HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Mei 2016

LAGI DUA MINGGU, MUDAH-MUDAHAN MATLAMAT 1 JUTA JADI KENYATAAN

shahbudndotcom

 

 
 
Demi memastikan Deklarasi Rakyat benar-benar mendapat sokongan sekurang-kurangnya 1 juta tandatangan sebelum di serahkan kepada Majlis Raja-Raja pertengahan Mei ini, semua pihak yang terlibat nampaknya sedang bekerja keras ke arah itu.

Di pasar malam, di majlis forum, di kompleks membeli-belah, membuka meja di kaki lima, bahkan di mana-mana usaha mengumpulkan tandatangan itu menggambarkan rakyat pelbagai lapisan sedang berganding mahu dan bersatu hati mengenainya.
 
 
 
 
Tun Mahathir sendiri, selepas 28 April lalu di Jitra dan 29 April di Johor Bahru, pada malam 1 Mei ini kembali semula ke ibu negeri Kedah untuk program Selamatkan Malaysia yang akan diadakan di Bandar Stargate, Alor Setar.

Pada 4 Mei, Tun Mahathir akan ke Kota Bharu dan pada 6 Mei pula ke Ipoh, kedua-duanya untuk program Selamatkan Malaysia dan mempromosi Deklarasi Rakyat yang matlamat awalnya ialah mengumpul 1 juta tandatangan daripada rakyat.
 
 
 
 
Dalam usia 91 tahun, kesediaan dan kegigihan Tun Mahathir ke sana ke mari, aduhai....amat mengkagumkan!!

Kepada yang belum tandatangan, boleh lakukannya di sini -   bit.ly/deklarasirakyat  dan kepada yang ingin menurunkan tandatangan di program-program Selamatkan Malaysia, boleh juga berbuat demikian di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai.
 
 
 
 
Yang penting, dalam tempoh dua minggu ini, matlamat mendapatkan 1 juta tandatangan itu jangan sesekali gagal. Sekurang-kurangnya hargailah kegigihan Tun Mahathir.

Bak kata Tun Mahathir, kalau 1 juta yang tandatangan ini nak ditangkap, di lokap mana nak diletakkan mereka yang seramai itu!! 


Selepas 4 hari kempen, 5 calon Amanah berpeluang menang

MALAYSIA DATELINE


Lima calon Amanah yang dijangka berpotensi untuk menang dalam Dun yang ditandingi mereka dalam PRN Sarawak.Lima calon Amanah yang dijangka berpotensi untuk menang dalam Dun yang ditandingi mereka dalam PRN Sarawak.


Selepas 4 hari kempen berjalan, sekurang-kurangnya lima dari 13 calon Parti Amanah Negara (Amanah) menunjukkan peningkatan dalam pencapaian mereka apabila kerusi mereka dikategorikan sebagai kelabu oleh Bilik Gerakan BN dan juga media di Sarawak.

Menurut sumber, kerusi Sebuyau, Balingian, Kabong, Damak laut dan Beting Maro kini dimasukkan dalam kategori kelabu oleh Barisan Nasional (BN) yang membawa makna boleh dimenangi oleh lawan mereka.

Sebuyau ditandingi tiga penjuru oleh tiga calon iaitu Datuk Haji Julaihi Haji Narawi (PBB), Haji Wan Abdillah Bin Wan Ahmad (Pas) dan Andrew Anak Jain (Amanah).

Demak Laut pula ditandingi satu lawan satu antara Dr Haji Hazland Bin Abang Haji Hipni (PBB) dan pengerusi Amanah Sarawak, Mohammad Fidzuan Zaidi.

Di Kabong pula, calon BN Mohamad Chee Kadir (PBB) akan berdepan dengan Novert Sullang (DNP) dan Jini Bin Sahini (Amanah).

Di Balingian pula pertembungan satu lawan satu antara Abdul Yakub Arbi (PBB) dan Nurzaiti Binti Hamdan (Amanah).

Di Beting Maro, calon BN, Razaili Haji Gapor (PBB) akan berdepan dengan Hamidah Binti Mokhtar (Pas) dan Andri Zulkarnean Hamden (Amanah).

Selain itu, dua lagi calon Amanah dijangka memberikan tentangan sengit kepada lawan masing-masing iaitu N26 Gedong yang diwakili oleh Rapelson Richard Hamit dan N.16 Muara Tuang yang diwakili oleh Abang Abdul Halil Abang Naili.

Rapelson, seorang OKU kini mendapat simpati pengundi selepas beliau diserang kerana kekurangan beliau padahal calon Amanah ini mempunyai banyak kelebihan termasuk menjadi orang kepercayaan anak Sarawak untuk memperjuangkan isu tanah di negeri ini.

Beliau akan berhadapan dengan calon BN, bekas menteri muda kerajaan negeri, Datuk Haji Mohd Noroden Haji Majais (PBB) yang sebelum ini bertanding di Simunjan.

Sementara itu, Abang Abdul Halil, seorang jurutera yang mewakili Amanah di Muara Tuang pula dikatakan bergerak sejak sekian lama di sini untuk bertanding kali ini.

Sebagai Setiausaha Amanah Sarawak, Abang Naili, bekas aktivis Ikram banyak dibantu oleh jentara dari NGO Islam itu.

Sangka demam biasa rupanya kanser

Sangka demam biasa rupanya kanserIslah menenangkan anaknya yang menangis menahan kesakitan.


RAWANG - Disangka hanya demam biasa namun selepas pemeriksaan dilakukan didapati ia adalah Febrile Neutropenia yang membawa kepada kanser tulang dan kini sudah berada di tahap empat.

Danish Aiman Baharuddin, 16, menderita penyakit itu sejak setahun lalu telah menjalani 13 kimoterapi dan hanya berbaki satu rawatan yang sepatutnya dilakukan 25 Mac lalu, namun atas faktor keadaannya yang semakin lemah baki rawatan itu tidak diteruskan.

Ibunya, Islah Zainul Abidin, 41, berkata, penyakit anak kedua dari tiga beradik itu dikesan tahun lalu selepas mengalami demam berterusan hampir sebulan dan terdapat benjol seperti cecair di dalam kepalanya.

Menurutnya, khuatir dengan keadaan anaknya itu, dia membawanya ke klinik sebelum merujuk ke Hospital Selayang.

“Kes anak saya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Pembedahan buang buah pinggang dah dibuat selepas dikesan ada ketumbuhan di situ, tapi kesihatan dia terus merosot.

“Doktor maklumkan kuman dalam badannya terlalu aktif dan daya tahan badannya tak kuat menyebabkan virus itu terus merebak ke bahagian badan lain terutama kaki, lutut, mata dan kepalanya,” katanya.

Sejak itu Islah berkata, anaknya tidak lagi bersekolah dan kini diberikan ubat tahan sakit serta hanya mampu terbaring di rumah.

“Dia memang bergantung kepada ubat tahan sakit sepenuhnya, bila dosnya dah habis dia akan menangis sebab terlalu sakit.

“Nak bangun memang tak boleh, hanya gunakan kerusi roda saja kalau dia nak keluar, makannya juga tak menentu, badannya susut separuh dari 120 kilogram kini hanya 60 kilogram,” katanya.

Sudahlah diuji dengan masalah kesihatan anak, Islah yang juga ibu tunggal turut diberhentikan kerja selepas kerap mengambil cuti untuk menjaga anaknya.

“Memang tengah buntu sekarang untuk uruskan hal rumah sebab dua lagi anak masih bersekolah, nak bayar sewa rumah dan hutang kereta serta makan minum lagi,” katanya.

Menurutnya, dia belum bercadang mahu bekerja kerana mahu memberikan sepenuh perhatian menjaga anaknya itu.

“Dia selalu mengadu sakit, bila tak makan ubat dia akan menangis sebab tak tahan sakit. Kalau saya bekerja, siapa yang nak jaga dia,” katanya.

Sebelum ini, dia pernah mempunyai rumah namun telah menjualnya kerana memerlukan duit sejak anaknya itu sakit menyebabkannya mereka sekeluarga kini terpaksa menyewa.

"Saya berharap ada bantuan daripada pihak luar untuk bantuan kewangan bagi membolehkan saya guna untuk urusan persekolahan dua anak saya,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menyumbang di akaun Maybank di bawah nama Islah Zainul Abidin 108186290643.


Kerajaan 'caretaker' Sarawak perlu benar semua pihak kempen dengan aman

MALAYSIA DATELINE


Azmin AliAzmin AliTimbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menempelak tindakan kerajaan negeri Sarawak yang dikatakan menyalahgunakan undang-undang kebenaran masuk ke negeri itu bagi menghalang pemimpin-pemimpin pembangkang berkempen sepanjang pilihan raya negeri yang sedang berlangsung sekarang.

Azmin yang tiba di lapangan terbang Kuching semalam diberi tempoh sehingga 2 Mei untuk berada di Sarawak oleh pihak Jabatan Imigresen, seperti dilaporkan Borneo Post.

"Saya terkejut diberitahu hanya boleh berada hingga 2 Mei, dikehendaki keluar dan tidak boleh masuk lagi hingga hari mengundi, katanya ketika ditemui semasa mengiringi calon PKR di Satok Semalam.

Menurut Azmin ,lebih mengejutkan bila pegawai Imigresen enggan menerima paspot diplomatik miliknya dan mendesak beliau menunjukkan kad pengenalan.

"Sarawak sebahagian dari Malaysia dan tidak harus rakyat Malaysia lain dilarang berkongsi masalah kuhususnya ketika menghadapi pilihan raya yang akan menentukan nasib masa depan rakyat" katanya.

Diminta mengulas arahan Ketua Menteri Sarawak Datu Seri Adenan Satem supaya pemimpin semenanjung perlu berkelakuan baik jika mahu dibenar masuk Sarawak, beliau berkata "hak demokrasi perlu dihormati"

Semalam, Naib pengerusi biro undang-undang (Kanun) Amanah Wan Anwar Wan Ibrahim berkata,
pihaknya mengalu-alukan kesediaan kerajaan negeri membenarkan dua pemimpin utama DAP Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng masuk ke Sarawak minggu lalu namun menuntut kebenaran yang sama diberikan kepada pemimpin pembangkang lain.

Ini termasuk presiden Amanah Mohamad Sabu yang dihalang masuk ke Sarawak sejak 22 Mac lalu, presiden PKR Datuk Wan Azizah Wan Ismail dan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang masih belum dibenarkan masuk.

"Kanun percaya dalam membawa perubahan kepada Sarawak, kerajaan negeri sewajarnya membuka seluas-luasnya ruang demokrasi kepada rakyat Sarawak untuk membuat pilihan dalam kempen PRN yang berlangsung sekarang,” katanya

Pas yakin BN menang dua pertiga di Sarawak

SINAR HARIAN


Mustafa Ali
Mustafa Ali


KUALA TERENGGANU - Pas yakin Barisan Nasional (BN) akan berjaya mengekalkan kuasanya di Sarawak dan meraih majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, BN dilihat masih memikat hati pengundi Sarawak selain mampu menyelesaikan isu tempatan terutama di kawasan luar bandar.

"Saya rasa BN akan terus memerintah Sarawak dan akan menang dua pertiga majoriti dalam PRN11 nanti, mungkin ada kawasan yang akan kalah, tetapi saya yakin BN akan terus kekal di Sarawak," katanya pada sidang media di pejabat Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di sini hari ini.

Mustafa berkata, Pas melihat masyarakat Sarawak lebih menumpukan kepada isu tempatan berbanding isu nasional.

Selain itu, beliau berkata, faktor kepimpinan yang ditonjolkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Adenan Satem dalam pentadbiran kerajaan negeri memberikan keyakinan kepada rakyat.

"Datuk Seri Adenan Satem ini mempunyai feel good factor,  lagi boleh menang di Sarawak," katanya.

Mengenai isu menteri besar Terengganu, Mustafa berkata, pilihan terbaik kini ialah mengadakan pilihan raya negeri.

Beliau mendakwa tindakan menukar Ahmad Razif Abdul Rahman (menteri besar) bukanlah pilihan terbaik kerana ia akan menimbulkan masalah berterusan dan BN bukanlah memiliki majoriti yang besar.

Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berpendapat Pas tidak campur tangan dalam isu berkenaan.

"Pas menyerahkan kepada BN sehingga habis penggal dan biarlah mereka sendiri yang menyelesaikan masalah yang dihadapinya, kami tidak mahu campur tangan," katanya. - Bernama


Bila anak Cina membesar di kawasan Melayu

Bila anak Cina membesar di kawasan Melayu


KUALA TERENGGANU - Dia dilahirkan di Kelantan kerana mengikut bapanya yang ketika itu bertugas sebagai anggota keselamatan dan dibesarkan di Kuala Terengganu setelah berpindah ke negeri ini dengan persekitaran pelbagai latar belakang masyarakat.

Kehidupan dari kanak-kanak, remaja sehingga dewasa terdedah dengan budaya masyarakat majmuk kerana tinggal di kuarters dan berjiran dengan semua bangsa.

Sebab itu tidak hairan Tan Jun Luan, 52, lebih berperwatakan seperti Melayu.

“Dari kecil hingga sekarang, saya tinggal di kawasan majoriti Cina dan Melayu. Sebab itu saya tak kekok berkawan dengan mereka.  Lagipun mereka boleh terima kehadiran saya kerana masing-masing hormat budaya dan adat resam,” katanya yang kini menetap di Taman Jaya, Gong Badak.

Anak kedua daripada tiga beradik dan perempuan tunggal ini suka berkawan dengan ramai orang.  Malah sifat cintakan perpaduan dan keamanan itu masih kuat tertanam dalam diri memandangkan bapanya, Tan Hai Ann, 81, seorang anggota polis. 

Jun Luan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 semasa di tahun satu hingga enam pada  pada 1971 hingga 1976  sebelum bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman pada 1977 hingga 1981 (tingkatan satu hingga lima).

Pandai baca jawi

Malah sewaktu di sekolah rendah, dia juga pandai baca jawi, namun apabila lama ditinggalkan kini banyak perkara telah terlupakan.

“Dulu semasa di sekolah rendah, tak ramai kawan Cina kerana majoriti Melayu.  Jadi walaupun cikgu benarkan keluar semasa kelas agama, saya tetap duduk dalam kelas dan secara tidak langsung saya pandai menulis dan baca jawi.

“Tetapi jika ditanya sekarang, banyak perkara sudah lupa,” katanya.

Rakan panggil Kak Intan, Lynn

Malah dia juga aktif aktiviti kemasyarakatan dan kelibatnya boleh dilihat dalam hampir semua majlis sama ada anjuran Cina, Melayu atau India.

Tidak hairanlah dia mempunyai banyak koleksi baju kurung dan kurung moden bagi memudahkannya menyertai mana-mana majlis dan tidak hairanlah dia turut mempunyai nama Melayu, Kak Intan dan  Lynn.

“80 peratus rakan-rakan orang Melayu dan bahasa Melayu juga merupakan bahasa perbualan harian bukan sahaja bersama rakan malah di rumah juga.  Kenalan di luar Kuala Lumpur (luar Terengganu) pula selesa memanggil saya Kak Intan (bermula dengan Kak Tan).

“Jika terima panggilan dan perkataan pertama keluar Kak Intan, sah rakan bukan dari Terengganu.  Jika panggilan Lynn pula, kebanyakan adalah orang-orang sini sahaja, tetapi kini ramai yang memanggil Mommy,” katanya.

Pada 2010 hingga 2011, dia juga pernah memegang jawatan presiden sebuah NGO, tetapi komitmen sebagai pengurus cawangan (sejak 23 tahun lalu) di Fella Design Cawangan Terengganu dan tidak mempunyai ramai kakitangan menyebabkan dia melepaskan jawatan tersebut, tetapi sentiasa menyokong aktiviti dianjurkan.

Boleh bertutur empat bahasa

Dia yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Hokkien dan juga Mandarin, menganggap kehadirannya diterima, walaupun berlainan bangsa dan agama malah tidak hairanlah dirinya sering menerima jemputan kenduri-kendara dari kalangan masyarakat Melayu termaksud aqiqah dan tahlil.

“Jika sebelum ini, saya akan tanya dahulu, lauk mana yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan, tetapi apabila telah lama bergaul dengan masyarakat Melayu, saya memahami sedikit-sebanyak peraturan.

“Malah, pergaulan bersama masyarakat pelbagai kaum beri peluang mengenali dan memahami budaya dan adat resam pelbagai kaum, daripada pelbagai jenis makanan Melayu dan Cina,” kata ibu tiga anak dan empat cucu.

Makan nasi guna tangan   

“Saya makan nasi guna tangan bukan sahaja dengan rakan, tetapi di rumah juga.  Malah lauk ikan singgang, belacan, budu juga merupakan kegemaran (walaupun bukan hari-hari).  Lauk itu juga merupakan antara hidangan sejak kecil dan kegemaran ayah yang juga asal Terengganu.      

“Kalau dapat makan budu, tak payah ambil lauk lain. Cukup lengkap kalau dimakan bersama ikan dan ulam. Sebab itu, jika rakan ajak makan tengahari di rumah mereka atau di kedai, saya tidak menolak," katanya.


Legasi cemerlang gabenor wanita berbaju kurung

SINAR HARIAN


Legasi cemerlang gabenor wanita berbaju kurung


KUALA LUMPUR - Beliau sering tampil berbaju kurung biru dengan paparan wajah tenang dan bersahaja, namun wanita ini lebih sinonim dengan ketegasannya sebagai gabenor sehinggakan diyakini serta disegani oleh masyarakat.

Tugas digalasnya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) juga sukar - mengimbangi cabaran pengurusan termasuk menangani satu demi satu krisis kewangan, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang terus mengekalkan reputasi cemerlangnya sehinggalah pada detik-detik akhir

tempoh 16 tahun mengemudi bank pusat berkenaan.

Bergelar gabenor wanita pertama Malaysia, Zeti disifatkan sebagai berkelayakan memikul tanggungjawab itu, malah sering dirujuk ketika tempoh sukar bagi menepis cabaran yang bertandang.

Namun pujian yang diterima enggan dibolot sendirian, sebaliknya beliau berulang kali menegaskan "ia adalah hasil kerja dan usaha secara berpasukan."

Zeti sememangnya mengagumi kegigihan dan komitmen para pekerja BNM menjayakan mandat bank pusat itu dan atas dasar itu, kejayaan yang datang enggan dikaitkan atas kapasitinya sebagai individu.

"Saya tidak melakukannya secara sendirian, sebaliknya disokong pasukan yang padu," katanya sambil memberi jaminan bahawa institusi itu kekal kukuh serta berdaya tahan selepas persaraannya.

Baginya, keupayaan mengurus cabaran, termasuk krisis adalah antara pencapaian BNM selain kejayaan aspek penyepaduan kewangan serantau dan pembangunan kewangan Islam yang diiktiraf kalangan masyarakat antarabangsa.

"Sudah pasti ia sesuatu yang menggembirakan apabila dapat menyaksikan (pencapaian) itu sepanjang tempoh kerjaya. Namun, ini hasil usaha berkumpulan dan saya amat bertuah dapat mengetuai pasukan ini," katanya.

Mengulas antara perkara yang diharapkan mampu disempurnakan BNM, Zeti berkata : "Saya berharap yang kita dapat menyegerakan usaha peralihan kepada e-pembayaran. BNM sendiri turut mengutamakan perkara ini kerana manfaatnya yang besar."

Sudah pasti, antara pertanyaan yang sering dilontarkan kepada wanita ini adalah mengenai penggantinya.

Malah, sewaktu menghadiri majlis taklimat untuk pengarang kanan sebelum ini, Zeti menegaskan penggantinya itu seharusnya diterima pasaran.

"Ia lebih kepada bagaimana orang ramai berkeyakinan bahawa anda melakukan perkara betul dan anda berupaya melakukannya serta keyakinan mereka bahawa anda boleh melakukannya," tegasnya.

Ternyata, gambaran itu menepati legasi dirinya sebagai gabenor yang bukan setakat diterima pasaran mahupun kalangan penggiatnya, malah ulasan serta respon Zeti terhadap sebarang isu berbangkit, sememangnya sesuatu yang dinantikan.

Malah, penggantinya iaitu Datuk Muhammad Ibrahim juga memiliki kemampuan itu selain dihormati dan dipercayai oleh industri kewangan.

Bagi prospek masa depan, Zeti memberi jaminan bahawa BNM berada pada kedudukan kukuh berikutan asasnya yang berpaksikan kekuatan barisan tenaga pekerjanya.

BNM turut melabur dalam pembangunan modal insan secara berterusan bagi memastikan kakitangannya sentiasa memiliki pelbagai kemahiran, cekap, komited serta tinggi nilai integriti.

Zeti adalah graduan jurusan ekonomi Universiti Malaya dan memperolehi Ijazah Doktor Falsafah daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Memulakan kerjaya beliau sebagai penyelidik ekonomi di Pusat Latihan dan Penyelidikan Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) dari tahun 1979 hingga 1984, beliau menyertai BNM pada 1985 dan menjadi Gabenor yang ketujuh pada Mei 2000, jawatan yang dipegang hingga akhir April 2016.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Perwakilan BNM di London, bertugas sebagai Ketua Pakar Ekonomi dan Ketua Jabatan Ekonomi BNM dan dilantik Timbalan Gabenor yang bertanggungjawab untuk ekonomi, pengurusan rizab, operasi pasaran wang dan asing serta kawalan pertukaran.

Ketokohan Zeti menyerlah berikutan keberanian beliau semasa kemuncak krisis kewangan Asia, yang menyaksikan pelantikannya sebagai Pemangku Gabenor pada 1 September 1998, jawatan yang dipegang selama dua tahun.

Beliau dan pasukannya mempunyai peranan penting dalam menguruskan sistem kewangan semasa krisis tersebut yang akhirnya membawa kepada pemulihan ekonomi Malaysia yang kukuh.

Mekanisme yang diperkenalkannya tidak disenangi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana kawalan modal yang diperkenalkan ternyata beralih daripada pendekatan konvensional bagi pengurusan sistem ekonomi dan kewangan, namun terbukti berjaya membantu Malaysia menempuh krisis itu.

"Ia memang sukar bagi sebuah bank pusat di negara sedang pesat membangun untuk beralih daripada konvensional. Anda perlu benar-benar pasti bahawa sebagai sebuah organisasi, kita berdiri atas asas yang kukuh dan pasti dengan matlamat yang ingin dicapai selain memiliki keupayaan untuk merealisasikannya," katanya yang dipetik sebelum ini.

Bukan sahaja beliau telah membantu memacu ekonomi melalui krisis kewangan Asia 1998 dan menghadapi krisis kewangan global 2009, beliau turut mendapat pujian sebagai suara ekonomi sedang pesat membangun yang mahu mereka mempunyai peranan lebih besar dalam ekonomi global.

Beliau dan pasukannya turut terlibat dalam transformasi sistem kewangan Malaysia, menjadikannya kukuh, stabil dan berdaya tahan untuk menghadapi ketidaktentuan dan kejutan masa depan.

"Pusat pertumbuhan masih bertumpu di negara sedang pesat membangun. Walaupun kita memperakui penyederhanaan dalam pertumbuhan di negara sedang pesat membangun, kita masih mewakili pusat pertumbuhan dalam ekonomi global," kata beliau baru-baru ini.

Dilahirkan di Johor Bahru pada 27 Ogos, 1947, Zeti merupakan anak tunggal kepada tokoh ilmuwan terkenal, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan tokoh budayawan negara, Allahyarham Sharifah Azah Mohamed Alsagoff atau lebih dikenali sebagai Puan Azah Aziz.

Bapanya yang lebih dikenali sebagai Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya dari 1968-1988, ahli akademik dan ahli ekonomi terkenal, merupakan individu yang bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan Tabung Haji yang telah membantu ramai umat Islam dalam menunaikan ibadah haji.

Ibu beliau, Allahyarham Puan Azah Aziz, seorang ikon budaya Melayu yang terkenal dan dihormati yang memperjuangkan dalam memelihara budaya Melayu tradisional sebenar.

Allahyarham turut dikenali dengan penampilannya yang sering berbaju kurung, ciri yang turut diterapkan kepada anak perempuannya.

Seiringan Zeti dalam sektor kewangan, keluarga ini selayaknya mendapat penghargaan daripada rakyat Malaysia di atas sumbangan cemerlang mereka kepada masyarakat dan negara.

Sementara itu, antara pengiktirafan kepada Zeti termasuklah terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh majalah Global Finance pada 2009, Tokoh Ma'al Hijrah 1432H pada 2010 dan menerima penarafan Gred A untuk ketua bank pusat kali ke-10 oleh majalah kewangan Global Finance.

Beliau berkahwin dengan Datuk Dr Tawfiq Ayman dan mereka mempunyai dua anak. - Bernama


‘Pas bawa misi baik, dakwah di Sarawak’

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
 
 
KOTA BHARU - Pas berharap kehadiran parti berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diterima baik dan tidak disalah ertikan oleh rakyat di negeri itu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, kedatangan Pas ke Sarawak lebih kepada mengembangkan dakwah dan bukan untuk memecahbelahkan rakyat di negeri itu.

“Dengan adanya usaha yang dibuat parti, kita dapat sebarkan lagi matlamat perjuangan melalui dakwah, walaupun ia memakan masa panjang.

“Kita harap masyarakat Sarawak faham tujuan kedatangan kita bukan untuk memecahbelahkan mereka, tapi bawa misi baik, secara damai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, parti itu akan terus menggunakan pendekatan dakwah kerana politik mempunyai kaitan langsung antara pembentukan kuasa dan kerajaan.

Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, beliau harap pengundi di Beting Maro dan 10 lagi Dun yang ditandingi Pas membuat pilihan terbaik pada PRN berkenaan nanti.

“Kita akan berjaya, Insya-ALLAH, kita berdoa agar calon sulung Pas akan lahir di Sarawak selepas 7 Mei nanti berikutan penerimaan positif rakyat setempat ketika kempen pilihan raya dijalankan,” katanya.

Mengenai kesihatannya, Ahmad yang masih bercuti selepas menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia 14 April lalu berkata, beliau kini bertambah pulih.


CCRIS PTPTN: NGO sedia jadi orang tengah

PTPTN
PTPTN
 
 
SHAH ALAM -  Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sedia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu peminjam yang disenarai  PTPTN   dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

Presidennya, Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya  mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Difahamkan jumlah bayaran balik meningkat melebihi RM200 juta sebulan sebaik sahaja tindakan untuk menyenarai nama peminjam di CCRIS dilaksanakan.

"GPMS juga memohon PTPTN agar lebih fleksibel dalam kaedah pembayaran dan mengambil kira pelbagai faktor seperti kedudukan ekonomi semasa serta kemampuan kewangan peminjam.

“Kami menyeru agar  peminjam bermasalah  hadir ke pejabat PTPTN yang terdekat untuk berbincang tentang kaedah penstrukturan semula bayaran balik pinjaman agar ianya mampu memenuhi keadaan semasa peminjam, dalam masa yang sama dapat membayar balik pinjaman bagi memastikan PTPTN dapat terus menyediakan pinjaman kepada pemohon baru.

GPMS juga bersedia untuk menjadi orang tengah atau fasilitator antara pihak peminjam dan PTPTN bagi mengeluarkan mereka dari senarai hitam CCRIS,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan ini dilihat sebagai jalan terakhir PTPTN dalam memastikan peminjam membayar semula pinjaman PTPTN mereka secara teratur.

“Secara dasarnya, GPMS berpendapat tindakan berkenaan adalah wajar dilaksanakan buat masa ini.

“Kami memahami keperluan pihak PTPTN untuk melaksanakan tindakan tegas kepada peminjam  memandangkan PTPTN memerlukan dana pusingan untuk pelajar baharu,” katanya.

Menurutnya, ketika ini  PTPTN  terpaksa mengurangkan jumlah pinjaman kepada pelajar baharu mulai 2014  antara 5 hingga 15 peratus  disebabkan masalah ini. GPMS merasakan adalah tidak adil kepada mereka  yang terpaksa menanggung pengurangan berkenaan yang berpunca dari sikap mementingkan diri peminjam lain.

“PTPTN sediakan pelbagai insentif dan kemudahan bagi bayaran balik PTPTN kepada peminjam.

“Namun sehingga kini masih terdapat peminjam  langsung tidak mempunyai inisiatif bincang dengan PTPTN,”katanya.

Peminjam yang berminat mendapat khidmat nasihat boleh hubungi ibu pejabat GPMS 03-4043 9948 atau maklumbalas melalui www.gpms.my.


43 kali sambut Hari Pekerja, gaji macam mana?

GDFG


SHAH ALAM – Sejak diisytiharkan sebagai cuti umum pada tahun 1973, 1 Mei telah diangkat sebagai Hari Pekerja atau Hari Buruh untuk menghargai khidmat, keringat dan penat lelah warga pekerja serta meraikan jasa dan bakti golongan ini.

Walau bagaimanapun menurut Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Sany Hamzan, meski sudah 43 kali sambutan Hari Pekerja disambut di negara ini, malangnya kenaikan upah atau gaji masih tidak setimpal dengan tanggungjawab yang digalas.

Sudahnya gaji yang diterima jauh ketinggalan di belakang, rakyat di negara ini dibebani pula dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Wajar diakui setiap pekerja telah berganding bahu berusaha dan menyumbang terhadap pembangunan negara menurut kemampuan dan bidang tugas masing-masing, demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Namun ironinya, saban hari, rata-rata warga pekerja terpaksa menempuh beban kerja yang bertambah sedangkan kenaikan upah atau gaji jelas tidak setimpal. Lebih diburukkan apabila gaji minima yang ditetapkan kerajaan langsung tidak berpadanan dengan keadaan hidup masa kini, malah tidak masuk akal terutama dalam konteks warga penduduk Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, rakyat perlu berjuang untuk menuntut apa yang diinginkan oleh masyarakat selama ini.

“Lantas sesuatu perlu dilakukan. 1 Mei adalah simbol perjuangan. Tidak sedikit mereka yang terkorban semata-mata ingin menuntut hak bekerja selama 8 jam dan dan penerimaan gaji bulanan.

“Dahulunya semua ini seakan-akan satu utopia yang tidak mudah digapai. Namun segalanya terealisasi hari ini. Kita percaya bahawa dengan semangat juang yang utuh, di samping faktor ilmu dan desakan perubahan, tiada tuntutan yang mustahil dalam kamus hidup kita,” katanya lagi.