ketua Kluster, Politik, Keselematan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, melahirkan kebimbangan apakah ahli Umno bersedia untuk mengambil risiko jika jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan.

"Demokrasi membenarkan pertandingan, namun Umno perlu bijak menilai perkara ini," katanya.

Ini kerana pada pandangannya kepimpinan yang ada sekarang sudah cukup berwibawa untuk memimpin parti dan negara.

"Kepimpinan sekarang masih boleh bekerja, saya rasa mereka perlu meneruskan agenda transformasi mereka untuk memajukan parti dan negara," katanya.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, Perlembagaan Umno yang tidak mengenakan sebarang syarat kepada mana-mana ahli parti yang ingin bertanding pada pemilihan kali ini dapat melibatkan lebih ramai ahli.

"Selain itu, langkah itu akan cuba meminimumkan politik wang pada pemilihan akan datang," katanya.

Ditanya kemungkinan jawatan tertinggi itu akan dicabar, beliau berkata Umno parti terbuka, mana-mana ahli boleh bertanding jawatan tersebut tanpa halangan.

"Ahli Umno kena berfikir secara serius.

“Apakah kita perlu mengganti jawatan presiden? Bagi saya kita perlukan usaha Najib sebagai presiden, tapi kalau ada orang lain hendak bertanding, kita tidak boleh menghalang.

“Setakat yang saya dengar, tiada ada mana-mana nama yang ingin mencabar jawatan presiden Umno," katanya.

Bantuan BR1M RM1,200 boleh bertahan dua bulan, kata menteri

Oleh Md Izwan

Datuk Ahmad Maslan memberitahu Dewan Rakyat hari ini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan kepada RM1,200 mampu menyara isi rumah selama dua bulan, berbeza dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan wang BR1M sebanyak RM500 boleh bertahan selama setahun.

Semasa pemberian BR1M 2.0 pada Februari lalu, Najib berkata sekiranya RM500 dibahagikan kepada 12 bulan setiap bulan satu isi rumah akan memperoleh RM41.60 dan ia mencukupi untuk menyara mereka selama setahun.

"Apabila BRIM dinaikkan kepada RM1,200 ia akan diterjemahkan dengan membantu perbelanjaan isi rumah untuk dua bulan, 10 bulan lagi mereka perlu usahakan sendiri," kata Timbalan Menteri Kewangan tersebut semasa menjawab soalan di Parlimen pagi ini.

Petugas SPR dapat bonus RM200 juta, kata menteri

Oleh Md Izwan

Para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjalankan tanggungjawab dan bekerja semasa pilihan raya umum ke-13 lalu telah menerima wang bonus sebanyak RM200 juta lebih, kata Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata sebanyak RM400 juta telah diluluskan kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya pada 5 Mei lalu, peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding kos Pillihan Raya 2012 yang hanya berjumlah RM200 juta.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kos perbelanjaan Pilihan Raya Umum 2013 yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan adalah sebanyak RM400 juta," kata Shahidan.

"Bayaran perkhidmatan dan saguhati kepada semua petugas pilihan raya umum adalah sebanyak RM204,100,000."