HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Januari 2014

Berjimat dan bijak berbelanja, kata Putrajaya di tengah kemelut kenaikan harga

OLEH LEE SHI - IAN





Ketika para suri rumah sibuk mengeluh dan mengadu terhadap kenaikan harga barang keperluan, pakar ekonomi Putrajaya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) menasihatkan mereka agar berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif.

Bekas pemimpin bank itu berkata, rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan berbelanja mengikut kemampuan mereka kerana ketika rakyat mengadu, Putrajaya lebih sibuk dengan projek infrastruktur besar-besaran yang dibuat secara runding terus daripada membuatnya melalui tender terbuka.

"Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga barangan keperluan asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam membelanjakan wang mereka," katanya dalam wawancara eksklusif dengan portal berita yang baru dilancar, Malaysia Gazette, yang juga menyiarkan klip video Youtube temubual itu.

Abdul Wahid berkata, beliau sentiasa memeriksa harga barangan keperluan diiklankan akhbar yang diletakkan oleh pasar raya besar sebelum merancang perbelanjaan beliau setiap minggu.

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif bank berkaitan kerajaan Malayan Banking Berhad itu juga memberitahu Malaysia Gazette bahawa pengguna perlu membuat pilihan berdasarkan bajet mereka.

"Kesihatan adalah faktor penting. Kita perlu mengamalkan tabiat makan berdasarkan keperluan badan kita. Contohnya, tubuh kita memerlukan protein, tetapi kita tidak semestinya membeli ikan.

Terdapat lain-lain sumber protein seperti ayam atau daging lembu. Walaupun saya mempunyai kuasa beli, jika saya rasa harga ikan tidak munasabah, saya tidak akan membelinya."

Abdul Wahid memberitahu Malaysia Gazette bahawa dia tidak akan membeli ikan jika harganya RM28 sekilogram, tetapi sebaliknya menggantikan ikan dengan daging lembu yang berharga RM24 sekilogram.

"Walaupun kita tidak boleh makan daging selalu, pengguna boleh sentiasa memilih ayam yang berharga antara RM6 dan RM7 sekilogram sahaja," katanya sambil menambah harga ayam jarang turun naik.

"Pengguna perlu belajar untuk menjadi pragmatik kerana tiada siapa boleh mengakui bahawa mereka mempunyai pendapatan mencukupi walaupun gaji purata meningkat antara 5% dan 6%, bergantung kepada kedudukan mereka," katanya kepada portal itu.

Abdul Wahid berkata, pengguna hendaklah belajar untuk berbelanja mengikut kemampuan mereka.

"Dengan cara itu, pengguna boleh merancang perbelanjaan mereka setiap minggu dan memilih tawaran terbaik. Portal pengguna banyak  menawarkan nasihat yang sangat baik untuk memilih barangan terbaik untuk dibeli, di samping cara menyimpan," katanya.

Seorang wanita membeli sayur-sayuran di Semenyih, Selangor. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 1 Januari, 2014. 

Seorang wanita membeli sayur-sayuran di Semenyih, Selangor. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 1 Januari, 2014.Beliau mengakui bahawa ramai suri rumah yang biasa memperuntukkan RM20-RM30 untuk membeli keperluan harian tetapi kini terpaksa meningkatkan bajet mereka kepada RM50.

Walaupun dengan RM50, ramai suri rumah mendakwa bahawa mereka hanya mampu membeli satu jenis ikan, dua atau tiga sayuran, separuh ayam dan lain-lain keperluan memasak.

Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula, antara lain, telah mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga banyak barang-barang lain meningkat.

Setelah dikritik kerana tidak berjimat, Putrajaya mengumumkan tiga hari lalu bahawa mereka akan mengurangkan elaun hiburan dan perjalanan menteri dan pegawai kanan kerajaan selain membekukan pengubahsuaian pejabat.

Tetapi pembangkang telah melabelkannya sebagai reaksi spontan dan setelah melihat kesan kepada pengurangan subsidi yang telah dilaksanakan selepas Pilihan Raya 2013.

AKTIVITI YB: Edar risalah kempen anti-zina

SELANGOR KINI


BERSEMPENA sambutan tahun baru,  Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bangi dan Pemuda PAS Serdang mengadakan kempen anti-zina selama dua hari bermula 30 Diember lalu.

Ia juga bekerjasama dengan Gabungan Surau/Masjid DUN Bangi, Nisa’ Serdang, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Ikatan Studi Islam (ISIUKM).

kempen anti zina_1

Lebih dari 50 sukarelawan lelaki dan perempuan, kebanyakannya terdiri dari golongan muda terlibat dalam kempen ini.

Pelancaran kempen disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Ustaz Shafie Ngah di Masjid Al-Hasanah Banfdar Baru Bangi jam 9.30 malam pada 30 Disember lalu.

“Usaha menyedarkan orang ramai supaya menghindari judi, menjauhi zina, mengelak budaya berpacaran dan menutup aurat, harus bermula dengan orang paling hampir iaitu keluarga, sahabat, dan jiran,” katanya.

kempen anti zina_5

Kempen dibuat dengan mengedar risalah anti zina, menutup aurat, pelekat khas dan button batch di fun fair di Southville City, kedai di Seksyen 7 dan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi.

Ia diteruskan keesokannya dengan menggunjungi Pasar Malam di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi.

Himpunan Turun berlangsung aman, ribuan kini di Dataran Merdeka

KEADILAN DAILY

 

DUDUK-BANTAH2


KUALA LUMPUR: Hampir 10,000 peserta himpunan membantah kenaikan harga barangan sempena tahun baru 2014 kini berada di Dataran Merdeka.

Perhimpunan yang dipimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) bermula jam 9 malam ini dari tiga lokasi iaitu pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Pasar Seni dan Masjid Jamek.

Polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang pada awalnya membina halangan dan menempatkan pegawai, akhirnya membenarkan orang ramai memasuki Dataran Merdeka kira-kira jam 10.45 malam.

DUDUK-BANTAH

Himpunan yang bergerak dari tiga lokasi utama iaitu Masjid Jamek oleh pimpinan Angkatan Muda KEADILAN dan barisan exco, manakala dari Sogo diketuai oleh aktivis Turun.

Ribuan peserta himpunan turut berarak dari Pasar Seni yang diselia oleh aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) manakala dari ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut diketuai Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat.

Orang ramai berpakaian serba hitam, membawa plakad dan kain rentang selain melaungkan pelbagai slogan membantah kenaikan harga barang.

Pemandu kereta, bas dan penunggang motosikal turut membunyikan hon tanda sokongan.

TURUN

Suasana himpunan seperti karnival apabila ada dikalangan peserta yang turut membawa keluarga.

Difahamkan kini peserta himpunan sedang melakukan ‘duduk – bantah’ (sit-in) di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman-Jalan Tun Perak untuk mendengar ucapan pimpinan Pakatan Rakyat dan NGO.

Untuk melihat gambar-gambar himpunan, sila klik pautan ini.

Peserta berbaju Hitam, lambang protes kos naik


Peserta Turun berbaju Hitam, lambang Protes kos naik 
 
Foto Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Suasana awam hitam seolah-olah meresapi kawasan Dataran Merdeka malam ini, apabila kawasan tersebut dipenuhi oleh ribuan peserta Turun yang memakai pakaian serba hitam.

Pakaian hitam (baju T) tersebut yang tertera perkataan Turun itu dipakai hampir majoriti peserta, menjadikan Dataran Merdeka seoalah-olah berada dalam zon 'kegelapan'.

Laungan reformasi, hidup rakyat serta turunkan kos hidup rakyat bergema hampir di keseluruhan kawasan Dataran Merdeka setakat ini.

Sementara,Konsert 'KL New Year Countdown 2014' anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sepatutnya di tamatkan jam 12 malam ini terpaksa dihentikan dek kerana 'kejayaan' peserta Turun  masuk ke kawasan Padang Dataran Merdeka.

Setakat ini, peserta telah 'berjaya' menguasai Dataran Merdeka, namu begitu suasana masih berada dalam keadaan terkawal.

Keadaan semasa di Dataran Merdeka


 Keadaan semasa di Dataran Merdeka  
Sebahagian peserta yang memasuki Dataran Merdeka. - Foto Sinar Harian


KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Orang ramai, termasuk peserta himpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup mula membanjiri lokasi sambutan di ambang tahun baharu seperti Dataran Merdeka, Sogo dan Jalan Masjid India di sini.

Di Dataran Merdeka, polis menutup laluan dengan penghadang besi bagi menghalang kenderaan ke kawasan Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di depan Dataran Merdeka dan bilangan anggota polis yang berkawal juga bertambah.

12.07 malam: Peserta dan orang ramai mula beredar meninggalkan Dataran Merdeka.

12 tengah malam: Sehingga jam 12 tengah malam, tiada 'countdown' dan bunga api seperti kelaziman. Sebaik memasuki tahun 2014, semua peserta dan orang ramai di Dataran Merdeka menyanyikan lagu Negaraku.

11.58 malam: Detik-detik ambang tahun baru, suasana semakin gamat. Peserta mula melaungkan slogan 'Turun'

11.52 malam: Datuk Bandar KL beri ucapan namun di 'boo' peserta himpunan

11.32 malam - Konsert di Dataran Merdeka dihentikan kerana peserta Turun mula merempuh masuk dan mengganggu orang ramai.

11.30 malam: Sekumpulan peserta Turun rempuh halangan polis untuk naik ke pentas konsert hingga persembahan terganggu.

11.15 malam: Keadaan Dataran Merdeka tenang. Para peserta hanya berlegar-legar di sekitar Dataran Merdeka.

11 malam: Peserta yang membanjiri kawasan Dataran Merdeka berarak ke kawasan lebih hampir tetapi terpaksa berhenti di hadapan benteng polis. Slogan seperti 'Turun' dan 'Hidup Rakyat' kerap dilaungkan para peserta.

10.30 malam: Kebanjiran peserta yang cuba untuk memasuki ke kawasan padang utama  Dataran Merdeka  disekat oleh pihak polis,namun begitu, peserta Turun tetap menghormati keputusan tersebut dengan hanya berarak dikawasan sekitar Dataran Merdeka tersebut.
  
9.30 malam: Perarakan peserta himpunan terhenti di kawasan Dataran Merdeka.

9.25 malam: Kelihatan peserta Turun, sedang berarak masuk ke Dataran Merdeka.

9.15 malam: Peserta himpunan mula berarak dari Sogo dengan memegang pelbagai sepanduk. Mereka melaungkan Turun dan Hidup Rakyat.

8.50 malam: Semakin ramai pengunjung membanjiri sekitar Dataran Merdeka dan kelihatan beberapa kumpulan kecil peserta himpunan yang memakai T-shirt Turun.

8:41 malam: Kelihatan sekeluarga yang memakai T-Shirt yang tertera tulisan Turun, tiba di Dataran Merdeka. Kini orang ramai mula memenuhi ruang Dataran Merdeka.

7.45 malam: kelihatan segelintir peserta memakai topeng dan ada juga yang melaungkan 'Allahuakbar'.

7.35 malam: Hampir 200 peserta berkumpul disekitar kawasan kompleks beli-belah Sogo. Segelintir peserta himpunan bersolat berjemaah di hadapan Sogo.

7 malam: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  mula membanjiri sekitar kawasan Dataran Merdeka.

6.30 petang: Pihak polis telah melakukan penutupan jalan  di Dataran Merdeka.

5.30 petang: Kelihatan dua unit udara PDRM dan juga helikopter Nuri  memantau di persekitaran Kuala Lumpur dan juga  Dataran Merdeka

Orang mula banjiri lokasi sambutan tahun baharu

SINAR HARIAN


Orang mula banjiri lokasi sambutan tahun baharu  
Orang ramai mengerumuni kenderaan menjual makanan dan minuman untuk mengalas perut di hadapan Masjid Jamek, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim


KUALA LUMPUR - Orang ramai, termasuk penunjuk perasaan, mula membanjiri lokasi sambutan di ambang tahun baharu seperti Dataran Merdeka, Sogo dan Jalan Masjid India di sini.
  
Setakat 8 malam, sekumpulan lelaki yang berpakaian serba hitam dan kain lilit di kepala bertulis 'Tolak GST' mula berhimpun di pekarangan kompleks beli-belah Sogo.
  
Tinjauan Bernama mendapati keadaan masih tenang meskipun semakin ramai orang awam membanjiri pekarangan Sogo, dan jumlah kenderaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman semakin banyak.
  
Di Dataran Merdeka, polis mula menutup laluan dengan penghadang besi bagi menghalang kenderaan ke kawasan Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di depan Dataran Merdeka dan bilangan anggota polis yang berkawal juga bertambah.
  
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata keadaan masih terkawal di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Masjid India setakat 6.30 petang.

Peniaga gerai menjual kain di Jalan Masjid India dilihat memulakan perniagaan mereka dan jumlah kehadiran orang awam semakin meningkat berikutan cuti umum esok.
  
Di Bukit Bintang, ramai pengunjung sambutan di ambang tahun baharu memakai pakaian hitam manakala orang ramai yang berpakaian kemeja T hitam semakin ramai berkumpul di Masjid Negara setakat 6.45 petang.
  
Sementara itu, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan menafikan dakwaan kononnya perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel dihentikan mulai 6 petang berikutan urusan penyelenggaraan seperti yang disebar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu. - Bernama

Parang, pisau antara senjata ditemui

SINAR HARIAN

Himpunan Turun masih terkawal 
 
Foto Sinar Harian Zulfadhli Zaki


KUALA LUMPUR - Empat bilah parang dan tiga pisau ditemui di dalam longkang berhampiran Kompleks Dayabumi, dipercayai dibuang oleh peserta perhimpunan haram yang memenuhi Dataran Merdeka malam tadi.
  
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, senjata itu ditemui oleh polis bantuan pada 9.30 malam.
  
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Berbahaya, katanya sambil memberitahu bahawa tiga anggota polis cedera di tangan apabila peserta perhimpunan merempuh kawalan anggota polis di Dataran Merdeka pada 11 malam.
  
Tiga anggota polis itu di rawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan haram itu di sini.
  
Beliau berkata, perhimpuan itu bertukar menjadi ganas apabila mereka mula merempuh kawalan pasukan keselamatan.  
  
Zainuddin berkata, sehingga kini tiada tangkapan dibuat terhadap peserta perhimpunan haram itu dan polis sedang mengumpul keterangan daripada orang ramai bagi mengambil tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012.
  
"Kami juga akan menyiasat insiden membaling botol air mineral ketika Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berucap untuk menenangkan keadaan," katanya.
  
Beliau berkata, polis juga akan mengesan beberapa pemimpin politik yang dilihat berada pada perhimpunan haram itu.
  
Perhimpunan itu dianjurkan oleh empat badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
  
Para peserta perhimpunan telah menyerbu masuk ke Dataran Merdeka dan mengganggu konsert sempena menyambut tahun baharu yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira setengah jam sebelum detik 12 tengah malam.
  
Zainuddin berkata, berikutan keganasan peserta perhimpunan haram itu, konsert berkenaan yang dihadiri 25,000 penonton terpaksa dihentikan.  - Bernama

Jangan tambah sengsara rakyat, kata Saifuddin


MALAYSIAKINI


CEO Yayasan Pergerakan Moderat Global Datuk Saifuddin Abdullah menggesa kerajaan menyemak semula keputusan berhubung kos sara hidup agar tidak menambah lagi sengsara yang ditanggung oleh anggota masyarakat.

Dalah satu perutusannya sempena sambutan tahun baru hari ini, bekas MP Temerloh itu juga berharap agar tahun 2014 menjadi “tahun penyembuhan”.

“Kita percaya rakyat Malaysia secara umumnya orang yang bertimbang rasa. Mereka boleh menghargai cabaran yang perlu dihadapi oleh kita sebagai satu negara, jika pendekatan yang digunakan, dasar yang dilaksana dan program yang dijalankan itu munasabah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat di negara ini sudahpun menghadapi suasana politik tidak menentu sejak dua tahun lalu.

“Apabila rakyat merasakan bahawa tindakan kerajaan tidak munasabah mereka akan berasa tidak puas hati,” katanya.

Saifuddin berkata mudah untuk memahami sebab kebimbangan masyarakat ke atas nasib mereka pada tahun depan.

Katanya, ini berasaskan kebimbangan pada ke atas kemungkinan peningkatan besar pada kos sara hidup, isu keagamaan yang tak selesai, isu kebebasan media dan juga hak asasi.

“Maka boleh dikatakan bahawa ada di antara kita akan meninggalkan 2013 dengan perasaan perit, kata Saifuddin.

Katanya, beliau mengalu-alukan pengumuman perdana menteri untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, namun kerajaan perlu bertindak setakah lagi untuk membendung rasuah dengan memperkenalkan sistem perolehan dan bidaan tender secara elektronik.

Asri: Penjimatan mesti termasuk golongan istana



Billy Boey & Ragananthini Vethasalam



Sebelas langkah baru perdana menteri untuk mengurangkan perbelanjaan sektor awam nampaknya tidak diterima semua pihak, dengan beberapa individu terkenal tampil menyatakan perasaan tidak puas hati mereka.

"Apa pandangan saya untuk 11 langkah kurangkan perbelanjaan? Tiada pengorbanan, tiada kejayaan.

"Dalam kes ini, ia tidak sama dengan kesakitan rakyat, jadi kamu tidak dapat kasih sayang kami. Maaf," kata aktivis dan kolumnis Marina Mahathir (kiri).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah terbaru Datuk Seri Najib Razak, selari dengan rungutan orang ramai berhubung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta kos sara hidup.

Sementara itu, bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata, pengurangan kos mesti melibatkan pelbagai pihak, termasuk golongan istana.

"Ramai tidak mahu kata, saya terpaksa kata. Potongan penjimatan hendaklah di semua peringkat termasuk golongan istana," tulisnya di Twitter.

Bagaimanapun, langkah perdana menteri mengumumkan 11 langkah penjimatan tetap menerima sokongan dari anggota kabinet, sepertiyang disuarakan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin.

"Najib umum 11 langkah penjimatan belanja kerajaan... sokong!," tulisnya.
Turut memberi sokongan ialah ketua Pemuda Parti Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang berpendapat tindakan tersebut adalah langkah yang betul.

"Rakyat Malaysia mahu kerajaan mengurangkan kos pentadbiran sebelum manaikkan sebarang cukai. Pengumuman PM@najibrazak pastinya salam usaha yang betul," tulisnya.

Najib: Saya faham kebimbangan rakyat, tapi...

 

 
 
Di ambang 2013 yang bakal meninggalkan kita, marilah kita merenung kembali setahun yang lalu – dan melakar janji masa depan yang baru dengan kedatangan 2014.

Dua belas bulan yang lalu, kita bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 dalam sejarah negara kita. Kita bersyukur apabila BN telah sekali lagi diberikan mandat. Kita punyai rancangan yang mantap untuk masa depan negara, dan kita telah bekerja keras untuk meyakinkan rakyat tentang wawasan kita.

Kemenangan ini telah memperbaharui rasa tanggungjawab saya terhadap setiap rakyat Malaysia – bukan hanya kepada mereka yang mengundi BN semata.

Dalam pilihan raya yang sengit seperti itu, ketegangan memang lumrah; kita merasakan persis masa depan negara sedang dipertaruhkan. Pilihan raya kita berlangsung dalam aman: dengan seluruh mata dunia memerhati kita. Malaysia telah membuktikan bahawa kita mendakap demokrasi secara hakiki. Namun begitu kita juga punya pendapat berbeza, yang kadang-kadang pahit untuk ditelan, tentang hala tuju yang patut diambil oleh negara.

Ini juga sebenarnya satu perkara biasa. Pilihan raya adalah medan pertandingan wawasan untuk sesebuah negara. Rakyat bebas memilih hala tuju yang mereka ingini, dan mempertahankan pilihan mereka. Inilah intipati sebenar demokrasi. Namun kali ini, emosi kita lebih daripada biasa. Jika dulu hanya ada perbezaan pendapat, kali ini kita berpecah-belah. Adakalanya, ahli-ahli politik, media – dan kadang-kadang masyarakat umum – bertindak keterlaluan.

Tsunami Cina

Apabila saya bercakap tentang ‘tsunami Cina’ pada malam pilihan raya, saya maksudkan gelombang sokongan kaum Cina terhadap BN telah luntur. Ini jelas menunjukkan betapa kita dicengkam polarisasi sehingga komen saya telah disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak.

Saya percaya Malaysia sudah cukup matang untuk mengharungi debat-debat yang getir. Perpecahan antara kita akan berakhir dengan masa, di mana kita boleh sama-sama melihat negara kita terus membangun dan jadi dewasa, kita juga akan melihat bahawa mereka yang tidak sependapat dengan kita kekal menjadi jiran-jiran, rakan-rakan sekerja – dan sahabat-sahabat kita. Namun saya juga percaya bahawa kita harus memperkukuhkan komitmen kita terhadap perpaduan yang selama ini menjadi asas kukuh negara kita.

Kita harus aktif dalam usaha menggapai perpaduan. Kestabilan dan kemajuan kita bergantung kepada tampuk perpaduan ini. Di atas paksi yang sama, saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Perpaduan Negara, yang akan melaporkan kepada Jemaah Menteri segala cadangan yang boleh kita lakukan untuk merapatkan lagi rakyat Malaysia.

Tanggungjawab kerajaan – dan keutamaan saya – adalah untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung kepada faktor-faktor ini. Membina semula perpaduan negara, dan menggalakkan debat umum yang berlandaskan rasa hormat menjadi sebahagian besar daripada rancangan ini. Apabila tahun baru menjelma, anda akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana kerajaan akan melaksanakan dasar ini.

2014 bawa peluang


Bercakap tentang tahun baru, saya percaya 2014 akan membawa lebih banyak peluang untuk kita.

Dengan pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia yang kedua, kita akan menyaksikan usaha lebih bersepadu untuk menarik pelancong-pelancong asing ke negara kita yang indah ini. Perniagaan-perniagaan baru akan dibuka, dan pelaburan-pelaburan baru akan direalisasikan. Ekonomi kita, yang telah mengharungi ribut krisis kewangan dunia, diramalkan berkembang hingga 5.5 peratus.

Namun di sebalik angka-angka ini, saya sedar bahawa ada ramai yang bimbang tentang 2014: bimbang dalam usaha kami untuk mengimbangi belanjawan negara, belanjawan isi rumah akan menghadapi tekanan.

Saya faham dan bersimpati dengan kebimbangan ini. Rakyat yang rajin bekerja akan merasakan kesan kenaikan kos. Dan ketika media kita dipenuhi angka-angka defisit dan peningkatan harga, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa 2014 hanya bakal membawa keperitan semata.

Potong subsidi tak sewenang-wenangnya

Kepada anda yang bimbang mengenai kos sara hidup, izinkan saya memberi sepatah dua kata tentang ekonomi dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada anda.

Pertama, kita tidak akan menandatangani atau mempersetujui sebarang pemotongan subsidi atau kenaikan kadar sewenang-wenangnya. Program subsidi telah memberi banyak manfaat kepada rakyat selama bertahun-tahun lama, tetapi, seiring dengan pertumbuhan populasi dan pembangunan negara, program subsidi tidak lagi mapan dan kini tiba masa untuk kita melangkah ke hadapan. Kita perlu merasionalkan subsidi dan mensasarkan pemberian kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

Komitmen kerajaan terhadap perbelanjaan pembangunan juga telah berkembang, dan kita perlu menguruskan kedudukan fiskal untuk memastikan kestabilan ekonomi negara.

Krisis kewangan baru-baru ini menunjukkan bagaimana serius kesan dan akibat kepada negara-negara di mana kewangan mereka tidak dibina atas asas yang kukuh: jika pelabur-pelabur dan agensi-agensi mengambil keputusan bahawa negara-negara tersebut tidak mampu membayar hutang mereka, kos pinjaman akan naik mendadak sehingga berada di luar kawalan. Tanpa akses kepada kredit, sesebuah negara dan rakyatnya akan menanggung implikasi yang besar. Sebagai contoh, lebih separuh daripada golongan muda di beberapa negara Eropah tidak mempunyai pekerjaan.

Di bawah kepimpinan BN, Malaysia telah berkembang dengan pesat – pendapatan per kapita telah meningkat sehingga 49 peratus dalam tempoh empat tahun lepas. Kita terpaksa mengambil keputusan yang sukar agar kos pinjaman kekal rendah dan keyakinan pelabur terus kukuh – kedua-dua faktor ini genting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus kukuh dan berkembang.

Kita harus menerima hakikat bahawa kita perlu melaksanakan perubahan demi memastikan kewangan kita kekal terkawal. Dan kita perlu mengimbangi program ini seluas mungkin agar beban dapat diagih dengan saksama.

Pastikan kenaikan adil


Kedua: kita akan berusaha sekuat upaya untuk meminimakan kesan kepada rakyat. Berdasarkan maklum balas awam, kita akan menambahbaik program-program kerajaan di mana perlu, supaya kesan ke atas pendapatan isi rumah tidak terlalu ketara. Kita akan melaksanakan beberapa mekanisma untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik dan tol. PEMANDU akan turut mengemukakan idea-idea baru untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Kita juga akan memastikan kadar kenaikan adalah adil. Sebagai contoh, kenaikan harga petrol dan tarif elektrik akan memberi kesan kepada kuasa membeli rakyat. Namun, walaupun ada peningkatan, kerajaan masih memberi subsidi petrol dan bil elektrik. Untuk kenaikan cukai taksiran di Kuala Lumpur baru-baru ini pula, setelah mendengar keluhan rakyat, kadar cukai telah dikurangkan sehingga 2 peratus dan rebat tambahan diberikan kepada pemilik hartanah yang tidak berkeupayaan, pesara serta pemilik-penghuni.

Kita tidak akan melaksanakan kenaikan kos tanpa memberi bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Sejak minggu lepas, seramai 7.9 juta isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan telah layak untuk memohon pembayaran BR1M yang terkini. Kita juga akan membuka Kedai-Kedai 1Malaysia, serta Klinik 1Malaysia yang baru demi menyediakan perkhidmatan kesihatan dengan kos yang berpatutan. Secara keseluruhan, pada tahun depan kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM42 bilion ke atas subsidi – hampir sama dengan jumlah yang kita belanjakan untuk pembangunan.

Dalam kita merasionalkan subsidi, kita turut memotong kos perbelanjaan. Kita telah mengumumkan 11 langkah mengurangkan perbelanjaan awam, termasuk mengurangkan kos elektrik di setiap jabatan sebanyak 5 peratus, memperketatkan syarat dalam melantik juru runding, serta mengurangkan elaun tol dan keraian untuk para menteri dan penjawat awam. Kita juga turut mengulangi komitmen untuk menangani rasuah, mengurangkan pembaziran kerajaan dan meningkatkan perolehan; meletakkan semua tender kerajaan di atas talian, agar ia jadi lebih telus, dan berusaha untuk lebih merealisasi nilai aset kerajaan.

Perubahan tak popular
Dalam kita membuat persiapan untuk tahun baru, ia juga masa yang baik untuk kita mengimbas semula kenapa kita perlu melakukan perubahan-perubahan ini. Ia mungkin tidak popular dalam jangka masa pendek, jadi lebih mudah untuk kita mengekalkan status quo. Rakyat akan berkata terlalu banyak kos meningkat di mana polisi populis pasti kelihatan lebih menarik. Tetapi kerajaan perlu mengambil tindakan dari sekarang. Saya bertekad untuk melakukan perkara yang tepat demi Malaysia dan rakyat negara ini. Kerana dengan bertindak secara bertanggungjawab dari sekarang, kita akan mengukuhkan ekonomi kita dalam jangka masa panjang – dan manfaatnya akan dapat dirasai dengan lebih meluas lagi.

Dengan merasionalisasikan subsidi, kita akan mengukuhkan kedudukan fiskal, membolehkan kita memberi fokus terhadap perbelanjaan kepada projek-projek pembangunan – termasuk kesihatan dan pendidikan – dan bergerak ke arah belanjawan seimbang menjelang 2020. Dengan mengadaptasi langkah-langkah yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih kukuh, kita bukan sahaja melindungi negara dari krisis kewangan, kita turut membuka peluang dan mewujudkan pekerjaan baru. Banyak pihak akan lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat-syarikat Malaysia, membina kilang-kilang di Malaysia dan memulakan perniagaan-perniagaan baru. Ini seterusnya akan memacu pembangunan ekonomi, membantu untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat – dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang.

Jika kita ingin menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, kadangkala kita perlu mengambil keputusan sukar lagi tidak popular. Kepimpinan bermaksud melihat sesuatu dalam jangka masa panjang, melakukan apa yang betul dan bukan apa yang popular. Pada tahun 2009, kita telah memulakan perjalanan transformasi ekonomi dan kerajaan. Apabila 2014 menjelang, kita harus membina asas kejayaan Malaysia yang lestari, ekonomi yang lebih kuat dengan rakyat yang lebih bersatu-padu.


DATUK SERI NAJIB RAZAK perdana menteri Malaysia. Artikel ini merupakan perutusan tahun baru 2014 beliau.