HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Februari 2018

Anuar Tahir, pakar di belakang penubuhan PKR dan Amanah

DETIK DAILY

 
Oleh Zulkifli Sulong

RAMAI tidak tahu, Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir sekarang merupakan setiausaha agung Parti Keadilan Nasional (PKN) yang pertama.

Malah kerana kepakaran dan hubungan peribadi beliaulah, parti Amanah dan PKN (sebelum ditukar kepada PKR) berjaya ditubuhkan dengan cepat selepas era Reformasi dalam Umno dan perpecahan dalam PAS.

Beliau adalah antara nama besar yang sedang diketengahkan parti serpihan PAS itu untuk menjadi calon Amanah di peringkat nasional.

Anuar bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalannya Salahudin Ayub, Naib-naib Presiden Mujahid Yusof, Hasanudin Mohd Yunus, Hassan Baharom dan Husam Musa serta Pengarah Komunikasi Khalid Samad, Pengarah Pilihan Raya Dr Hatta Ramli dan Pengarah Kanun Mohamed Hanipa Maidin adalah nama besar parti itu yang sedang diusahakan untuk berada di Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Anuar sendiri disebut-sebut menjadi calon popular untuk bertanding di Parlimen Temerloh, Pahang, satu-satunya kerusi Parlimen Amanah di negeri itu.

Turut disebut bertanding di kerusi Temerloh adalah Ahli Parlimen Kuala Krai yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah Dr Mohamad Hatta Ramli.

Namun, Anuar sendiri tidak boleh mengesahkannya kerana ia masih terlalu awal untuk mengatakan beliau akan bertanding di sana.

"Itu belum pasti. Parti belum membuat apa-apa keputusan lagi," kata Anuar ketika ditanya  mengenai khabar angin itu.

"Saya juga disebut-sebut untuk bertanding di kerusi negeri di Selangor," kata anak kelahiran Perlis Indera Kayangan yang mendapat ijazah pertama dalam bidang sosiologi dari sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Selepas Anwar dipecat dari Umno, Anuar turut meninggalkan parti Melayu itu dan menjadi tulang belakang penubuhan ADIL, sebuah NGO yang memperjuangkan tuntutan keadilan untuk Anwar.
Dari NGO ADIL itulah mereka menubuhkan PKN dengan Anuar menjadi setiausaha agung pertamanya.

"Saya ambil alih sebuah parti bernama Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) secara senyap ketika itu. Kemudian kami tukar nama kepada PKN, tukar simbul dan syarat ahlinya dari Islam sahaja kepada warganegara Malaysia," kata Anuar menceritakan bagaimana beliau membentuk PKN.

Menggunakan pengalaman yang sama jugalah, Anuar membentuk Amanah selepas beliau dan rakan-rakannya ditendang keluar dari PAS.

"Orang yang pertama menyatakan kesungguhan untuk menubuhkan parti baru adalah peguam PAS ketika itu, Hanipa Maidin.

"Bermula dengan penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai badan penggerak, kami kemudiannya menubuhkan parti politik.

"Kami ambil Parti Pekerja Malaysia, tukar nama dan simbol pada mulanya. Kemudiannya kami tukar keseluruhan parti itu menjadi Parti Amanah Negara (Amanah) yang ada sekarang," katanya.
Anuar mula bertanding pilihan raya pada 1999 sebagai calon Parti Keadilan Nasional (PKN) di Padang Besar Perlis.

Namun, pada 2004 beliau menyertai PAS selepas berlaku krisis dalam PKR dan dilantik sebagai AJK PAS Pusat sehinggalah beliau dan rakan-rakan golongan profesional dalam PAS dihalau keluar dari parti itu pada Muktamar PAS 2015.

Bermula dengan PRU2004, 2008 hingga ke PRU2013, Anuar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis dan beliau dicadangkan sebagai menteri besar jika di PAS menang di negeri itu.

"Saya hanya sekali saja bertanding di kerusi Parlimen iaitu pada 1999, selepas itu semuanya di kerusi negeri tetapi belum menang lagi.

"Harap-harap kali ini boleh menang," katanya.

Pada 1994, Anuar menyertai Umno bagi membantu bosnya, Anwar Ibrahim yang menyertai Umno sebelum itu. Namun beliau meninggalkan Umno pada tahun 1998 selepas Anwar dipecat.

Sebelum menyertai politik, beliau memegang beberapa jawatan penting dalam ABIM.

Jawatan yang paling lama beliau pegang adalah setiausaha agung ABIM, sebuah jawatan yang menentukan jatuh bangun pentadbiran NGO Islam yang banyak melahirkan tokoh berpengaruh dalam politik negara, termasuk Anwar Ibrahim.

Jawatan terakhir yang beliau pegang adalah naib presiden antarabangsa ABIM yang mendedahkan beliau kepada dunia antarabangsa khasnya di kalangan negara OIC.

Ketika PAS memerintah Kedah daripada 2008 hingga 2013, Anuar mengetuai beberapa badan perniagaan yang ditubuhkan kerajaan termasuk menjadi pengarah urusan Kedah Agro Industries Berhad, Kedah Agro Biotech Sdn Bhd, Kedah Agro Livestock Sdn BHd, Kedah Agro Cashcrop Sdn BHd, Kedah Agro Plantation Sdn Bhd dan Kedah Agro Aquaculture Sdn Bhd. 
 
 

Skandal Tanah Ijok : Apa Perjanjian Azmin Dengan Khairuddin

 
 



Aktivis politik yang sebelum ini dipecat dari PKR berikutan tindakannya mendedahkan salahlaku dan rasuah Datuk Seri Azmin Ali, Badrul Hisham Shaharin (Che’GuBard), mendedahkan mengenai kaitan Khairuddin Abu Hassan dengan skandal tanah Ijok di Selangor.

Pendedahan demi pendedahan dilakukan mengenai bagaimana dua syarikat yang gagal melaksanakan projek pembangunan menerima semula tanah biarpun Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengenepikan tuntutan mereka.

Malah, kedua-dua syarikat terbabit turut menerima ‘durian runtuh’ atas angin apabila mengaut perolehan RM810 juta tanpa perlu membuat apa-apa.

Apakah ‘perjanjian’ antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dengan Khairuddin Abu Hassan?

LIHAT VIDEO DI SINI


Kenyataan Ku Li bersifat dendam politik

DETIK DAILY



KOTA BHARU: Kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah yang mendakwa Kelantan mundur memperlihatkan dendam pemimpin terbabit terhadap PAS.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan bekas Presiden Semangat 46 itu hanya bersifat politik.

Menurutnya, kenyataan terbabit sebagai mengarut serta lebih kepada dendam politik sehingga mahu menafikan fakta sebenar.

“Berdasar maklumat Jabatan Perangkaan penduduk Kelantan sekarang seramai 1.7 juta orang, namun pemimpin Umno terbabit pula menyebut seramai 1.2 juta,” ujarnya pada program penyampaian dermasiswa anjuran Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan (Purnama) di Gelanggang Seni hari ini.

Hadir sama Pengerusi Purnama, Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid dan wakil-wakil rakyat.
Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh baru-baru ini mendakwa hampir separuh daripada 1.2 juta rakyat Kelantan berhijrah. wa hampir separuh daripada 1.2 juta rakyat Kelantan berhijrah.

Matinya Dewan Bahasa dan Pustaka

DETK DAILY

 
Oleh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir

 SASTERA, seni dan budaya sebenarnya memainkan peranan yang teramat penting menjadi pemangkin kesedaran masyarakat dalam membina sesebuah negara bangsa.

Persuratan atau penulisan selaku "sub" atau cabang peranan sastera sebagai contoh adalah wadah yang nyata memainkan peranan membangunkan kesedaran khalayak, yang pernah dan berterusan mampu membangkitkan semangat nasionalisme, menyemarakkan api perjuangan membangun negara.

Tanah darah tercinta ini suatu masa mempunyai barisan pejuang watan seperti Usman Awang, Keris Mas, Pak Sakho, A. Samad Ismail, Wijaya Mala, Ahmad Boestamam dan ramai lagi yang menjadikan penulisan dan sastera sebagai pemeras minda masyarakat untuk maju membangun mengorak perubahan.

Mereka malah pada zaman pra-kemerdekaan, membaja semangat nasionalis di jiwa rakyat memperjuangkan kemerdekaan di mana sebahagian dari mereka ini merupakan penubuh gerakan Asas 50 yang menjadikan slogan "Sastera Untuk Masyarakat" sebagai kata keramat untuk meneruskan derap langkah perjuangan dan ternyata gerakan mereka menyinari khalayak.

Namun, kesan daripada sistem usang yang dibawa oleh pemerintahan Umno sekian lama dan lebih tampak hari ini yang semata-mata mencorak akademik dengan mengejar "ranking" ternyata jauh sekali menatang nilai keilmuan, dan telah menyebabkan peranan sastera serta budaya mati!

Masyarakat dipaksa dan diasuh mencari kepentingan akademik dengan mengejar kedudukan semata untuk menggapai "status quo" yang tanpa arah melalui sistem pendidikan kita hari ini yang terlalu memenjarakan pemikiran dan menghasilkan terlalu ramai robot.

Ya, ramai golongan "academia" atau terpelajar bukanlah bererti ramainya golongan pemikir yang akhirnya sistem ini terbukti lebih mencipta kelompok yang mewujudkan pemikiran kelas tanpa kita sedar! Perlu disedarkan bahawa keilmuan dan akademik adalah dua perkara yang berbeza.
Tiada guna jika terlalu ramai yang punyai PhD, namun segenap kajian tidak banyak membawa kesan kepada pembangunan nusa dan bangsa.

Ia sekadar "cukup ada" bagi mendapatkan gelaran Doktor Falsafah yang hakikatnya demi kelangsungan hidup kesan bukaan pekerjaan yang semakin tertutup, atau medan menambah-baik kehidupan diri maka meneruskan pengajian dijadikan jalan keluar seterusnya melahirkan ramai lagi insan seperti mereka dalam satu kitaran.

Jurnal-jurnal yang sememangnya baik tidak membawa kepada perubahan minda dan pembangunan masyarakat, kerana gapaiannya terlalu jauh di menara gading, tidak seperti "zine" yang lebih dekat dengan kelompok marhaen dan marjinal! Maka pemikiran kelas semakin terwujud.

Malah apabila terlalu lama di menara gading mungkin, sehingga ramai yang lupa akan dataran dan lembah gersang, hinggakan ranah ini seakan tandus dengan ilmuan sejati yang berani memangkin semangat membangun jiwa masyarakat. Hilangnya jiwa-jiwa seperti Syed Hussein Alatas.

Teringat bait-bait puisi Widji Thukul, "Apa guna baca banyak buku, kalau mulut kau bungkam melulu!"

Saya yakin, hilangnya peranan sastera dan budaya dalam mencorak pemikiran dan pembangunan masyarakat menyumbang kepada keruntuhan sistem khususnya sistem pendidikan kita yang mampu diibaratkan seperti jasad tanpa roh! Dan itulah sistem kita hari ini.

Tidak lupa, apabila sistem pendidikan kita juga terlalu fokus memberi penekanan kepada sains, teknologi dan matematik sahaja.

Tidak salah dan sememangnya ini penting, pun begitu pengajian kesusasteraan, kesenian, sains sosial dan kemanusiaan sebagai contoh, ditonjolkan adalah untuk mereka yang kononnya berada di kelas-kelas terkebelakang dan seakan "low class", dan ini menyumbang kepada pemikiran kelas atau kasta di kalangan masyarakat.

Kerajaan dengan sistem sedia ada malah gagal untuk meneroka peluang pekerjaan buat para graduan dalam bidang-bidang tersebut sedang di negara-negara eropah dan di barat fokus begitu banyak diberikan dan bukaan industri wujud bagi menempatkan graduan.

Malah di sana, kursus sebegini diangkat kerana siswanya adalah dalam kelompok mereka yang mempunyai minda yang hebat dan tajam kerana mereka inilah yang bakal bergraduasi dan menjadi para filsuf atau pemikir dalam mencorak rukun masyarakat.

Mereka inilah seharusnya minda pemikir dalam kalangan ilmuan tanahair yang seharusnya persis Ibn-Khaldun, Aristotle dan Plato namun sayang sistem pendidikan kita nyata merendahkan mereka, dan gagal secara total!

DBP sudah mati

Permasalahan yang meruncing dalam sistem di tanah pusaka kita ini sepertimana yang diutarakan saya yakin terwujud dek kerana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah mati!

Dahulu, sosok pemikir dan pejuang tanahair seperti nama-nama yang disebut di atas ada yang menjadi tunjang kepada pembentukan dan pembangunan DBP.

Ia suatu masa pernah menjadi sarang kepada para nasionalis untuk menterjemah buah fikiran mereka membangun dan mendidik pemikiran masyarakat dalam acuan budaya Malaysia yang pelbagai.

Namun hari ini DBP lumpuh, masyarakat lebih mengenal DBP hanya sebagai "kamus"!

Sedang peranan DBP itu begitu besar menjadi ejen pendesak dalam kalangan insan-insan yang berjiwa rakyat dan cintakan negara. Desakan dan peranan mereka jauh melangkau aspek bahasa semata, menggunakan persuratan, penulisan ataupun sastera sebagai medan kritik ke atas sistem dan kecurangan yang dilakukan pemerintah.

Karya-karya DBP jauh bukan seperti jurnal-jurnal di menara gading yang tak mampu digapai oleh masyarakat hari ini, namun bersifat 'zine' dan marhaen penuh keilmuan yang membawa kesedaran.
Matinya DBP, menyebabkan estetika sastera dan budaya dalam acuan membangun negara bangsa telah lenyap. Nah! Lihatlah karya hari ini, saya tidak mahu mengkritik jauh, namun tepuk dada tanya jiwa!

Adakah benar penulisan dan persuratan yang mudah digapai dan seringkali dibaca hari ini benar-benar mampu mencorak dan membangun jiwa anak bangsa?

Kerana matinya DBP dengan isi dan peranannya untuk mendidik masyarakat dalam sudut pembacaan dan juga fungsi lainnya telah membawa kita kepada kancah hari ini.

Lihatlah jiran kita Indonesia, legasi keilmuan melalui peranan kesusasteraan mereka meresap generasi ke generasi!

Chairil Anwar nyata "hidup 1,000 tahun" dalam jelmaan yang pelbagai, dan hari ini sebagai contoh melalui sosok seperti Ayu Utami seorang yang turut mengarang kisah cinta mungkin seperti kebanyakan penulis di Malaysia.

Namun, ceritanya sering mendidik dan memperjuangkan soal feminisme sebagai kritik sosial masyarakat dan yang paling penting senantiasa menzahirkan kecintaan terhadap negara!

Entah bila kita mampu dengar naskhah atau skrip dialog filem cinta karyawan Malaysia yang akan berbunyi, "Aku cintakan negaraku lebih dari aku cintakan dirimu!", jauh sekali jika nak dibandingkan dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2 baru-baru ini sebagai contoh yang apabila dalam salah satu babak yang menzahirkan begitu bangga kecintaan terhadap Indonesia apabila si 'hero' mengatakan "Pancasila itu ada di sini (hati), namun Bhinneka Tunggal Ika ada dimana-mana."

Sememangnya jauh, bayangkan Yahudi pun bertutur bahasa Indonesia. Sedangkan filem kita lebih gemar tonjolkan bahasa penjajah! Inilah antara peranan kecil DBP yang hilang, dan mati!

Mungkin para pejuang yang benar cintakan negara perlu kembali menghidupkan DBP sebagai sarang dalam mencorak masyarakat dan membangun negara, sarang para nasionalis!

Ingin saya tamatkan penulisan ini dengan sedikit rangkap bait lagu DBP dalam menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab perjuangan tang pernah ditinggalkan para nasionalis sebelum kita!

Hayatilah...
"Dewan Bahasa tenaga jiwa bangsa,
Nama dari suatu sejarah,
Api dari suatu zaman,
Kesaktian lidah rakyat...

... Dewan Bahasa kau obor kebangsaan,
Restu dari jiwa pahlawan,
Nyala membakar semangat rakyat,
Kau abadi dan keramat... "


* Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah Exco Pemuda Pakatan Harapan (Pendidikan) dan Exco Pemuda Bersatu (Pendidikan).
 
 

Faekah Desak Azmin Dedah Semua Dokumen Isu Tanah Ijok

 
 


“Pendekatan ‘runding tepi kerajaan Selangor membuka ruang untuk tawaran di bawah meja. ”

Pada hujung minggu sempat saya membaca tulisan dari Pegawai Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong, YB R Sivarasa daripada Tetuan Daim & Gamany serta pemimpin PAN Dr Dzulkifli Ahmad yang cuba menjawab persoalan yang ditimbulkan berkenaan skandal Tanah Ijok

Selain daripada keterangan mereka bertiga , saya juga sempat membaca komen-komen dalan media sosial yang turut sama mahu memberi penerangan tetapi tidak kurang juga ada leteran serta cacian khusus kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sungguh panjang lebar, terbelit sampai nak terkeliat tulang belakang memberi penerangan, atau lebih tepat mahu menegak benang yang basah.

Dalam kenyataan pegawai MB, nama Tan Sri Khalid disebut sekurang-kurangnya sebanyak 20 kali. Lucu sungguh kerana ianya menggambarkan betapa rendahnya tahap keyakinan sendiri sehingga berhempas pulas cuba menyakinkan diri mereka dan juga rakyat bahawa mereka “lebih pandai” berbanding Tan Sri Khalid.

Malang sekali, di sebalik kenyataan yang berjela-jela serta serangan dan sindiran terhadap mantan Menteri Besar, tiada satupun fakta yang dapat menjelaskan isu pokok yang kita telah ketengahkan iaitu mengapa kerajaan negeri culas, bertindak secara cuai dengan memberhentikan proses mahkamah yang diambil terhadap pemaju curang meskipun Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan Negeri?

Kedua, mengapa Menteri Besar memilih jalan yang menguntungkan dua syarikat gagal yang juga penyebab kepada seluruh kemelut tanah di Ijok? Dua persoalan ini tidak terjawab!

Tindakan runding tepi ini adalah tindakan pengecut dan sangat dikesali. Ia juga satu pengkhianatan “ breach of trust” terhadap amanah yang diberikan rakyat Selangor kepada Pakatan.

Malah tindakan pengecut ini juga telah membina satu “precedent” buruk terhadap intergriti kerajaan negeri. Mana perginya slogan PKR “Lawan Tetap Lawan” yang menjadi pegangan mereka?

Sebagai sebuah kerajaan, kita perlu tegas dan berani dalam melaksanakan undang-undang dan memastikan kepentingan rakyat terjaga. Kita tidak perlu takut untuk menentang dan menghukum mana-mana pihak yang jelas telah melanggar undang-undang dan mencabul hak rakyat dan negeri.

Jika pentadbir negeri takut dan akhirnya tidak bertindak mengikut undang-undang maka selepas ini makin banyak lagi individu yang berani melakukan pelanggaran kerana mereka tahu kerajaan itu lemah dan akan tunduk jika diasak.

Lebih dahsyat lagi jika rakyat berpandangan kerajaan itu bersedia runding tepi dan berkompromi jika kena pada harga dan caranya. Maka akan berleluasa kemungkaran dan kerosakan kepada rakyat dan negeri.

Menteri Besar juga gagal menunjukkan satu elemen utama di dalam mentadbir sebuah kerajaan yang bertanggungjawab iaitu ketelusan.

Mengapa mengambil pendekatan ‘runding tepi” di dalam menyelesaikan masalah tersebut dan sekadar melaungkan bahawa caranya itu adalah yang terbaik tanpa ada rasa tanggungjawab untuk mendedahkan butiran penyelesaian yang diambil. Cukupkah hanya sekadar memberitahu rakyat bahawa ianya adil dan menang-menang?

Kita bersyukur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mula meneliti dokumen-dokumen penting dan kita berharap SPRM akan membuat penyiasatan terperinci samada berlaku salahguna kuasa dan rasuah dan perlu dilihat juga samada telah berlaku jenayah pecah amanah di dalam kes ini.

Cuma dari butiran kenyataan Shao Loong dan Sivarasa (peguam yang berkepentingan di dalam transaksi tersebut), nampaknya seluruh transaksi yang dilakukan kerajaan negeri ini adalah proses menyelamat atau “White Knight”.

Persoalannya, bagaimana di dalam proses White Knight ini kerajaan negeri boleh memainkan peranan yang sangat besar walhal sepatutnya kerajaan negeri hendaklah berkecuali dan tidak boleh terlibat samada secara langsung atau tidak langsung di dalam proses tersebut.

Malah kerajaan negeri juga tidak boleh mendapat sebarang faedah dari proses White Knight.

Mengapa penglibatan kerajaan tidak dibenarkan dalam proses White Knight? Ianya kerana kerajaan negeri yang menentukan semua kelulusan berkenaan Pelan Pembangunan, nilai premium tanah dan tukar syarat, kelulusan tanah serta Nilai Kasar Pembangunan ( GDV).

Penglibatan kerajaan negeri memberi persepsi bahawa semua kelulusan pembangunan sudah di atur bagi pihak pembeli yang mereka dakwa sebagai “Pemaju Berwibawa”. Ianya juga membuka ruang kepada penjualan maklumat dalaman dan akhirnya berlaku tawaran di bawah meja.

Apatah lagi di dalam kes ini, dari pengamatan beberapa dokumen yang kita perolehi wujud juga fasal dalam perjanjian persetujuan bahawa tanah 2200 ekar hanya boleh dijual kepada Pemaju Berwibawa tersebut dan tidak kepada pihak lain.

Malah peguam juga ditetapkan iaitu hanya dari Tetuan Daim Gamany sahaja yang boleh bertindak sebagai peguam dalam transaksi penyelesaian tersebut. Banyak persoalan yang perlu diungkai demi ketelusan sebuah kerajaan negeri.

Justeru kita mencabar Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mendedahkan semua suratcara, perjanjian persetujuan di antara Peneroka dan Dua Syarikat Pemaju Gagal serta perjanjian di antara Peneroka dan Pemaju Berwibawa yang mereka pilih. Menteri Besar diminta menyahrahsiakan (declassify) semua surat, dokumen berkenaan dan mendedahkan kepada rakyat.

Bukankah Selangor telah meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat 2013 (FOI) di Dewan Negeri. Rakyat berhak mengetahui kerana ia melibatkan 3200 ekar tanah milik rakyat Selangor.

FAEKAH HUSIN
PEGAWAI KHAS KEPADA
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM


Pengerusi PKR Sarawak Bela 4 Muslim Yang Mahu Murtad






Firma guaman Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian telah menyediakan peguam untuk mewakili empat orang muslim yang mahu murtad daripada agama Islam.

Melalui firma guaman Baru Bian Advocates And Solicitors, Pengerusi PKR Sarawak itu telah membekalkan peguam bagi mewakili keempat-empat muslim berkenaan.

“Esok Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan berkaitan Rayuan 4 orang Islam yang mahu murtad.

“Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa terhadap permohonan keluar Islam atau sebaliknya.

“Kesemua perayu diwakili oleh firma guaman Baru Bian.

“Kita bakal saksikan samada gerakan evangelis ini berjaya mempengaruhi mahkamah sivil atau tidak.

“Sama-sama kita berdoa agar kemenangan berpihak kepada umat Islam,”kata Azlan Ahmad dalam Facebook.

Menurut Azlan, Pengerusi PKR Sarawak itu boleh dianggap ketua gerakan evangelis di negeri itu berdasarkan enam modus operandi yang dilakukannya.
❗ Menggunakan pentas politik (beliau merupakan ADUN Ba’kelalan dan Pengerusi PKR Sarawak) dalam menyebarkan ajaran Kristian.
❗ Menawarkan bantuan guaman secara percuma bagi orang Islam yang mahu MURTAD (keluar dari Islam).
❗ MEMBANTAH tindakan KDN yang menyekat kemasukan 30,000 naskhah Bible Versi Bahasa Melayu ke Sarawak.
❗ Beliau antara individu yang memperjuangkan Kalimah ALLAH digunakan oleh penganut Kristian Malaysia.
❗ Menerbitkan buku berjudul “LONG AWAKENING” yang intipatinya secara terangan memuji ISRAEL.
❗ Pasukan Evangelis beliau bercita-cita mahu menjadikan Malaysia Sebuah Negara Kristian.

DAP Nafi Terima Dana Daripada Taikun Robert Kuok





Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menafikan partinya pernah menerima derma atau sumbangan daripada taikun Tan Sri Robert Kuok sepertimana dakwaan yang semakin bertiup kencang mutakhir ini.

Guan Eng berkata walaupun Kuok mempunyai hak demokrasi untuk menyokong dan menyumbang kepada mana-mana parti politik, namun beliau tidak tahu menahu jika sumbangan dana itu tidak disalurkan kepada DAP.

“Sebagai setiausaha agung, pemimpin nombor 1 dalam parti, saya tidak tahu dia pernah memberi sumbangan kepada DAP. Kalau ada, saya sudah berterima kasih.

“Saya tidak boleh berterima kasih kerana dia tidak beri kita wang. Tetapi mereka guna perkara ini untuk buli Robert Kuok.

“Kami mahu perdana menteri, Umno dan setiausaha agungnya tunjukkan bukti Kuok ada beri wang kepada DAP,” kata Guan Eng kepada pemberita di Komtar hari ini.

Guan Eng, anak saudara Robert Kuok (James Kuok) dan Dyana Sofea
Pada 23 Februari lalu, tulisan Raja Petra Kamaruddin di laman web Malaysia Today mendakwa individu terkaya di Malaysia itu telah menyalurkan dana kepada DAP melalui anak saudaranya James Kuok untuk membantu parti itu menewaskan BN pada PRU 14.

Dalam dakwaan itu Raja Petra menyiarkan gambar James bersama-sama Guan Eng dan gambar bersama Datuk Zaid Ibrahim di sebuah restoran.

James Kuok bagaimanapun menafikan menjadi orang tengah antara bapa saudaranya dengan DAP tersebut.

Anak Saudara Kuok itu bertegas dengan berkata beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan mendakwa Raja Petra telah mencuri gambar yang dimuatnaik di laman Facebook peribadinya.

Beliau juga menegaskan tiada sebarang hubungan kewangan dengan DAP.

“Benar, banyak kali saya duduk dan makan bersama pemimpin DAP. Mereka yang makan bersama saya juga tidak semestinya kroni DAP dan saya tidak peduli,” katanya.

James Kouk mendakwa Raja Petra sebagai “tidak mengenang budi” kerana tidak menghargai bantuan yang dihulurkannya sebanyak dua kali sebelum ini.

“Apabila dia keluar ISA, saya anjurkan makan malam untuknya…Dan saya mula mengenalinya,”katanya

Patriot cabar MB Perlis debat, letak jawatan jika tidak faham undang-undang




Patriot cabar MB Perlis debat, letak jawatan jika tidak faham undang-undang

Kekecewaan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man terhadap segelintir Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa menentang kerajaan dibalas cabaran debat atau  letak jawatan oleh pimpinan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

Setiausaha Agung Patriot Mejar Udara (B) Mior Rosli Mior Jaafar berkata, sebagai seorang ahli politik Azlan sepatutnya sedia maklum mengenai Perkara 41 dan juga Perkara 137 Perlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk pengetahuan Azlan, anggota Tentera berkhidmat untuk Raja Dan Negara.

“Kalau tak faham sila baca perlembagaan persekutuan Perkara 41 Dan juga perkara 137.

“Kalau ini juga tak paham,letak jawatan dari jadi Menteri besar.

“Susah kalau orang buta undang-undang macam kamu jadi menteri besar,” tempelaknya.

Datuk Seri Azlan Man

Beliau dipercayai mengulas kenyataan di buat Azlan ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan ke 9/2018 Persatuan Kebajikan Veteran 9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) di Kangar Sabtu lalu.

Azlan berkata, beliau dukacitakan  ada antara mereka berpangkat tinggi semasa berada dalam perkhidmatan.

Mereka disarankan sebaiknya menyuarakan perasaan tidak puas hati termasuk memberi teguran dan pandangan, bukan menunjukkan sikap menentang jika benar-benar ingin memperbaiki keadaan.

Mior Rosli lagi, menegaskan agar Azlan memaklumkan kepada Umno-BN supaya tidak meneruskan hasrat untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang membabitkan Parti Komunis China (PRC) sebagaimana yang dirancang oleh kerajaan hari ini.

“Satu lagi saya nak beritahu, bukan veteran yang harus ucapkan terima kasih kepada BN, sebaliknya BN yang harus berterima kasih kepada veteran kerana berkorban nyawa untuk mempertahankan Negara daripada dimusnahkan oleh parti Komunis Malaya.

“Saya nak beritahu Azlan, supaya pergi nasihat Umno supaya hentikan berkerjasama dengan parti Komunis China Dan Parti Komunis Vietnam.

“Dan beritahu bos kamu itu supaya hentikan menjual tanah Melayu ini kepada PRC.

“Kami Veteran tidak menentang kerajaan Di mana kami berkhidmat dulu. Kami mahu Selamatkan Malaysia, anak cucu Kami, Dan Rakyat Malaysia dari pemimpin2 kleptocracy dan menjual maruah Negara pada negara Yang pernah membantu Musuh Kita (PKM) dulu,” ujarnya.

Bahkan beliau  mendakwa BN hanya sekumpulan parti politik yang hanya pandai jadi perasuah dan kleptokrat.

“Kamu jangan kelirukan rakyat dan veteran bahawa BN itu kerajaan dan Kerajaan itu BN.

“Saya rasa kamu harus pergi sekolah balik.

“Orang politik 5 tahun sekali, bertanding untuk jadi Ketua dalam kerajaan. Jika dia kalah dia tidak layak duduk dalam kerajaan.

“Kerajaan tidak berubah Walaupun parti politik berubah,” ujarnya dalam kenyataan.

Mior Rosli turut mendakwa BN juga merosakkan ATM dan menipu veteran sejak 1963 dan bersedia berdebat dengan Azlan untuk membuktikan kebenaran apa yang berlaku selama 55 tahun itu.

“Kalau kamu berani, saya cabar kamu untuk berdebat dengan saya secara terbuka Di RTM bila-bila masa sahaja,” ujarnya yang mempersoalkan kenyataan Azlan bahawa kerajaan BN sentiasa mengambil berat kebajikan bekas anggota ATM dan keluarga mereka samada semasa mereka masih bertugas atau selepas tamat perkhidmatan.

Mahkamah Syariah Sarawak boleh kendalikan kes murtad




Mahkamah Syariah Sarawak boleh kendalikan kes murtad
Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah Sarawak untuk mengendalikan kes murtad.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin berkata mahkamah sebulat suara mencapai keputusan untuk menolak rayuan empat orang Sarawak bagi mahkamah sivil mendengar kes murtad mereka dan memutuskan ia tiada merit terhadapnya.

 Beliau berkata mahkamah menolak rayuan itu tanpa kos dan memutuskan isu yang dibangkitkan telah diselesaikan dalam kes-kes mahkamah yang lain.
 
Katanya walaupun tiada peruntukan bagi murtad tetapi ada peruntukan atas perkara mengenai tindakan memeluk Islam yang bererti Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa terhadap isu murtad.

Beliau berkata terdapat Seksyen 68 dan 69 Ordinan Majlis Islam Sarawak yang boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah Sarawak untuk mendengar perkara berhubung isu murtad dalam Islam.

Lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang, terdiri daripada presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan dan Tan Sri Ramly Ali.

Semalam mahkamah mendengar penghujahan para peguam tentang sama ada Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa itu kerana tidak dinyatakan dalam Ordinan Mahkamah Syariah 2001 dan persoalan itu dibangkitkan oleh empat individu berkenaan yang memohon perintah mahkamah untuk membatalkan status mereka sebagai beragama Islam dan memaksa Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengiktiraf mereka sebagai beragama Kristian.

Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen meninggalkan lslam secara sukarela dan menganut Kristian sementara Tiong Choo Ting @ Mohd Syafiq Abdullah, keturunan Bidayuh Kristian yang memeluk Islam untuk berkahwin dengan wanita Islam, kemudian memutuskan untuk kembali menganut Kristian selepas isterinya meninggal dunia.

Dua orang lagi Salina Jau Abdullah keturunan Kayan/Kenyah Kristian yang memeluk Islam untuk berkahwin dengan lelaki Melayu Islam, kemudian menganut Kristian semula selepas bercerai, dan Jenny Peter @ Nur Muzdhalifah pula, seorang Melanau Kristian yang memeluk Islam untuk berkahwin seorang lelaki Islam juga memutuskan untuk kembali menganut Kristian selepas bercerai.

Keempat-empat mereka meminta interpretasi Mahkamah Persekutuan terhadap Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001, dan menamakan pengarah Jabatan Islam Sarawak, Majlis Islam Sarawak, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan kerajaan negeri sebagai responden.

Beberapa hari sebelum itu peguam mereka Baru Bian dilaporkan berkata jika benar Mahkamah Syariah Sarawak tiada kuasa sedemikian maka perkara itu akan kembali ke Mahkamah Tinggi dan jika Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan undang-undang secara afirmatif, rayuan akan ditolak dan perayu akan kembali ke Mahkamah Syariah untu membuat permohonan keluar Islam.

Jangan sampai orang gelar Pak Aji temberang udah le

 
 
 Jangan sampai orang gelar Pak Aji temberang udah le


Sebuah media tempatan petik kenyataan presiden parti suci dari sumber berita parti suci sendiri yang mana beliau dilaporkan berkata haram sokong parti tu – yang semua orang tahu dia rujuk kepada parti DAP.

Alasan beliau antaranya adalah parti tu paling lantang dan ke hadapan menentang parti suci dalam usaha parti suci nak laksana Islam.

Beliau juga kata parti tu yang paling berani isytihar Malaysia adalah negara sekular.

Maaf lah Pak Aji. Saya lihat Pak Aji makin hari dah makin teruk merapu. Kesianlah sikit pada ahli bawah yang percaya kata-kata Pak Aji, seperti orang putih kata gospel truth.

Seperti kata arwah A.R. Tompel dalam filem “Do Re Me” dalam adegan di warung, “takkan lah pak Aji nak temberang!”

Pak Aji tuduh parti DAP tentang parti suci yang hendak laksanakan Islam, OK, nak tanya sikitlah Pak Aji: nak laksanakan Islam secara total ke atau hanya nak laksanakan juzuk tertentu dalam Islam je?

Janganlah main borong Pak Aji hoi!

DAP tentang kezaliman. Islam juga tentang kezaliman malahan cenderung pun tak boleh. So, haram juga lah sokong DAP ya?

Parti sarkas zalim, sokong kezaliman, buat banyak Akta zalim dan Pak Aji dan parti Pak Aji, semua orang tahu, kini rapat dengan parti sarkas tu.

Tak haram ke Pak Aji? Ulama silam kata jahit jubah al-Hajjaj yang zalim tu pun tak boleh haji. Istiqamah bagi “nyawa” pada rejim zalim macam mana ya Pak Aji?

DAP lawan rasuah, lawan salah guna kuasa, lawan pembaziran, lawan orang lanun wang rakyat, lawan parti yang tekan rakyat dengan cukai yang bebankan rakyat.

Dan itu juga, seperti Pak Aji arif, pendirian Islam. Dan itu juga, yang parti sarkas istiqamah buat dulu dan kini. Jadi, apa Pak Aji nak kata? DAP juga yang salah ke? Bukan parti sarkas?

Pak Aji kata DAP berani kata negara ni negara sekular. Hei, bukan dulu Pak Aji yang dok wirid begitu ke? Maaf, dah lupa ke Pak Aji hoi?

Tahukah Pak Aji ada satu kes di negara ni yang diputuskan oleh mantan hakim Mahkamah Agong, yang kini sokong dan ahli parti suci dan pernah jadi calon parti suci.

Tahu tak Pak Aji apa yang hakim tu kata dalam kes yang dipanggil kes Che Omar bin Che Soh lawan Public Prosecutor (1988) 2 MLJ 55?

Tak pe lah, saya habaq sikitlah Pak Aji. Dalam kes tu, Pak Aji, dua orang peguam bukan Islam, (M. Mura Raju dan Ramdas Tikamdas – dua-dua kawan baik saya Pak Aji ) berhujah hukuman mati di dalam Akta Dadah Merbahaya dan Akta Senjata Api 1971 adalah bercanggah dengan Islam lalu melanggar Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan kerana kesalahan itu, kata peguam-peguam bukan Islam tu bukan masuk dalam kesalahan hudud atau qisas.

Tahu tak Pak Aji yang hakim Islam itu (ahli parti suci) tolak hujah itu sebab hakim tu kata negara ni bukan negara Islam tapi negara sekular !! Salah DAP juga?

Kena adillah Pak Aji walau dengan orang yang kita benci sekali (al-ma’idah: 8).

Allah lebih tahu.