HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 April 2016

BERITA DALAM SEHARI

shahbudindotcom

Semalam saja ada beberapa berita berkaitan 1MDB yang sampai ke pengetahuan rakyat Malaysia yang mungkin ada hubung kaitnya antara satu sama lain.
 
 
 
 
Mula-mula kita disajikan dengan berita ini...

Bekas CEO Aabar, Mohamed Al Husseiney dilaporkan telah ditahan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi dah difahamkan dalam proses untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Penahanan itu disahkan oleh sumber yang rapat dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kepada Sarawak Report dan Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin turut mengeluarkan kenyataan akhbar mengenainya.

Al Husseiney merupakan CEO Aabar sehingga Julai 2015 dan Aabar ialah subsidiari IPIC atau International Petroleum Investment Company, sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan 1MDB.
 
 

 
 
Kemudian berita ini...
 
 

 
 
Lepas itu yang ini pula...

Dan sekaligus menjadikan semakin banyak negara sudah memulakan siasatannya terhadap 1MDB dengan sekurang-kurangnya sudah dimulai dengan Singapura, Switzerland, Perancis, Amerika Syarikat, United Kingdom....
 
 


Akhirnya, apakah hasrat mahu berundur Arul Kanda daripada 1MDB ada kaitan dengan semua itu? 


Siasat 1MDB, Amerika Syarikat cuba beri tekanan

 
Campur tangan itu juga dibuat, apabila kes 1MDB telah mendapat liputan antarabangsa.


1mdb-3


PETALING JAYA: Tindakan pihak berkuasa menahan dan melakukan proses ekstradisi terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif ‘Aabar Investments PJS Ltd’ 1MDB (Aabar), Mohamed Al Husseiny ke Amerika Syarikat jelas menunjukkan bukti tekanan antarabangsa terhadap Malaysia yang sangat kuat.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin selepas membuat pendedahan penangkapan Mohamed semalam.

“ini menunjukkan ada tekanan negara luar termasuk (Amerika Syarikat) terhadap isu 1MDB,” katanya kepada FMT.

Tambah Manivanan, Amerika Syarikat berhak melakukan siasatan berhubung isu 1MDB susulan kes tersebut telah mendapat liputan antarabangsa.

ketika ditanya, bila tarikh penangkapan dibuat terhadap bekas pengawai Aabar itu, Manivanan berkata, butiran itu diperoleh berdasarkan laporan pihak media antarabangsa pada 30 Mac.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar itu mendedahkan bahawa Mohamed ditahan di Abu Dhabi bagi membantu siasatan penyelewengan yang dikaitkan dengan syarikat 1MDB dan dikatakan dalam proses ekstradisi ke Amerika Syarikat.

Terbaharu, pegawai Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dilaporkan berada di negara ini untuk berjumpa dengan beberapa individu dalam siasatan mereka ke atas 1MDB, lapor Reuters yang memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan.

Skandal 1MDB kini disiasat oleh pihak berkuasa di Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat, Luxembourg, Singapura dan Hong Kong.

Majlis Peguam perlu hormat PDRM

 
Tindakan mereka jelas membelakangkan undang-undang, jika mereka mahu PDRM menghormati hak membawa usul ke AGM Badan Peguam menurut Akta Profesyen Guaman.


Datuk-Zulkifli-Noordin


PETALING JAYA: Bekas ahli PKR dan juga peguam, Datuk Zulkifli Noordin meminta Majlis Peguam supaya menghormati Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan siasatan terhadap beberapa peguam yang didakwa di bawah Akta Hasutan.

Katanya, tindakan Majlis Peguam semalam yang berkumpul bagi membuat bantahan di hadapan Ibu Pejabat Bukit Aman apabila mendakwa polis mengganggu dan campur tangan dalam urusan mereka dilihat tidak menghormati pasukan itu.

“Tindakan mereka jelas membelakangkan undang-undang, jika mereka mahu PDRM menghormati hak membawa usul ke AGM Badan Peguam menurut Akta Profesyen Guaman, mereka juga harus belajar menghormati hak PDRM untuk menjalankan siasatan berdasarkan laporan polis yang dibuat berdasarkan Kanun Acara Jenayah dibaca bersama Akta Hasutan.

“Hak membawa usul di AGM Badan Peguam termasuk hak melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan atau lain-lain undang-undang,” katanya kepada laman portal BNBBC.my.

Kelmarin, Majlis Peguam telah mengeluarkan pekeliling meminta peguam menghadiri bantahan terhadap apa yang didakwa sebagai gangguan atau campur tangan polis dalam urusan mereka.

Pekeliling itu adalah ekoran daripada usul yang dibentang pada mesyuarat agung tahunan ke-70 Badan Peguam Malaysia, 19 Mac lalu.

Dalam usul itu juga, ia membincangkan kedudukan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali kerana enggan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung deposit di akaun bank peribadinya.

Susulan daripada itu, polis telah memaklumkan Badan Peguam bahawa mereka ingin merakamkan kenyataan daripada empat ahliya mengikut seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, bagi maksud penyiasatan yang berbangkit daripada aduan berkenaan dengan seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, PDRM bukan sahaja berhak untuk menyiasat, malah ia dipertanggungjawabkan untuk menyiasat di bawah undang-undang negara.

Rakyat Pulau Pinang rugi RM15 juta kerana PERDA jual tanah dengan “diskaun” lebih 90 peratus

lge_perda

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Shabudin Yahaya, diminta untuk membuat penjelasan kepada rakyat Pulau Pinang berikutan tindakannya yang didakwa menjual tanah bagi projek perumahan di bawah harga pasaran.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor perlu menjelaskan tentang tanah di atas nama PERDA itu yang dijual dengan harga bawah pasaran dan telah menyebabkan Pulau Pinang kehilangan sebanyak lebih RM15 juta.

“Kesemua 18 petak keluasan dengan keseluruhan 8.5 ekar (256 lot), harga pasaran yang dinilai Kerajaan Persekutuan (Lembaga Hasil Dalam Negeri) ialah RM16,636,000 (RM16.636 juta). Harga yang dia (PERDA) jual pula RM1,427,000 (RM1.427 juta) sahaja.

“Bermakna kehilangan kepada PERDA dan secara langsung kepada rakyat Pulau Pinang sebanyak RM15,209,600 (RM15.2 juta).

“Jadi saya nak tanya adakah satu tender terbuka dijalankan semasa beliau menjalankan penjualan dan mengapa jual dengan harga yang begitu rendah iaitu hanya 8.6% berbanding harga pasaran,” jelas Guan Eng kepada pemberita di sini semalam.

Beliau turut mempersoalkan apakah rasional tanah-tanah tersebut dijual dengan harga yang begitu murah berbanding harga pasaran.

Justeru, Ahli Parlimen Bagan itu menjemput Shabudin untuk ‘minum kopi’ bersamanya lagi memberikan penjelasan.

“Jadi saya nak jemput Datuk Shabudin untuk minum kopi bersama saya hari Ahad ini 3 April pada jam 11 pagi di Bilik Mutiara tingkat 52 Komtar.

“Saya jemput beliau datang beri penjelasan tentang penjualan tanah ini,” katanya. – Roketkini.com


“Jangan kasi ‘asap’ ini bangunan”- kumpulan diketuai Ali Tinju keluar kenyataan berbaur ugutan jenayah, polis ambil keterangan saksi wakil DAP

edry_mrchu_bajumerah

Oleh Hafiz Zainuddin


KUALA LUMPUR: Berikutan ucapan berbaur ugutan jenayah kumpulan ‘Baju Merah’ diketuai Ali Tinju ke atas Ibu Pejabat DAP Kebangsaan semalam, polis hari ini mengambil keterangan saksi bagi membantu siasatan.

Keterangan saksi diberikan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Selangor Edry Faizal Yusof dan Ketua Pentadbir Ibu Pejabat DAP, Chu Yoon Ming diambil oleh Assistant Superintendent (ASP), Khairil Idzwan Ahmad, Ketua Bahagian Siasatan jenayah, Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju.

Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat oleh kedua-dua saksi itu memandangkan insiden semalam telah dilaporkan sendiri oleh pihak polis.

Dalam kekecohan itu, antara kenyataan provokasi kumpulan yang diketuai Ali Tinju ialah “Jangan sampai kita naik! Jangan kasi ‘asap’ ini bangunan”.

Menurut Edry, beliau diminta pegawai penyiasat menceritakan semula kejadian semalam dan melahirkan rasa terhina dengan cacian melampau kumpulan pendesak pro-UMNO itu.

“Saya rasa terhina bila mereka keluarkan cacian dan makian serta gelarkan saya sebagai barua seolah-olah saya telah dipergunakan, sedangkan saya sendiri adalah salah seorang pimpinan muda parti,” katanya kepada Roketkini.com.

Tanpa mengetepikan hak seseorang atau sesebuah kumpulan untuk bersuara, Edry menjelaskan bahawa apa yang mahu disuarakan perlulah mengikut undang-undang dan perlembagaan.

“Kita hormati hak mereka untuk suarakan pandangan apa sahaja, cuma bila dia mula keluarkan kenyataan berbaur ugutan yang mengancam keselamatan kakitangan pejabat dan harta benda, di sini dia dah langkaui batas kebebasan bersuara,” ujarnya.

Memuji tindakan pantas polis membuka siasatan, peguam yang mengiringi mereka, Lim Lip Eng, berkata Edry dan Chu Yoon Ming kini adalah saksi dalam insiden tersebut.

“Kami berasa berbesar hati kerana kali ini polis bertindak pantas, bukan seperti dulu, selepas laporan dibuat, tidak ada tindakan.

“Tetapi sekarang, belum pun kita buat laporan polis, pihak mereka sendiri yang buat laporan. Pengadu adalah pihak polis dan apa yang berlaku sekarang saudara Edry dan encik Chu adalah saksi untuk membantu polis dalam aduan ini,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut.

Dalam laporan media hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan polis akan menjalankan siasatan terhadap kumpulan ‘Baju Merah’ berkenaan berikutan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah.

Perbuatan tersebut katanya merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Semalam, sekumpulan kira-kira 30 penyokong ‘Baju Merah’ diketuai Ali Tinju kecoh di luar Ibu Pejabat DAP ketika mahu menyerahkan memorandum mereka yang antara lain mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bercuti berikutan kes pembelian rumahnya yang diputarbelit media.

Kekecohan tercetus apabila mereka tidak mahu menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil DAP yang berketurunan Melayu sebaliknya berkeras mahu wakil DAP dari kaum Cina sahaja yang menerimanya.

“Kami mahu orang Cina keluar terima. Kami tak nak orang Melayu. Orang Melayu tak ada kaitan dengan ini,” kata salah seorang dari kumpulan berkenaan. – Roketkini.com


Bung: Debat Dengan Syed Saddiq Hanya Di Dewan Rakyat

Oleh: THE STAR
 
 
 
 
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, beliau tidak berminat untuk berdebat dengan pendebat terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Bung Moktar, sebagai pendebat yang baik ia tidak bermakna seseorang itu juga akan baik dalam semua perkara.

"Jika dia benar-benar berminat, cari tempat bertanding dalam pilihan raya dan saya akan berdebat dengannya di Dewan Rakyat," Bung kepada The Star Online pada Jumaat.

Bagaimanapun Bung Moktar hairan mengapa Syed Saddiq mencabarnya untuk berdebat.

"Kenapa saya? Saya hanya mengulas mengenainya selepas dia secara berterusan menyerang kerajaan. Siapa Syed Saddiq? Dia fikir dia pintar. Pada pendapat saya, beliau adalah seorang remaja tanpa kredibiliti.

"Dia hanya menggerakkan belia untuk membenci kerajaan. Sebagai ikon 'pendebat terbaik Asia', dia harus berkelakuan baik dan berkarisma.

"Dia pemimpin yang baik, tetapi cara dia membawa dirinya tiada beza dengan remaja lain yang tiada arah dalam hidup," kata Bung.

Selain itu Bung Moktar mengecam pilihan topik yang diberikan Syed Saddiq untuk berdebat.

"Jika anda mahu tahu mengenai RM2.6 bilion (derma politik), Wall Street Journal pun bersetuju dan mengesahkan wang itu dari Arab Saudi.

"Kemudian mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), saya fikir Arul Kanda sedia untuk berdebat dengan Syed Saddiq pada bila-bila masa," katanya.

Sebelum itu, Syed Saddiq mencabar Bung untuk berdebat mengenai isu 1MDB.

JPJ Tunggu Keputusan Kerajaan Mengenai Uber, Grabcar

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menunggu pengumuman kerajaan berhubung perkhidmatan pengangkutan dalam talian Uber dan GrabCar sebelum mengambil sebarang tindakan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad.

Beliau berkata setakat ini belum ada pemandu kereta Uber dan GrabCar yang dikenakan tindakan memandangkan kerajaan masih mengkaji perkhidmatan berkenaan.

"Jadi kena tunggu polisi kerajaan (mengenai Uber dan GrabCar). Kalau perkhidmatan itu dibenarkan, apa kaedahnya," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkhidmatan Uber dan GrabCar selepas sambutan Hari JPJ ke-70 di sini, Jumaat.

Selasa lepas, kira-kira 300 pemandu teksi meletakkan teksi di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas di sekitar kawasan Bukit Bintang sebagai bantahan terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui blog NajibRazak.com semalam (Khamis) berkata satu penyelesaian yang adil dan saksama akan diputuskan dalam masa terdekat berhubung isu teksi demi kepentingan pengguna dan penyedia perkhidmatan itu.

Kepentingan kedua-dua pihak itu tetap menjadi pertimbangan utama kerajaan ketika rangka penyelesaian dibincang dan disediakan, kata Perdana Menteri lagi.

Mengenai sambutan ulang tahun ke-70 JPJ hari ini, Ismail berkata majlis  sambutan Hari JPJ Ke-70 Peringkat Kebangsaan akan diadakan secara besar-besaran di tempat letak kereta Istana Kehakiman di sini, pada 10 April.

Antara aktiviti yang dirancang ialah pengurangan kompaun saman sehingga 50 peratus, perkhidmatan kaunter 1JPJ, perbarisan kontinjen dan demonstrasi pasukan  tindakan khas.

Pada majlis hari ini, Ismail melancarkan buku Panduan Pengubahsuaian dan Tip Penjagaan Kenderaan yang akan dijual di kedai koperasi kakitangan JPJ seluruh negara menjelang bulan depan.

Harga buku tersebut akan ditentukan kemudian.

Selangor Tidak Bercadang Naikkan Kadar Insentif Hadiah Masuk Universiti

MSTAR ONLINE


 
 
SHAH ALAM: Selangor tidak bercadang untuk menaikkan kadar insentif Hadiah Anak Masuk Universiti sebanyak RM1,000 yang diberikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Inovasi Negeri Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kadar tersebut akan dikekalkan selain diberikan secara sekali bayaran kepada pelajar.

"Hadiah IPT (Institusi Pengajian Tinggi) ini hanya melibatkan sekali pemberian sekali seumur hidup kepada pelajar yang mendapat tempat di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Mereka tidak akan menerima lagi hadiah itu sekiranya melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, Jumaat.

Nik Nazmi (PKR-Seri Setia) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ng Sze Han (DAP-Kinrara) sama ada kerajaan negeri akan meningkatkan kadar insentif hadiah tersebut serta memperluaskannya kepada pelajar yang mendapat tawaran di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Program Hadiah Anak Masuk Universiti merupakan perkara yang dijanjikan pakatan pembangkang dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum 2008.

Najib Kecewa Penyelewengan Berlaku Ketika Kerajaan Ambil Langkah Kawal Perbelanjaan


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau memandang berat kes berkenaan yang melibatkan pegawai kanan kerajaan di Kementerian Belia dan Sukan. – Gambar Reuters

Malaysiastylonews


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa melahirkan rasa kecewanya dengan kes penyelewengan dan ketirisan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu tanpa dikesan, sehingga kerajaan kerugian lebih RM100 juta.

Perdana Menteri berkata beliau memandang berat kes berkenaan yang melibatkan pegawai kanan kerajaan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam sebarang kes penyelewengan dana kerajaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit,” katanya dalam entri terbaharu blog beliau, najibrazak.com.

Najib juga mahu semua kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memantau setiap perbelanjaan bajet yang telah diperuntukkan pada tahap ketelusan dan akauntabiliti yang tertinggi.


Menyentuh mengenai kes rasuah itu, beliau berkata satu siasatan menyeluruh perlu dijalankan dengan serta-merta dan kes ini akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk nasihat serta tindakan undang-undang.

“Jabatan Audit Negara juga akan mengkaji dan memperketatkan lagi prosedur berkaitan tatacara pengurusan kewangan kerajaan,” katanya.

“Saya mahu perkembangan kes ini dipaparkan dalam Auditor Generals Dashboard di laman web https://agdashboard.audit.gov.my bagi tatapan umum,” katanya.

Najib berkata dashboard itu mula diperkenalkan pada tahun 2013 bagi memantau tindakan yang telah diambil terhadap kes-kes yang dikenal pasti bermasalah oleh Jabatan Audit Negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Jabatan Audit Negara juga akan mengkaji dan memperketatkan lagi prosedur berkaitan tatacara pengurusan kewangan kerajaan.

Pada Jumaat lepas SPRM menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian itu selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta. – Bernama

KLIK VIDEO: Zeti dedah maklumat mengenai 1MDB kepada saya – Muhyiddin
KLIK BACA: ‘Najib terdiam bila saya tanya mana duit di Singapura’ – Muhyiddin
KLIK BACA: Kalau baca Utusan, kami ini ‘perompak’, kata Muhyiddin

Selangor pergiat usaha ke arah Negeri Berteknologi Hijau

OLEH : NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Lapan tindakan utama menerusi Pelan Tindakan Teknologi Hijau negeri Selangor 2015-2018 giat dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan ke arah Negeri Berteknologi Hijau.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata antara tindakan itu adalah Perbandaran Hijau melalui Bandar Rendah Karbon Selangor, Perolehan Hijau Kerajaan, pemasangan rangkaian pengecas kenderaan rasmi dan penggunaan kereta elektrik sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri.

Katanya, selain itu penggunaan bas elektrik bagi program bas percuma di PBT, pemasangan bumbung solar bagi projek perumahan Selangorku, bangunan cekap tenaga di Bangunan Kerajaan Negeri dan program penghijauan Taman Industri.

Elizabeth Sidang DUN 02 jul 01

“Sebagai contoh, setakat ini bagi pelaksanaan Bandar Rendah Karbon Selangor terdapat tiga PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” katanya yang menjawab Dr Yaakob Sapari (KEADILAN-Kota Anggerik).

Elizabeth (KEADILAN- Bukit Lanjan) berkata, Kerajaan Negeri juga mempergiatkan usaha itu kepada PBT lain supaya melaksanakan LCCF melalui seminar dan bengkel ‘hands-on’ yang akan dijalankan.
Katanya, Selangor menerajui negeri lain yang mempunyai bilangan pengecas kenderaan elektrik terbanyak di Malaysia.

“Sehingga 15 Mac 2016, terdapat 11 buah unit pengecas kenderaan elektrik dipasang sekitar negeri dan tambahan 37 buah unit pengecas kenderaan elektrik akan dipasang di 28 lokasi dalam tempoh terdekat ini.

“Kerajaan Negeri turut mengadakan pelbagai program kesedaran kepada masyarakat mengenai amalan hijau seperti jimat tenaga, kitar semula, penggunaan laluan basikal dan laluan penjalan kaki, kompos dan kebun komuniti,” katanya.-nR-