HALAMAN SANTAI

Ahad, 3 April 2016

Nazri: Usul pecat pemimpin Umno pada mesyuarat MT

BERNAMA




Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata usul bagi pemimpin UMNO yang terlibat dalam 'Deklarasi Mahathir' dipecat daripada parti akan dibawa pada mesyuarat MT akan datang.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana sudah jelas perbuatan itu melanggar disiplin parti.

"Akan diusulkan dalam mesyuarat MT UMNO akan datang agar mereka daripada UMNO yang menghadiri atau menandatangani deklarasi itu untuk menjatuhkan pemimpin (presiden) parti dikenakan tindakan dipecat daripada parti.

"Segala prosedur akan dibuat oleh parti dengan (terlebih dahulu) menghantar surat tunjuk sebab kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan Ketua-Ketua Kampung dan Ketua UMNO di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, hari ini.

Mohamed Nazri berkata beliau percaya laporan tentang pemimpin terbabit telah dibuat kepada jawatankuasa disiplin parti untuk pertimbangan dan siasatan dan hasil laporan itu akan dibentangkan pada mesyuarat MT.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembabitan pemimpin UMNO dalam Deklarasi Mahathir yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dan presiden UMNO.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Padang Rengas Osman Rani Yang Ramli berkata satu memorandum telah diserahkan kepada Mohamed Nazri yang menyatakan sokongan penuh bagi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada parti.

Katanya ini kerana tindakan Muhyiddin menandatangani deklarasi itu jelas bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Semua ketua kampung dalam kawasan Parlimen Padang Rengas memberikan sokongan penuh kepada presiden Datuk Seri Najib untuk mengambil tindakan dan langkah-langkah bagi mengembalikan maruah parti dan kerajaan," katanya.-Bernama


Ditahan imigresen S'wak, diplomasi Shamsul berjaya

MALAYSIAKINI

 


Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin adalah pemimpin pembangkang terbaru yang dihalang daripada memasuki Sarawak menjelang pilihan raya negeri itu.

Bagaimanapun selepas berunding secar diplomasi, beliau dibenarkan masuk.

Shamsul, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan pesawat Malindo Air penerbangan OD1622 yang berlepas dari KLIA pada jam 5.50 petang berkata, beliau ditahan oleh seorang pegawai imigresen.

"Nama pegawai yang menahan saya adalah Andrew.

“Andrew maklumkan saya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak sebab arahan atasan,” katanya dalam akaun Twitter.

Bagaimanapun pada jam 11.30 malam, lebih daripada tiga jam selepas ditahan, pembantu peribadi Shamsul, Naquiddin Nazrin berkata rundingan "diplomasi" menyaksikan bosnya berjaya memasuki Sarawak.

"Perkembangan terkini: YB dah lepas masuk ke Sarawak. Lepas berunding secara diplomasi dengan imigresen," selepas perbincangan diplomatik dengan imigresen," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis juga penah disekat daripada memasuki negeri itu.

Antara mereka, termasuk naib-naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Rafizi Ramli.

Turut tidak dibenarkan ke Sarawak adalah Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Tony Pua dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok juga pernah dihantar pulang sebaik menjejaki bumi Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan pada 11 April ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Derma atau dana 1MDB? Siasatan Luxembourg ada jawapan

Nigel Aw

  




Rakyat Malaysia mungkin tertanya-tanya mengapa sebuah negara kecil di Eropah juga melancarkan siasatan global ke atas skandal 1MDB, tetapi hasil siasatan itulah yang akan mempunyai kesan besar ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai permulaan, siasatan Luxembourg itu tidak menunjukkan bahawa ia mempunyai sebarang kaitan dengan Najib.

Tetapi siasatan Luxembourg adalah penting kerana ia boleh menyelesaikan kaitan penting - hubungan antara 1MDB dengan beberapa entiti yang telah bermurah hati menyalurkan berbilion-bilion ringgit yang didakwa sebagai derma ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Berita ABC pada Selasa lalu yang memetik rekod bank Najib, mendedahkan bahawa AS$1.051 bilion (RM4.2 bilion) di akaun peribadi perdana menteri berasal daripada entiti seperti Kementerian Kewangan Arab Saudi, Putera Faisal bin Turki bin Bandar Alsaud, Kewangan Tanore (BVI ) dan Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd (BVI).

Pejabat Perdana Menteri mendakwa entiti Arab itu adalah bukti yang Najib sentiasa tegaskan - wang itu adalah sumbangan Arab dan sebarang dakwaan mengaitkannya dengan 1MDB adalah salah.

Jadi bagaimana kaitan ini dengan penyiasatan Luxembourg?

The Wall Street Journal hari ini melaporkan bahawa Kumpulan Banque Privee Edmond De Rothschild Group di Luxembourg yang menguruskan dana untuk pelanggan kaya, mengesahkan ia sedang bekerjasama dengan penyiasat di negara itu bagi menentukan sama ada dana 1MDB mengalir ke dalam bank swasta berkenaan.

Walau bagaimanapun, sebelum pihak berkuasa Luxembourg mengumumkan siasatannya, Sarawak Report pada Januari lalu telah memberi tumpuan kepada Banque Privee Edmond De Rothschild.

Portal pendedah maklumat itu, secara khusus mengeluarkan dokumen yang menunjukkan bahawa akaun Khadem Al-Qubaisi di Banque Privee Edmond De Rotschilde di Luxembourg di bawah nama 'Amanah Vasco’ menerima deposit AS$ 472.75 bilion antara 29 Mei 2012 dan 4 Disember 2012.

Wang itu berasal daripada Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd (BVI), syarikat pesisir luar yang sama yang menyalurkan sekurang-kurangnya AS$120 juta (RM480 juta) ke akaun bank peribadi Najib antara 3 Januari 2012 dan 23 Mei 2012.

Khadem sebelum ini adalah Pengerusi Aabar Investments PJS, anak syarikat dana pelaburan Abu Dhabi, iaitu International Petroleum Investment Companya (IPIC) yang mana beliau juga adalah pengarah urusan. Kedua-dua entiti itu mempunyai urusan perniagaan dengan 1MDB.

Kerana rasuah, Malaysia dihina negara lain

Kerana rasuah, Malaysia dihina negara lain


KUALA LUMPUR - Masalah rasuah yang berleluasa dalam negara ketika ini menyebabkan Malaysia sering dihina oleh negara-negara lain.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, oleh itu institusi negara perlu diperbetulkan dengan segera.
"Sekarang seluruh dunia hina kita. Thailand, Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat, Mozambique hina kita.

"Ini disebabkan negara kita mengalami masalah rasuah," katanya.

Katanya, himpunan sebegini akan diteruskan pada masa akan datang bagi mendesak perubahan pentadbiran negara dilakukan.

"Pakatan Harapan akan bekerjasama dengan sesiapa saja yang inginkan perubahan termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pemerintahan dia (Mahathir) dulu kita lawan tetapi sekarang umur dia dah 90 tahun dia melihat negara sudah lingkup. Dia juga ingin sama-sama lihat Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) berundur.

"Kita tak kira siapa saja yang mahukan perubahan termasuk orang yang sudah pencen iaitu Tun Mahathir, " katanya.

Sementara itu, Mohamad ketika ditemui selepas itu berkata, Himpunan Mansuhkan GST berjaya mencapai sasarannya bagi menyemarakkan semangat rakyat menjelang pilihan raya.

"Sasaran (kehadiran) kami tercapai sebab minggu ini banyak program lain yang diadakan di beberapa tempat. Jadi momentum itu yang kita mahu dikekalkan.

"Kita harap semangat rakyat ini dapat diteruskan hingga pilihan raya akan datang," katanya.

ikap degil Mahathir antara faktor kegagalan Proton

SINAR HARIAN


Annuar Musa
Annuar Musa


TEMERLOH - Sikap degil bekas pengerusi Proton Holdings‎ Berhad (Proton), Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan antara punca kegagalan syarikat pengeluar kereta tempatan itu menjadi kompetitif dalam saingan industri automotif.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan sukar untuk‎ memperbetulkan keadaan kewangan syarikat milik kerajaan itu kerana bekas perdana menteri itu enggan menerima pendapat orang lain.

"Sekiranya sesiapa dalam syarikat itu menawarkan idea yang berbeza dengan pandangannya (Dr Mahathir), maka orang itu akan menghadapi masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Cawangan Kuala Krau, di sini hari ini.

Semasa di bawah Mahathir juga, katanya, Proton telah melakukan beberapa‎ urusniaga yang menyebabkan syarikat itu berada dalam keadaan terumbang ambing antaranya termasuk kerjasama dengan Group Lotus Plc.

Kelmarin, Mahathir dikatakan telah meletakkan jawatan di empat badan berkaitan kerajaan iaitu Proton, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Lembaga Pembangunan Tioman.

Proton dipengerusikan Dr Mahathir sejak diasaskan pada 7 Mei 1983.

Annuar berkata walaupun Proton menghadapi masalah kewangan yang serius namun Proton dilihat kebal serta terkongkong dengan idea dan kepercayaan Dr Mahathir.

Beliau berkata pada satu ketika dahulu, Proton pernah menguasai 70 peratus pasaran kereta tempatan dan kini tidak sampai 30 peratus.

"Ini bermakna Proton semasa di bawah Tun Dr Mahathir sebagai penasihat,  bertahun-tahun menghadapi masalah kewangan yang besar, malah kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang sangat besar untuk memastikannya untuk terus beroperasi," katanya.

Justeru, katanya, pengunduran Mahathir dilihat sebagai peluang‎ terbaik kerajaan untuk memulih dan menyelamatkan syarikat kereta nasional negara itu daripada terus mengalami kerugian.

Beliau berkata pengurusan Proton harus dibantu untuk mengurus syarikat itu secara profesional termasuk mengatur strategi baharu mengadakan perkongsian teknologi dengan syarikat automotif dari negara lain.

Dalam masa yang sama, katanya penjelasan tentang perkara ini juga harus diberikan kepada rakyat termasuk daripada pihak Proton sendiri untuk mengelakkan mereka salah faham dalam isu tersebut. - Bernama


Kenapa pengguna pilih Uber bukan teksi?

Uber, Grabcar, teksi
Gambar hiasan


SHAH ALAM - Rata-rata pengguna ada sebab tersendiri memilih perkhidmatan Uber dan GrabCar berbanding teksi.

Bukan tidak mahu menggunakan perkhidmatan teksi namun, pemandu-pemandu teksi ini didakwa sering mengelak untuk pergi ke kawasan-kawasan tertentu terutama kawasan sesak.

Menurut pemilik akaun Facebook, Nurzahirah Zamri, insiden terbaharu dialaminya apabila berseorangan di stesen komuter pada waktu malam dan satu-satunya teksi di situ tidak mahu menghantarnya ke Jalan Pahang dengan alasan kawasan sesak.

“Teksi terus pecut. Masa itu rasa nak nangis pun ada. Dia tak fikir ke saya perempuan di KTM seorang diri pada waktu malam?

“Saya terus muat turun aplikasi GrabCar. Alhamdulillah servis lebih mudah dan cepat. Yang penting sopan atau bahasa mudahnya tak jerkah orang dan tinggi suara.

"Saya akan pakai Grabcar dan Uber saja sekarang. Maaf pemandu teksi, banyak dah pengalaman buruk dengan kalian,” tulisnya.

Sementara pengguna Facebook, Mohd Fickrie Azlan berkata, semalam ketika beliau benar-benar memerlukan khidmat teksi, namun tiada seorang pun pemandu yang mahu menghantarkannya ke destinasi.

“Jadi, saya cubalah Grabcar dan dapat seorang. Selalu sangatlah macam ini. Bila tengok radar teksi dalam aplikasi Grabcar ada banyak. Tapi tak ramai sanggup bersesak.

“Kita faham. Keutamaan memang kepada teksi, tetapi kalau teksi asyik tak ‘available’. Tak ada cara lain dah. Apa pun, Grabcar lebih murah,” tulisnya.

Perkara sama turut diakui pengguna akaun Twitter, Aiman yang menyifatkan perkhidmatan Uber memang murah berbanding teksi.

Pemilik akaun Facebook, Q Haizatt Safian pula berkata, “teksi di Malaysia ni uzur Na'uzubillah. Serba kekurangan tapi harga tambang macam kita naik Limo. Cekik darah betul.”

Malah, menurut pemilik akaun Facebook mengguna nama Aeem Mee, kebanyakan pemandu teksi tidak mahu menggunakan meter.

Namun pemilik akaun Facebook, Syazni Farhan tidak menafikan ada juga pemandu teksi yang bagus.

Isu mengenai teksi dengan aplikasi Uber dan Grabcar ini terus memuncak apabila sekumpulan pemandu teksi bertindak melancarkan mogok di tengah-tengah ibu kota, Selasa lalu gara-gara membantah Uber dan GrabCar yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka.


Sabtu, 2 April 2016

BILA SALLEH DAH TAK MAMPU BERHUJAH...

 shahbudindotcom

 

 
 
Berikutan pendedahan yang semakin rancak mengenai Najib Razak berkaitan wang yang masuk ke akaun peribadinya, di seluruh dunia dan juga di Malaysia, berhujahlah Salleh Said Keruak atau panggilan glamornya SSK dengan berkata, "Perdana Menteri telah menjadi mangsa ketidakadilan melampau di media dan disabitkan di mahkamah pendapat umum semata-mata berasaskan dakwaan."

Justeru, kata Salleh lagi, pihak yang memfitnah itu harus memohon maaf kepada Najib.

Hahaha....fitnah dan minta maaf konon????

Siapa yang fitnah?
 
 
 
 
Adakah laporan WSJ dan ABC News Australia berupa fitnah?

Apakah laporan mereka tentang wang RM2,600 juta dan yang terbaru jumlahnya dikatakan sudah meningkat kepada RM4,200 juta yang didakwa berada dalam akaun peribadi Najib, suatu fitnah?
 
 
 
 
Apakah perbelanjaan mewah, membeli barang kemas dan percutian mahal yang didakwa dilakukan Najib untuk keluarganya, berupa fitnah juga?
 
 
 
 
Selain itu, adakah semua laporan media ini turut berupa fitnah, fitnah dan fitnah juga?

Kalau fitnah, mengapa masih terhegeh-hegeh untuk melakukan saman? 

Berapa banyak Selasa lagi mahu ditunggu sebelum surat saman mahu dilayangkan?
 
 
 
 
Kenapa kali ini Salleh tidak menggunakan kepakarannya untuk menjawab segala apa yang didedahkan oleh media antarabangsa itu?

Kalau benar ia berupa fitnah dan tiada kebenaran dalam semua laporan itu, ia sepatutnya dijawab dengan hujah serta fakta dan bukan dengan menggesa meminta maaf.

Meminta maaf pun mestilah dibuktikan ia benar-benar fitnah terlebih dahulu. Jika fitnah tidak dapat dibuktikan, bagaimana mahu meminta orang lain meminta maaf?

Di ketika yang sama, tidakkah dengan hanya mampu mengatakan serangan terhadap Najib berupa fitnah dan pemfitnahnya perlu meminta maaf,  itulah tanda-tanda awal Salleh sudah kehabisan hujah untuk mempertahankan bossnya, tetapi dalam masa yang sama perlu dilihat "tidak makan gaji buta"  kerana asas beliau dilantik sebagai menteri pun tidak lain ialah kerana kegigihannya mengampu dan membodek Najib semata-mata?

Maka, tentunya beliau perlu dilihat terus bekerja mempertahankan Najib, walaupun tiada lagi kata-kata bermakna yang mampu diluahkannya.

Fitnah lagi???

Opppps...sebelum terlupa dan sekadar mengingatkan,  apakah media-media kerajaan seperti TV3, Utusan, blog dan portal yang diberi dedak bulanan serta lain-lainnya begitu suci dan tidak pernah sama sekali terpalit  dengan unsur-unsur fitnah dalam laporan mereka mengenai musuh-musuh Najib? 


Mahathir cukup marah gagal jatuhkan Najib, kata Nazri

MALAYSIAKINI




Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat telah menang dalam semua ‘pertarungaannya’ sebelum ini dalam menjatuhkan beberapa pemimpin lain namun beliau cukup marah apabila gagal untuk bertindak sedemikian terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kali ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, cubaan Mahathir untuk menjatuhkan Najib dengan cara tidak demokratik tidak akan berjaya .

“Lelaki ini telah menang dalam semua ‘pertarungannya’. Beliau telah menentang Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.

“Beliau juga telah menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Beliau berjaya menjatuhkan semua orang, namun, gagal menjatuhkan Najib, jadi, beliau cukup marah,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia.

Menurut Nazri, tindakan Mahathir yang memburuk-burukkan Najib dan negara kepada media asiang hanya memberi publisiti buruk dan mencemarkan imej negara.

Akibatnya, menurut Nazri, ekonomi negara juga akan terjejas.

“Kita tahu apa yang ingin beliau lakukan. Beliau mahu memastikan ekonomi negara kita akan terjejas.

“Dengan memberikan segala publisiti buruk, pelabur akan berhenti melabur di Malaysia dan orang tidak lagi akan datang ke negara ini dan akhirnya perdana menteri akan disalahkan,” katanya dipetik akhbar itu.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penggunaan media asing melalui program 'Four Corners' oleh The Australian Broadcasing Corporation (ABC) yang dilihat sebagai satu lagi percubaan Mahathir untuk merealisasikan kempen anti-Najib.


‘Di sebalik derma, Islam tak berkembang zaman Najib’

Anne Muhammad  




PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sependapat bahawa derma yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi untuk membangunkan Islam tidak digunakan untuk ke arah itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, sekiranya benar Najib menerima sumbangan seumpama itu, sudah tentu tidak ada lagi umat Islam yang miskin di negara ini.

Bagaimanapun, katanya yang berlaku adalah sebaliknya.

“Maksud saya didakwa untuk Islam tapi saya tak nampak orang Islam dapat manfaat. Tapi ini tidak berlaku.

“Tapi kalau betul Putera Saudi bagi RM2.6 bilion kepada perdana menteri untuk (bangunkan) Islam maka sudah tentu tidak ada umat Islam yang miskin di Malaysia. Semua ada rumah sendiri dan semua pelajar Islam akan dapat biasiswa,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini media Australia mendedahkan surat yang mendakwa Najib kononnya menerima derma AS$375 juta daripada seorang putera Arab pada tahun 2011.

Sumbangan itu dikatakan adalah sebahagian daripada beberapa urusniaga yang Najib didakwa terima daripada putera Arab yang terdiri daripada bayaran AS$100 juta pada 1 Februari 2011 kepada AS$800 juta pada 1 Mac, 2013.

Sumbangan itu diberikan kepadanya sebagai penghargaan kepada Malaysia yang memperjuangkan agama Islam dan mengamalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mengulas isu yang sama, Penasihat Umum AMANAH Ahmad Awang berkata, beliau tidak melihat selepas Najib menerima dana itu, perkembangan umat Islam di negara ini semakin baik.

“Kelihatan tidak ada langsung peningkatan malah menurun lagi perkembangan masyarakat Islam, kalau gerakan Islam semuanya tak ada bantuan diberikan oleh kerajaan.

“Kalau Najib ada NGO sendiri pun yang wasatiyyah, kalau itulah umpamanya institusi di bawahnya untuk mengembangkan Islam, tak nampak apa pun,” katanya.

Malah Ahmad yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Islam turut mempertikaikan mengapa Najib memulangkan semula derma berkenaan sekiranya ia benar-benar mahu digunakan untuk memperkembangkan Islam.

“Soal dana yang diberikan oleh Arab Saudi itu terlalu mengelirukan kerana ia dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib tapi Najib pulangkan semula.

“Kalau nak guna untuk kembangkan Islam, kenapa Najib pulangkan semula?” soalnya.

Timbalan Pengerusi AMANAH, Salahuddin Ayub pula berkata, isu berkaitan derma yang diterima Najib hanya memburukkan lagi negara di mata dunia.

Malah katanya, beliau tidak melihat umat Islam di negara ini semakin berkembang selepas Najib menerima sumbangan itu.

“Saya tak nampak begitu (umat Islam makin baik) , saya tak lihat perkembangan ‘outstanding’ setelah menerima dana itu dan apa yang telah dilakukan Najib hanya memburukkan lagi imej Malaysia,” katanya.

Salahuddin turut menggesa supaya Najib dan kerajaan Arab Saudi untuk mengeluarkan dokumen mengenai derma RM2.6 bilion itu kepada umum.

“Pastinya wang sebanyak itu ada dokumen. Kalau Najib dan Arab Saudi mahu bersihkan nama dia, mesti dedahkan dokumen itu,” katanya.

Sebelum ini Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata Najib telah mengembalikan semula sebahagian wang RM2.6 bilion yang diterimanya kepada keluarga diraja Arab Saudi.

Menurut Apandi, pada Ogos 2013, sejumlah wang AS$620 (RM2.03 bilion) telah dikembalikan kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

Bagaimanapun Apandi berkata, wang dana yang diberikan oleh keluarga diraja Arab Saudi itu adalah sumbangan peribadi kepada Najib.

Oleh yang demikian, tiada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Najib berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya itu serta pihak Peguam Negara mengarahkan SPRM supaya menutup kertas siasatan tersebut.


 
 
 

IGP arah tangkap lelaki beri amaran kepada Amerika

MALAYSIAKINI




Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan pihak polis untuk menangkap seorang pengguna Twitter yang memberi amaran kepada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengenai dirinya.

Ia susulan kenyataan Khalid semalam bahawa pegawai dari Amerika Syarikat tidak boleh menyoal mana-mana individu di Malaysia tanpa kehadiran polis negara ini.

Pegawai Jabatan Keadilan Amerika dilaporkan berada di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada siasatan mereka berhubung skandal dana 1MDB.

"Kesan dan tangkap orang ini yang cuba menghasut rakyat dengan tuduhan-tuduhan yang melampau,” kata Khalid dalam arahannya kepada Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) melalui Twitter.

Beliau merujuk kepada pengguna Twitter @drcolinfu, yang memberitahu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat supaya "berhati-hati" dengan Khalid.

"Dia (adalah) polis rasuah dan tidak baik. Dia lindungi Najib dan 1MDB," tulisnya.

Tweet itu juga dikaitkan terus kepada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, Khalid dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Khalid juga mengarahkan tindakan terhadap Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin yang dilaporkan berkata BN hanya boleh ditumbangkan melalui rusuhan besar-besaran.

“PCIRC dan Unit Siasatan Khas D5 @PDRMsia ambil tindakan ke atas penghasut ini,” katanya juga menerusi tweet.