HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mac 2018

Tinggalkan Ideas, Wan Saiful pilih PBBM

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
Petaling Jaya: Bekas Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan hari ini mengumumkan penyertaanya ke dalam PPBM.
 
Ujarnya, keputusannya meninggalkan Ideas yang sembilan tahun dipimpinnya bukan perkara mudah, namun beliau mahu lakukan perubahan.
 
Dengan kemasukannya dalam PPBM, Wan Saiful secara rasminya meninggalkan PAS yang dianggotainya ketika masih menuntut di United Kingdom pada 1992.
 
"Ini merupakan langkah pertama saya dalam dunia politik kepartian secara aktif di Malaysia.
 
"Sebagai budak baru belajar, sudah pasti banyak kesalahan yang saya lakukan, saya mohon bantuan dan jasa baik abang-abang dan kakak-kakak untuk membantu saya dalam memulakan perjalanana ini ", kata Wan Saiful dalam sidang medianya, hari ini.
 
Apa yang menarik, sebaik sahaja menyertai PPBM, Wan Saiful sudahpun diamanahkan menggalas jawatan Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar selain menjadi ahli majlis pimpinan tertinggi parti.
 
Ketika diajukan soalan mengenai pusingan U yang dibuat olehnya, Wan Saiful enggan mengulas lanjut namun menyatakan komitmen untuk patuh pada parti barunya itu.
 
"Yang penting di sini, saya orang baharu, jadi saya jangan nak perasan bagus sangatlah.
 
"Ada perkara yang saya perlu belajar. Ada juga perkara akan beri saya peluang untuk memberi penerangan," katanya.
 
Presiden PBBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media yang sama mengalukan kemasukan Wan Saiful dan berkata partinya memerlukan pemikir seperti bekas CEO Ideas itu.
 
"Beliau seorang yang berpengalaman dan mempunyai ilmu dan kemahiran yang kita perlukan.
 
"Wan Saiful mampu membantu parti dengan memberi idea bernas dalam membantu ahli parti," ujarnya.
 
Muhyiddin tidak pula mengulas adakah kemasukan Wan Saiful itu bertujuan menjadikannya calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Selain Muhyiddin, turut hadir Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
 
 

Tiada ulasan: