HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Disember 2013

Selamatkan Malaysia dari ramalan kemiskinan 2030- Nurul Izzah

Oleh: Ainudin Othman


PETALING JAYA: Dengan memetik kajian dilakukan Pengurusan Kekayaan Bank Amerika, Merill Lynch, Nurul Izzah Anwar berkata Malaysia kini berdepan dengan ancaman kemiskinan menjelang 2030.

“Kajian Merill Lynch meramalkan Malaysia akan jadi masyarakat yang muda dan miskin menjelang 2030.

“Adalah menjadi tanggungjawab generasi kini untuk memastikan kita terselamat daripada ramalan-ramalan yang menggerunkan sebegini dan rantaian belenggu oleh pihak kerajaan,” ujarnya ketika ucap tama dalam Forum Fiqh Tawaqqu ‘Masa Depan Masa Kita’ di sebuah hotel di Petaling Jaya malam tadi.

Menurutnya, rakyat harus sedar mereka ditekan dengan pelbagai dasar kerajaan terutama dalam bidang ekonomi akibat kegagalan urus tadbir dan amalan rasuah yang tidak terbendung.

“Sekiranya rasuah terus berkembang seperti sekarang, sudah tentu pada masa depan ia akan memufliskan negara, melebarkan jurang antara kaya dan miskin, menaikkan harga barang, menyempitkan peluang pekerjaan serta perniagaan dan memaksa majoriti rakyat untuk bergantung kepada bantuan kewangan demi menyara kehidupan.

“Pengenalan dasar lain seiring dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan melebarkan lagi jurang ekonomi di Malaysia yang kekal antara  tertinggi di Asia,” tegas Naib Presiden KEADILAN itu.

Beliau turut menyentuh isu kemerosotan bidang pendidikan yang dilihat membantutkan proses daya saing negara di peringkat global serta sistem parlimen yang gagal mewakili kepentingan suara rakyat.

Forum yang bermula jam 8 malam itu dan dihadiri kira-kira 300 orang diadakan sebagai usaha menentang kezaliman dilakukan kerajaan BN pasca pilihan raya umum lalu.

Forum dijayakan oleh moderator, Wan Ji Wan Husin serta tiga ahli panel terdiri daripada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Gaji wakil rakyat PKR S’gor untuk tabung pendidikan

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima pandangan semua pihak mengenai kenaikan gaji yang melibatkan wakil rakyat Selangor.

“Saya juga telah mendapat penjelasan daripada Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai rasional kenaikan gaji tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Pun begitu, katanya PKR sebagai parti yang membawa semangat reformasi perlu terus sensitif dengan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat terbanyak.

Oleh itu, ujarnya setelah berbincang dengan Khalid, beliau bersetuju bahawa satu Tabung Pendidikan PKR Anak Selangor akan ditubuhkan bertujuan mengagihkan biasiswa pendidikan kecil dan mengendalikan program pendidikan terutamanya di peringkat sekolah menengah dan pra-universiti.

Katanya, setiap wakil rakyat PKR akan menyumbang RM1,000 sebulan atau 20% dari jumlah kenaikan gaji bulanan yang diumumkan untuk membiayai pemberian biasiswa kecil dan program pendidikan di bawah tabung pendidikan itu.

Menurutnya, jumlah sumbangan wakil-wakil rakyat PKR dari Selangor kelak dijangka mencecah setengah juta setahun dari kenaikan gaji mereka yang dapat membantu keluarga berpendapatan rendah dalam bidang pendidikan.

Perak patut contohi cuti Jumaat di Johor






Oleh Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob



Pemuda PAS Perak berharap Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan kerajaan negeri mengkaji dan mencontohi Johor yang menjadikan Jumaat sebagai cuti minggu. Kami secara terbuka menyokong usaha menjadikan hari cuti mingguan diubah kepada Jumaat jika Zambry ingin melaksanakannya pada masa akan datang.

Kini beberapa negeri telah menjadikan hari Jumaat sebagai cuti mingguan seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta terbaru diumumkan di Johor.

Kami merasakan jika ia baik bagi Perak, ia wajar dilaksanakan kerana hari Jumaat bagi umat Islam penghulu segala hari.

Kami harap Zambry dapat membuat kajian dan seterusnya mencadangkan cuti tersebut.

Kami yakin semua pihak akan menyokong cadangan tersebut dan mengharapkan cuti hari Jumaat kelak akan menjadi hari ilmu buat rakyat negeri Perak.

Hasrat kerajaan negeri untuk memastikan modal insan yang baik di kalangan umat Islam dan memberikan suntikan ilmu kepada rakyat akan terlaksana dengan mudah jika hari Jumaat cuti kelak.

Kami mengharapkan pertimbangan Zambry menyokong usaha murni ini di Perak.


DR RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAAKOB ketua Pemuda PAS Perak.

Ustaz Kazim dipilih untuk bantu mengenai Islam

SINAR HARIAN

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor  
 
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor


PUTRAJAYA - Pelantikan Ustaz Mohammad Kazim Elias sebagai Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dibuat supaya pendakwah terkenal itu dapat membantu Umno membetulkan kekurangan dalam parti mengenai Islam, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata walaupun terdapat banyak pakar berkaitan Islam dalam parti namun langkah ini penting memandangkan Umno sendiri adalah parti Islam terbesar di negara ini mengikut keanggotaan umat Islam paling ramai.

Pelantikan itu juga membuktikan Umno kini menuju transformasi apabila wakil agama, anak muda dan profesional dilantik sebagai anggota MT Umno, katanya dalam sidang media selepas program 'Back To School' di sini hari ini.

"Saya ada baca blog yang menuduh Uztaz Kazim hendak kedudukan dan wang, itu tidak betul, beliau dilantik untuk membantu memberi nasihat mengenai hal agama.

"Belum pernah ada dalam sejarah Umno, ada pelbagai wakil, ini menunjukkan tambahan ahli majlis adalah satu daripada transformasi Umno," kata Tengku Adnan yang mengumumkan pelantikan Ustaz Kazim antara sembilan orang sebagai Anggota MT Umno semalam.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata isu kenaikan cukai pintu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berlaku apabila terdapat salah faham mengenai maklumat yang ingin disampaikan oleh pegawai DBKL kepada penduduk setempat.

"Ini berlaku kerana terdapat jurang komunikasi, sebagai contoh notis kenaikan cukai pintu yang dikeluarkan hanya mencatatkan nilai hartanah baharu sahaja sedangkan warga kota juga perlu tahu nilai hartanah terkini bagi tujuan perbandingan," katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan persekolahan RM100 dan beg sekolah kepada 610 kanak-kanak dari sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya. - Bernama

GST tidak akan miskinkan rakyat

GST


KUALA LUMPUR - Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bakal dilaksanakan pada April 2015 tidak akan menjadikan rakyat miskin.

Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Faizulnudin Hashim berkata, ini kerana ia menggantikan cukai sedia ada yang lebih tinggi.

“GST ini akan menggantikan cukai jualan lima peratus, dan 10 peratus serta cukai perkhidmatan enam peratus. Kesan cukai dulu bersifat dua kali dan bertindih yang mengakibatkan cukai berganda.

“Kalau ikutkan kuasa membeli, kita berada di pertengahan. Singapura yang ada kuasa beli tinggi sudah lama laksanakan GST. Kuasa membeli Thailand lebih rendah daripada kita, tapi (ia) melaksanakan GST. Sudan juga negara miskin dan laksanakan GST,” katanya ketika menyampaikan Seminar Penerangan Rasionalisasi Subsidi: Apa itu GST dan Kesannya Kepada Pengguna, di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan membuat kajian terlebih dahulu bagi melaksanakannya berdasarkan kedudukan ekonomi negara.

“Berdasarkan model diperkenalkan, tidak semua barangan dan perkhidmatan akan dikenakan GST, termasuk kemudahan pengangkutan awam, tol, kesihatan, kewangan, tanah dan juga perumahan.

“Selain itu, produk pertanian serta makanan asas tidak akan dikenakan GST. Namun begitu kadar GST hanya boleh dilaksanakan oleh kedai yang membuat jualan sehingga RM500,000 setahun ke atas. Hampir 160 negara sudah pun melaksanakan GST, di Asean sahaja, cuma Malaysia, Brunei dan Myanmar  tidak laksanakan GST, Myanmar dikatakan akan melaksanakan GST,” kata beliau.

Katanya, di awal pelaksanaan GST, beliau tidak menafikan harga sesetengah barangan akan naik, tetapi menuntut supaya rakyat bijak berbelanja.

“Kenaikan harga memang akan berlaku, sebab dulu ada barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai. Di bawah sistem GST, semua kena cukai melainkan yang sudah dikecualikan sahaja.

“Tetapi ada tiga komponen indeks yang menunjukkan penurunan harga. Dalam komponen-komponen ini, pada ketika ini kadar cukainya pada kadar 10 peratus. Secara logiknya apabila cukai dikurangkan kepada enam peratus, berlaku penurunan. Selain daripada itu akan berlaku kenaikan harga. Hasil daripada simulasi yang kita buat akan berlaku kenaikan enam peratus perbelanjaan kita mengikut kadar cukai,” katanya.

Tinjauan Kenaikan Gaji Adun: Majoriti Bersetuju, Tetapi Lebih Baik Dengan Kadar Munasabah




PETALING JAYA: Langkah kerajaan negeri Selangor menaikkan gaji wakil rakyatnya mendapat reaksi yang pelbagai.

'The Star Online' baru-baru ini menjalankan kajian meminta pandangan orang ramai mengenai perkara ini dan 44 peratus daripada 623 responden berkata 'ia (kenaikan) harus tetapi pada kadar yang munasabah'.

Ini diikuti dengan 20 peratus yang berpendapat 'ya mereka berhak untuk setiap sen yang mereka dapat', manakala 18.3 peratus mendakwa bahawa wakil rakyatnya telah pun mendapat bayaran gaji yang mencukupi.

Baki 18.1 peratus pula berkata soal kenaikan gaji ini bukanlah perkara besar selagi wakil rakyat menjalankan tugas yang diberikan kepada mereka.

Seorang responden berkata penjawat awam perlu mendapat lebih banyak insentif untuk berkhidmat lebih baik kepada rakyat kerana bayaran yang baik untuk perkhidmatan awam akan mewujudkan pekerja yang cemerlang.

"Negara-negara lain telah lama memahami perkara ini. Jurang antara negeri-negeri adalah normal dan selagi ganjaran adalah berdasarkan prestasi negeri-negeri, bajet dan kekangan, rakyat akan mendapat manfaat."

Seorang lagi responden berkata wakil-wakil negeri perlu dibayar mengikut prestasi. Matlamat yang jelas perlu ditetapkan dan wakil-wakil rakyat dibayar mengikut sejauh mana mereka memenuhi matlamat.

"Jika wakil rakyat dapat mencapai matlamat prestasi mereka dan dapat menunjukkan hasilnya, maka mereka harus memenuhi syarat untuk mendapat kenaikan gaji. Jika pekerja produktif, semua orang akan menyokong kenaikan gaji, bagaimanapun adalah penting ia dilakukan secara telus kepada orang ramai yang benar-benar membayar gaji mereka.

"Peningkatan gaji mestilah sepadan dengan akauntabiliti, skop dan hasil sasaran. Kenaikan ini akan mendorong mereka untuk melaksanakan tugas sewajarnya," kata responden yang lain.

Kebanyakan responden bersetuju bahawa langkah menaikkan gaji akan membantu mengurangkan rasuah sambil menggalakkan mereka untuk berkhidmat lebih baik kepada rakyat kerana ramai wakil-wakil negeri perlu membayar sumbangan dan derma bagi keperluan kecemasan di kawasan pengundi mereka.

Beberapa orang yang lain bagaimanapun menyatakan bahawa langkah itu tidak perlu dalam iklim ekonomi semasa negara ini.

"Memandangkan faktor-faktor inflasi, satu kuantum kenaikan saksama adalah wajar untuk menampung beban yang dibawa oleh faktor-faktor tersebut.

"Bagaimanapun, jika beliau (MB Selangor) berasa mereka semua tidak dibayar secukupnya, lebih baik mereka meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada orang lain yang boleh melakukan pekerjaan itu dan bersedia untuk memimpin dan berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas tanpa mengambil kesempatan daripada kuasa dan kedudukan untuk keuntungan kewangan," kata seorang responden.

Seorang lagi responden berkata langkah itu adalah tidak adil kerana rakyat dinasihatkan supaya berjimat cermat dan menyimpan wang dan subsidi mereka telah ditarik balik manakala wakil-wakil rakyat telah diberikan kenaikan gaji kononnya untuk 'menjaga rakyat'.

Ramai responden berkata kanaikan ini bermakna wang telah digunakan untuk kenaikan gaji dan bukannya digunakan untuk memperbaiki kehidupan rakyat.

Tinjauan ini, yang menerima lebih daripada 100 komen tanpa nama mempunyai jumlah tindak balas positif dan negatif yang hampir sama.

Pada Rabu, kerajaan Negeri Selangor mengumumkan hampir 400 peratus kenaikan gaji bagi wakil rakyat mulai tahun depan.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa kenaikan itu adalah disebabkan oleh peningkatan tugas wakil-wakil rakyat serta rizab simpanan Selangor dan permintaan yang oleh wakil-wakil rakyat sendiri.

Kemudian,Pulau Pinang dan Johor juga mengumumkan akan mempertimbangkan kenaikan gaji Adun mereka.

Keputusan undian terkini (7 petang):

Adakah anda fikir gaji Adun yang dipilih patut ditingkatkan?
640 responden

Ya. Tetapi pada kuantum yang munasabah - 44.06% (282)
Ya. Mereka berhak untuk setiap sen yang mereka dapat - 19.06% (122)
Tidak. Mereka sudah mendapat bayaran yang cukup - 18.44 % (118)
Tidak mengapa. Selagi mereka melakukan tugas mereka - 18.44 % (118)

Pasukan Khas Ditubuh Kaji Isu Kahwin Bawah Umur - Rohani

 
Rohani
 
MTAR ONLINE


SEBUYAU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengkaji isu perkahwinan bawah umur di negara ini, kata menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Katanya pasukan khas di bawah Majlis Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-Kanak kementerian itu dipertanggungjawabkan untuk mengkaji kemungkinan mewajibkan penyediaan laporan kesihatan dan sosial sebelum permohonan untuk perkahwinan bawah umur ini dapat diluluskan.

"Kedua-dua laporan ini diyakini dapat membantu Mahkamah Syariah (untuk kes orang Islam) dan Mahkamah Anak Negeri (untuk kes orang bukan Islam) membuat pertimbangan yang sewajarnya," katanya dalam sidang media di sini Sabtu.

Menurutnya kementeriannya memandang serius kes perkahwinan bawah umur di negara ini memandangkan isu ini banyak mengundang perkara negatif.

"Remaja bawah umur 18 tahun mesti diberi perlindungan dan pembelaan sewajarnya kerana mereka merupakan golongan yang mudah diesksploitasi," katanya. - BERNAMA

MT Umno: Saya masih belum buat keputusan

SINAR HARIAN

Mohammad Kazim Elias  
 
Mohammad Kazim Elias


KUALA LUMPUR - Pendakwah bebas, Ustaz Mohammad Kazim Elias akan bertemu presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat bagi membincangkan pelantikannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi untuk parti itu.

Beliau menegaskan sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan berhubung jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan berharap tidak timbul lagi sebarang spekulasi berhubung isu tersebut.

'Buat masa ini, saya masih berfikir sama ada untuk menerima atau sebaliknya pelantikan tersebut, tunggu lepas saya buat solat istikharah dulu.

"Tolak tidak, terima pun tidak. Saya nak jumpa dulu presiden dulu. Saya juga ada syarat-syarat saya sebelum boleh nak bersetuju," katanya kepada media pada ceramah Hijrah anjuran Pemuda Umno Setiawangsa, si sini semalam.

Katanya, pertemuan sudah dalam perancangan dan berharap perkara itu dapat diselesaikan segera.

"Terus terang, saya sangat terkejut apabila nama saya diumumkan sedangkan saya belum isi borang lagi (menjadi ahli).

"Saya bukan siapa-siapa hingga diangkat sebegini  tinggi. Tapi, mungkin beliau (Najib) ada alasan tersendiri, kerana itu pentingnya untuk kami bertemu," katanya.

Beliau berkata, jika Umno benar-benar mahu melantiknya, parti itu bersedia jika ditegur demi masa depan parti itu.

"Saya tegaskan, saya bukan mahu projek, jawatan atau apa sahaja dalam Umno. Saya ingin kehidupan saya seperti biasa, tanpa ada apa-apa label di baju saya sewaktu berceramah.

"Saya mahu jadi pendakwah bebas seperti hari ini yang boleh hadir di mana-mana dan mempunyai kawan daripada pelbagai latar belakang tidak mengira warna bendera (parti)," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keahliannya dalam Pas, Ustaz Kazim berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.

"Jika benar saya masih ahli, mengapa saya tidak dilayan sepertimana ahli lain.

"Saya juga sudah lama tidak hadir ke mesyuarat dan pernah saya diberitahu, saya bukan lagi ahli Pas," katanya.

Kerajaan di penghujung hayat


Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin


 Kerajaan di penghujung hayat adalah kerajaan yang zahir padanya tanda-tanda keruntuhan. Banyak petanda bahawa sesebuah kerajaan itu menuju kepada penghujungnya. Antara tanda yang jelas apabila negara sudah tidak terkawal dengan terlalu banyak konflik berlaku sesama rakyat.

Kerajaan kelihatan bersikap tidak toleransi dan dibenci oleh banyak puak dan pihak yang merasakan mereka tertindas ataupun hak mereka diketepikan dalam negara sendiri. Kebencian merayap dan keinginan rakyat untuk keadaan itu dihapuskan membuak-buak. Akhirnya rusuhan dan pergaduhan kaum dan puak mula tercetus.

Jika kita lihat dalam sejarah, kejatuhan empayar dan dinasti ialah bermula apabila mereka bersikap tidak toleransi sehingga dalam negara berlaku banyak konfliks antara rakyat. Kerajaan bersifat kepuakan dan gagal menaungi inspirasi rakyat yang pelbagai. Politik pecah perintah mungkin menguntungkan golongan politik tertentu untuk sementara waktu, tetapi akhirnya akan menjadikan negara porak peranda.

Firaun mengamalkan politik yang sama dan akhirnya menjatuhkan kerajaannya yang penuh bersejarah. Firman Allah: "Sesungguhnya Firaun telah melampau di bumi (Mesir), dan dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas satu puak  kalangan mereka dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka.

Sesungguhnya dia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami (Allah) hendak memberikan kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan Kami (Allah) hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (peninggalan Firaun)" (Surah al-Qasas ayat 4-5).

Malaysia 

Jika kita lihat keadaan negara ini, kita dapati lahir ciri-ciri negara atau kerajaan di penghujung hayat. Negara ini sejak kebelakangan ini penuh dengan konflik yang memecah belahkan antara rakyat. Konflik antara agama dalam pelbagai isu yang mana kerajaan kadang-kala mengambil pendekatan yang kurang seimbang. Golongan agama rasmi pula dibiarkan memilih pandangan bersifat yang tidak sesuai serta sempit untuk masyarakat majmuk. Bermula daripada isu larangan orang bukan muslim masuk masjid sehingga ke isu kalimah Allah kelihatan ditangani dengan nada yang mencetuskan ketegangan antara rakyat. Kenyataan bersifat provokasi seakan mendapat tempat dalam media rasmi negara.

Demikian isu perkauman dibangkit dalam pelbagai rupa. Golongan yang bersifat rasis memainkan peranan mereka. Sebelum pilihan raya kita lihat isu agama dan kaum yang bersifat provokatif serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan rusuhan seakan digalakkan. Kemudian selepas itu, dipanaskan dengan isu mazhab dan aliran fikir dalam Islam. Pegawai KDN yang sepatutnya bertugas menjaga kedamaian negara, bertindak bagaikan batu api yang boleh mencetuskan kebencian dan salah sangka rakyat terhadap kerajaan.

Golongan agamawan bergaji dan tidak bergaji, dihasut oleh beberapa orang daripada aliran pengkafir umat iaitu Ahbash yang dalam rekod mereka berjaya menimbulkan ketegangan mazhab dan pertumpahan darah di Lebanon sehingga membawa pembunuhan antara aliran di sana. Kini mereka meresap ke dalam negara ini.

Kerajaan tidak boleh terbabit dengan perbalahan aliran fikir. Kerajaan dalam era dunia terbuka hari ini hendaklah bersifat penaung yang melindungi kebebasan setiap rakyat dengan syarat tidak menggugat keamanan awam. Kerajaan yang matang dan demokratik akan menangani perbezaan rakyat dengan cara yang bijaksana. Kerajaan hendaklah tahu apabila kita mengiktiraf kewujudan sesuatu aliran, bukanlah bererti kita mengakui kebenarannya. Jangan keliru antara mengiktiraf kebenaran di sudut akidah ataupun fekah, dengan mengiktiraf hak kewujudan di sudut politik. Kita mungkin tidak mengiktiraf kebenaran agama dan aliran tertentu, tapi kita mengiktiraf kewujudan dalam negara selagi mereka mematuhi undang-undang negara.

Kepelbagaian

Kebenaran itu boleh menjelma dalam pelbagai ungkapan sekalipun berbeza puak dan aliran. Sebahagian perbezaan itu hanya pada cara ia dibahaskan tetapi natijahnya sama iaitu menuju kepada kebenaran. Kerajaan tidak boleh terikut-ikut dengan golongan fanatic perkauman ataupun aliran yang mencetuskan huru-hara antara rakyat disebabkan perbezaan ungkapan dan ucapan, padahal maksudnya sama.

Saya tertarik dengan kisah tokoh besar ilmu kalam iaitu al-Imam Abul Hasan al-Ash'ari (meninggal dunia 330H) yang dinobatkan sebagai benteng Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam menghadapi serangan falsafah. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal dunia 748H) meriwayatkan daripada Zahir bin Ahmad al-Sarakhsi kisah akhir hayat al-Imam Abul Hasan al-Asy'ari: "Apabila ajal menghampiri Abul Hasan al-'Asy'ari di rumahku di Baghdad, beliau memanggilku. Aku pun datang. Beliau berkata: "Aku bersaksi bahawa aku tidak mengkafirkan seseorang pun dalam kalangan ahli Kiblat (mereka yang bersolat). Ini kerana setiap orang menuju kepada Tuhan yang satu yang disembah.

Hanya semua ini (perbezaan yang ada) adalah perbezaan ungkapan semata".

Kemudian al-Imam al-Zahabi menyebut: "Demikian juga guru kami Ibn Taimiyyah pada akhir hayatnya berkata: "Aku tidak mengkafirkan seseorang pun dari umat ini. Nabi Muhammad bersabda:

"Tiada menjaga wuduk melainkan seorang mukmin", maka sesiapa yang melazimi solat dengan wuduk maka dia muslim". (Siyar A'lam al-Nubala, 15/88. Beirut: Muassasah al-Risalah).

Remeh temeh

Kemudian, isu remeh digunakan dalam untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Kuasa agama cuba diheret bersama. Penguasa seakan membiarkan kekalutan ini. Label-melabel dijadikan mainan yang dicampur kuasa pentadbiran. Sebahagian golongan intelek melayu dilebelkan sebagai liberalis dan diancam dengan kuasa politik. Ada yang dilabel wahabi dan digunakan kuasa pentadbiran.

Untuk membincangkan masalah theology dalam kalangan intelek tidak mengapa. Namun campur tangan kuasa politik dan kuasa agama serta kesempatan yang ambil oleh pihak yang berkepentingan, boleh mencerumuskan negara ke dalam kegawatan.

Hendaklah kita tahu dalam sejarah golongan agama sama ada Yahudi, Kristian dan juga Islam mereka sering mengambil pendekatan memfitnah orang yang berbeza dengan mereka dan mencari penguasa untuk menghukum lawan ataupun pesaing mereka. Ini kerana golongan agama - kecuali yang ikhlas - sering mengumpulkan pengaruh seperti yang dilakukan oleh orang politik dan rela mempertaruhkan apa sahaja untuk survival pengaruh mereka. Rela membunuh dan menyeksa pihak yang berbeza.

Inilah yang dilakukan terhadap al-Imam al-Syafi'i, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Dalam sejarah agama Kristian inilah yang berlaku terhadap Martin Luther dan aliran Protestan.

Di satu sudut yang lain, golongan agamawan jenis ini menyibukkan diri dalam isu remeh yang tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat seperti isu qunut subuh atau pun tidak. Padahal itu hanya perkara sunat dalam mazhab Syafi'i. Demikian juga dianggap wahabi mereka yang mereka solat tarawih lapan rakaat. Padahal rakyat Malaysia yang solat lapan rakaat tarawih bukan kerana wahabi atau pun tidak. Saudi yang dikatakan wahabi itu solat 20 rakaat. Di mana wahabinya? Itu berdasarkan keadaan masing-masing. Patutnya golongan ustaz ini sibuk dengan yang langsung tidak solat.

Malangnya dalam masa yang sama, ramai golongan agamawan berjawatan ini tidak pulak menyibukkan diri dengan isu masyarakat yang penting untuk rakyat seperti pandangan Islam tentang ketelusan, rasuah, cukai, isu yang dibangkitkan oleh audit negara, pembaziran dalam kerajaan-kerajaan negeri dan pusat, soal social justice dan pelbagai lagi yang sangat penting dalam Islam.

Konflik

Hasilnya, negara terjerumus dalam konflik tidak berfaedah. Daripada satu konflik kepada satu konflik. Ia menafikan sifat negara yang mahu maju ke hadapan.  Ia hanya memesongkan rakyat daripada isu penting yang lain dan mengheret mereka kepada pergaduhan sesama sendiri. Dalam satu keadaan mungkin pemerintah beruntung kerana rakyat tidak tertumpu kepada menilai pemerintah kerana sibuk dengan isu pinggiran. Namun dalam jangka tertentu ketegangan boleh membawa kebencian dan seterusnya ketidaksetiaan kepada negara mungkin boleh berlaku.

Maka, kini negara kelihatan berselerakan. Badan-badan agama sibuk mencari isu perbezaan bukan nilai persamaan untuk diambil manfaat antara rakyat. Orang politik tumpang sekaki. Slogan 1Malaysia yang meraikan perbezaan dan menghidupkan kesatuan antara rakyat menjadi slogan kosong yang tidak bermakna.

Akhirnya kelompok minoriti walaupun berbeza antara satu sama lain, tetapi bersatu atas satu asas iaitu membenci kerajaan dan pengurusan kerajaan yang ada. Lalu mereka menjadi majoriti. Jika mereka itu terlebih ekstrim, mereka mungkin mencari jalan menimbulkan ketegangan balas.

Golongan muda dan berminda terbuka menganggap kerajaan ini tidak layak mengepalai politik yang sederhana dan bersikap terbuka serta adil dalam penilaian. Kelompok berpendidikan dan moderate inginkan keharmonian dan keadilan untuk semua. Maka kerajaan ini menjadi makin tidak popular dalam kalangan cerdik pandai yang menjadi tulang belakang negara. Negara pun mula reput, kedamaian mula diragut dan berada di penghujung hayatnya

Petugas/pemilik media perlu akur halal/haram dalam penerbitan


Oleh Lanh


ADA ketika kebebasan media Malaysia berada pada tahap terendah mengikut piawai antarabangsa, pada waktu yang sama juga sesetengah pemilik dan petugas media negara menyemaikan budaya negatif yang menyumbang kepada kerosakan anak bangsa

Dunia media massa Malaysia hari ini terlalu mementingkan laba sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pembina masa depan generasi muda.

Daripada media elektronik (termasuk 'online' dan 'sosial') sehingga media cetak, semuanya berlumba-lumba mendapatkan pelanggan sebanyak mungkin seterusnya mengaut keuntungan berlipat ganda.

Bagi media cetak, daripada akhbar nasional (arus perdana) sehingga akhbar dan majalah picisan, kebanyakannya menyiar gambar dan cerita murahan yang diharap dapat 'menggoda' pembaca.


Akhbar mingguan nasional berbahasa Melayu bersaing hebat untuk menyiarkan gambar-gambar artis separuh bogel untuk tatapan seisi keluarga pada hujung minggu.

Artis-artis terbabit orang Islam manakala negara ini pula sudah diisytiharkan sebagai negara Islam, malah negara Islam contoh pula!

Akhbar-akhbar nasional ini juga berbangga menyiarkan keputusan judi (empat nombor ekor) sedangkan pada ruangan lain disiarkan pula segmen agama yang kadang-kadang terdapat rencana yang membicarakan kebinasaan terhadap orang yang bersubahat melakukan maksiat itu.

Majalah-majalah separuh lucah semakin banyak memenuhi gerai-gerai terbuka. Tiada halangan untuk budak-budak sekolah mendapatkannya.

Bagi majalah wanita dan hiburan pula, adalah menjadi kebiasaan untuk mereka menggunakan gambar penghias muka depan yang menggoda.

Selain majalah separuh lucah, akhbar dan majalah berbahasa Melayu juga sarat dengan kisah berunsur tahyul dan misteri. Kunjungilah gerai-gerai akhbar, kita akan berpeluang menatap akhbar dan majalah dengan tajuk muka depan seperti 'Misteri Kubur Berasap' atau 'Pasangan Zina Melekat'.

Bagi pengamal media elektronik seperti TV pula, selain rancangan yang semakin 'daring', disiarkan juga iklan yang mungkin boleh membuatkan 'datuk nenek' kita pengsan.

Misalnya, sedang kita sekeluarga menikmati sebuah drama Melayu jam 12.30 tengah hari, tiba-tiba disiarkan sebuah iklan krim membesar dan menegangkan payu dara.

Maka terkeluarlah istilah seperti 'menonjol' yang membuatkan kita tersipu-sipu di depan anak-anak.

Berhubung hal inilah, kita tertanya-tanya di mana letaknya fungsi kementerian-kementerian yang bersangkutan terutama KDN dalam merealisasikan kehidupan yang syumul di 'sebuah negara Islam'.

Apakah 'negara Islam' yang diuarkan-uarkan itu hanya sebagai penyedap mulut saja sedangkan realitinya jauh panggang dari api?

Apabila maksiat menjadi-jadi kita hilang punca. Kes penderaan, rogol, bunuh tidak dapat dibendung menyebabkan masyarakat menyalahkan satu sama lain.

Pemimpin mencadangkan itu dan ini, tetapi ternyata semuanya menemui jalan buntu.

Berhubung hal ini kita lihat betapa penyakit yang menimpa masyarakat tidak dirawat dan diberikan ubat yang betul. Jika kaki kiri yang busuk akibat penyakit kencing manis, mengapa pula dipotong kaki kanan.

Jika mahu mengubati sesuatu penyakit, carilah puncanya. Demikian juga penyakit masyarakat yang melanda kita. Kaedah rawatan perlu ditangani daripada akar umbi.

Di sinilah kita berpendapat pengamal media amat penting peranan mereka.

Jika pengamal media tahu dan mengamalkan hukum-hakam agama manakala kerajaan bersedia menjalankan pentadbiran dan undang-undang berdasarkan al-Quran (bukankah 'negara ini sebuah negara Islam!'), kita optimis masyarakat kita dapat diselamatkan.http://lanh14.blogspot.com