HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 September 2020

Muhyiddin berdepan cabaran besar menjelang PRU-15 – Arnold

MGF01092020_KONVENSYEN-SETENGAH-TAHUN-PENTADBIRAN-PN-2-681x453
Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Arnold 
Puyok berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran 
PN di Persatuan Alumni Universiti Malaysia (PAUM), Kuala 
Lumpur. foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Selain perlu menangani Covid-19 dan masalah ekonomi, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berdepan dengan cabaran politik yang memberi kesan kepada kedudukannya menjelang PRU-15.

Penganalisis Politik, Dr Arnold Puyok berkata, Perdana Menteri telah berjaya menunjukkan kebolehan beliau dalam menangani isu berkaitan pandemik dan ekonomi namun masih ada cabaran lain menanti.

“Cabaran lain yang terpaksa dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin ialah isu politik yang boleh memberikan kesan kepada kedudukannya menjelang PRU-15.

“Sabah dan Sarawak sekali lagi menjadi key states yang boleh menentukan survival politik Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya yang merupakan Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN)  dengan tajuk Pencapaian Harapan dan Cabaran  (Dari Aspek Politik) di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.

Menurut Arnold , Sabah dan Sarawak dianggap penting di dalam percaturan politik Muhyiddin kerana kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah bukan hanya dilihat sebagai cubaan olehnya untuk menyebarluaskan pengaruh parti itu di luar Semenanjung sebaliknya ia juga dijadikan sebagai pemangkin kepada cabaran yang diberikan oleh UMNO dan Pas.

Bagi Sarawak pula kata beliau, kira-kira 20 kerusi Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bersatu adalah penting bagi mengimbangi kedudukan Muhyiddin di peringkat Persekutuan.

Ujarnya, pembentukan Kabinet kerajaan PN pada 9 Mac lalu memperlihatkan beberapa pemimpin daripada Sabah dan Sarawak dilantik menjadi menteri.

Katanya lagi, pelantikan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memfokus kepada hal-ehwal Sabah dan Sarawak dilihat sebagai signifikan oleh pelbagai pihak kerana ia akan memastikan isu-isu pembangunan khusus kepada Sabah dan Sarawak dapat diberikan perhatian sewajarnya.

“Walaupun portfolio seperti ini bukanlah satu perkara yang baharu namun ia dilihat sebagai usaha Muhyiddin di dalam mengetengahkan Sabah dan Sarawak sekali lagi dalam arus pembangunan perdana.

“Pada tahun 1960-an, bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Mohammad Fuad Stephens dilantik oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Menteri untuk menguruskan hal-ehwal Sabah.

“Selain daripada, Tun Mohammad Fuad Stephens, pemimpin Sarawak yang pernah dilantik sebagai Menteri untuk menguruskan hal-ehwal Sarawak ialah Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Anak Barieng,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh Muhyiddin untuk memberikan pengiktirafan kepada keunikan kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia, namun belum ada policy direction yang jelas tentang ke mana dan bagaimana isu MA63 akan ditangani oleh kerajaan pimpinan beliau.

“Adakah Muhyiddin akan meneruskan usaha yang telah dirintis oleh kerajaan terdahulu di dalam memastikan pelaksanaan MA63 dibuat secara tuntas?

“Adakah Muhyiddin akan mengambil pendekatan yang berlainan tetapi lebih strategik dan pragmatik? ” soal beliau. – MalaysiaGazette

PN kena bina semula kerajaan berasaskan Melayu Islam – Mohd Noor

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF010920_KONVENSYEN-SETENGAH-TAHUN-PENTADBIRAN-PN-681x454
Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Mohd. 
Noor Mat Yazid berucap pada Konvensyen Setengah Tahun 
Pentadbiran PN di Persatuan Alumni Universiti Malaysia 
(PAUM), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK,

KUALA LUMPUR – Asas yang membawa kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah membina semula sebuah kerajaan didominasi Melayu Islam.

Penganalisis politik, Prof Madya Mohd Noor Yazid berkata, asas sejarah politik hubungan kaum itu berulang dalam politik Malaysia apabila orang-orang Melayu kembali bersatu membentuk kerajaan dan bekerjasama apabila melihat kedudukan dan hak istimewa mereka mungkin terancam.

“Asas kerjasama Bersatu, UMNO dan Pas dilihat lebih kepada kerjasama parti-parti politik Melayu Islam.

“Walaupun saya tidak menafikan tentang percaturan kuasa politik yang berlaku pada akhir Februari 2020 adalah bagi membentuk dan proses mendapatkan kuasa tetapi faktor agama-bangsa adalah salah satu faktor penting yang menjadi realiti yang tidak boleh diketepikan dalam percaturan politik di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) hari ini.

Menurut Mohd Noor, asas pergolakan politik dan proses kerjasama yang berlaku pada Februari lalu mempunyai beberapa persamaan dengan semangat kerjasama orang-orang Melayu sewaktu menentang Malayan Union pada tahun 1946.

Katanya, kegagalan kerjasama politik antara Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA-PUTERA) pada tahun 1940-an, kerjasama parti-parti politik Melayu pada tahun 1970-an (khususnya antara UMNO dan PAS selepas Peristiwa 13 Mei 1969 yang membawa kepada kerjasama PAS-UMNO dan pembentukan Barisan Nasional).

Tambah beliau, perkembangan politik yang berlaku pada Februari lalu juga mempunyai persamaan dengan perkembangan politik dan tindakan orang-orang Melayu yang berlaku sejak tahun-tahun awal selepas Perang Dunia Kedua.

“Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan runtuh sekiranya dominasi dan kedudukan orang-orang Melayu dalam kerajaan kuat, benar-benar terjamin dan diyakini oleh majoriti bangsa Melayu.

“PN yang terbentuk pada awal Mac lepas tidak boleh lari daripada asas serta falsafah politik yang mempunyai matlamat dan asas dominasi Melayu Islam. – MalaysiaGazette

Masa baik kita ‘jaga’ bank, masa susah bank ‘jaga’ kita- Najib

Norlaile Abd Rahman
MGF08052020_TEMUBUAL-DS-NAJIB-RAZAK_07-681x454
Najib Razak

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta bank-bank di negara ini untuk melanjutkan moratorium pinjaman selama enam bulan lagi secara automatik.

Katanya, kesemua bank utama di Malaysia masih mampu mencatatkan keuntungan lebih tinggi dalam tempoh tiga bulan paling sukar akibat pandemik Covid-19.

Malah terdapat dua bank iaitu Alliance dan Hong Leong Bank yang mengumumkan keuntungan lebih tinggi dalam tempoh tersebut.

“Ini bermakna bank masih mampu bertahan dan dalam keuntungan walaupun diancam krisis Covid dan diarahkan untuk memberi moratorium pinjaman.

“Sebab itu, saya seru bank untuk melanjutkan moratorium pinjaman untuk 6 bulan secara automatik kerana krisis Covid dunia masih belum berakhir dan dijangka bertambah teruk sebelum ianya memulih.

“Namun peminjam yang business atau pendapatan telah pulih dan mampu bayar, teruskan untuk bayar. Kena jujur dan jangan ambil kesempatan.

“Masa baik, kita jaga bank. Masa susah, bank jaga kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada minggu lepas, kebanyakan bank utama di Malaysia mengumumkan prestasi kewangan masing-masing bagi tempoh suku tahun kedua 2020.

Meskipun terdapat penyusutan keuntungan berbanding tempoh sama tahun lalu, tiada bank yang merekodkan kerugian sepanjang tempoh April hingga Jun tahun ini.- MalaysiaGazette

Seteru PH bukan Tun M atau Anwar tapi Azmin dan Muhyiddin – Khalid Samad

Shawaliah Hadir
MG231119_MESYUARAT-MAJLIS-PAKATAN-HARAPAN09-681x454
Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) bersama Datuk Seri Anwar 
Ibrahim (kiri). foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad mengingatkan ahli parti itu dan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca kajatuhan kerajaan terdahulu.

Khalid berkata, sebaliknya PH perlu berdiri teguh dengan naratif bahawa PH jatuh disebabkan pengkhianatan yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) menerusi gerakan yang didalangi bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Naratif yang dibawa oleh PH yang lebih tepat dan benar ialah kerajaan Pakatan Harapan jatuh oleh kerana berlakunya pengkhianatan di mana Azmin dan Muhyiddin telah membawa lari Ahli-Ahli Parlimen yang dulu bersama PH dan kini bersama dengan PN menyebabkan PH hilang majoriti.

“Maka kerajaan PH jatuh oleh kerana pengkhianatan yang dilakukan Azmin dan Muhyiddin.

“Saya mahu berpesan kepada semua yang berada dalam Pakatan Harapan khususnya PAN jangan kita lupa akan hakikat ini sehingga kita terlibat dalam perbalahan sesama sendiri yang menyalahkan Tun, menyalahkan PH, menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebenarnya saingan kita.

“Seteru kita, lawan kita, bukan Tun atau Anwar atau PKR tetapi lawan kita adalah Azmin dan Muhyiddin.

“Biarlah kita mensasarkan kritikan kepada mereka dan bukan sesama sendiri,” katanya menerusi rakaman video berdurasi 3 minit 44 saat yang dimuat naik di Youtube.

Semua ahli gabungan PH, tambah beliau, tidak seharusnya terpengaruh dengan naratif yang dibawa oleh PN.

“Saya ingin berpesan kepada semua ahli dan penyokong PH khususnya pada ahli Amanah supaya dalam kita menghadapi politik dewasa ini jangan kita tersilap bawa naratif Perikatan Nasional.

“Dalam soal jatuhnya kerajaan PH sememangnya PN mengatakan ia jatuh oleh kerana PH sendiri yang berbalah sesama sendiri, kerana Tun meletak jawatan. Mereka membawa naratif itu supaya mereka menutup hakikat mereka telah berperanan untuk menjatuhkan kerajaan dan nak memberikan gambaran seolah-olah mereka bersih, tidak terlibat sama sekali, itu naratif PN,” ujarnya.

Kenyataan Khalid itu dibuat selepas beliau mengakui kemenangan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini membuktikan kerjasama antara Bersatu, Pas dan UMNO berpotensi menguasai politik negara.

Justeru itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, PH di bawah Anwar juga harus bersatu. – MalaysiaGazette

Parti Pejuang laluan untuk lantik Mukhriz sebagai PM

Muhammad Azizul Osman
MGF27082020_CERAMAH-PERDANA-PRK-SLIM_05-681x454
Penubuhan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dilihat hanya 
untuk menjadikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai 
Perdana Menteri, kata Pensyarah Universiti Utara Malaysia, 
Prof Madya Dr R Sivaperegasam Rajanthiran.

KUALA LUMPUR – Penubuhan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dilihat hanya untuk menjadikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr R Sivaperegasam Rajanthiran berkata, selain untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), motif penubuhan Pejuang itu dilihat untuk memudahkan laluan bekas Menteri Besar Kedah itu ke puncak karier dalam politik.

“Pada pengamatan saya mungkin ada motif yang lain dalam penubuhan Pejuang ini. Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya memastikan anaknya Datuk Mukhriz Mahathir sebagai presiden parti itu. Barangkali itu hakikat penubuhan Pejuang.

“Mukhriz akan akhirnya dilantik menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN yang bertajuk ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran,’ di Persatuan Alumni UM (PAUM) hari ini.

Jelas Sivaperegasam lagi, parti yang masih dalam proses pendaftaran itu sememangnya banyak bergantung kepada  Mahathir untuk bertapak sedangkan populariti bekas Perdana Menteri ketujuh itu semakin merudum.

“Pejuang yang banyak bergantung kepada pengaruh Dr Mahathir sedangkan populariti beliau telah jauh merudum. Sebahagiannya disebabkan oleh tindak tanduk beliau sendiri dan kegagalan beliau mengetuai kerajaan PH.

“Termasuk juga kegagalan beliau dan PH untuk melontar janji yang dijadikan sebahagian daripada manifesto PH.

“Kita dapati hampir semua kandungan manifesto ini tidak direalisasikan dengan baik.

“Dan bila ditanya dan dikritik tentang ini beliau memberitahu bahawa manifesto bukan Bible yang perlu diikuti dengan rapat,” katanya lagi.

Justeru itu, rakyat digesa agar bertanya niat sebenar Mahathir untuk menubuhkan parti Pejuang.

MGF010920_KONVENSYEN-SETENGAH-TAHUN-PENTADBIRAN-PN-3-1024x683
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr 
R. Sivaperegasam  Rajanthiran berucap pada Konvensyen 
Setengah Tahun Pentadbiran PN di Persatuan Alumni Universiti 
Malaysia (PAUM), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK,

Ujar beliau lagi, motif untuk menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa juga masih samar-samar untuk menarik rakyat untuk menyertai Pejuang.

“Persoalan menarik yang ditanya adalah mampukah Pejuang memberi ancaman kerajaan PN tatkala sudah wujud enam parti Melayu lain di negara ini.

“Rakyat wajar bertanya pada Tun Dr Mahathir, apakah sebenarnya motif dan agenda Pejuang.

“Jika ia dimaksudkan untuk menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa, persoalan yang berbangkit adalah sejauh mana kepemimpinan Tun Mahathir sebelumnya ketika menerajui UMNO dan ketika menerajui Bersatu.

“Apakah pada zaman pemerintahan Tun sewaktu menerajui kerajaan UMNO selama 22 tahun dan 22 bulan di bawah PH apakah rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak berlaku di bawah kerajaan PH.

“Kalau motif penubuhan Pejuang ini betul ianya untuk menghapuskan rasuah saya kira para penganalisis dan sarjana perlu renungkan kembali motif ini dengan baik.

“Atau ada motif lain yang terselindung di dalamnya,” katanya.- MalaysiaGazette

Pejuang kalah, tetapi ‘hangat’ di PPBM, kata penganalisis

Pada pilihan raya kecil Slim Sabtu lalu, Barisan Nasional 
mengalahkan calon yang disokong oleh Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim minggu lalu menimbulkan masalah kepada PPBM, walaupun calon yang kalah adalah individu disokong parti Dr Mahathir Mohamad iaitu Pejuang, menurut seorang penganalisis politik dari Singapura.

Norshahril Saat, felo kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak berkata, kemampuan Umno dan PAS untuk menggerakkan ahli akar umbi mereka menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN), sementara PPBM tetap menjadi pemerhati.

Pada Sabtu, calon BN, Mohd Zaidi Aziz, mendapat 13,060 undi menewaskan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi seorang peguam syariah yang disokong oleh Pejuang dengan majoriti 10,945 undi.

“Ini merupakan indikasi kuat bahawa Umno tidak memerlukan PPBM untuk memenangi pilihan raya umum berikutnya,” tulis Norshahril dalam artikel di akhbar South China Morning Post di Hong Kong.

“Perkembangan terkini menunjukkan Umno mahu mendapatkan kembali peranan dominan sebagai parti nasionalis Melayu dengan mengatakan mereka mahu mendapatkan semula kerusi yang hilang daripada PPBM pada 2018,” kata penyelidik itu.

Norshahril berkata, perhatian sudah difokuskan kepada bagaimana Pejuang akan beraksi di Slim, sebagai 1 indikasi mengenai apa yang mungkin dicapai oleh parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) kilat.

Menggambarkan Amir, sebagai calon “kamikaze”, Norshahril berkata Pejuang menyertai persaingan untuk mencuba dan melihat bagaimana orang Melayu akan menerima parti itu, dan sama ada ia perlu bergabung dengan PH jika berlaku PRU kilat.

“Keutamaan Pejuang adalah untuk melemahkan asas sokongan PPBM dengan menerima pembelot.” Motivasinya yang lain adalah untuk menguji sejauh mana ia boleh bergerak sendiri tanpa Pakatan Harapan, dan ia sudah mendapat jawapannya, katanya.

Pejuang mendapati ia memerlukan rakan PH, Amanah, PKR dan DAP untuk membantu menjalankan kempennya.

Walaupun keputusannya disambut dengan menandakan b”berakhirnya era Mahathir”, Norshahril berkata hasil sebenarnya menunjukkan PN, terutama PPBM, tidak berada di landasan yang selamat.

“Ini juga membuktikan Umno mendapat kembali kepercayaan pengundi, terutama orang Melayu dan kolaborasinya dengan PAS berjaya,” katanya.

Keputusan PRK sebelum ini memperkuatkan asas gabungan Umno-PAS, dan Umno akan lebih yakin untuk mendapatkan semula kerusi yang kalah daripada PPBM pada pilihan raya 2018 dan kemudian melalui pembelotan.

Pilihan raya umum kilat akan berpihak kepada kelebihan Umno, katanya, kecuali bekas presiden Najib Razak dan penggantinya Ahmad Zahid Hamidi disabitkan dengan kesalahan rasuah dan pertuduhan lain.

Dr M, Pejuang tak boleh pergi jauh tanpa PH, kata penganalisis

 
Penganalisis politik Azmi Hassan berkata gabungan bersama 
PH akan menjamin Pejuang mendapat sokongan DAP dan PKR

PETALING JAYA: Dua penganalisis berkata kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim pada Sabtu bukti Dr Mahathir Mohamad dan parti barunya Pejuang tidak boleh pergi jauh tanpa bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keputusan PRK itu menunjukkan populariti Mahathir semakin lemah, sementara Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat calon Pejuang hanya mendapat 1/3 daripada undi diperoleh PH pada 2018.

Awang Azman berkata, Mahathir amat popular pada suatu ketika kerana sokongannya kepada Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan perdana menteri, tetapi popularitinya semakin merosot ketika beliau menolak pencalonan Anwar sebagai perdana menteri.

Sebilangan besar penyokong PH, menolak Mahathir kerana marah dan kecewa.

“Jika Pejuang sudah berasa tersekat, maka ia harus mengakui dasar dan pendirian PH. Tanpa PH, Mahathir dan Pejuang tidak boleh pergi jauh,” kata Awang Azman.

“Sekiranya mereka bergabung dengan PH, tetapi tidak bersetuju mengenai perkara asas seperti pencalonan Anwar, maka Mahathir dan Pejuang akan dianggap hanya memecah-belahkan PH. Oleh itu, PH harus menolak Mahathir dan Pejuang,” katanya.

Jika PH memilih untuk menolak Mahathir dan partinya, ini boleh menjadi “pengakhiran” kepada parti itu, kata Awang Azman.

Pejuang perlu keluar daripada bayangan Mahathir jika parti itu benar-benar ingin membuat percaturan politik, yang boleh dilakukan dengan memberi lebih banyak ruang kepada pemimpin muda untuk menyuarakan pandangan mereka dan menentukan arah tuju parti.

Muafakat lonjak BN, Pejuang hilang pengundi PH

Azmi Hassan berkata, majoriti besar BN pada PRK itu dibantu oleh gabungan Muafakat Nasional (MN) Umno dan PAS, sementara calon Pejuang hanya mendapat sekitar 1/3 undi yang diperoleh PH pada 2018.

Katanya, itu adalah isu yang Mahathir perlu lihat, sambil menambah pemimpin PH tidak bersungguh-sungguh berkempen untuk calon yang disokong Pejuang, mungkin menjadi salah 1 sebab utama ianya suram.

“Saya rasa Pejuang harus bersama PH, dan bukan hanya menjadi parti bebas yang mesra PH, kerana ia nampaknya tidak berjaya di Slim.

“Bebas daripada PH akan memperoleh undi simpati orang Melayu, itu objektif utama Pejuang. Tetapi hasil pada PRK jelas menunjukkan strategi itu gagal, sebagaimana PPBM gagal menentang Umno pada pilihan raya 2018,” katanya.

Pejuang tidak boleh bersendirian. Ia memerlukan sokongan bukan Melayu. Bergabung dengan PH akan menjamin mereka mendapat sokongan DAP dan PKR, kata Azmi.

Pada PRK Slim, calon BN Mohd Zaidi Aziz dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) baru.

Beliau memperoleh 13,060 undi dengan majoriti 10,945 berbanding calon bebas disokong Mahathir, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mendapat 2,115 undi.

Kemenangan BN memulihkan semula penampilannya yang suram pada pilihan raya 2018 apabila mengekalkan kerusi itu dengan majoriti hanya 2,183.

Kenyataan jelik ketika ambang kemerdekaan ke-63

Fazleensafina

 

Komen keabsahan sekolah vernakular dua menteri menggusarkan

KOMEN-KOMEN terkini berkaitan kewujudan dan keabsahan sekolah vernakular dari Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique yang asalnya diharapkan oleh orang Melayu untuk mendokong teras perlembagaan negara berasaskan Islam, Bahasa Melayu da Raja-Raja Melayu, amat menggusarkan.

2. Lebih membimbangkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang seharusnya diharapkan membawa suara nasional berteraskan rukun negara, menyatakan bukan keutamaan untuk isu ini dibahaskan buat masa ini.

Walaupun Menteri ini memang bukan seorang yang boleh kita harapkan dalam isu sebegini berdasarkan “track-records”nya yang lampau, namun sebagai menteri, kenyataan begini turut mengecewakan.

3. Begitu juga tidak kedengaran suara yang jelas mempertahankan Tanah Rizab Melayu dalam keadaan ada kumpulan yang kini secara jelas menceroboh meneroka tanah secara haram di Pahang.

4. Dan yang paling mengejutkan apabila penganalisa politik Dr Kamarul Yusuf mendedahkan terdapat surat daripada bekas Perdana Menteri (PM) yang disanjung ramai, PM7, menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sekarang menjadi PM8, bahawa kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mesti digugurkan dari senarai pengganas.

Ini jika benar, adalah satu pengkhianatan tahap tertinggi yang tidak dapat kita maafkan dan lupakan sepanjang hayat dan sepanjang sejarah.

5. Mujurlah, setinggi-tinggi syukur buat Ilahi dan setinggi tahniah buat PM8, Menteri KDN pada ketika itu untuk tidak bertindak mengikut “arahan” PM7.

Masih ada sekelumit kesedaran yang dititipkan Allah ke dalam jiwa beliau.

Kita harap PM8 dalam tempoh pemerintahannya yang berbaki tidak mengulangi kesilapan lalu, selain melihat tingkah laku dan kenyataan jelik jemaah menteri dan timbalan menteri beliau, seperti Menteri Perpaduan dan Menteri Komunikasi ini.

6. Kita sedang menyambut kemerdekaan ke-63, namun amat menyedihkan, negara masih ketandusan pemimpin berjiwa nasional, berjiwa pemimpin sejati yang sanggup mengenepikan kepentingan politik dan peribadi, demi kepentingan agama, negara dan bangsa.

7. Ke depan ini, kita amat berharap setiap parti politik orang Melayu mesti melihat kepada calon yang bakal ditampilkan.

Pilih yang paling bersih, pilihlah yang paling bersungguh membawa agenda rakyat dan negara sebagai calon.

Bukan yang galak menabur janji ketika berkempen dan lupa daratan apabila diberikan kuasa.

8. Peringatan ini diberikan kepada semua parti politik Melayu baik UMNO, PAS, BERSATU dan BERJASA.

9. Kita berpandangan, rakyat telah kian matang dan bakal memilih pemimpin terbaik untuk mewakili mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang khabarnya bakal berlaku sedikit masa lagi.

Semoga seruan Undilah Calon Muslim Berwibawa, memilih berdasarkan calon terbaik yang disarankan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sejak PRU13, akan menjadi seruan paling lantang dalam situasi perebutan kawasan dan penamaan calon yang galak berlaku sekarang.

10. Semoga sambutan kemerdekaan ke-63 negara bakal mengingatkan kita tentang kewajipan membebaskan diri dari cengkaman penjajah dan hawa nafsu, lantas kembali kepada ketulusan hati memperjuangkan nasib bangsa dan negara yang hanya sekelumit tersisa.

11. Bersetuju dengan Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya yang dikasihi, apabila ditanya apakah kemerdekaan yang beliau inginkan, beliau menjawab: “SISTEM POLITIK BAHARU DENGAN PEMIMPIN BAHARU,”

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=4321250471280496&id=450309788374603

Itu kata beliau. Saya mahukan PEMIMPIN BAHARU YANG YANG MELEBURKAN KEHENDAK PERIBADI DEMI PERTIWI.

Anda bagaimana?

Haji Omar Kassim
Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA

75 ketua cawangan Warisan Kunak sertai Bersatu

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Seramai 75 ketua cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak keluar daripada parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas ketua cawangan Kampung Sungai Langgas 2, Hussein Ibnu Hassan, yang mengetuai kumpulan itu, menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam majlis ramah mesra bersama pemimpin Bersatu, di Kunak, hari ini.

Bernama difahamkan lebih 2,000 ahli Warisan daripada 75 cawangan berkenaan turut menyertai Bersatu.

Dalam pada itu, Hajiji dalam ucapannya, berkata kemasukan beramai-ramai ke Bersatu itu menunjukkan parti berkenaan semakin diterima rakyat Sabah.

"Di mana-mana tempat yang sudah kita lawati atau berjumpa rakyat, ada sahaja yang mahu menyertai Bersatu dan ini tidak ada sebarang paksaan mahupun tekanan,” katanya.

Beliau menggesa semua ahli Bersatu untuk menyokong calon parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept ini.- Bernama

'Langkah baru bergerak dari Dr M, Langkah Sheraton, politik wang Bersatu'

 
WAWANCARA | Rampasan kuasa politik melalui “Langkah Sheraton” dan amalan politik wang dalam Bersatu menjadi pendorong gerakan politik barunya, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Keengganannya menyertai mana-mana parti sedia ada ditanggapi sebagai pertaruhan jangka panjang untuk mengubah politik Malaysia melalui undi anak muda.

Bercakap kepada Malaysiakini pada wawancara baru-baru ini, bekas ketua Pemuda Bersatu itu berkongsi pengalaman dalam parti lamanya yang menunjukkan hubungan rapat antara wang dan politik.

Sebagai parti pembangkang, dana pemuda Bersatu (Armada) sebelum PRU14 datang daripada sumbangan orang ramai, katanya.

"Bagaimanapun selepas pilihan raya, apabila kami tidak mengubah budaya politik wang, ketika itulah (anda) mengadakan perbincangan (tentang bagaimana) ahli-ahli korporat ini adalah pihak yang perlu kami temui dan inilah caranya kami melakukannya.

"Ada struktur penama yang dapat diusulkan, ada struktur kontrak dan terdapat banyak perkara lain lagi,” katanya berterus-terang.

Setelah membentuk kerajaan, beliau juga menyorot bagaimana bahagian-bahagian Bersatu akan "meminta" sumbangan daripada parti itu setiap bulan.

"Tanpa sebarang perubahan yang besar (dilakukan), (keadaan) akan tidak berubah,” tambahnya.

Tiada undang-undang yang mengawal dana parti politik di Malaysia.

Tiada lagi kompromi

Menurut Syed Saddiq, rancangannya untuk platform baru itu bermula selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari lalu.

Keruntuhan kerajaan berusia 22 bulan itu tercetus apabila Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari gabungan PH dan bersekutu dengan BN, PAS, GPS, PBS dan Star.

Beliau juga ditanya sekiranya mempunyai sebarang penyesalan ketika menjadi menteri belia dan sukan, seperti menjemput Zakir Naik sebagai tamu ke kediamannya.

Ini selepas ucapan kontroversi oleh pendakwah tersebut mengenai orang India dan Cina di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengelak menjawab soalan itu tetapi berkata membebaskan diri daripada politik berasaskan kaum memastikan dirinya tidak perlu lagi mengkompromikan prinsipnya "tanpa keperluan."

Sejak itu, Syed Saddiq mengumpulkan barisan profesional muda, aktivis, pengasas startups, pendakwah agama dan ahli akademik untuk membentuk "platform, gerakan atau mungkin juga parti" yang berbilang kaum.

Gerakannya yang masih baru itu juga merancang untuk melaksanakan had tempoh pemimpin memegang jawatan serta batasan terhadap penderma individu dan korporat.

“Kita tidak perlu lagi berkompromi terhadap prinsip.

"Kerana kini, akhirnya, kami memperjuangkan sesuatu yang benar-benar kami percayai," katanya.

Platform independen anak muda

Langkah terbaru Syed Saddiq ini telah menjarakkan dirinya daripada mentor politiknya Dr Mahathir.

Sejak disingkirkan daripada Bersatu, bekas perdana menteri itu menubuhkan parti yang berteraskan perjuangan hak Melayu dan antirasuah, serupa dengan Bersatu yang diasaskannya.

Syed Saddiq berkata platform politik barunya tidak sama dengan Pejuang.

"Saya akan sentiasa menghormati Mahathir tetapi saya rasa sudah tiba waktunya bagi kita untuk mencipta dan memanfaatkan semangat rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan kepelbagaian yang ada.

"Saya sudah memaklumkannya dan pimpinan Pejuang mengenai keputusan saya untuk tidak menyertai parti tersebut dan sebab-sebabnya. Saya doakan yang terbaik untuk mereka semua,” katanya.

Platform barunya itu juga merupakan entiti yang berasingan daripada PH.

Walaupun Syed Saddiq tidak menolak kerjasama dengan PH, beliau berkata dirinya memutuskan untuk tidak mengambil jalan mudah dengan menyertai parti berbilang kaum yang ada kerana ingin "mengganggu" status quo.

"Kami ingin mewakili suara teknokrat muda, profesional, ahli akademik [...] kami tidak hanya mengehadkan kepada sayap pemuda atau sayap wanita atau sayap parti politik yang berbeza.

“Akhirnya, mereka harus didengar dalam membuat keputusan yang penting. Saya rasa (platform) ini adalah peluang unik di mana ia boleh dicapai," katanya.

Muda Malaysia tarik Undi18

Dengan beberapa wajah baru, polisi dan pendekatan politik segar, Syed Saddiq berkata platform itu bertujuan menarik 7.8 juta pengundi baru yang dibawa hasil pindaan perlembagaan Undi18.

Dikenali sebagai “Muda Malaysia” buat masa ini, beliau memberitahu Malaysiakini bahawa platform tersebut komited terhadap objektif mereka, tidak kira berapa lama masa yang diperlukan.

“Tetapi seperti yang telah terbukti pada pilihan raya lalu, kami tidak hanya memikirkan jangka pendek, tetapi kami harus mengubah hati dan pemikiran orang.

“Kami perlu meyakinkan mereka bahawa kepelbagaian budaya dan kemajmukan adalah aset, bukannya satu tanggungan (liabiliti).

"Kami perlu mendorong pembaharuan sejati dan kukuh, tidak kira seberapa sukar dan tidak popular (keputusan tersebut). Tetapi kami memerlukan orang muda dengan daya kehendak politik untuk melakukannya, untuk menggerakkan dan membuatkan orang lain memahaminya,” katanya.

Bahkan, ahli parlimen Muar itu berkata beliau bersedia untuk kehilangan kerusinya jika itu adalah harga yang perlu dibayar demi berpegang pada prinsipnya.

"Saya mungkin kehilangan kerusi saya, saya mungkin kehilangan segalanya. Saya akan belajar menerimanya,” katanya.