HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Julai 2020

Senarai nama calon ahli Parlimen yang tular sekadar perang saraf

Bernama
nikamar-681x452
Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BHARU – Pas menyifatkan senarai nama cadangan calon ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding jika pilihan raya umum mengejut diadakan adalah perang saraf pihak tertentu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, senarai itu yang tular sejak minggu lepas hanya bertujuan untuk menimbulkan suasana negatif dalam kalangan parti komponen PN.

“Mungkin ada pihak yang memainkan isu ini dan sekiranya orang yang namanya tidak tersenarai akan merasa tidak selesa dan akan timbul pelbagai isu.

“Perkara ini sebenarnya permainan sahaja dan sengaja ditimbulkan pihak tertentu sekadar mahu dijadikan isu. Saya sendiri hairan bagaimana senarai itu diperoleh sedangkan kita tidak pernah membincangkannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR10 di sini, hari ini.

Minggu lepas, tersebar senarai cadangan ahli parlimen daripada PN yang akan bertanding di setiap kerusi.

Antara nama yang dicadangkan dalam senarai itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang akan bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa dan sekiranya menang akan dicadangkan untuk jawatan sebagai menteri.

Selain itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas bagi membolehkan beliau dicalonkan sebagai Menteri Besar Kelantan. – Bernama

UMNO tiada halangan terima semula bekas ahli – Annuar

Shawaliah Hadir
MGF25032020_PC-ANNUAR-MUSA09-681x454
Annuar Musa

KUALA – UMNO tidak menghalang ahlinya yang pernah keluar parti kembali semula ke pangkuan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, namun mereka perlu melalui proses yang telah ditetapkan sebelum diputuskan oleh Majlis Tertinggi untuk menyertai semula UMNO.

“Kita memang ada menerima permohonan daripada Datuk Seri Salleh Said Keruak dan beberapa orang pemimpin dari Sabah.

“Oleh kerana mereka dahulu keluar mereka terpaksa membuat permohonan baru kerana Majlis Tertinggi telah membuat keputusan tertentu, kaedah-kaedah bagi mereka-mereka yang ingin kembali semula kepada UMNO.

“Tetapi secara dasar sesiapa sahaja boleh balik untuk menjadi ahli, tidak ada masalah cuma proses tertentu ada di mana perakuan daripada UMNO negeri akan diangkat untuk kelulusan Majlis Tertinggi,” katanya kepada pemberita ketika melawat  Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah hari ini.

Menurut Annuar, sesiapa pun yang mahu bersama semula dengan UMNO tidak wajar dihalang, sebaliknya mereka perlu diterima dengan hati terbuka.

“Parti politik milik orang ramai. Terima dengan hati terbuka bak kata orang tua, kecil tapak tangam nyiru kita tadahkan,” ujarnya.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Salleh yang juga merupakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia telah menghantar permohonan untuk menyertai semula parti itu pada 26 Jun lalu.

Keputusan Salleh itu membatalkan permohonan untuk menyertai PKR pada April lalu.

Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas bersama sebilangan besar pemimpin UMNO Sabah bertindak keluar parti pada Disember 2018. – MalaysiaGazette

Hina simbol negara umpama gerakan subversif

Wartawan MalaysiaGazette
buku-681x916
Kult buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu mengambil serius mesej-mesej dan simbol-simbol penghinaan kepada negara kerana ia seakan-akan semboyan pemberontakan ke atas negara Malaysia yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

Penghinaan itu termasuk mengubah lagu kebangsaan, bendera terbalik dan pengubahsuaian Jata Negara.

Ketua Penerangan Pemuda Isma (Ikatan Muslimin Malaysia), Muslim Abdullah Zaik berkata, pihaknya risau gerakan yang bersifat subversif ini bakal mengubah identiti Malaysia sebagai sebuah negara beridentitikan Melayu Islam yang dipimpin Raja Berperlembagaan kepada negara republik, liberal tanpa agama.

Berikutan itu, Pemuda Isma menuntut pihak yang terlibat dihukum.

Malah, permohonan maaf yang mereka lakukan tidak diterima kerana pihak itu dengan sengaja menimbulkan provokasi, bahkan telah melanggar Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan tidak Wajar) 1963.

”Ia sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang sedang merancang melakukan provokasi yang mempu menggugat kestabilan negara.

Pemuda Isma berharap pihak kerajaan dapat bertegas dan memulakan siasatan dengan segera bagi mengelakkan hal serupa berulang,” katanya yang memaklumkan Isma menggerakkan jentera di seluruh negara bagi membuat laporan polis dan mengikut secara rapat kes ini sehingga pesalah dihukum dengan setimpal.

Pemuda Isma juga berikrar akan berterusan membuat laporan terhadap mana-mana percubaan provokasi yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette

Calon PM: Anwar tidak sesuai kerana tidak popular dalam kalangan Melayu

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sesuai jadi calon perdana menteri bagi pihak Pakatan Harapan.

Ini kerana, menurut Dr. Mahathir pemimpin Pakatan Harapan tersebut tidak mempunyai sokongan yang kuat dalam kalangan orang Melayu.

Ahli Parlimen Langkawi tersebut menegaskan perkara berkenaan dalam wawancaranya bersama CNBC yang disiarkan hari ini.

” Dia tidak begitu popular dengan orang Melayu. Sekarang, telah ditunjukkan bahawa sokongan orang Melayu sangat penting bagi mana-mana parti untuk memenangi pilihan raya.

“Kerana dia tidak popular, sebagai pemimpin parti berbilang kaum, dia memerlukan seseorang yang menjadi pemimpin orang Melayu untuk memenangi pilihan raya ini.

“Dengan diri saya sebagai calon perdana menteri, saya rasa kita akan mendapat sokongan orang Melayu,” kata Dr Mahathir dalam wawancara tersebut.

Dr Mahathir berkata, Anwar gagal mendapat undi orang Melayu dalam tiga pilihan raya umum yang lalu,

“Hanya ketika saya bergabung, kami berjaya menang. Dan ini adalah pencapaian, kerana selama 60 tahun, pemerintah telah menjadi parti yang sama.

“Ini adalah pertama kalinya perubahan itu dicapai,” kata Dr. Mahathir.-SM

12 ketua parti PN bertemu, zahir sokongan terhadap Muhyiddin

Ketua-ketua parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengadakan satu pertemuaan Putrajaya petang tadi.

Menurut Facebook Muhyiddin Yassin, semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Mereka turut bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Pimpinan yang hadir adalah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong Presiden MIC Tan Sri Dato’ Vigneswaran Sanasee.

Turut hadir Presiden PBB Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, Presiden SUPP Prof Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian, Presiden PDP Datuk Sri Tiong King Sing, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Mohamed Azmin bin Ali sebagai Ketua Whip Kerajaan Perikatan Nasional dan YB Dato’ Seri Hamzah bin Zainuddin, Setiausaha Agung BERSATU.

‘Tiada esok bagimu’ - PAS minta Anwar tinggalkan PH

Pimpinan PAS menasihatkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim supaya keluar meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sehingga habis penggal pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata ia berikutan PH sudah tidak ada masa depan yang cerah, malah tidak sepakat untuk mencalonkan Anwar sebagai calon perdana menteri.

"Sekali lagi saya tekankan, PH sudah tidak ada masa depan, nak selesaikan isu calon perdana Menteri pun gagal sehingga wujud dua hingga tiga nama, apatah lagi mahu membentuk kerajaan.

"Jadi saya berharap Anwar mendengar saranan saya supaya tinggalkan PH dan beri sokongan moral kepada Muhyiddin, memandangkan beliau sudah tidak diterima dalam PH.

"Jika Anwar masih bersama PH dan mahu menjadi perdana menteri, memang tinggal harapanlah, bak kata pelakon Jins Shamsuddin, tiada esok bagimu," katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di kediaman rasmi menteri besar Kelantan, JKR10, Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu yang melanda parti-parti dalam PH yang sehingga kini belum mencapai kata sepakat dalam isu pencalonan perdana menteri.

Mohd Amar berkata, keberadaan anggota Parlimen Port Dickson itu dilihat tidak diperlukan lagi oleh PH dan terbukti apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mencadangkan nama Presiden Warisan, Mohd Shafei Apdal sebagai calon perdana menteri pilihannya.

Menurutnya, ketidakstabilan politik akan memaksa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ke arah pembubaran parlimen.

"Kalau beliau boleh dengar nasihat saya, adalah tinggalkan PH, bagi sokongan kepada Muhyiddin. Itu akan tunjukkan sifat negarawannya kepada rakyat untuk mematikan pergolakan politik dan saya harap beliau dengar nasihat saya.

"Cadangan Mahathir calonkan Shafei itu secara politiknya untuk beritahu secara halus bahawa beliau tidak boleh terima Anwar. Kalau PH putuskan calon perdana menteri sekalipun belum tentu juga mereka menang.

“Dalam keadaan negara berdepan masalah ekonomi dan Covid-19 dan rakyat terbeban, kita duk gila nak menjadi perdana menteri,” katanya.

Pemimpin PAS, Umno dan Bersatu bincang usaha daftar PN secara rasmi semalam

Malaysiakini

Pemimpin Umno, PAS dan Bersatu mengadakan pertemuan malam tadi di ibu negara dipercayai bagi membincangkan usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) termasuk usaha mendaftar gabungan itu secara rasmi.

Menurut sumber parti, pertemuan itu bagi mencari "persamaan" dalam membincangkan isu berbangkit khususnya sebagai persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pertemuan itu dikatakan membabitkan "jawatankuasa rundingan" yang dibentuk parti masing-masing.

"Pertemuan itu tidak menyentuh soal agihan kerusi, sebaliknya perkara-perkara teknikal membabitkan usaha mendaftar PN secara rasmi.

"Ia mencari titik persamaan antara parti-parti yang kini dalam usaha memperkukuhkan PN dan juga menghadapi PRU15.

"Pertemuan ini bukan bermakna kita terus setuju untuk membentuk PN secara rasmi sebaliknya banyak perkara masih perlu diperhalusi," kata sumber kepada Malaysiakini.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung BN, Annuar Musa berkata bahawa pertemuan yang dijadualkan berlangsung malam tadi terpaksa dibatalkan.

Sebaliknya ia dijadualkan akan diadakan hujung minggu ini.

Bagaimanapun, sumber yang juga pemimpin salah satu parti politik yang terlibat dalam rundingan itu memaklumkan bahawa pertemuan itu diadakan tanpa pengetahuan media.

Umno dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan Bersatu bagi membentuk kerajaan PN.

Kerajaan PN dibentuk selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bertindak membawa parti itu keluar PH.

Ia kemudiannya disusuli dengan tindakan sekumpulan Ahli Parlimen PKR diketuai bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali bertindak keluar parti.

Sementara itu, sumber berkata, hasil pertemuan jawatankuasa rundingan itu akan dibentang dalam mesyuarat parti masing- masing.

"Apa yang dibincangkan di peringkat jawatankuasa runding itu akan dibawa ke peringkat parti untuk dibincang dan diperhalusi.

"Ia tidak bermakna apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu akan terus dipersetujui," katanya.

Sifar jangkitan dalam negara, kali pertama sejak 2 Mac

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Hari ini, Malaysia kali pertama mencatatkan sifar kes jangkitan baru dalam negara sejak 2 Mac.

Setakat tengah hari tadi, hanya satu kes import Covid-19 baru, melibatkan individu yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Individu itu sudah diasingkan dan kini sedang mendapatkan rawatan.

Ini menjadikan jumlah kes Covid-19 terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,640 kes kes.

Dalam sidang media petang ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 21 lagi dilapor sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih daripada wabak itu ialah 8,375.

Perkembangan ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 144 kes.

Empat pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan bahawa buat hari ke-13 berturut-turut, tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes.

Kata Noor Hisham lagi, buat pertama kalinya, pada hari ini, Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 yang terendah sepanjang gelombang kedua pandemik wabak itu.

Malah, katanya, kes harian Covid-19 di kalangan rakyat Malaysia (iaitu yang mendapat jangkitan di dalam negara) didapati sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan dan ramalan pada 21 Mei oleh Institut Kesihatan Negara (NIH), KKM.

Senarai calon PN: Palsu atau harapan Bersatu?

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kebanyakan yang mengikuti perkembangan politik Malaysia maklum dengan senarai yang didakwa merupakan agihan kerusi bagi Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dokumen berlabel 'sulit' dalam format PDF yang mempunyai 13 halaman dan dikarang oleh seseorang bernama "KGE" itu menamakan 194 "calon PN" yang tidak melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Senarai itu disertakan dengan catatan yang menggariskan alasan di sebalik keputusan pencalonan tertentu dan hasil dari perundingan antara pihak terlibat.

Pemimpin tertinggi Umno dan PAS yang dihubungi Malaysiakini menyifatkan dokumen itu sebagai "palsu", dan kemungkinan ia demikian. Bahagian pertama artikel ini akan menjelaskan perkara itu.

Mereka memberitahu Malaysiakini bahawa senarai itu adalah rekaan kerana rundingan antara ketiga-tiga pihak belum berlangsung.

Umno dan PAS kini berada dalam pakatan formal yang dikenali sebagai Muafakat Nasional, yang pada masa ini turut bekerjasama dengan Bersatu. Mereka membentuk kerajaan PN pada Mac lalu.

Berdasarkan penelitian Malaysiakini, senarai "palsu" itu seperti tidak masuk akal jika dilihat ia sebagai cadangan dari perspektif Bersatu. Perkara ini akan diulas dalam bahagian kedua artikel ini.

Bagaimanapun, oleh kerana Malaysiakini percaya senarai itu palsu, senarai itu tidak akan disiarkan semula dalam artikel ini untuk mengelakkan penyebarannya.

Jumlah kerusi Umno tak masuk akal

Perkara paling ketara yang menjadikan senarai itu kelihatan mustahil adalah apabila ia menggambarkan Umno hanya akan diberi hak untuk meletakkan calon di 64 kerusi sementara Bersatu dan PAS masing-masing akan diperuntukkan 54 dan 31 kerusi.

Sekiranya senarai itu benar, ini bermaksud bahawa Umno - boleh dikatakan parti terkaya dan terbesar di negara ini dari segi keanggotaan - hanya akan meletakkan separuh daripada jumlah calon yang dimilikinya pada 2018.

Semasa pilihan raya lalu, Umno meletakkan 120 calon di parlimen, dengan 54 pemenang.

Bagi Bersatu, ia mencalonkan 52 calon, 13 daripadanya menang manakala PAS bertanding di 154 kerusi dan menang 18 kerusi.

Fakta lain yang menjadikan "senarai" itu kelihatan mustahil adalah cadangan bahawa sebilangan besar anggota kanan Umno, termasuk Presidennya Ahmad Zahid Hamidi, akan digugurkan sebagai calon.

Ini termasuk ahli parlimen yang memenangi kerusi mereka dengan majoriti selesa seperti Najib Razak (Pekan), Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Idris Jusoh (Besut), Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Mahdzir Khalid (Padang Terap), Ismail Muttalib (Maran), Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) dan Azalina Said Othman (Penggerang).

Menurut "senarai" itu, tiga anggota parlimen Umno yang melepaskan kerusi mereka akan diberi gelaran "Tun", suatu janji yang sukar ditepati, apabila mengambil kira bahawa had maksimum 25 pemegang gelaran itu sudah diisi ketika ini.

Senarai Bersatu?

Senarai itu dilihat memberi kelebihan kepada Bersatu yang mempunyai sokongan yang tidak begitu terbukti berbanding Umno berdasarkan pilihan raya umum 2018.

Senarai itu mencadangkan bahawa Umno perlu memberi jalan kepada parti lain - kebanyakannya Bersatu - di 20 kawasan yang dimenanginya dalam pilihan raya sebelum ini.

Ini termasuk kerusi yang dimenangi Umno dengan lebih daripada 50 peratus undi pada 2018 seperti Beluran, Mersing, Masjid Tanah, Putrajaya, Rompin dan Jeli, yang dalam kata lain bermaksud Umno lebih cenderung untuk terus memegang kerusi itu tanpa perlu menyerahkannya kepada Bersatu.

Sebaliknya, senarai itu menunjukkan bahawa Bersatu hanya harus menyerahkan tiga kerusi yang dimenanginya pada 2018 - Kubang Pasu, Muar dan Simpang Renggam - kepada Umno.

Sebarai itu juga menunjukkan bahawa Umno tidak berhasrat untuk merampas semula kerusi yang dimenangi calonnya pada tahun 2018, sebelum mereka menyertai Bersatu.

Kerusi ini adalah Jeli, Bagan Serai, Bukit Gantang, Masjid Tanah, Beluran, Tanah Merah, Hulu Terengganu, Larut, Sabak Bernam, Mersing, Kudat, Beufort, Libaran dan Sipitang.

Dengan mengambil kira situasi di atas, senarai itu lebih kelihatan sebagai senarai yang diharapkan Bersatu.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa "senarai" itu kemungkinan besar palsu. Namun, apa yang dapat diperhatikan dari senarai itu adalah beberapa faktor yang mungkin dipertimbangkan ketika perundingan kerusi PN berlangsung.

Pada masa ini, terdapat dua blok utama yang membentuk 80 peratus kerajaan PN iaitu Muafakat Nasional (Umno dan PAS) yang mempunyai 59 kerusi dan Bersatu yang mempunyai 32 kerusi.

Di atas kertas, Umno, PAS dan Bersatu semuanya bersaing untuk parlimen yang sama - kawasan Melayu Muslim - tetapi senarai itu mengambil pendekatan pengagihan kerusi berdasarkan negeri.

Senarai "palsu" itu menunjukkan bahawa Umno akan diperuntukkan lebih banyak kerusi di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang sementara Bersatu diperuntukkan lebih banyak kerusi di Perak, Selangor dan Sabah.

Kerusi PAS kebanyakannya tertumpu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Senarai "palsu" itu juga seperti mengambil pertimbangan kerusi yang dimenangi Umno dengan kurang daripada 50 peratus undi sebagai asas untuk menyerahkan 14 kerusi, kebanyakannya kepada Bersatu.

Umno, PAS dan Bersatu bersaing sesama sendiri semasa pilihan raya umum 2018, menyebabkan banyak calon menang dengan majoriti kecil.

Umno dilihat tidak mungkin akan bersetuju dengan agihan kerusi seperti digambarkan senarai itu, kerana antara lain ia boleh menyebabkan ketidakpuasan hati akar umbinya yang mahu Umno kembali sebagai parti dominan.

Bagaimanapun, senarai itu memberi gambaran kerumitan dinamik antara Umno, PAS dan Bersatu dalam gabungan PN untuk berdepan PRU15.

Kami tahu di mana anda berada, Noor Hisham beri peringatan

KORONAVIRUS | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai semua butiran individu yang gagal menjalankan ujian saringan wajib kali kedua Covid-19 selepas menjalani kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM mengenal pasti individu terbabit dan sepatutnya menjalani ujian sapuan (swab) kedua pada hari ke-13 kuarantin.

"KKM sudah kenal pasti individu tersebut, kami ada alamat mereka dan sebagainya," kata Noor Hisham pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Pada 29 Jun Noor Hisham memberitahu seramai 5,909 orang dibenarkan keluar dari pusat kuarantin dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah masing-masing.

Bagaimanapun rekod KKM menunjukkan hanya 4,437 orang menjalani ujian Covid-19 di klinik kesihatan atau klinik swasta pada hari ke-13 mereka dikuarantin.

Baki 1,472 orang lagi pula bagaimanapun gagal melakukan prosedur tersebut dan berdepan kemungkinan dihukum penjara, denda atau kedua-duanya sekali. 

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini pula memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digerakkan untuk menjejaki individu yang enggan menjalani saringan kedua pada hari ke-13 mereka dikuarantin di rumah.

"Mereka yang degil kita akan hantar polis untuk cari mereka, (terpulang) sama ada mereka nak tunggu polis datang atau pergi ke klinik untuk saringan kedua," katanya. 

Menurut Noor Hisham ketika ini KKM akan mengesan individu terbabit dan mendapatkan maklumat mengapa mereka tidak hadir menjalani prosedur yang sepatutnya.

Katanya ia adalah satu daripada cara KKM melakukan pemerkasaan komuniti atau individu agar merea mendisiplinkan diri sendiri dengan pergi ke klinik kesihatan kerajaan atau swasta bagi melakukan ujian sapuan kali kedua.

"Kita ada data mereka dan kita tahu di mana mereka berada," katanya.