HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Januari 2020

Dr M mahu sains, matematik diajar dalam bahasa Inggeris semula

MALAYSIAKINI




Pemangku Menteri Pendidikan Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mahu pengajaran sains dan matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Bercakap pada mesyuarat khas di kementeriannya semalam, Mahathir berkata penguasaan bahasa Inggeris adalah elemen penting dalam pendidikan.

"Geografi dan sejarah boleh diajar dalam bahasa mana-mana tetapi sains dan matematik bukan bidang pengetahuan pribumi, ia berasal dari luar negeri.

"Kebanyakannya sampai kepada kita melalui bahasa Inggeris. Oleh itu, kita akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Ini bermakna kita tidak akan mengelirukan orang ramai.

"Kita dapati mereka yang belajar sains dalam bahasa Melayu tidak boleh bekerja di mana bahasa Inggeris diperlukan," katanya.

Video mengenai kenyataan Mahathir pada mesyuarat itu dimuat naik di akaun Youtube rasminya petang ini. Walau bagaimanapun, ia tidak menyebut bagaimana kaedah pengajaran baru itu akan dilaksanakan.

"Pandangan saya tidak selalu popular atau diterima orang ramai, tetapi saya rasa perlu melaksanakan perkara-perkara tertentu demi memastikan anak-anak kita membesar dan mampu mengharungi kehidupan dewasa mereka.

"Itulah tujuan pendidikan," katanya.

Mahathir memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 semasa penggal pertamanya sebagai perdana menteri.

Namun, dasar itu tidak popular, termasuk di kalangan parti pembangkang ketika itu seperti PKR.

Ia kemudiannya dibatalkan pada 2011. Menurut menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin,program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di luar bandar kandas dalam sains dan matematik.

Namun, ini dipertikaikan oleh beberapa pihak, yang mendakwa keputusan berkenaan telah bertambah baik di bawah PPSMI.

Pada tahun 2016, kerajaan memperkenalkan pula Program Dwi-Bahasa, di mana sekolah-sekolah tertentu mempunyai pilihan sama ada untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

LIHAT VIDEO DI SINI

'DAP keluar PH' itu pandangan peribadi Nga - Presiden Amanah

MALAYSIAKINI



Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming sebagai pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi parti itu.

Katanya, PH juga akan berbincang mengenai kenyataan Nga semalam yang dilaporkan berkata DAP akan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan jika Putrajaya enggan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

"Itu kita (PH) akan bincang. Itu pandangan peribadi beliau.

"Bukan pendirian kolektif DAP. Bagi kita pandangan peribadi sesiapa pun boleh keluarkan,” kata Mohamad ketika ditanya pemberita pada suatu majlis anjuran Amanah di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan tidak dapat mengemukakan laporan mereka disebabkan ketiadaan menteri berkaitan walaupun laporan itu telah disiapkan.

Pengerusinya, penulis Eddin Khoo berkata, pasukan petugas itu akan menyerahkan laporan akhir secara peribadi selepas menteri pendidikan baru diumumkan.

Isu pengiktirafan sijil UEC sebagai syarat masuk ke universiti awam menjadi topik yang diperdebatkan.

Ketika kempen PRU14, kedua-dua manifesto BN dan PH berjanji untuk mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti awam.

Selepas pilihan raya umum 2018, negeri Melaka yang dikuasai PH mengumumkan pada bulan Julai akan melaksanakan pengambilan lulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri.

Sementara itu, kerajaan negeri Sabah pada September 2019 mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal berkata Jabatan Pendidikan Sabah menyokong keputusan mengiktiraf UEC, tetapi sebagai syarat untuk memasuki institusi pengajian tinggi, seseorang itu juga mesti mendapat kredit dalam Bahasa Melayu SPM, lulus subjek Sejarah SPM dan lulus peperiksaaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).


Nadma sedia bawa pulang 80 rakyat Malaysia di Wuhan

BERNAMA




Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah bersiap sedia untuk membawa pulang 80 rakyat Malaysia di Wuhan, China susulan wabak 2019 novel koronavirus di sana.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata keputusan itu dibuat kabinet semalam, yang memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat di sana memandangkan situasi penyakit itu masih belum melegakan.

Katanya mereka akan dibawa pulang menggunakan pesawat komersial secepat mungkin, namun pengumuman tarikh dan penerbangan yang boleh digunakan hanya dibuat selepas perkara itu dimuktamadkan.

"Pesawat itu juga akan membawa pasukan perubatan dan mereka (yang dibawa pulang) akan diperiksa di China sebelum sekali lagi diperiksa setibanya di Malaysia yang jika perlu, akan dikuarantin untuk beberapa ketika sebelum dilepaskan.

"Buat masa ini, Kementerian Luar sedang berbincang dengan Kementerian Luar China mengenai beberapa perkara sebelum proses membawa keluar dimulakan kerana seperti diketahui kawasan itu sudah ditutup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, Pahang hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung.

Saifuddin berkata kerajaan China dilihat akan memberikan kerjasama yang baik kepada usaha membawa pulang rakyat Malaysia, seperti dilakukan negara itu kepada Jepun dan beberapa negara yang mahu membawa keluar rakyat mereka.

Beliau menjelaskan rakyat Malaysia di China ialah seramai 35,000 orang dengan di Hubei seramai 115 orang.

"Walaupun terdapat 115 orang di Hubei, namun hanya 80 yang berada di Wuhan kerana mereka yang lain sudah pulang bercuti di Malaysia, selain ada yang bercuti di wilayah lain di China," katanya.

Saifuddin menjelaskan Kedutaan Malaysia di Beijing juga telah membuka bilik operasi 24 jam sejak seminggu yang lalu dan berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di China.

Beliau berkata sebagai tanda solidariti kepada China, Malaysia akan menghantar bantuan 10 juta sarung tangan getah yang diperlukan petugas perubatan di sana.- Bernama


KBS serah pada SPRM siasat presiden persatuan didakwa salah guna kuasa

BERNAMA




Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung penahanan seorang presiden persatuan sukan kebangsaan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau yakin SPRM akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil berhubung perkara berkenaan.

“Saya rasa dalam bab ini, lebih baik kita berikan ruang kepada SPRM untuk melakukan siasatan.Saya tidak pasti apa tujuannya (punca penahanan), dan biarkan mereka (SPRM) uruskan perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki dilaporkan telah mengesahkan perkara berkenaan dan Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan suspek direman sehingga Ahad.

Suspek dilapor ditahan di rumahnya di Melaka, hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

Terdahulu, Syed Saddiq ditemui pemberita selepas hadir pada majlis penajaan oleh Genting Malaysia Berhad kepada penganjur kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage (M) Sdn Bhd di Menara KBS, di Putrajaya.

Pada majlis berkenaan, Naib Presiden (Perhubungan Korporat dan Komunikasi) Genting Malaysia Berhad, Kay Prakash menyerahkan cek penajaan berjumlah RM5 juta untuk Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen Abdul Hamid bagi penganjuran kejohanan berbasikal terulung Asia berkenaan.- Bernama

Koronavirus beri impak kepada ekonomi seluruh dunia

Agensi
MGF27012020_MENTERI-KESIHATAN-LAWAT-KLIA_30
Tiga kanak-kanak memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan terhadap wabak paru-paru atau koronavirus ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL
 

WASHINGTON/TOKYO- Penularan wabak koronavirus di China yang merebak dengan cepat berpotensi menjadi risiko besar baharu kepada ekonomi global dan menyebabkan para pembuat dasar bimbang.

Ekonomi global ketika ini masih lagi bergelut dengan kesan daripada perang dagang China- Amerika Syarikat (AS).

Menurut Timbalan Gabenor Jepun, Masayoshi Amamiya, kedudukan China yang besar dalam ekonomi dunia mesti diambil kira dalam menentukan impak wabak berkenaan kepada pertumbuhan global.

Harga saham di seluruh dunia jatuh pada Khamis selari dengan peningkatan jumlah kematian akibat virus terbaharu yang kini mencecah 170 orang.

Syarikat-syarikat penerbangan pula terpaksa menggantung penerbangan mereka manakala kedai-kedai pula terpaksa ditutup akibat wabak tersebut.

Potensi impak wabak tersebut kepada ekonomi dunia menjadi fokus utama sidang media Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell pada Rabu.

“Ekonomi China amat penting dalam ekonomi global hari ini dan apabila ianya perlahan, kita juga akan menerima tempiasnya meskipun tidaklah seterusk negara-negara yang berhampiran dengan China atau negara-negara yang mempunyai perdagangan aktif dengannya seperti Eropah Barat,” katanya.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe turut menyuarakan kebimbangan beliau dengan mengatakan akan memantau rapat sebarang kesan terhadap ekonomi Jepun termasuk penyusutan ketibaan pelancong dari luar negara.

Pakar Ekonomi Akademi Sains Sosial China yang juga pemikir utama kerajaan negara berkenaan, Zhang Ming menjangkakan wabak 2019-nCoV itu bakal menurunkan kadar pertumbuhan China sebanyak satu mata peratusan kepada lima peratus atau lebih rendah pada suku pertama.

Perkara yang sama turut diunjurkan oleh pakar-pakar ekonomi Citibank dan beberapa pusat kajian lain.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagaimanapun lebih berhati-hati dan berpendapat masih terlalu awal untuk menentukan kesan ekonomi akibat virus tersebut.

Bagaimanapun Pengarah Urusannya, Kristinal Georgieva mengakui terdapat kesan langsung terhadap permintaan pengguna dan perniagaan adalah sangat teruk di wilayah Hubei.

Katanya, impak negatif ke atas aktiviti ekonomi boleh dipulihkan dalam tempoh setahun sekiranya virus berkenaan berjaya dikekang segera, sama seperti yang berlaku ketika penularan wabak SARS pada tahun 2002 dan tahun 2003.

Namun begitu, jumlah kes wabak terbaharu ini telah pun mengatasi jumlah keseluruhan kes SARS.

“Impak segera sangat jelas. Kita lihat perjalanan, pelancongan dan pengilangan di China dan di luar China telah terjejas. Jadi boleh dikatakan pada suku ini, kita jangka ada sedikit impak negatif.

“Apa yang akan berlaku selepas suku ini, kita perlu perhati dan buat pernilaian dahulu,” katanya.

Ramai berpendapat impak 2019-nCoV kepada pertumbuhan global adalah lebih besar daripada SARS kerana China pada hari ini mempunyai penguasaan yang lebih luas dalam ekonomi dunia.

Perkara tersebut turut disuarakan oleh Timbalan Gabenor Bank of Japan.

Jelas Amamiya, jumlah pelancong China yang mengunjungi Jepun meningkat lebih 20 kali ganda berbanding pada 2002 dan 2003.

“Wabak ini merebak semasa cuti Tahun Baharu China ketika kadar kepenggunaan berada di puncak.
“Kami memantau dengan rapi perkembangan tersebut termasuklah seberapa teruk ianya akan merebak,” katanya dalam satu seminar di Tokyo.-MalaysiaGazette

PDRM pertingkat latihan bersama MAHB perkukuh keselamatan lapangan terbang

Kumara Sabapatty
MGF31012020_IGP-TAMAT-LATIHAN-POLIS-AIRPORT03-1
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador diiringi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua kiri) hadir pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan di Kompleks Bunga Raya KLIA, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan kekerapan latihan bersama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di semua lapangan terbang utama negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kekerapan latihan bagi memantapkan persediaan membantu menghadapi sebarang kemungkinan aspek keselamatan di lapangan terbang.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada pihak pengurusan MAHB yang mempunyai kekuatan kewangan dan segala keupayaan untuk mempertimbangkan penambahan jumlah anggota keselamatannya yang merupakan satu-satunya syarikat yang mempunyai kekuatan jumlah polis bantuan terbesar iaitu seramai 4,120 orang.

Menurutnya, jumlah itu menyokong keperluan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA serta balai-balai polis yang diwujudkan di semua lapangan terbang antarabangsa dalam mengawal, memelihara dan menjamin keselamatan pintu masuk utama negara.

“Selain membantu kelancaran sistem operasi penerbangan, polis bantuan MAHB juga melaksanakan tugas-tugas utama dalam menguatkuasa undang-undang, kawal keselamatan penumpang, mencegah jenayah dan menjamin keselamatan kawasan penerbangan.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama PDRM dan sekuriti penerbangan (AVSEC) IPD KLIA berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 10.84 peratus iaitu 74 kes pada tahun 2019 berbanding 83 pada tahun sebelumnya dan jenayah bukan indeks yang turut turun sebanyak 116 kes tahun lalu berbanding 118 kes tahun tahun 2018.

“Sejak tragedi serangan Pusat Dagangan Dunia Amerika Syarikat 11 September 2001, kes kes lapangan terbang negara kita menjadi transit penyeludup dadah dan laluan keluar dan masuk kumpulan penganas, merupakan ancaman semakin meningkat seiring dengan kepesatan industri penerbangan,” katanya dalam ucapan penyempurnaan Majlis Tamat Latihan Asas Pegawai Keselamatan Penerbangan MAHB di Kompleks Bunga Raya KLIA hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Soaihami Rahim.

Tambah Abdul Hamid, dalam perkembangan sama kesemua situasi menuntut keperluan PDRM dan MAHB untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan penerbangan di semua pintu masuk udara.

Justeru katanya PDRM komited untuk bekerjasama dengan MAHB bagi memastikan keselamatan penerbangan di semua lapangan terbang berada pada tahap terbaik demi meningkatkan keyakinan indeks penumpang di dalam dan luar negara.

“PDRM juga menghargai inisiatif MAHB yang menganjurkan beberapa siri eksesais ancaman keganasan di lapangan terbang sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya ancaman dalam industri penerbangan negara selain kursus dan latihan keselamatan penerbangan yang diadakan bersama Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Saya menasihati semua petugas di pintu masuk negara agar menjaga kesihatan dan mengambil langkah perlindungan sewajarnya dalam menghadapi koronavirus disamping menjauhi gejala negatif iaitu rasuah, penyalahgunaan kuasa penagihan dadah dan maksiat yang boleh merosakkan diri dan mengakis kepercayaan masyarakat terhadao institusi kepolisan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukrie dalam ucapannya berkata, seramai 17 pegawai berpangkat inspektor dan 249 anggota berpangkat konstabel yang bertauliah rasmi hari ini adalah usaha MAHB memperkasa tahap keselamatan dan kesiapsiagaan kesemua 39 lapangan terbang di bawah pengendaliannya.

Menurutnya, ia sejajar dengan inisiatif Malaysia Airports ke arah ‘Creating Happy Guests, Becoming Caring Hosts’ dalam memastikan bilangan pegawai dan anggota sentiasa mencukupi dalam pengoperasian keselamatan di lapangan terbang utama selain pematuhan piawaian antarabangsa ICAO) dan pengauditan oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Awam (MAVCOM) dan PDRM.

“Pengambilan skuad baharu menambah kekuatan jumlah anggota seluruh negara yang kini berjumlah 4,120 orang iaitu pecahan 258 pegawai dan 2,862 anggota keselamatan di semua lapangan terbang kendalian MAHB.

“Kesemua pegawai dan anggota menjalani latihan insentif tiga fasa bertempoh enam bulan selepas proses temuduga terbuka, saringan dan pemilihan yang mana fasa satu latihan adalah di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur selama sembilan minggu, fasa kedua melibatkan program latihan asas pengawal keselamatan selama sembilan minggu pada fasa kedua.

“Selepas itu mereka akan ditempatkan sementara di KLIA dan KLIA2 dalam program Latihan semasa kerja selama 8 minggu di fasa ketiga melibatkan modul latihan kepolisan, perundangan antarabangsa dan Malaysia Prosedur Operasi Standard (SOP) serta pelan kontinjensi tangani ancaman keganasan lapangan terbang,” katanya.-MalaysiaGazette

UMNO parti ‘paling berkuasa’ di dunia – Yusmadi

Nizam Zain
MGF30012020_DISKUSI-PASCA-PRK-KIMANIS15
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff bercakap pada Diskusi Pasca PRK Kimanis : Fakta dan Pengajaran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff mengakui bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari lalu kerana pengalamannya sebagai parti politik paling berkuasa di dunia.

Yusmadi selaku bekas ahli Parlimen Balik Pulau berkata, kekuatan BN dalam memenangi lima PRK berturut-turut dapat dilihat daripada jentera parti yang tersusun dan sentiasa bersiap siaga hingga ke akar umbi.

“Bagi saya UMNO parti politik paling berkuasa di dunia, tak pernah kalah. Dalam dunia parti di Jepun kalah, saya berada di Sepanyol, Indonesia, Mesir dan merentasi seluruh dunia, UMNO baru sekali kalah, hilang kerajaan sekali.

“Sangat berkuasa, apa maksudnya? UMNO sangat berpengalaman, jentera dan akar umbi sangat membantu.

“Saya nampak perkara itu di Tanjung Piai, saya nampak di Kimanis, saya nampak dalam banyak pilihan raya termasuk PKR,” katanya bercakap pada Diskusi Pasca PRK Kimanis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Pada PRK Parlimen Kimanis 18 Januari lalu, calon BN, Datuk Mohamad Alamin berjaya menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.

Sementara itu, Yusmadi turut berkongsi perbualannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu bahawa BN menang dalam beberapa pilihan raya kerana jentera parti yang tersusun.

“Saya masih ingat beberapa minggu sebelum pilihan raya, saya bercakap dengan Tun Dr Mahathir, ada maklumat dalaman, dapat laporan Merdeka Report, Ilham Centre.

“Dia kata tahu tak macam mana kita menang pilihan raya semasa saya dalam BN? Ini kerana jentera kita sangat bersiap siaga

“Awak pembangkang ketika itu tak boleh susun jentera. Saya masih ingat pada masa itu,” katanya lagi.

Yusmadi turut menolak dapatan bahawa Muafakat Nasional menyumbang kemenangan BN di Kimanis.

Katanya, menang atau kalah di parlimen itu hanya berkisar kepada tiga perkara iaitu ‘jentera pilihan raya’ jentera pilihan raya’ dan ‘jentera pilihan raya’. – MalaysiaGazette

N Sembilan tarik balik darjah kebesaran pengarah urusan

BERNAMA




Mesyuarat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan yang berlangsung pada Rabu lepas memutuskan pengurniaan darjah kepada Pengarah Urusan Ritz Corporate Holding Berhad, Ibrahim Yahaya ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Pendaftar Darjah, Datuk Dr Razali Ab Malik dalam kenyataan hari ini berkata ia membabitkan pengurniaan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S) yang membawa gelaran Datuk kepada Ibrahim pada 14 Jan lepas.

Katanya mesyuarat tersebut telah diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

“Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan,” kata Razali.

Semalam, Pejabat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menafikan dakwaan dibuat oleh Ritz Corporate Holding Berhad yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah penaung syarikat berkenaan.

Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Mohd Nizam Mohd Akhir dilapor sebagai berkata, syarikat berkenaan yang beralamat di 55-12A-H, Menara Northam, Jalan Sultan Ahmad Shah, George Town, Pulau Pinang, tidak pernah memohon perkenan baginda untuk menjadi penaung syarikat tersebut.- Bernama


G25 tuntut permohonan maaf dari Hadi

MALAYSIAKINI




Kumpulan bekas penjawat tinggi awam, G25 menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Abdul Hadi Awang, atas kenyataan presiden PAS itu terhadap mereka.

Abdul Hadi dalam satu kenyataan dua minggu lalu menyifatkan G25 sebagai kumpulan makhluk perosak, jahil dan bebal serta lebih bahaya daripada kumpulan militan al-Maunah.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan G25 bertajuk "Administration of Matters Pertaining Islam" yang menyuarakan kritikan terhadap undang-undang Islam terhadap Muslim dengan mengatakan tindakan murtad misalnya adalah urusan seseorang dengan tuhan.




Dalam responnya terhadap kenyataan Abdul Hadi dan dihantar kepada media hari ini, G25 berkata ia membuktikan presiden PAS itu tidak membaca laporan dikeluarkan mereka.

"Tujuan kecaman Hadi adalah untuk fitnah G25. Jelas sekali, motif beliau adalah kepentingan politik yang dia tunjukkan melalui kerjasama rapat PAS dengan Umno pada masa ini walaupun mereka sebelum ini mengecam Umno sebagai 'kafir'," kata mereka.

Katanya gelaran G25 "lebih bahaya daripada al-Maunah"adalah fitnah dan perbuatan jenayah, kerana ia boleh "menghasut atau mencetuskan kebencian atau rasa tidak puas hati terhadap G25 yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 503 dan 505 (c) Kanun Keseksaan."

Kumpulan itu berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Abdul Hadi tidak mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.


Berhenti kaitkan usaha tangani koronavirus dengan isu kaum

MALAYSIAKINI




Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah menggesa rakyat Malaysia untuk berhenti melihat usahan Putrajaya untuk menangani wabak koronavirus sebagai isu perkauman.

Bercakap kepada media pada majlis Tahun Baru Cina di Kuantan, Pahang, semalam, beliau berkata hanya  kebetulan bahawa wabak itu berasal dari China.

"Hari ini apabila kita nak menyelesaikan isu koronavirus pun tiba-tiba ada orang yang cuba memainkan soal kaum. Koronavirus kebetulan datang daripada China, sebelum ini kita ada ebola daripada Afrika, kita ada jangkitan-jangkitan lain daripada benua yang lain, dan kita tidak pernah timbulkan isu perkauman.

"Sebab itu saya berharap bahawa kita sebagai rakyat Malaysia boleh menghentikan isu perkauman ini, tetapi seperti saya jelaskan asalnya ialah daripada masalah politik perkauman yang kita harus hentikan," katanya.


Saifuddin turut menyifatkan fenomena politik perkauman diwarisi oleh Pakatan Harapan daripada kerajaan lama dan ia menurutnya bertujuan untuk menutup masalah yang rumit.

"Ia (politik perkauman) telah meresap ke dalam masyarakat yang sesetengahnya malah tidak menyedari ia berlaku sementara yang lain melihatnya sebagai sesuatu yang lazim dan merupakan cara Malaysia.

"Sesetengah melihat ini sebagai cara yang betul manakala yang lain gembira kerana mereka boleh mengambil kesempatan daripada politik perkauman.

"Kami di PH berhasrat menghentikannya tetapi tidak mudah kerana kami sendiri dilihat sebagai masalah ketika kami cuba menangani perkara itu," keluh Saifuddin, yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat PH.