HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Januari 2020

Program pengampunan imigresen jadi lubuk 'calo' buat duit?

ALYA ALHADJRI




LAPORAN KHAS | Dalam minggu terakhir program pengampunan Back For Good (B4G), Jabatan Imigresen seluruh negara dibanjiri imigran tanpa dokumen yang pada saat akhir tampil menyerah diri untuk dihantar pulang ke negara asal secara sukarela.

Meskipun tujuan program pengampunan itu bagi menawarkan situasi menang-menang kepada semua pihak, pada hakikatnya, ia mungkin tidak berjalan seperti diharapkan.

Sesetengah imigran hadir dengan persediaan, termasuk duit denda berjumlah RM700 bersama dokumen-dokumen diperlukan, serta tiket feri atau penerbangan untuk pulang ke kampung halaman mereka.

Bagaimanapun, ramai yang tidak menjangka mereka terpaksa menunggu giliran beberapa hari, bagi membolehkan permohonan mereka diproses.

Figo Kurniawan, pekerja asing tanpa dokumen sah dari Indonesia yang pulang ke negara asalnya beberapa hari sebelum tempoh pengampunan tamat tengah malam ini berkata, mereka dipaksa membuat pilihan, sama ada untuk pergi ke pejabat imigresen yang lain untuk berurusan - ada yang dari Selangor pergi ke Terengganu - atau membuat “bayaran tambahan” bagi memudahkan proses berkenaan.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini dari kampungnya di Kediri, Jawa Timur, Figo mengimbau semula pengalamannya di ibu pejabat Jabatan Imigresen Selangor.

Daripada 13 orang yang cuba memohon, termasuk dirinya, Figo hanya dapat pulang ke kampung halamannya pada 27 Disember lalu, bersama empat rakannya yang lain.

Dia pulang setelah 12 tahun bekerja di Malaysia dan mengakui tidak lagi mempunyai permit sah sejak 20 bulan lalu.
Katanya, pada 25 Disember tahun ini, akhirnya dia menerima bantuan daripada “seseorang” sehingga berjaya mendapat memo daftar keluar pada keesokannya harinya.

“Dia benar-benar menolong, bukan 'calo'… Dibelikan rokok pun dia tak mahu.

“Akhirnya kami berhasil mendapatkan memo daftar keluar kerana ditolong seseorang yang tidak akan saya sebutkan, kerana dia bukan 'calo',” katanya.

'Calo' merupakan istilah Indonesia yang merujuk kepada seseorang yang diupah untuk bertindak sebagai orang tengah atau perantara dalam sesuatu urusan.

Mereka pada awalnya terlepas penerbangan yang ditempah pada 22 Disember setelah gagal mendapatkan nombor pendaftaran, iaitu proses peringkat pertama daripada beberapa peringkat yang perlu ditempuhi untuk melengkapkan permohonan pengampunan tersebut.

“Ketika awal mendaftar saya datang hari Khamis petang (19 Disember), beratur untuk giliran esok pagi.

“Untuk dua hari (20 dan 21 Disember), saya beratur ‘normal’, tapi gagal (mendapatkan tiket pendaftaran) dan tiket (kapal terbang) saya hangus. Terpaksa saya beli lagi,” katanya lagi.

Selepas itu, Figo berkata mereka mengambil keputusan untuk tidur di taman yang terletak bertentangan dengan Kompleks PKNS Shah Alam.

Pejabat Jabatan Imigresen Selangor terletak di tingkat tiga bangunan itu.

Ketika tidur di situlah, kata Figo, dia mendapat tahu terdapat 'calo' yang membuat kerja-kerja untuk memudahkan urusan di Jabatan Imigresen itu, baik dari luar, mahupun dari dalam jabatan itu sendiri.

'Ada tiga jenis calo' 

Menurut Figo, ada tiga jenis calo yang menawarkan khidmat. Pertama, yang beroperasi di luar kawasan pejabat Imigresen yang mengenakan bayaran beratus ringgit, dengan janji untuk menolong.

Bagaimanapun, katanya, calo jenis ini hanya akan menghantar mereka ke pejabat Imigresen dan meninggalkan mereka di situ.
Calo jenis kedua pula mengenakan bayaran sehingga RM200 dan mendakwa mampu “mengatur barisan sampai di atas pejabat”, namun Figo memperlekeh “perkhidmatan” ditawar mereka sebagai tak berguna memandangkan barisan sebenar hanya bermula betul-betul di luar pejabat Imigresen itu sendiri.

“Mereka perlakukan kami seperti binatang, betul-betul tak manusiawi. Dia bentak-bentak, dia tolak-tolak kami, padahal dia bukan pegawai siapa-siapa (bukan pegawai Imigresen). Hanya kerana mereka orang sini dan kami orang asing,” tambah Figo.

Menurut Figo, layanan yang diberikan terhadap mereka itu lebih pahit untuk ditelan berbanding duit yang perlu dibayar.

Menyambung ceritanya, kata Figo, setelah percubaan kali pertama gagal, dia beratur lagi untuk kali seterusnya sejak pagi bersama beratus pendatang yang lain, hanya untuk diberitahu untuk beredar oleh pegawai imigresen, itu pun setelah mereka dibiar beratur selama hampir sepuluh jam.

“Dengan bau-bau yang bercampur, kami mandi keringat, apa yang terjadi? Sudah pukul 4 baru pegawai Imigresen keluar sambil bilang 'Berdiri! Jalan! Sudah, turun sana!'

“Kalau hari itu tidak boleh layan, kenapa tidak awal-awal bagitahu? Kenapa seksa kami di lorong pengap, sempit dan penuh sesak?” luahnya.

Ditanda dengan penanda di lengan

Ceritanya lagi, semasa beratur, ada nama-nama yang dipanggil, membuatnya sedar tentang “calo jenis ketiga” yang dibayar sehingga RM500. Calo jenis ini, kata Figo, dipercayai bekerja dengan orang dalam, dan berhasil mengatur untuk nama pemohon dipanggil dan diberikan nombor pendaftaran.

Tambahnya, kerana berasa terdesak dengan situasi berkenaan, dia juga membayar RM350 kepada seseorang pada 24 Disember, namun urusannya sekali lagi tidak berjaya kerana menurutnya ada serbuan oleh pegawai Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari berkenaan.

Mujurlah, katanya dia mendapat semula wang itu daripada individu berkenaan.

Seorang sumber yang merupakan pegawai kanan di Imigresen Selangor, menafikan tuduhan berlakunya kerjasama sulit pegawai Imigresen dengan 'calo' seperti yang didakwa Figo.

Dia bersetuju ditemu bual dengan syarat identitinya tidak didedahkan.

Jelas beliau, tempoh antara 20 hingga 25 Disember memperlihatkan peningkatan mendadak bilangan pendaftaran, bukan sahaja di pejabat imigresen Selangor, malah di seluruh negara.
“Tiada caj (lain). Sesiapa yang datang pada hari-hari tersebut tapi tak dapat nombor, mereka akan diberikan temu janji hari berikutnya.

“Nama mereka akan direkodkan, dan nama itulah yang akan dipanggil,” katanya.

Nombor pendaftaran tersebut ditulis menggunakan pen penanda di atas salinan dokumen perjalanan pendatang berkenaan, juga di atas lengan mereka.

Ini berbeza daripada nombor yang dikeluarkan untuk perkhidmatan imigresen lain, yang yang dijana dan dicetak di atas slip kertas.

Semakan Malaysiakini di Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam mendapati proses manual yang sama (menggunakan pen penanda) turut digunakan, serta urusan dilakukan dengan kadar yang lebih cepat.

Pemberian nombor giliran untuk imigran yang beratur selesai dalam masa dua jam sejak kaunter dibuka pada kira-kira jam 8 pagi.

Ini berbeza sekali dengan apa yang dilihat oleh seorang lagi saksi di lokasi sama minggu lalu. Dia yang tidak mahu dinamakan, memberitahu Malaysiakini, bahawa dia ke jabatan itu pada 23 dan 24 Disember dan menyaksikan “keadaan huru-hara, dengan penyangak-penyangak (tout) menggunakan kekerasan” untuk mengawal imigran.

Apabila penduduk tempatan membuat aduan kepada pegawai Imigresen, mereka diberitahu bahawa telefon mereka akan dirampas sekiranya merakam kejadian itu, baik dalam bentuk gambar atau video.

Usaha Malaysiakini bagi mendapatkan komen Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzamee Daud terhadap kejadian awal yang berlaku di Jalan Duta itu, dipercayai mencetuskan usaha “pembersihan”.
Malah beberapa saksi mendakwa, ketika Khairul ke lokasi bersama sepasukan pegawai dan polis selepas daripada itu, terdapat beberapa penahanan dibuat.

Ketika diminta untuk mengesahkan perkara tersebut, Khairul hanya berkata jabatannya “memantau keadaan”.

Setakat semalam, semua imigran tanpa dokumen yang datang ke pejabat Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, ditempatkan untuk beratur di barisan khusus setelah mereka mendapat nombor masing-masing dan menghantar dokumen masing-masing.

Mereka juga beratur dalam keadaan yang lebih baik, di tingkat atas bangunan kompleks Kementerian Dalam Negeri yang mempunyai ruang yang luas.

“Selepas penghantaran dokumen, langkah seterusnya adalah untuk kami (Imigresen) merekodkan keterangan mereka, supaya dapat tahu berapa lama mereka tinggal lebih masa.

“Kemudian, kami bawa mereka ke kaunter biometrik untuk disenaraihitamkan, diikuti dengan proses kelulusan, pembayaran denda dan akhirnya pas (memo daftar keluar) akan dikeluarkan,” kata sumber Imigresen kepada Malaysiakini. 

“Di sini, kami cuba selesaikan urusan setiap orang yang datang pada hari berkenaan.

“Selalunya, tidak akan ada kes yang tertunda,” kata seorang lagi pegawai bertugas semalam.

Tidak berperikemanusiaan

Ekoran lawatannya ke Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira meluahkan rasa terkejut apabila menyaksikan bagaimana nombor ditulis di atas lengan imigran.

Inisiatif Utara-Selatan merupakan NGO yang memantau beberapa perkara seperti hak asasi manusia, keadilan sosial, dan lain-lain, termasuklah hak asasi buruh.

“Bagi saya, itu sangat merendahkan martabat dan tidak berperikemanusian, untuk anda ‘cap’ nombor giliran di badan seseorang,” katanya.
Menurutnya, dia tidak merasakan B4G akan dapat menyelesaikan masalah lebih besar berhubung imigran tanpa dokumen di negara ini.

“Kita belum selesaikan masalah akar yang lain, seperti rasuah dalam sistem, proses pelantikan (anggota) yang lemah, dan juga kawasan sempadan yang tidak dipantau dengan baik di sekitar negara.

“Dari segi pengurusan migrasi buruh, masih banyak perlu dilakukan,” tegasnya.


Kembali ke Shah Alam, pemerhatian Malaysiakini pagi ini mendapati situasi seperti yang digambarkan Frigo, tidak lagi berlaku. Kurang daripada 100 imigran tanpa dokumen beratur dalam barisan sekitar jam 9.30 pagi.

Kkebanyakannya datang bersama keluarga, selain ada juga yang menggendong bayi.

Sejak sedekad lalu, kerajaan telah melancarkan sekurang-kurangnya tiga program pengampunan besar-besaran. Program yang terakhir dilakukan dari 2014 hingga Ogos tahun lalu. Ia menyaksikan 840,000 imigran tanpa dokumen pulang semula ke negara mereka.

Jumlah itu masih jauh di bawah anggaran jumlah imigran tanpa dokumen sah  di negara ini, yang menurut Pereira, antara dua hingga empat juta orang, seperti yang disebut secara konsisten oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.

Bagi program kali ini, Khairul dilaporkan berkata sebanyak 138,901 imigran dihantar pulang dalam program B4G setakat 14 Disember lalu.

“Jadi ini menunjukkan masih ramai daripada mereka yang akan terus tinggal di Malaysia. Nasihat saya kepada pihak kerajaan, adalah untuk mengesahkan status (regularise) mereka tanpa syarat, memandangkan mereka sudah diambil bekerja di sini.

“Jangan pandang mereka sebagai ancaman keselamatan kerana itu hipokrit. Kita masih perlukan mereka,” kata Pereira yang turut menggesa KDN dan Kementerian Sumber Manusia bekerjasama untuk mengenal pasti permintaaan sebenar buruh pendatang di Malaysia.

Perangkaan sebenar program B4G ini dijangka diumumkan pada tahun baru, esok.

Lebih 180,000 imigran tanpa dokumen dihantar pulang di bawah B4G

MALAYSIAKINI




Lebih 180,000 imigran tanpa dokumen sah dihantar pulang di bawah program pengampunan Back For Good (B4G) yang berakhir pada tengah malam ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Dalam perutusan tahun barunya, Khairul Dzaimee berkata pelaksanaan program yang dimulakan sejak 1 Ogos itu merupakan pencapaian utama jabatan berkenaan pada tahun ini.

Beliau juga menyorot bahawa pihaknya operasi membanteras imigran tanpa dokumen secara besar-besaran pada tahun depan merupakan antara fokus utama imigresen.

"Operasi membanteras PATI (imigran tanpa dokumen sah) secara besar-besaran dengan sasaran sekurang-kurangnya penahanan seramai 70,000 PATI dalam tahun 2020 melalui pelaksanaan operasi secara bersasar (targeted) dan berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di bawah program B4G, imigran yang tidak mempunyai dokumen sah boleh menyerah diri dan membayar denda untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Tinjauan Malaysiakini mendapati beberapa pejabat imigresen sesak dengan kehadiran imigran yang membuat permohonan saat akhir untuk program berkenaan.

Bagaimanapun, timbul keluhan yang mengatakan mereka terpaksa menunggu sehingga beberapa hari.

Beberapa imigran juga mendakwa mereka dihampiri 'calo' atau orang tengah yang menawarkan untuk mempercepatkan proses permohonan mereka.

Sementara itu, dalam perutusan tahun barunya, Khairul Dzaimee turut menyenaraikan dua fokus lain pihaknya pada 2020.

Satu daripadanya ialah meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter, yang menurut Khairul Dzaimee perlu konsisten, profesional dan mesra.

Selain itu, satu lagi fokus imigresen ialah meningkatkan kecekapan tadbir urus jabatan itu mealui pelaksanaan 100 peratus inisiatif e-payment mulai Jun 2020 dan pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe).

Pencapaian lain yang turut dinyatakan Khairul Dzaimee bagi jabatannya ialah kejayaan menumpaskan sindiket dalam oleh rakyat asing di seluruh negara dan membongkar sindiket pengeluaran kad pengenalan secara tidak sah.

"Saya yakin, dengan semangat kerja berpasukan dan iltizam yang tinggi, kita akan terus mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun 2020, demi untuk keselamatan dan kesejahteraan negara kita yang tercinta," katanya.


Hadi: Sumpah laknat tiada dalam undang-undang syariah

MALAYSIAKINI




Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa sumpah laknat yang dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak bagi menafikan penglibatannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiada dalam undang-undang syariah Islam.

Jelasnya, undang-undang syariah hanya memperuntukkan 'li’an' dalam Islam, iaitu sumpah yang hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat tuduhan daripada suami bahawa isterinya berzina dengan orang lain.

Isteri boleh melakukan sumpah laknat di masjid bagi menafikan tuduhan tersebut.

Sesiapa yang melakukan sumpah li'an akan menerima balasan Tuhan sekiranya mereka berbohong.

Bagaimanapun, Hadi berkata tiada yang menghalang sesiapa pun daripada melakukan sumpah.

“Sepatutnya bila orang yang tuduh tidak ada saksi, (individu yang dituduh) senyap sahaja tidak perlu bersumpah. Itu kaedah yang ada dalam syarak,” katanya seperti dipetik laporan Free Malaysia Today.

Pada 20 Disember lalu, Najib melakukan sumpah laknat bagi menafikan tuduhan bahawa dia telah mengarahkan supaya Altantuya Shaariibuu dibunuh.

Najib melakukan sumpah tersebut di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Hadi juga memberi amaran, jika sering melakukan sumpah sedemikian akan menimbulkan rasa amarah Tuhan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang penonton ketika menghadiri sebuah acara yang bertanya pendapatnya berkenaan sumpah laknat yang dilakukan Najib.

Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas anggota pasukan khas polis (UTK), Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya mendakwa arahan untuk membunuh warga Mongolia itu datang daripada Najib yang ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri.

Melalui akuan berkanun (SD) dari Penjara Kajang, Azilah mendakwa Najib meyakinkannya bahawa Altantuya adalah seorang perisik asing yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

SD Azilah difailkan bersama permohonan bagi mendapatkan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap hukuman gantung sampai mati yang dihadapinya bersama seorang lagi bekas anggota UTK,  Sirul Azhar.

Sirul melarikan diri ke Australia apabila Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua tahanan tersebut pada tahun 2013 dan kini berada di pusat tahanan imigresen di Sydney Australia.


2020: Bertemu jua kita akhirnya

THE MALAYSIAN  TIMES
 


KUALA LUMPUR: Bagi mereka yang meraikan kedatangan dekad baharu malam tadi, anda sebenarnya agak ketinggalan kerana golongan millennial, seperti saya, telahpun meraikan 2020 pada tahun 1991 itu sendiri.

Ia adalah tahun di mana Malaysia memperkenalkan “Wawasan 2020,” barangkali antara segelintir negara di dunia ini pada masa itu yang mempunyai pandangan jauh kehadapan melangkaui pelan lima tahun yang biasa.

Pada masa itu, Wawasan 2020 adalah perkataan yang sangat popular dan menjadi perhatian ramai memandangkan ia berkenaan dengan hala tuju yang bakal ditempa Malaysia pada masa depan.

Dan sebagai pelajar semasa era itu, selain sibuk mengira usia masing-masing dalam tempoh 29 tahun lagi, dan menghafal maksud “Wawasan 2020” bagi peperiksaan, ramai daripada kita membayangkan ruang angkasa negara pada masa itu bakal dipenuhi dengan kereta terbang dan bangunan pencakar langit seperti yang dilihat dalam filem seperti Star Trek dan Star Wars.

Negara dan rakyat bersama-sama meraikan gagasan masa depan itu yang merupakan ilham daripada perdana menteri pada masa itu dan juga sekarang, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wawasan itu yang mengandungi sembilan cabaran memberikan semangat untuk berusaha ke arah mencapai matlamat yang sama dan memberikan kekuatan semangat diri yang diperlukan golongan muda Malaysia pada masa itu untuk bergerak melangkah ke era baharu.

Hampir tiga dekad kemudiannya, walaupun Malaysia masih belum lagi menjadi sebuah negara maju mahupun mencapai sasaran pertumbuhan atau menangani beberapa cabaran yang disasarkan di bawah “Wawasan 2020”, namun ia kekal menjadi sebuah negara yang terus berkembang maju dengan peluang yang besar.

Dari perspektif ekonomi, negara berjaya mengharungi cabaran getir krisis kewangan Asia pada 1997 dan krisis kewangan global pada 2008, hasil daripada langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyediakan sistem yang teguh dan mampu bertahan daripada kejutan ekonomi.

Sejak 2000, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia berada pada purata 5.5 peratus, manakala pendapatan perkapita sebenar berkembang hampir 6 peratus setahun – kadar yang membanggakan memandangkan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi negara selama bertahun-tahun.

Ekonomi negara dijangka berkembang pantas sedikit pada 4.8 peratus pada 2020 daripada 4.7 peratus yang diunjurkan bagi 2019, meskipun faktor luaran yang tidak menentu seperti perang perdagangan.

Malaysia juga kekal sebagai antara negara yang paling mesra perniagaan.

Selain sentiasa meningkatkan kemajuan sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan, Malaysia juga bergerak seiring dengan era ekonomi dan teknologi disruptif walaupun pada kadar yang perlahan.

Era telefon talian tetap dan jam analog kini telah berakhir, perkhidmatan perbankan, tempahan kereta atau makanan kini boleh dilakukan dihujung jari sahaja.

Siapa sangka suatu hari nanti akan ada bank tanpa kehadiran fizikal langsung – tidak lama lagi sehingga lima lesen mungkin akan dikeluarkan kepada pemohon yang layak untuk menubuhkan bank digital bagi menawarkan sama ada perniagaan perbankan konvensional atau Islam mereka di Malaysia.

Meskipun masih baharu, ekonomi digital dijangka menyumbang lebih daripada 21 peratus kepada KDNK negara pada 2022 berbanding 18.5 peratus pada 2018.

Tetapi itu adalah perspektif keseluruhannya.

Di tahap yang lebih terperinci, diperhatikan bahawa dividen pertumbuhan negara tidak diagihkan secara mencukupi ke semua segmen masyarakat.

Ekonomi yang berkembang pantas dan perubahan landskap keperluan pekerjaan nampaknya telah mewujudkan pecahan sosial — asas dasar yang dibina Malaysia – masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan pelbagai bahasa

Kos sara hidup merupakan antara isu paling penting.

Justeru, sistem pendidikan perlu bermanfaat pada masa depan kerana peningkatan produktiviti dan menambah baik pendidikan dalam meningkatkan paras pendapatan adalah penting untuk pendekatan lebih mampan bagi menangani isu kos hidup.

Malaysia masih berada di bawah purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam matematik, bacaan dan sains – pengetahuan yang amat diperlukan untuk membangunkan sebuah negara yang lebih baik.

Malaysia juga sudah mencapai kemajuan besar dalam menambah baik tadbir urus dan membasmi kemiskinan, selain sistem pendidikannya yang masih boleh ditambah baik.

Bekas Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde semasa lawatan beliau ke Malaysia pada Jun 2019 berkata pelaburan dalam pendidikan berkualiti tinggi boleh mengurangkan ketidakpadanan kepakaran, menaikkan gaji dan membantu Malaysia memanfaatkan potensi teknologi baharu.

Kerajaan baru-baru ini telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mengambil alih daripada “Wawasan 2020” – dengan sasaran utama menyusun semula ekonomi
berintensifkan buruh kemahiran rendah negara kepada ekonomi berasaskan pengetahuan yang akan menyediakan standard kehidupan baik kepada semua rakyat Malaysia ada akhir dekad ini.—Bernama 

Tahun 2020 teruskan ‘mimpi buruk’ kerajaan PH

Wartawan MalaysiaGazette
MGF15072019_SIDANG-DEWAN-RAKYAT17-2
Ismail Sabri Yaakob


KUALA LUMPUR – Tahun 2020 akan terus membawa ‘mimpi buruk’ kepada rakyat Malaysia.
Itu rumusan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Walaupun tahun 2020 adalah tahun Wawasan 2020 namun tidak ada harapan baru untuk rakyat. Ekonomi terus lemah, ketidaktentuan politik terus berterusan tanpa noktah, keyakinan pelabur terus menjunam. Pengumuman yang diharap boleh mengubah situasi tidak kedengaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bera merangkap Naib Presiden UMNO itu berkata, pelbagai imaginasi yang direka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menabur harapan palsu sehinggakan rakyat Malaysia membayangkan tahun 2020 sebagai negara progresif dengan adanya kereta terbang, pendidikan percuma untuk semua golongan, sejuta peluang pekerjaan serta berbagai-bagai lagi imaginasi palsu yang telah direka-reka oleh kerajaan PH.

“Rakyat Malaysia sudah banyak derita akibat dari kegagalan dan kekejaman PH. Bermula dari nelayan, penoreh getah, pesawah, pekebun sawit sehinggalah kakitangan awam kerajaan.

“Kerajaan PH gagal membela nasib rakyat dan perancangan kerajaan PH melalui belanjawan 2020 hanyalah mengutamakan kepentingan kepada pemodal dan pelobi (kroni) yang langsung tidak menguntungkan rakyat.

“Kerajaan PH masih gagal membela nasib nelayan hatta pendapatan warga nelayan juga semakin hari semakin berkurangan. Lebih buruk, bantuan sara hidup nelayan telah pun dikurangkan. Kita tidak nampak sedikit pun sinar untuk warga nelayan menjelang 2020 ini,” ujarnya lagi.

Menurut Ismail Sabri, peneroka sawit pula menempuhi episod malang apabila berhadapan dengan isu boikot daripada negara-negara import seperti India hingga menyebabkan harga sawit mentah tidak malar dan tidak konsisten.

Kenaikan harga sawit di dalam bulan ini yang digembar- gemburkan bukan merupakan kenaikan harga kerana usaha dan tindakan kerajaan PH tetapi kerana kekurangan pengeluaran buah sawit akibat musim melawas iaitu pengeluaran buah sawit berkurangan dan permintaan melebihi penawaran.

“Menteri yang tidak faham tentang industri sawit berbangga dengan keadaan tersebut sedangkan keadaan sebenar adalah pendapatan pekebun sawit tidak berubah kerana hasil tuaian buah sawit yang berkurangan,” katanya.

Kegagalan PH yang terbesar sekali apabila negara Malaysia menghadapi kelembapan ekonomi yang terburuk dalam sejarah dimana hibah Tabung Haji dari 6 peratus cuma tinggal 1.25 peratus, dividen LTAT dari 12.5 peratus diagihkan cuma tinggal 2 peratus.

” Yang hairannya, Boustead Holdings yang merupakan aset terbesar LTAT telah menjual Hotel Royal Chulan di Bukit Bintang kepada syarikat Singapura. Ke mana perginya wang jualan tersebut?

“Terbaru, dividen ASB paling rendah dalam sejarah iaitu dari 7 peratus cuma tinggal 5.5 peratus,” katanya.- MalaysiaGazette

Rakyat sambut tahun 2020 dengan kegusaran – Zahid

Shawaliah Hadir
MGF07122019_GULUNG-PAU07-1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tahun baharu kali ini disambut dengan harapan rakyat yang semakin menipis kepada kerajaan apabila mendakwa 2019 dipenuhi dengan janji Pakatan Harapan yang tidak ditunaikan.

Namun katanya, hanya rakyat yang mampu mengubah dan menentukan masa depan sendiri khususnya memilih kerajaan yang berkemampuan mengubah kehidupan mereka.

Beliau turut berkata, tahun baharu adalah kegagalan Wawasan 2020 yang hanya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup sehingga mengakibatkan kuasa beli semakin kecil.

“Pada tahun kegagalan Wawasan 2020 ini, tidak pernah rakyat merasa gusar dengan kos sara hidup yang makin terdesak dan kuasa membeli yang kian mengecil berikutan keadaan tidak menentu di pasaran.

“Tidak pernah dalam sejarah Malaysia merdeka rakyatnya diperlakukan sebegini rupa oleh pemerintah berikutan segala penipuan serta janji yang hanya tinggal janji.

“Bagaimanapun, kita perlu terus melangkah demi erti sebuah kehidupan dan survival sebuah perjuangan. Rakyatlah penentu masa depan dan membentuk kerajaan yang diyakini dapat membela serta memahami denyut nadi kehidupan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru bersempena bermulanya tahun baharu, Ahmad Zahid menyeru rakyat kembali kepada kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin untuk membela nasib.

“Tidak ada sambutan untuk meraikan tahun baharu ini tetapi rakyat mesti menilai semula pilihan mereka. Baliklah kepada kerajaan bertanggungjawab dan prihatin yang pernah menjulang mereka,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

5 topik untuk sembang hari ini

Astro Awani
5 topik untuk sembang hari ini
Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.
 
 
SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:

1. Larangan merokok

Berkuatkuasa hari ini, individu yang merokok di kawasan larangan termasuk semua premis makanan, akan dikenakan kompaun RM250.

2. TMM 2020

Sambutan tahun baharu membuka tirai Tahun Melawat Malaysia 2020 yang meletakkan sasaran untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong antarabangsa ke dalam negara.

3. Calon PRK Kimanis

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dijangka mengumumkan hari ini nama calon bagi pilihan raya kecil Kimanis yang dijadual berlangsung 18 Januari ini.

4. Pekerja tapak binaan kepala ditimpa simen

Pekerja warga Bangladesh yang kepalanya ditimpa sisa buangan bancuhan simen di tapak pembinaan di Seri Iskandar, meninggal dunia semalam.

5. Neelofa akhiri tugas

Neelofa mengakhiri tugasnya malam tadi sebagai pengacara di program hiburan Astro, MeleTOP selepas lapan tahun.

Kerap jalankan operasi di hotspot, saman JPJ meningkat pada 2019

Astro Awani
Kerap jalankan operasi di hotspot, saman JPJ meningkat pada 2019
Saman paling tinggi yang dicatatkan pula melibatkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu iaitu sebanyak 6,534 berbanding 5,103 tahun lalu. - Foto Astro AWANI
 

KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2019 membuktikan kekerapan pihak berkuasa itu menjalankan operasi di lokasi ‘hotspot’ sekitar ibu negara.

Pada 2019 sahaja, JPJ Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan saman sebanyak 26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengarahnya Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, sebanyak 106,861 saman dikeluarkan pihaknya sejak Januari sehingga Disember 2019 berbanding 85,130 saman dalam tempoh yang sama pada 2018.

“Kita melaksanakan operasi pada malam ini, sebenarnya dijalankan serentak di seluruh negara, bermula pukul lapan sehingga 12 tengah malam.

“Tujuan utama adalah untuk memastikan pematuhan peraturan jalan raya yang kita tetapkan, supaya sentiasa diikuti oleh semua penguna jalan raya.

"Di sini kita lihat berlaku peningkatan lebih kurang 26 peratus dari segi saman dan ini menunjukkan bahawa masih ramai lagi penguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada satu sidang media selepas menjalankan Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2020 di kawasan Bangsar, di sini, malam tadi.

Dalam operasi tersebut, sejumlah 870 kenderaan diperiksa dengan jumlah saman dikeluarkan sebanyak 352 atas pelbagai kesalahan, selain 20 motosikal disita.


Astro AWANI
Astro AWANI

Antara kesalahan yang paling banyak dikesan adalah membabitkan penunggang motosikal dengan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, ubah suai nombor pendaftaran serta kesalahan lain.

Saman paling tinggi yang dicatatkan pula melibatkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu iaitu sebanyak 6,534 berbanding 5,103 tahun lalu.

Kesemua kesalahan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rumah terbakar 95 peratus, sekeluarga berduka sambut tahun baharu

Adie Sufian Zulkefli, Astro Awani
Rumah terbakar 95 peratus, sekeluarga berduka sambut tahun baharu
Kebakaran dapat dikawal pada pukul 11.41 malam dan kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada punca api dan asap di lokasi kejadian. Foto JBPM Kedah
 

JITRA: Ketika insan lain bergembira menyambut tahun baharu, sebuah keluarga di sini diuji apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Sepat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, rumah dua tingkat separa kayu dan batu itu musnah 95 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.12 malam berhubung kejadian itu.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar bahagian atas rumah yang diperbuat daripada papan.

Jelas Sayani, kepantasan anggotanya berjaya menyelamatkan sebuah kereta Proton Saga daripada musnah dalam kebakaran itu.


Foto JBPM Kedah
Foto JBPM Kedah

Tambahnya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) memadam dan mengawal kebakaran dengan menggunakan dua aliran 100 kaki dan dua pancutan air dari sumber terbuka (sungai).

Kebakaran dapat dikawal pada pukul 11.41 malam dan kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada punca api dan asap di lokasi kejadian.


Foto JBPM Kedah
Foto JBPM Kedah

Kesemua mangsa terselamat selepas berjaya keluar dari rumah.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Pembangunan ekonomi dijangka meningkat menjelang Jun 2020 — Lim

Bernama
MGF13082019_DRONE-KL_01-1
Permandangan udara sekitar Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI,


KUALA LUMPUR – Pembangunan ekonomi Malaysia dijangka meningkat selewat-lewatnya menjelang Jun tahun ini, sekali gus membolehkan kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 4.8 peratus berbanding 4.7 peratus pada 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan kekal optimis walaupun kalangan ahli ekonomi dan Bank Dunia telah bertindak menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5 peratus pada tahun ini berbanding unjuran awal pada 4.6 peratus.

“Kita yakin untuk mengekalkan unjuran pertumbuhan tersebut, disokong oleh harga komoditi yang semakin pulih selain faktor perkembangan pelaburan awam khususnya perbelanjaan kerajaan serta prospek penyelesaian perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China,” kata beliau dalam temu bual dengan Bernama.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata terdapat beberapa kementerian yang mengagihkan peruntukan perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2019 pada Mei atau Jun walaupun wang telah dikeluarkan pada Januari.

“(Susulan itu) tender hanya boleh dijalankan pada September atau Oktober manakala tawaran hanya dibuat pada dua bulan atau tiga bulan kemudian. Oleh itu, kerja-kerja hanya boleh dimulakan pada akhir tahun ini ataupun tahun depan.

“Berikutan itu, tiada masalah bagi perbelanjaan pembangunan pada 2019 membabitkan projek-projek yang sedang berlangsung tetapi bagi projek baharu, ia akan dibawa ke tahun hadapan dan ditambah dengan belanjawan (pembangunan baharu) bagi 2020,” katanya.

Lim berkata, ekonomi Malaysia juga dijangka rancak dan mendapat rangsangan sekiranya perang perdagangan Washington-Beijing dapat diselesaikan.

Ini sejajar status negara ini sebagai ekonomi pengeksport dan sebarang penyelesaian perbalahan perdagangan membabitkan dua kuasa besar ekonomi itu mampu memberi manfaat kepada Malaysia.

“Mahu tidak mahu, kita (sentiasa) dipengaruhi oleh keadaan atau suasana perdagangan (luaran). Oleh itu, apabila kita lihat prospek pertumbuhan perdagangan sedunia hanya 1.2 peratus iaitu kadar paling rendah dalam 10 tahun, kita menjangkakan untuk mencapai pertumbuhan KDNK pada 4.7 peratus.

“Bagi tahun 2020 pula, prospek pertumbuhan perdagangan dunia dijangka meningkat kepada tiga peratus. Sehubungan itu, kita yakin unjuran 4.8 peratus dapat dicapai dan melihat pertumbuhan lebih tinggi sekiranya perang perdagangan AS-China dapat diselesaikan,” katanya.— BERNAMA