Pemangku Menteri Pendidikan Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mahu
pengajaran sains dan matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.
Bercakap
pada mesyuarat khas di kementeriannya semalam, Mahathir berkata
penguasaan bahasa Inggeris adalah elemen penting dalam pendidikan.
"Geografi
dan sejarah boleh diajar dalam bahasa mana-mana tetapi sains dan
matematik bukan bidang pengetahuan pribumi, ia berasal dari luar negeri.
"Kebanyakannya
sampai kepada kita melalui bahasa Inggeris. Oleh itu, kita akan
menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Ini
bermakna kita tidak akan mengelirukan orang ramai.
"Kita dapati mereka yang belajar sains dalam bahasa Melayu tidak boleh bekerja di mana bahasa Inggeris diperlukan," katanya.
Video
mengenai kenyataan Mahathir pada mesyuarat itu dimuat naik di akaun
Youtube rasminya petang ini. Walau bagaimanapun, ia tidak menyebut
bagaimana kaedah pengajaran baru itu akan dilaksanakan.
"Pandangan
saya tidak selalu popular atau diterima orang ramai, tetapi saya rasa
perlu melaksanakan perkara-perkara tertentu demi memastikan anak-anak
kita membesar dan mampu mengharungi kehidupan dewasa mereka.
"Itulah tujuan pendidikan," katanya.
Mahathir memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 semasa penggal
pertamanya sebagai perdana menteri.
Namun, dasar itu tidak popular, termasuk di kalangan parti pembangkang ketika itu seperti PKR.
Ia
kemudiannya dibatalkan pada 2011. Menurut menteri pendidikan ketika
itu, Muhyiddin Yassin,program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di
luar bandar kandas dalam sains dan matematik.
Namun, ini dipertikaikan oleh beberapa pihak, yang mendakwa keputusan berkenaan telah bertambah baik di bawah PPSMI.
Pada
tahun 2016, kerajaan memperkenalkan pula Program Dwi-Bahasa, di mana
sekolah-sekolah tertentu mempunyai pilihan sama ada untuk mengajar sains
dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Timbalan
Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming sebagai pandangan peribadi dan bukan
pendirian rasmi parti itu.
Katanya, PH juga akan berbincang
mengenai kenyataan Nga semalam yang dilaporkan berkata DAP akan keluar
daripada kerajaan Pakatan Harapan jika Putrajaya enggan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
"Itu kita (PH) akan bincang. Itu pandangan peribadi beliau.
"Bukan
pendirian kolektif DAP. Bagi kita pandangan peribadi sesiapa pun boleh
keluarkan,” kata Mohamad ketika ditanya pemberita pada suatu majlis
anjuran Amanah di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Pasukan
Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu yang ditubuhkan Kementerian
Pendidikan tidak dapat mengemukakan laporan mereka disebabkan ketiadaan
menteri berkaitan walaupun laporan itu telah disiapkan.
Pengerusinya,
penulis Eddin Khoo berkata, pasukan petugas itu akan menyerahkan
laporan akhir secara peribadi selepas menteri pendidikan baru diumumkan.
Isu pengiktirafan sijil UEC sebagai syarat masuk ke universiti awam menjadi topik yang diperdebatkan.
Ketika kempen PRU14, kedua-dua manifesto BN dan PH berjanji untuk mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti awam.
Selepas
pilihan raya umum 2018, negeri Melaka yang dikuasai PH mengumumkan pada
bulan Julai akan melaksanakan pengambilan lulusan Sijil Peperiksaan
Bersama (UEC) sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri.
Sementara itu, kerajaan negeri Sabah pada September 2019 mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam negeri.
Ketua
Menteri Mohd Shafie Apdal berkata Jabatan Pendidikan Sabah menyokong
keputusan mengiktiraf UEC, tetapi sebagai syarat untuk memasuki
institusi pengajian tinggi, seseorang itu juga mesti mendapat kredit
dalam Bahasa Melayu SPM, lulus subjek Sejarah SPM dan lulus peperiksaaan
Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah bersiap sedia untuk
membawa pulang 80 rakyat Malaysia di Wuhan, China susulan wabak 2019
novel koronavirus di sana.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata
keputusan itu dibuat kabinet semalam, yang memberi keutamaan kepada
keselamatan rakyat di sana memandangkan situasi penyakit itu masih belum
melegakan.
Katanya mereka akan dibawa pulang menggunakan pesawat
komersial secepat mungkin, namun pengumuman tarikh dan penerbangan yang
boleh digunakan hanya dibuat selepas perkara itu dimuktamadkan.
"Pesawat
itu juga akan membawa pasukan perubatan dan mereka (yang dibawa pulang)
akan diperiksa di China sebelum sekali lagi diperiksa setibanya di
Malaysia yang jika perlu, akan dikuarantin untuk beberapa ketika sebelum
dilepaskan.
"Buat
masa ini, Kementerian Luar sedang berbincang dengan Kementerian Luar
China mengenai beberapa perkara sebelum proses membawa keluar dimulakan
kerana seperti diketahui kawasan itu sudah ditutup," katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan
Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, Pahang hari
ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee
Chean Chung.
Saifuddin berkata kerajaan China dilihat akan
memberikan kerjasama yang baik kepada usaha membawa pulang rakyat
Malaysia, seperti dilakukan negara itu kepada Jepun dan beberapa negara
yang mahu membawa keluar rakyat mereka.
Beliau menjelaskan rakyat Malaysia di China ialah seramai 35,000 orang dengan di Hubei seramai 115 orang.
"Walaupun
terdapat 115 orang di Hubei, namun hanya 80 yang berada di Wuhan kerana
mereka yang lain sudah pulang bercuti di Malaysia, selain ada yang
bercuti di wilayah lain di China," katanya.
Saifuddin menjelaskan
Kedutaan Malaysia di Beijing juga telah membuka bilik operasi 24 jam
sejak seminggu yang lalu dan berhubung dengan rakyat Malaysia yang
berada di China.
Beliau berkata sebagai tanda solidariti kepada
China, Malaysia akan menghantar bantuan 10 juta sarung tangan getah yang
diperlukan petugas perubatan di sana.- Bernama
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan
berhubung penahanan seorang presiden persatuan sukan kebangsaan kerana
disyaki menyalahgunakan kuasa.
Menteri Belia dan Sukan, Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau yakin SPRM akan menjalankan
siasatan dengan telus dan adil berhubung perkara berkenaan.
“Saya
rasa dalam bab ini, lebih baik kita berikan ruang kepada SPRM untuk
melakukan siasatan.Saya tidak pasti apa tujuannya (punca penahanan), dan
biarkan mereka (SPRM) uruskan perkara ini,” katanya ketika diminta
mengulas mengenai perkara berkenaan.
Timbalan Ketua
Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki dilaporkan telah mengesahkan
perkara berkenaan dan Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan suspek
direman sehingga Ahad.
Suspek dilapor ditahan di rumahnya di Melaka, hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.
Terdahulu,
Syed Saddiq ditemui pemberita selepas hadir pada majlis penajaan oleh
Genting Malaysia Berhad kepada penganjur kejohanan berbasikal Le Tour de
Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage (M) Sdn Bhd di Menara KBS, di
Putrajaya.
Pada majlis berkenaan, Naib Presiden (Perhubungan
Korporat dan Komunikasi) Genting Malaysia Berhad, Kay Prakash
menyerahkan cek penajaan berjumlah RM5 juta untuk Ketua Pegawai Operasi
Human Voyage, Shahaizereen Abdul Hamid bagi penganjuran kejohanan
berbasikal terulung Asia berkenaan.- Bernama
Tiga
kanak-kanak memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan
terhadap wabak paru-paru atau koronavirus ketika tinjauan lensa
Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),
Sepang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL
WASHINGTON/TOKYO- Penularan wabak koronavirus di China yang
merebak dengan cepat berpotensi menjadi risiko besar baharu kepada
ekonomi global dan menyebabkan para pembuat dasar bimbang.
Ekonomi global ketika ini masih lagi bergelut dengan kesan daripada perang dagang China- Amerika Syarikat (AS).
Menurut Timbalan Gabenor Jepun, Masayoshi Amamiya, kedudukan
China yang besar dalam ekonomi dunia mesti diambil kira dalam menentukan
impak wabak berkenaan kepada pertumbuhan global.
Harga saham di seluruh dunia jatuh pada Khamis selari dengan
peningkatan jumlah kematian akibat virus terbaharu yang kini mencecah
170 orang.
Syarikat-syarikat penerbangan pula terpaksa menggantung penerbangan
mereka manakala kedai-kedai pula terpaksa ditutup akibat wabak tersebut.
Potensi impak wabak tersebut kepada ekonomi dunia menjadi fokus utama
sidang media Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell pada Rabu.
“Ekonomi China amat penting dalam ekonomi global hari ini dan apabila
ianya perlahan, kita juga akan menerima tempiasnya meskipun tidaklah
seterusk negara-negara yang berhampiran dengan China atau negara-negara
yang mempunyai perdagangan aktif dengannya seperti Eropah Barat,”
katanya.
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe turut menyuarakan kebimbangan
beliau dengan mengatakan akan memantau rapat sebarang kesan terhadap
ekonomi Jepun termasuk penyusutan ketibaan pelancong dari luar negara.
Pakar Ekonomi Akademi Sains Sosial China yang juga pemikir utama
kerajaan negara berkenaan, Zhang Ming menjangkakan wabak 2019-nCoV itu
bakal menurunkan kadar pertumbuhan China sebanyak satu mata peratusan
kepada lima peratus atau lebih rendah pada suku pertama.
Perkara yang sama turut diunjurkan oleh pakar-pakar ekonomi Citibank dan beberapa pusat kajian lain.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagaimanapun lebih berhati-hati
dan berpendapat masih terlalu awal untuk menentukan kesan ekonomi akibat
virus tersebut.
Bagaimanapun Pengarah Urusannya, Kristinal Georgieva mengakui
terdapat kesan langsung terhadap permintaan pengguna dan perniagaan
adalah sangat teruk di wilayah Hubei.
Katanya, impak negatif ke atas aktiviti ekonomi boleh dipulihkan
dalam tempoh setahun sekiranya virus berkenaan berjaya dikekang segera,
sama seperti yang berlaku ketika penularan wabak SARS pada tahun 2002
dan tahun 2003.
Namun begitu, jumlah kes wabak terbaharu ini telah pun mengatasi jumlah keseluruhan kes SARS.
“Impak segera sangat jelas. Kita lihat perjalanan, pelancongan dan
pengilangan di China dan di luar China telah terjejas. Jadi boleh
dikatakan pada suku ini, kita jangka ada sedikit impak negatif.
“Apa yang akan berlaku selepas suku ini, kita perlu perhati dan buat pernilaian dahulu,” katanya.
Ramai berpendapat impak 2019-nCoV kepada pertumbuhan global adalah
lebih besar daripada SARS kerana China pada hari ini mempunyai
penguasaan yang lebih luas dalam ekonomi dunia.
Perkara tersebut turut disuarakan oleh Timbalan Gabenor Bank of Japan.
Jelas Amamiya, jumlah pelancong China yang mengunjungi Jepun meningkat lebih 20 kali ganda berbanding pada 2002 dan 2003.
“Wabak ini merebak semasa cuti Tahun Baharu China ketika kadar kepenggunaan berada di puncak.
“Kami memantau dengan rapi perkembangan tersebut termasuklah seberapa
teruk ianya akan merebak,” katanya dalam satu seminar di
Tokyo.-MalaysiaGazette
Ketua
Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador diiringi Pemangku Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk
Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua kiri) hadir pada Majlis Perbarisan Tamat
Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan di Kompleks
Bunga Raya KLIA, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan
kekerapan latihan bersama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad
(MAHB) di semua lapangan terbang utama negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kekerapan
latihan bagi memantapkan persediaan membantu menghadapi sebarang
kemungkinan aspek keselamatan di lapangan terbang.
Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada pihak pengurusan MAHB
yang mempunyai kekuatan kewangan dan segala keupayaan untuk
mempertimbangkan penambahan jumlah anggota keselamatannya yang merupakan
satu-satunya syarikat yang mempunyai kekuatan jumlah polis bantuan
terbesar iaitu seramai 4,120 orang.
Menurutnya, jumlah itu menyokong keperluan polis di Ibu Pejabat Polis
Daerah KLIA serta balai-balai polis yang diwujudkan di semua lapangan
terbang antarabangsa dalam mengawal, memelihara dan menjamin keselamatan
pintu masuk utama negara.
“Selain membantu kelancaran sistem operasi penerbangan, polis bantuan
MAHB juga melaksanakan tugas-tugas utama dalam menguatkuasa
undang-undang, kawal keselamatan penumpang, mencegah jenayah dan
menjamin keselamatan kawasan penerbangan.
“Alhamdulillah, hasil kerjasama PDRM dan sekuriti penerbangan (AVSEC)
IPD KLIA berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 10.84 peratus iaitu
74 kes pada tahun 2019 berbanding 83 pada tahun sebelumnya dan jenayah
bukan indeks yang turut turun sebanyak 116 kes tahun lalu berbanding 118
kes tahun tahun 2018.
“Sejak tragedi serangan Pusat Dagangan Dunia Amerika Syarikat 11
September 2001, kes kes lapangan terbang negara kita menjadi transit
penyeludup dadah dan laluan keluar dan masuk kumpulan penganas,
merupakan ancaman semakin meningkat seiring dengan kepesatan industri
penerbangan,” katanya dalam ucapan penyempurnaan Majlis Tamat Latihan
Asas Pegawai Keselamatan Penerbangan MAHB di Kompleks Bunga Raya KLIA
hari ini.
Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia
Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dan Ketua Penolong Pengarah
Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan
Komuniti Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Soaihami Rahim.
Tambah Abdul Hamid, dalam perkembangan sama kesemua situasi menuntut
keperluan PDRM dan MAHB untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan
penerbangan di semua pintu masuk udara.
Justeru katanya PDRM komited untuk bekerjasama dengan MAHB bagi
memastikan keselamatan penerbangan di semua lapangan terbang berada pada
tahap terbaik demi meningkatkan keyakinan indeks penumpang di dalam dan
luar negara.
“PDRM juga menghargai inisiatif MAHB yang menganjurkan beberapa siri
eksesais ancaman keganasan di lapangan terbang sebagai persiapan
menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya ancaman dalam industri
penerbangan negara selain kursus dan latihan keselamatan penerbangan
yang diadakan bersama Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Saya menasihati semua petugas di pintu masuk negara agar menjaga
kesihatan dan mengambil langkah perlindungan sewajarnya dalam menghadapi
koronavirus disamping menjauhi gejala negatif iaitu rasuah,
penyalahgunaan kuasa penagihan dadah dan maksiat yang boleh merosakkan
diri dan mengakis kepercayaan masyarakat terhadao institusi kepolisan,”
katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shukrie dalam ucapannya berkata, seramai 17
pegawai berpangkat inspektor dan 249 anggota berpangkat konstabel yang
bertauliah rasmi hari ini adalah usaha MAHB memperkasa tahap keselamatan
dan kesiapsiagaan kesemua 39 lapangan terbang di bawah pengendaliannya.
Menurutnya, ia sejajar dengan inisiatif Malaysia Airports ke arah ‘Creating Happy Guests, Becoming Caring Hosts’
dalam memastikan bilangan pegawai dan anggota sentiasa mencukupi dalam
pengoperasian keselamatan di lapangan terbang utama selain pematuhan
piawaian antarabangsa ICAO) dan pengauditan oleh Lembaga Penerbangan
Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Awam (MAVCOM) dan PDRM.
“Pengambilan skuad baharu menambah kekuatan jumlah anggota seluruh
negara yang kini berjumlah 4,120 orang iaitu pecahan 258 pegawai dan
2,862 anggota keselamatan di semua lapangan terbang kendalian MAHB.
“Kesemua pegawai dan anggota menjalani latihan insentif tiga fasa
bertempoh enam bulan selepas proses temuduga terbuka, saringan dan
pemilihan yang mana fasa satu latihan adalah di Pusat Latihan Polis
Kuala Lumpur selama sembilan minggu, fasa kedua melibatkan program
latihan asas pengawal keselamatan selama sembilan minggu pada fasa
kedua.
“Selepas itu mereka akan ditempatkan sementara di KLIA dan KLIA2
dalam program Latihan semasa kerja selama 8 minggu di fasa ketiga
melibatkan modul latihan kepolisan, perundangan antarabangsa dan
Malaysia Prosedur Operasi Standard (SOP) serta pelan kontinjensi tangani
ancaman keganasan lapangan terbang,” katanya.-MalaysiaGazette
Pengerusi
Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd
Yusoff bercakap pada Diskusi Pasca PRK Kimanis : Fakta dan Pengajaran
di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
KUALA LUMPUR – Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff mengakui
bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Kimanis pada 18 Januari lalu kerana pengalamannya sebagai parti politik
paling berkuasa di dunia.
Yusmadi selaku bekas ahli Parlimen Balik Pulau berkata, kekuatan BN
dalam memenangi lima PRK berturut-turut dapat dilihat daripada jentera
parti yang tersusun dan sentiasa bersiap siaga hingga ke akar umbi.
“Bagi saya UMNO parti politik paling berkuasa di dunia, tak
pernah kalah. Dalam dunia parti di Jepun kalah, saya berada di Sepanyol,
Indonesia, Mesir dan merentasi seluruh dunia, UMNO baru sekali kalah,
hilang kerajaan sekali.
“Sangat berkuasa, apa maksudnya? UMNO sangat berpengalaman, jentera dan akar umbi sangat membantu.
“Saya nampak perkara itu di Tanjung Piai, saya nampak di Kimanis,
saya nampak dalam banyak pilihan raya termasuk PKR,” katanya bercakap
pada Diskusi Pasca PRK Kimanis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di
sini, malam ini.
Pada PRK Parlimen Kimanis 18 Januari lalu, calon BN, Datuk Mohamad
Alamin berjaya menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk
Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.
Sementara itu, Yusmadi turut berkongsi perbualannya dengan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu bahawa BN
menang dalam beberapa pilihan raya kerana jentera parti yang tersusun.
“Saya masih ingat beberapa minggu sebelum pilihan raya, saya bercakap
dengan Tun Dr Mahathir, ada maklumat dalaman, dapat laporan Merdeka
Report, Ilham Centre.
“Dia kata tahu tak macam mana kita menang pilihan raya semasa saya dalam BN? Ini kerana jentera kita sangat bersiap siaga
“Awak pembangkang ketika itu tak boleh susun jentera. Saya masih ingat pada masa itu,” katanya lagi.
Yusmadi turut menolak dapatan bahawa Muafakat Nasional menyumbang kemenangan BN di Kimanis.
Katanya, menang atau kalah di parlimen itu hanya berkisar kepada tiga
perkara iaitu ‘jentera pilihan raya’ jentera pilihan raya’ dan ‘jentera
pilihan raya’. – MalaysiaGazette
Mesyuarat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan
Pingat Negeri Sembilan yang berlangsung pada Rabu lepas memutuskan
pengurniaan darjah kepada Pengarah Urusan Ritz Corporate Holding Berhad,
Ibrahim Yahaya ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Pendaftar Darjah, Datuk Dr Razali Ab Malik dalam kenyataan hari ini
berkata ia membabitkan pengurniaan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan
(D.B.N.S) yang membawa gelaran Datuk kepada Ibrahim pada 14 Jan lepas.
Katanya mesyuarat tersebut telah diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
“Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan,” kata Razali.
Semalam,
Pejabat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menafikan dakwaan dibuat
oleh Ritz Corporate Holding Berhad yang menyatakan bahawa Yang
di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku
Munawir adalah penaung syarikat berkenaan.
Setiausaha Sulit
kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Mohd Nizam Mohd Akhir
dilapor sebagai berkata, syarikat berkenaan yang beralamat di 55-12A-H,
Menara Northam, Jalan Sultan Ahmad Shah, George Town, Pulau Pinang,
tidak pernah memohon perkenan baginda untuk menjadi penaung syarikat
tersebut.- Bernama
Kumpulan bekas penjawat tinggi awam, G25 menuntut permohonan maaf
secara terbuka daripada Abdul Hadi Awang, atas kenyataan presiden PAS
itu terhadap mereka.
Abdul Hadi dalam satu kenyataan dua minggu
lalu menyifatkan G25 sebagai kumpulan makhluk perosak, jahil dan bebal
serta lebih bahaya daripada kumpulan militan al-Maunah.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan G25 bertajuk "Administration of Matters Pertaining Islam" yang menyuarakan kritikan terhadap undang-undang Islam terhadap Muslim dengan mengatakan tindakan murtad misalnya adalah urusan seseorang dengan tuhan.
Dalam
responnya terhadap kenyataan Abdul Hadi dan dihantar kepada media hari
ini, G25 berkata ia membuktikan presiden PAS itu tidak membaca laporan
dikeluarkan mereka.
"Tujuan kecaman Hadi adalah
untuk fitnah G25. Jelas sekali, motif beliau adalah kepentingan politik
yang dia tunjukkan melalui kerjasama rapat PAS dengan Umno pada masa ini
walaupun mereka sebelum ini mengecam Umno sebagai 'kafir'," kata
mereka.
Katanya gelaran G25 "lebih bahaya daripada
al-Maunah"adalah fitnah dan perbuatan jenayah, kerana ia boleh
"menghasut atau mencetuskan kebencian atau rasa tidak puas hati terhadap
G25 yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 503 dan 505 (c) Kanun
Keseksaan."
Kumpulan itu berkata mereka akan mengambil tindakan
undang-undang sekiranya Abdul Hadi tidak mengeluarkan permohonan maaf
secara terbuka.
Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah menggesa rakyat Malaysia untuk
berhenti melihat usahan Putrajaya untuk menangani wabak koronavirus
sebagai isu perkauman.
Bercakap kepada media pada majlis Tahun
Baru Cina di Kuantan, Pahang, semalam, beliau berkata hanya kebetulan
bahawa wabak itu berasal dari China.
"Hari ini apabila kita nak
menyelesaikan isu koronavirus pun tiba-tiba ada orang yang cuba
memainkan soal kaum. Koronavirus kebetulan datang daripada China,
sebelum ini kita ada ebola daripada Afrika, kita ada jangkitan-jangkitan
lain daripada benua yang lain, dan kita tidak pernah timbulkan isu
perkauman.
"Sebab itu saya berharap bahawa kita sebagai rakyat
Malaysia boleh menghentikan isu perkauman ini, tetapi seperti saya
jelaskan asalnya ialah daripada masalah politik perkauman yang kita
harus hentikan," katanya.
Saifuddin
turut menyifatkan fenomena politik perkauman diwarisi oleh Pakatan
Harapan daripada kerajaan lama dan ia menurutnya bertujuan untuk menutup
masalah yang rumit.
"Ia (politik perkauman) telah meresap ke
dalam masyarakat yang sesetengahnya malah tidak menyedari ia berlaku
sementara yang lain melihatnya sebagai sesuatu yang lazim dan merupakan
cara Malaysia.
"Sesetengah melihat ini sebagai cara yang betul
manakala yang lain gembira kerana mereka boleh mengambil kesempatan
daripada politik perkauman.
"Kami di PH berhasrat menghentikannya
tetapi tidak mudah kerana kami sendiri dilihat sebagai masalah ketika
kami cuba menangani perkara itu," keluh Saifuddin, yang juga Ketua
Setiausaha Sekretariat PH.