HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mac 2018

Jual tanah Ijok: Azmin perlu jawab soalan bukan dabik dada - Irmohizam

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Azmin Ali tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan Umno Selangor dan juga peneroka berhubung penjualan tanah di mukim Ijok.
 
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata Azmin lebih memilih untuk mendabik dada kononnya beliau sudah menyelesaikan isu pampasan peneroka yang dakwanya gagal ditangani bertahun-tahun lamanya.
 
Irmohizam sebelum ini lantang mengkritik Azmin sebagai melaksanakan penyelesaian secara tidak telus selepas tergesa-gesa memulangkan tanah 880 hektar kepada dua syarikat pemaju meskipun kes itu masih dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.
 
Dua syarikat itu - LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd - kemudiannya bertindak menjual tanah itu kepada pihak ketika dengan harga RM1.18 bilion.
 
Hasil penjualan itu kemudiannya digunakan untuk membayar pampasan kepada 980 peneroka dengan jumlah RM421.4 juta.
 
"Apa yang menjadi tanda tanya, mana perginya baki wang RM758.6 juta selepas Mohamed Azmin mengumumkan pembayaran pampasan kepada semua 980 peneroka.
 
"Mereka dibayar pampasan tunai RM180,000 dan sebuah rumah bernilai RM250,000 setiap seorang.
 
"Apakah status 404 hektar tanah berbaki yang sepatutnya dimiliki pihak peneroka," katanya.
 
Bukan sahaja Irmohizam, beberapa pemimpin Umno Selangor yang lain turut mempertikaikan cara Azmin menyelesaikan isu itu termasuk mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
Khalid bertegas dua pemaju itu berlaku curang kepada peneroka dan atas sebab itulah kerajaan negeri ketika di bawah pimpinannya merampas tanah tersebut.
 
Dua pemaju itu kemudiannya memfailkan saman namun keputusan di dua mahkamah - Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan - berpihak kepada kerajaan negeri.
 
Pemaju kemudiannya membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan dan ketika keadaan memihak kepada kerajaan negeri, Azmin bertindak memulangkan kembali tanah tersebut kepada pemaju sebelum dijual kepada pihak ketiga.
 
Justeru, Khalid pada 15 Februari lalu menggesa agar siasatan dijalankan bagi menyiasat kemungkinan wujud penyalahgunaan kuasa atau sebagainya dalam kes itu. 
 
Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, Azmin tidak perlu mengalih isu, sebaliknya menjawab persoalan yang dikemukakan rakyat.
 
"Tindakan tergesa-gesa yang dianggap selesai oleh Mohamed Azmin dengan menyerahkan kembali (tanah itu) kepada dua syarikat sehingga menimbulkan kontroversi itu perlu diperjelaskan kepada rakyat.
 
"Kita tidak pernah membela mana-mata pihak tetapi kita harus menuntut penjelasan sewajarnya daripada pihak Kerajaan Selangor terhadap apa yang sudah dibangkitkan," katanya.
 
 

KPKT akan perkenal skim sewa beli rumah PPR

ANTARAPOS

Post Pic


SUNGAI PETANI: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan skim sewa beli ke atas rumah transit di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, sebelum ini rumah transit PPR dibina bagi membolehkan orang ramai menyewa rumah tersebut dengan kadar sewa yang rendah sebelum dipindahkan ke perumahan kekal.

Menurutnya, kemudahan tersebut diperkenalkan bagi memberi peluang kepada penyewa yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

“Kementerian akan mengkaji semula dasar bagi membolehkan penyewa memiliki rumah transit PPR menerusi skim sewa beli.

“Skim tersebut akan diperluaskan pelaksanaannya ke semua rumah transit PPR di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di PPR Harmoni di Paya Nahu di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Tinggalkan Ideas, Wan Saiful pilih PBBM

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
Petaling Jaya: Bekas Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan hari ini mengumumkan penyertaanya ke dalam PPBM.
 
Ujarnya, keputusannya meninggalkan Ideas yang sembilan tahun dipimpinnya bukan perkara mudah, namun beliau mahu lakukan perubahan.
 
Dengan kemasukannya dalam PPBM, Wan Saiful secara rasminya meninggalkan PAS yang dianggotainya ketika masih menuntut di United Kingdom pada 1992.
 
"Ini merupakan langkah pertama saya dalam dunia politik kepartian secara aktif di Malaysia.
 
"Sebagai budak baru belajar, sudah pasti banyak kesalahan yang saya lakukan, saya mohon bantuan dan jasa baik abang-abang dan kakak-kakak untuk membantu saya dalam memulakan perjalanana ini ", kata Wan Saiful dalam sidang medianya, hari ini.
 
Apa yang menarik, sebaik sahaja menyertai PPBM, Wan Saiful sudahpun diamanahkan menggalas jawatan Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar selain menjadi ahli majlis pimpinan tertinggi parti.
 
Ketika diajukan soalan mengenai pusingan U yang dibuat olehnya, Wan Saiful enggan mengulas lanjut namun menyatakan komitmen untuk patuh pada parti barunya itu.
 
"Yang penting di sini, saya orang baharu, jadi saya jangan nak perasan bagus sangatlah.
 
"Ada perkara yang saya perlu belajar. Ada juga perkara akan beri saya peluang untuk memberi penerangan," katanya.
 
Presiden PBBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media yang sama mengalukan kemasukan Wan Saiful dan berkata partinya memerlukan pemikir seperti bekas CEO Ideas itu.
 
"Beliau seorang yang berpengalaman dan mempunyai ilmu dan kemahiran yang kita perlukan.
 
"Wan Saiful mampu membantu parti dengan memberi idea bernas dalam membantu ahli parti," ujarnya.
 
Muhyiddin tidak pula mengulas adakah kemasukan Wan Saiful itu bertujuan menjadikannya calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Selain Muhyiddin, turut hadir Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
 
 

Pemandu lori tak mengaku salah sebabkan kematian empat sekeluarga

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GERIK: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dengan melulu, cuai dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga di Kilometer 31.3 Jalan Kuala Kangsar-Gerik pada 10 Disember lalu.
 
Tertuduh, Muhammad Readha Adenan, 25, membuat pengakuan itu dan meminta dirinya dibicarakan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
 
Muhammad Readha didakwa sebagai pemandu lori yang menggunakan kenderaan terbabit di atas jalan raya melakukan kesalahan itu sehingga menyebabkan kematian Nur Ain Hafizah Ismail, 22; Nur Ain Hanifah, 8, Muhammad Hanif, 8, dan Ismail Yaacob, 53, kira-kira jam 11 pagi, pada hari berkenaan.
 
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum dua tahun atau maksimum 10 tahun, dan denda minimum RM5,000 atau maksimum RM20,000.
 
Raja Shahril Anuar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandunya digantung sebelum menetapkan sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Lenggong pada 4 Mei ini.
 
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 
Tiga beradik termasuk pasangan kembar maut di tempat kejadian dalam kemalangan itu manakala bapa mereka yang parah, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping.
 
Kemalangan itu turut mengakibatkan ibu mereka, Zarina Yong, 44, cedera parah.
 
Lori membawa muatan sisa ikan itu merempuh empat kenderaan iaitu Honda HRV dinaiki mangsa, Nissan Grand Livina, Toyota Hilux dan Nissan Sentra.
 
 

Rundingan agih kerusi DUN Selangor masih di peringkat negeri

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Pusat mengesahkan rundingan agihan kerusi DUN di Selangor masih lagi di peringkat negeri pada ketika ini.
 
Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan hingga kini, tiada sebarang tuntutan atau permintaan daripada PH Selangor untuk PH Pusat mengambil alih rundingan itu.
 
"Masih di peringkat Selangor. Setakat ini tiada permintaan daripada Selangor untuk dibincangkan di peringkat pusat," katanya ringkas ketika dihubungi Antarapos.
 
Semalam, Pengerusi Amanah Selangor Ir. Izham Hashim memberitahu Antarapos proses agihan kerusi DUN di negeri itu sudah diambil alih PH Pusat pada Isnin lalu (26 Feb).
 
Malah, Izham juga berkata PH Pusat akan memuktamadkan agihan kerusi di Selangor pada minggu hadapan memandangkan gagasan itu sedang berbincang soal yang sama melibatkan negeri Terengganu dan Pahang.
 
Bagaimanapun, kenyataan Izham itu disangkal Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jeyakumar dan menegaskan bahawa proses agih kerusi DUN mereka masih di dalam peringkat negeri.
 
Malah, Xavier turut merasa hairan dengan kenyataan Izham tersebut memandangkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri memberikan arahan kepada PH Selangor agar meneruskan rundingan berkenaan.  
 
Sementara itu, Saifuddin percaya isu agihan kerusi di Selangor mampu diselesaikan dengan baik di peringkat negeri, tanpa dibawa ke PH Pusat.
 
"Selangor dan Pulau Pinang ini negeri kita (pimpinan PH), saya rasa mereka boleh selesaikan sendiri, mereka mampu (selesaikan)," ujarnya.
 
PH Selangor sebelum ini diberi tempoh sehingga Isnin (26 Februari) lepas untuk menyelesaikan pertindihan tuntutan kerusi sesama empat parti komponen di negeri itu sebelum diambill alih PH Pusat.
 
Namun PH Selangor gagal memuktamadkan rundingan itu pada tarikh yang ditetapkan.
 
Selangor mempunyai 56 kerusi DUN, di mana PKR mempunyai 13 kerusi, DAP 14 kerusi dan Amanah 2 kerusi. 
 
PAS mempunyai 13 kerusi dan Umno 12 kerusi. 


Proksi Lim Guan Eng Bayar RM19 juta Kepada ‘Orang Tengah’ Untuk Tutup Kes Terowong Dasar Laut



My Nation News – Syarikat yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd didedahkan membayar RM19 juta kepada seorang lelaki yang sebelum ini turut terlibat dalam beberapa kes penipuan.

Wang itu dikatakan adalah ‘pembayaran perundingan’ atau habuan bagi menutup kes yang disiasat SPRM.

“SPRM menjalankan siasatan terhadap kajian projek mega di Pulau Pinang itu dan suspek berkemungkinan meyakinkan sebuah syarikat bahawa dia mampu menutup dan menyelesaikan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

“Pembayaran sebanyak RM19 juta sudah dilakukan dengan pembayaran pertama sebanyak RM2 juta adalah pada bulan Julai tahun lalu di rumah suspek,” kata sumber itu kepada Bernama hari ini.

Menurut sumber, bayaran kedua iaitu sebanyak RM15 juta pula dilakukan pada bulan sama dan pembayaran ketiga dan terakhir pada Ogos tahun lepas.

Suspek Dato’ Sri Gnanaraja Gnanasundram yang juga suami bekas model Dato’ Geethanjali Gausillia a/p Kathirvalu direman selama enam hari bermula hari ini.
http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2018/02/28/ahli-perniagaan-direman/

Lelaki ini pernah didedahkan menggunakan nama pemimpin negara sebagai salah satu taktik menyakinkan mangsa dan beberapa siri laporan polis pernah dibuat terhadapnya.
https://www.hmetro.com.my/node/217208

Suspek juga terlibat dalam Yayasan Usaha Ventures Malaysia (Malaysia Ventures Entrepreneur Foundation).

Lelaki yang sama juga sanggup memperdaya mangsa dengan ‘memeluk Islam’.

LIHAT VIDEO DI SINI

Simbol DAP Pilihan Satu Logo Pakatan Harapan ?

 
 
A

Keputusan Pakatan Harapan (PH) mahu menggunakan satu logo merupakan satu langkah yang berani untuk memastikan hanya dua blok sahaja iaitu Barisan Nasional (BN) dan PH sahaja bertanding pada PRU 14, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

Hisomuddin berkata, hanya logo dua parti sahaja yang sesuai digunakan iaitu logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan bukannya logo DAP.

Katanya lagi, logo DAP kurang sesuai digunakan memandangkan persepsi masyarakat bahawa parti itu didominasi satu kaum sahaja sudah lama tertanam, dan tidak menggambarkan realiti semasa politik.

Semalam, pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media, mengumumkan keempat parti PH, PKR, DAP, PPBM dan Amanah akan menggunakan logo atau simbol salah satu daripada empat parti itu dalam PRU akan datang.

Dr Mahathir berkata, keputusan itu dicapai berikutan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sehingga kini tidak memberi jawapan terhadap permintaan untuk PH didaftar sebagai gabungan parti pembangkang yang sah.

Beliau yang juga Pengerusi PPBM berkata, semua parti sudah menyatakan kesediaan membenarkan logo atau simbol parti masing-masing digunakan, namun kepemimpinan gabungan itu belum memutuskan logo atau simbol parti mana yang akan digunakan calon bagi mewakili PH.

“Kita harap mahkamah akan memberikan pandangan terhadap keengganan ROS itu. Buat masa ini , kita buat keputusan, PH akan menggunakan satu logo saja dalam PRU-14.

“Ini keputusan kita iaitu semua parti akan guna logo sama, sama ada diluluskan atau tidak (oleh ROS), kita akan tetap guna satu logo sebagai identiti dalam PRU akan datang,” katanya.

Sebelum ini, bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata DAP tidak akan bersetuju hasrat PH untuk menggunakan satu logo bagi menghadapi BN kerana ia akan merugikan parti itu.

Menurutnya, logo roket merupakan simbol kekuatan DAP terhadap komuniti pengundi Cina, jika menggunakan logo lain, parti itu berisiko kehilangan sebahagian undi daripada kaum tersebut
“Saya rasa DAP memang tidak bersetuju kerana DAP sudah mempunyai identitinya. Orang Cina yang menyokong parti itu, kalau diletak logo baru, saya rasa mereka tak boleh terima kerana sokongan mereka kepada DAP.

“Tapi bila bercampur, saya rasa barangkali sokongan itu hilang,” katanya.

Pengkaji dari IDEAS, Wan Saiful Wan Jan dalam kajian baru-baru ini berkata Ketakutan meluas terhadap DAP di kalangan pengundi Melayu Johor menyukarkan PH pada PRU 14.

Kaji selidik menerusi panggilan telefon di kalangan 1,100 responden Melayu di negeri itu antara Mei dan Jun 2017 mendapati 85 peratus orang Melayu Johor tidak berpihak kepada DAP, kata penganalisis Wan Saiful Wan Jan dalam satu kertas kerja yang diterbitkan oleh Iseas Institut Yusof Ishak Singapura.

“Kekuatan semasa DAP di negeri ini masih menimbulkan rasa takut di kalangan pengundi Melayu luar bandar di sana. Mereka melihat undi untuk BERSATU sebagai undi untuk DAP kerana kedua-duanya berada dalam gabungan yang sama,” tulis Wan Saiful dalam kertas itu.

Dalam wawancara di lapangan yang dijalankannya, Wan Saiful berkata antara lain orang Melayu Johor menganggap “majoriti Cina DAP” akan menyebabkan risiko hak keistimewaan mereka terhakis.

Beliau berkata penduduk kampung yang ditemuramah untuk kertas kerja itu sering memberi analogi bahawa orang Melayu di Johor mungkin dipinggirkan seperti orang Melayu Singapura, yang mereka percaya diskriminasi oleh parti pemerintah PAP.

Susun penipuan rakyat

DETIK DAILY

 
Oleh HISHAMUDDIN RAIS

Pada malam Ahad 25 Februari yang lalu, Alor Gajah, Melaka telah dipilih oleh Pakatan Harapan untuk melancarkan Jelajah HARAPAN. Ini adalah siri ceramah mega anjuran Pakatan Harapan bertujuan memberi pencerahan kepada penyokong dan bakal pengundi HARAPAN dalam PRU14.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Muhamad dalam mukadimah ucapannya telah mengumumkan kepada lebih dari 4,000 penyokong dan bakal pengundi bahawa dalam PRU14 Pakatan Harapan menang, kecuali ditipu.

Tepukan tangan gemuruh menyambut. Sorakan gempita terdengar dari bawah pentas. Ini berita gembira dari Mahathir yang fasih dan mahir dalam selok belok mencapai kemenangan
Jelas dan tepat sekali dalam RU14 kali ini Pakatan Harapan akan menang sekali lagi.

Pakatan Harapan menang sekali lagi? Kenapa gunakan sekali lagi? Bila kali pertama Pakatan Harapan menang?

Biar saya beri pencerahan di sini untuk kesekian kalinya. Fakta dan sejarah telah menunjukkan bahawa pada hari Ahad 5 Mei 2013, Pakatan Rakyat telah menang dalam PRU13. Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus undi rakyat. Jumlah undi Pakatan sebanyak 52 peratus melebihi undi Najib yang hanya mendapat 48 peratus.

Ini membuktikan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menyokong Pakatan Rakyat. Majoriti 52 peratus rakyat telah menghumbankan United Malays National Organisation dan konco-konconya dalam Barisan Nasional ke dalam tong sampah sejarah.

Di mana-mana pun dalam dunia ini, kumpulan mana atau parti politik jenis apa pun, jika telah mendapat 52 peratus undi maka kumpulan ini akan dinobat sebagai kumpulan yang menang. Ini tidak berlaku di Malaysia. Kenapa?

Kerana wujudnya perancangan yang disusun licik - dibantu oleh projek gelap lembaga daulah. Tipu helah dan putar alam telah menafikan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan baru pada tahun 2013 dulu. Ini fakta bukan kelentong Hishamuddin Rais.

Justeru apabila Mahathir mengumumkan dalam PRU14 Pakatan Harapan menang lagi maka ini bukan propaganda tapi hakikat. Dalam PRU14 ini Pakatan Harapan hanya akan kalah kerana ditipu. Pada 24 Febuari 2018 kajian terbaru dari Merdeka Center yang dilaporkan oleh portal Malaysian Insight telah menunjukkan bahawa kuasa gerombolan United Malays National Organisation di Johor semakin goyah.

Kajian juga telah mendapati di Kedah pengaruh parti BERSATU cukup ampuh. Sokongan rakyat terhadap Mahathir telah menggerunkan menteri besar Kedah sehingga Ahmad Bashah sendiri terpaksa mengakui jasa besar Dr Mahathir di Kedah. Ini fakta.

Lalu timbul persoalan apa bentuk dan projek penipuan yang sedang dirancang oleh SPR dan agen-agen gelap dan aparacik Najib dalam PRU14 nanti.

Sebelum saya huraikan Projek Tipu PRU14 benarkan saya menggali ingatan tentang beberapa bentuk penipuan SPR dalam PRU13. Ini untuk menyegarkan ingatan kita bersama.

Tuntutan rakyat disabotaj

Contoh paling afdal dan paling senang untuk difahami ialah dakwaan dakwat kekal yang tidak kekal. Penggunaan dakwat kekal di jari setelah membuang undi adalah salah satu dari tuntutan BERSIH.

Tuntutan rakyat ini didakwa telah disabotaj. Satu penipuan licik dijalankan. Dalam PRU13 dakwat tidak kekal telah diguna pakai. Ini projek tipu yang didakwa diatur untuk memastikan Najib mendapat undi tipu yang berganda-ganda. Dakwat kekal yang tidak kekal memungkinkan penyokong Najib mengundi lebih dari sekali. Ini fakta sejarah penipuan dalam PRU13. Ini bukan fitnah atau berita palsu Hishamuddin Rais.

Ingat tipu, ingat Fatimah Ismail. Jangan silap minah. Ini bukan Salmah Ismail aka Saloma. Salmah Ismail isteri kepada arwah P Ramlee. Yang ini namanya Fatimah Ismail. Kadang-kadang jadi anak dara sunti, kadang-kadang mak jan, kadang-kang ibu tunggal. Siapa minah ini?

Baca: 900 pengundi bernama 'Fatimah Ismail' ditemui

Pada 15 Januari 2018 portal Malaysian Insight telah melaporkan berita Mahathir membocorkan kepada dunia bagaimana nama Fatimah Ismail telah wujud 900 kali dalam daftar pengundi. Nama ini telah wujud dalam daftar pengundi semenjak 2013 lagi.

Dalam PRU13 si Fatimah boleh mengundi 900 kali. Pada PRU14 nanti si minah ini mungkin akan mengundi 900 kali lagi. Ini baru satu nama yang ditemui. Berapa ramai lagi Fatimah, Bedah, Joyah dan Esah yang terselit, tersepit dalam daftar pengundi hanya Guru Nanak sahaja yang tahu.

Pembaca akan bertanya, kenapa tidak dibersihkan nama-nama ini dari daftar pengundi?

Satu soalan yang tepat. Tapi soalan logik ini jawapannya amat amat tidak masuk akal. Ini kerana di belakang nama Fatimah Ismail ialah lembaga daulah yang ditugaskan untuk menipu.

Kali ini - sebelum PRU14 - amat-amat susah lagi payah untuk mendapatkan senarai daftar pengundi. Sebelum PRU13 daftar ini boleh dibeli. SPR akan menjual nama pengundi dalam bentuk CD kepada sesiapa sahaja yang berhajat. Ini membolehkan Mahathir dan sesiapa sahaja meneliti nama-nama yang berganda.

Justeru kali ini dalam PRU14, daftar pengundi tidak lagi dikeluarkan. Hanya dapat dilihat di pejabat SPR. Segala kerenah birokrasi diwujudkan untuk memustahilkan nama pengundi dapat dilihat dan dikaji.
Untuk PRU14, nama pengundi hanya akan diketahui pada hari membuang undi. Akan muncul nama-nama baru yang berdaftar. Nama-nama baru ini tidak pernah terlihat oleh pekerja parti Pakatan Harapan. Ini cara licik. Jika ini bukan penipuan apa lagi namanya.

Dalam ucapan di Alor Gajah, Melaka, Mahathir telah juga menyebut bagaimana ada rumah yang diduduki oleh berpuluh-puluh orang, hampir sama seperti sebuah hotel. Ada Cina, Melayu dan India duduk dalam rumah yang sama.

Bila disiasat didapati rumah ini hanya ada dua penghuni. Jelas alamat rumah ini telah digunakan untuk mendaftar pengundi hantu yang diupah.

Hantu Bangla, Indonesia dan Myanmar

Siapa pengundi hantu ini? Jangan risau kita ada hantu Bangla, hantu Indonesia atau hantu Myanmar. Ini bukan lagi satu yang pelik. Ini adalah naratif pilihan raya di Malaysia.

Jika semua yang saya lakar ini bukan tipu namanya, maka Rosmah Mansor adalah Duta Slim World yang telah berjaya menggantikan Ziana Zain.

Pada ketika ini ada satu projek penipuan resmi yang dipanggil persempadanan semula. Projek tipu ini akan dibawa ke parlimen. Bunyinya molek tapi isinya untuk memastikan Najib-Rosmah terus berkuasa.

Di bawah ini saya paparkan satu contoh dakwaan cara dan teknik penipuan awal sebelum projek persempadanan semula dibawa ke parlimen.

Ia dilaporkan oleh surat khabar Internet PKR, Keadilan Daily.

Kes contoh penipuan ini didakwa sedang berjalan di Lembah Pantai. Ini kawasan YB Nurul Izzah, Puteri Keadilan pemegang obor reformasi. Justeru YB Nurul wajib dikalahkan. Bagaimana caranya untuk mengalahkan YB Nurul?

Di Lembah Pantai YB Nurul mendapat sokongan kukuh dari penduduk. Anak semua bangsa, bangsa semua agama menyokong YB Nurul. Untuk menggelincirkan Nurul agak susah. Lalu rancangan pun disusun.

Secara resmi 8,000 pengundi baru didaftarkan. Pengundi baru ini didatangi dari pelbagai tempat di Kuala Lumpur atau dari entah mana tempat dari muka bumi ini. Malaun-malaun ini bukan warga Lembah Pantai. Justeru jika dikaji maka akan ditemui nama Mutumaniam di alamat serumah dengan Hajah Sakinah Lebai Ali. Lim Ah Lok duduk dalam PPRT, beralamat sama dengan Haji Mokhtar Surin.

Tidak cukup dengan ini, untuk memastikan YB Nurul kalah 5,000 nama-nama pengundi Lembah Pantai didakwa dialihkan keluar, hingga ada yang dihantar ke Sekichan. Ini nama yang tak ada bau Melayu, yang dicap sebagai penyokong tegar YB Nurul.

Mengikut kenyataan resmi, nama-nama yang dipindahkan ini telah tercicir dahulu. Ini kesilapan kerja pejabat.

Sayugia diingatkan bahawa ramai para pengundi yang dialihkan ini tidak tahu apa apa. Tidak tahu yang nama mereka telah dikeluarkan dari Lembah Pantai. Jika ini bukan tipu, apa lagi namanya.

Bagaimana dengan projek penipuan rasmi yang diketahui umum sebagai persempadanan semula? Apa akan terjadi di Lembah Pantai?

Ini lagi licik. Ini lagi tersusun. Hanya menunggu parlimen untuk meluluskan penipuan ini. Sebanyak 6,500 mata-mata terang dan mata-mata gelap didakwa akan meloroh masuk untuk menjadi pengundi Lembah Pantai. Kebanyakan akan menjadi pengundi awal. Sah dan terbukti ini cara menipu pilihan raya untuk memastikan Najib dan Rosmah terus berkuasa.

Tetapi kerana YB Nurul mendapat sokongan yang amat kukuh di Lembah Pantai maka satu lagi taktik penipuan dikatakan ditambah. Ini bertujuan untuk memastikan YB Nurul dipukul mati. Apa caranya?

Kg Bohol, Kg Petaling Bahagia


Caranya ialah kawasan Kampung Bohol dan Kampung Petaling Bahagia akan dimasukkan ke Kawasan P122 Seputeh. Seputeh ialah kawasan YB Teresa Kok. Dalam PRU13 YB Teresa mendapat 51,522 majoriti kemenangan.

Jumlah kemenangan YB Teresa ini lebih tiga kali ganda dari jumlah semua pengundi Tengku Adnan di Putrajaya. Ini bukan labun kosong. Ini rancangan jahat.

Kemasukan Kg Bohol dan Kg Petaling Bahagia ini tidak membawa apa-apa makna kepada YB Teresa. Laut milik YB Teresa telah masin. Dua koyan lagi garam dicurahkan tidak akan mengubah apa-apa. Yang hilang penyokong ialah YB Nurul.

Dari surah yang saya paparkan ini amat jelas bahawa penipuan telah, sedang dan akan berjalan. Semua ini dirancang dan diatur secara rasmi.

Penipuan-penipuan ini membuktikan isi ucapan Mahathir di Alor Gajah adalah betul dan tepat. Semua jarum politik mengarahkan bahawa dalam PRU14 Pakatan Harapan menang, kalah hanya kerana ditipu.

Perancangan licik penipuan ini membuktikan Najib akan kalah. Dalam PRU14 seperti PRU13 majoriti rakyat akan menyokong Pakatan Harapan. Dalam PRU14 majoriti pengundi akan menolak Najib-Rosmah.

Yakinlah Najib dan Rosmah sedang membuat persediaan. Apakah persediaan itu? Tunggu minggu hadapan.

*HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
 
 

Pengakuan Nik Abduh pedih, tetapi boleh mensucikan Pas?

DETIK DAILY


Oleh Mohd Sayuti Omar 

PENULARAN audio atau rakaman suara yang dikatakan sebagai mirip suara Nik Muhammad Abdul Nik Abdul Aziz mendapat perhatian ramai. Waktu ini ratusan bahkan jutaan sudah ditonton dan mendengarnya. Khabarnya media luar negara juga berminat dengan audio berkenaan yang disiarkan secara bersiri.

Bagaimana pun Nik Abduh sudah menafikan audio itu bukan miliknya dan menganggap ia suatu fitnah yang bertaraf sampah yang hanya dilahapkan oleh puak-puak parti PAN - Parti Amanah Negara. Di sini saya tidak mahu membuat analisa apakah penafian beliau itu diterima atau pun tidak.

Yang jelasnya, secara pantas audio atau pengakuan daripada Nik Abduh itu menjawab banyak persoalan selama ini mengusut di kepala umum khususnya mengenai perubahan politik dalam parti agama (Pas), terutamanya kerjasama atau kolaborasi alias ta'awun Pas dengan Umno. Pengakuan itu mendorong orang jadi clear dengan tuduhan yang Pas makan duit Umno selama ini.

Pengakuan atau suara audio yang rata-rata dianggap daripada Nik Abduh itu memberi kesan besar kepada parti agama itu. Audio itu menjadi bahana baru buat Pas yang tidak mudah untuk dihapuskan dengan solat hajat dan munajat minta yang mendedahnya buncit atau pecah perut.

Ia sedikit sebanyak boleh meggencatkan usaha Pas untuk mempengaruhi pengundi Melayu Islam agar menyokong parti itu. Ini kerana pendedahan itu membuka pekung Pas yang selama ini dinafikan.

Selama ini apa didedahkan baik oleh pemimpin pembangkang atau media sosial mengenai ulah Pas dinafikan oleh pemimpin parti itu. Para pendukungnya yang bertindak menjadi "mujhid siber", menjawab sambil memaki hamun sesiapa yang bercerita buruk mengenai Pas. Bagi mereka mustahil orang yang berdaftar sebagai ahli parti Syurga melakukan kejahatan. Justeru segala tuduhan dan bukti disebut sebagai fitnah mentah semata-mata.

Isi audio.

Antara intipati yang dibawa oleh audio eksklusif itu ialah, pengakuan daripada Nik Abduh yang pemimpin parti agama itu benar menerima wang daripada Umno untuk membiayai program parti tersebut. Salah satu ialah perbelanjaan untuk Pas menghadapi pilihan raya negeri Sarawak, bernilai RM2 juta

Paling mengejutkan, apa didedahkan Nik Abduh itu, apabila beliau mengakui 10 hingga 11 aktiviti parti itu mengambil dan menggunakan wang Umno. Semua perkara dan maklumat itu dalam pengetahuannya. Ertinya Nik Abduh memantau perkembangan dalam parti peninggalan ayahnya itu.

Tanpa berselindungi beliau juga dalam audio itu mengakui turut menerima wang daripada Umno. Paling mengejutkan Abdul Hadi Awang juga turut sama mengambilnya. Kerana itu pengakuan Nik Abduh itu bukan sahaja benar, tetapi ikhlas.

Hal itu terkandung dalam pendedahan atau audio siri pertama. Transkrip daripada audio itu seperti berikut:

"Isu kerjasama yang minta duit, (RM2 juta) ana tahu dan memang daripada Tokguru (Haji Hadi), bukan tok guru suruh minta, tetapi dalam pengetahuan tokguru. Dia tak beritahu Ustaz Zaharuddin, (menantu) sebab Ustaz Zaharuddin tidak perlu tahu. Itu level lain, bukan level menantu.
"Ana tahu, cuma Dr Sam (Samsuri adalah Setiausaha Politik Hadi Awang) ni betul dia beri tahu Dr Zuhdi, kerana Dr Zuhdi ni betul-betul juga tidak faham. 

"Akhir sekali Dr Zuhdi jadi keliru, eh betul ke ni... jawabannya betul ana tahu.. ana tahu... pilihan raya Sarawak tu macam mana nak jatuhkan DAP, dan kerjasama dengan Umno ni wujud. Ana cuma minta jangan pecah...Tok guru Haji Hadi ambil duit Umno, ana ambil duit Umno.. semua (yang dituduh tu) ambil duit Umno. Dan kita berjaya antara dengan bantuan Umno. Umno menyebabkan kita berjaya, dalam 10 hingga 11 aktiviti..." 

Itulah sedutan dalam audio siri pertama. Kesimpulan apa diucapkan Nik Abduh itu bahawa kerjasama Pas dengan Umno membabitkan pemberian wang seperti didakwa adalah benar. Nik Abduh bersungguh mendakwa dia tahu apa yang berlaku dan memberi gambaran kepada yang tidak tahu, yang berada dalam majlis penerangan itu.

Pendedahan atau pengakuan Nik Abduh itu sifatkan sebagai sangat rahsia, kerana sebelum beliau bercakap membuat pendedahan itu beliau memberi peringatan agar jangan sampai ada yang dedahkan percakapan itu. Bahkan beliau mengugut sesiapa yang tidak amanah dan mendedahkannya dia akan sumpah menjadi abu. Apakah beliau sudah sumpah atau masih bersiap sedia untuk menyumpah?

Memahami terhadap apa didedahkan Nik Abduh itu dan kenapa beliau sampai jadi "seceplat" (tersasau) itu kerana ingin menjawaban dakwaan sesetengah pihak yang sangsi yang Pas ada menerima wang daripada Umno. Dalam konteks ini mungkin membabitkan presiden sendiri, maka Nik Abduh tanpa segan silu menceritakan hakikat yang berlaku.

Setelah terbongkarnya audio ini, ia mengingatkan orang ramai kepada kekecamukan yang berlaku di dalam Pas ekoran terdedah satu percakapan dalam grup whatsaap suatu masa lalu yang ditular dalam media sosial. Dalam percakapan yang ditular itu, seorang pemimpin Pemuda Pas di sebuah kawasan mengakui yang presiden Pas Abdul Hadi Awang memberi tahunya halal mengambil wang daripada Umno.

Pengaitan nama Abdul Hadi itu menyebabkan timbul rasa kurang senang di pihak yang selama ini mensuci dan memaksumkan Abdul Hadi menyebabkan pihak itu mahukan kepastian. Dalam mencari kepastian itulah satu kumpulan telah bertemu dengan seorang pemimpin Pas, wakil rakyat di parlimen untuk mendapatkan penjelasan. Pertemuan itu hampir mencetuskan pergaduhan.

Difahamkan rentetan pertikaian itulah maka satu pertemuan bagi menjelaskan tuduhan dan tanggapan yang Pas makan duit Umno diaturkan, dan salah seorang tokoh yang menjelaskan apa yang berlaku itu adalah Nik Abduh. Dipercayai audio yang terdedah itu adalah apa yang berlaku dalam majlis itu penjelasan dan pengakuan itu yang katanya berlangsung di Subang, Selangor.

Audio itu tidak benar?

Huraian, pertamanya kita mengambil kepercayaan audio itu benar dan suara didalamnya adalah suara Nik Abduh bin Nik Abdul Aziz. Jika ia benar, saya tidak nampak apa diucapkan Abduh itu sebagai satu dosa yang boleh menghumbankan Pas ke dalam neraka. Nauzubalihiminazalik. Sebaliknya apa dilakukan Nik Abduh itu satu jihad kubra yang perlu disanjungi tinggi.

Orang Pas harus berterima kasih kepada insan yang lahir dari benih dan baka Tokguru Nik Aziz itu kerana berani mengambil tanggungjawab. Dia mendedahkan hal sebenarnya apa yang berlaku dan terjadi dalam Pas. Mungkin tujuan pendedahan itu beliau tidak mahu menafikan sesuatu yang benar dan tidak mahu melindungi kebatilan kerana dia tahu akan dosa dan pahalanya.

Di sinilah sikap orang yang tinggi fakeh dan tasauf. Beliau sanggup melakukan kerana tidak mahu dihambat bayangan dosa di belakang yang semakin melebar. Saya tidak fikir beliau membuat pendedahan itu kerana beliau menanggung kerugian dengan ta'awun Pas dengan Umno. Semisalnya, tidak mendapat bahagian yang seimbang maka beliau kecewa dan membuat pendedahan itu. Tidak, saya tidak fikir sejahat itu Nik Abduh.

Boleh jadi juga dia sendiri sudah kesal dengan gejala itu menyebabkan dia membuat pengakuan itu sebagai persiapan untuk dia terjun dari bahtera Pas yang sudah kotor.

Berhubung dengan pendedahan dan pengakuan Nik Abduh itu maka Pas wajar membuat siasatan terperinci ke atas audio berkenaan dari segenap aspek. Pertama mengesahkan bahawa suara itu suara Nik Abduh. Penafian Nik Abduh tidak boleh diterima sebegitu sahaja.

Apabila suara itu sah suara Nik Abduh, maka Pas kena buat penyiasatan mendalam mencari siapakah yang mendedahkan atau memberi rakaman itu kepada pihak ketiga. Isi pendedahan Nik Abduh tidak salah, yang salah kini ialah macam mana audio itu boleh beredar.

Jawatankuasa disiplin Pas boleh membuat siasatan dengan memanggil semua yang terlibat dalam pertemuan, di mana Nik Abduh didakwa mengeluarkan pengakuan itu. Orang-orang itu harus disoal seorang demi soal. Setelah jawatankuasa itu menemui orang yang membocorkan maklumat itu, maka dia perlu disingkir daripada Pas. Pas tidak perlu menyimpan musuh dalam selimut atau pun memasukkan kucing jantan yang gatal dalam palikat. Bahaya.

Hal-hal lain yang mungkin boleh dilakukan oleh Pas dalam isu tersebarnya audio berkenaan ialah memanggil orang-orang yang disebut baik langsung atau tidak langsung dalam audio itu. Antara mereka ialah Zaharuddin, Dr Samsuri, Dr Zuhdi dan lain-lain. Jika mereka ini tidak mempunyai apa-apa akses dalam kasus ini untuk apa mereka disebut oleh Nik Abduh(?)

Mungkin Nik Abdu bersama Zaharuddin boleh dipanggil serentak untuk disemukakan.-https://msomelayu.blogspot.my 

Media sosial mampu pengaruhi pengundi PRU-14

DETIK DAILY
 
 
Oleh Prof Madya Dr Sara Chinnasamy

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal diadakan berunsur 'Facebook Election' berikutan populariti media ini yang menyalurkan maklumat yang lebih banyak berbanding dengan platform media sosial lain seperti Twitter dan Instagram.

World Internet Stats merekodkan daripada penduduk Malaysia mencecah 31 juta, pengguna plaform Facebook sahaja mencecah hampir 20 juta orang.

Ini menunjukkan hampir dua pertiga daripada masyarakat kita lebih terdedah kepada penggunaan Facebook, terutama dalam menyalur dan berkongsi maklumat secara online, apatah lagi aliran ini akan melonjak berkali ganda apabila musim PRU.

Ia juga banyak berkait rapat dengan elemen yang mampu disalurkan oleh platform ini berbanding platform media sosial lain, seperti versi berita online oleh pemberitaan agensi media perdana mahu pun media internet persendirian, portal, blog, video interaktif, mahu pun video yang dimuat naik oleh netizen yang mempunyai keluhan pendapat tersendiri dan unsur lain yang dimuat naik serta dikongsi banyak kali.

Pembentukan masyarakat berteknologi

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 2004 pernah mencatat status 'pilih raya internet" berikutan penggunaan e-mel yang tinggi oleh pemimpin politik mereka dalam menghubungi sasaran pengundi di sesuatu kawasan. Pilihan Raya Presiden AS 2008 pula menyaksikan aliran 'pilihan raya media sosial' berikutan penggunaan Twitter dan Facebook yang tinggi dalam kalangan sukarelawan Barack Obama.

Saya pernah menjalankan penyelidikan dalam tracking trend internet election dalam kalangan negara Asia dan Barat sejak 2008 dan sehingga kini, ia jelas menunjukkan beberapa faktor penting diambil kira untuk mengenal pasti sama sesuatu pilihan raya itu mempunyai faktor pengaruh internet.

Antara elemen utama yang diambil kira ialah keberkesanan pembangunan teknologi dan 'pembentukan masyarakat berteknologi' di sesuatu negara, jumlah yang aktif dalam perbincangan online, jumlah jam berhadapan di internet, kemahiran penggunaan internet, momentum untuk memuat sesuatu post, skop informasi yang dimuat naik, jenis laman web, trend yang wujud hasil komunikasi politik dan darjah pembabitan faktor internet dalam hujahan politik.

Kini, internet menjadi faktor penentu dalam pilihan raya Malaysia memandangkan isu politik dan kempen politik kini lebih banyak bergantung kepada media dalam talian.

Internet pada 1998 mempunyai pengaruh yang kecil berikutan penerapan yang kecil. Hari ini, internet digunakan untuk mempengaruhi pandangan umum dan netizen Malaysia menyedari mengenai kesan internet dalam mempengaruhi undi. Jutawan media, Rupert Murdoch menyatakan menjelang 2050, media akan menjadi dalam talian atau elektronik sepenuhnya, dan media cetak akan menjadi satu perkara yang tidak wujud lagi.

Pemimpin politik, cabaran media sosial

Dalam aliran penyalahgunaan media sosial dengan kadar ledakan berita palsu, media sosial tetap menjadi pilihan utama untuk uar-uarkan aktiviti politik oleh pemimpin politik negara. Persoalannya sejauh manakah pembabitan mereka? Sektor politik perlu bersedia menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), iaitu revolusi yang menyaksikan Internet of Things (IoT) dalam hampir semua aspek kehidupan seharian.

Industri ini meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian kerana semua urusan dijalankan secara digital. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyentuh tahap kesediaan IR 4.0 yang membawa kepada kejayaan wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Industri 4.0 akan membawa perubahan besar, antaranya kepada media tradisional apabila manusia hanya menggunakan telefon pintar dan komputer untuk membaca berita dan bukan lagi surat khabar.

Persaingan media

Persaingan media bukan lagi sesama sendiri tetapi bersaing dengan media sosial yang lebih menarik perhatian pembaca.

Pemimpin yang tidak celik teknologi maklumat (IT) dianggap ketinggalan dalam arus mengejar penyaluran maklumat kerana hampir keseluruhan platform media sosial digunakan untuk memacu agenda politik menjelang PRU-14.

Suatu ketika dahulu poster dan gegantung menjadi pilihan utama ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Ke-13. Namun, hari ini penggunaan Twitter, Instagram, video pendek dan pelbagai aplikasi aktiviti politik lain diwujudkan dalam telefon pintar menjadi pilihan utama dan tidak menelan kos.

Persoalannya ialah keberadaan online dan tahap diskusi antara pemimpin dan rakyat amat penting bagi pemimpin politik. Facebook sudah tentunya menjadi platform utama perbincangan hujah politik.

 Dalam menyahut cabaran berita palsu, kepantasan mencantas sesuatu berita palsu oleh pemimpin politik penting dalam konteks media sosial ini.-B/Harian