HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Februari 2021

PKR: Mengapa k'jaan, hospital masih berunding isu harga rawatan Covid-19?

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Walaupun darurat sudah diisytiharkan, kata PKR, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat masih gagal menguruskan isu pembabitan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta untuk membantu rakyat.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, berkata dalam keadaan angka pesakit baru Covid-19 mencecah lebih 5,000 kes sehari untuk tiga hari berturut-turut, negara ini sebenarnya sudah memasuki peringkat 'berperang'.

"Kerajaan PN mengisytiharkan darurat di seluruh negara, tetapi di sebelah sini mengelakkan diri daripada meminta hospital swasta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka.

"Sebaliknya, mereka masih membazirkan masa dalam rundingan harga. Ini jelas amat mengecewakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia diisytiharkan darurat sejak pertengahan Jan lalu hasil nasihat yang diberikan kabinet diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Walaupun dikritik sebagai langkah untuk menyelamatkan jawatannya, Muhyiddin berkata darurat diperlukan untuk negara menghadapi Covid-19.

Semasa mengumumkan hal itu Muhyddin berkata darurat diisytiharkan agar kerajaan boleh mendapatkan penglibatan inklusif daripada pihak swasta sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya darurat juga membolehkan beberapa ordinan dimasyhurkan merangkumi keperluan seperti mengambil alih aset hospital swasta atau menggunakan sumber mereka bagi merawat pesakit Covid-19.

Lee berkata peruntukan RM100 juta kerajaan bagi menampung kos perubatan pesakit ke hospital swasta masih lagi diselubungi pelbagai keraguan.

Justreru katanya Menteri Kesihatan Dr Adham Baba wajar tampil memberikan pencerahan dengan menyediakan maklumat terperinci mengenainya.

Kata Lee PKR menggesa hospital swasta tampil untuk menawarkan perkhidmatan perubatan Covid-19 kepada rakyat Malaysia dengan mentaliti yang tidak hanya mementingkan keuntungan.

"Ini adalah waktu kritikal seluruh rakyat Malaysia memerangi Covid-19, tetapi kenapa hospital swasta masih berkira-kira tentang keuntungan mereka?" katanya.

Adun Semambu itu juga berkata sejak projek penswastaan hospital dilaksanakan, pihak terbabit memperolehi keuntungan yang lumayan termasuk sepanjang tempoh wabak Covid-19 menular.

"Wabak tidak berlaku setiap tahun di negara ini. Jika mereka tidak diminta berkorban untuk negara sekarang, rakyat kena tunggu hingga bila lagi?" katanya.

Telefon bimbit MB Pahang digodam

Oleh Asrol Awang
Wan Rosdy akan membua laporan polis selepas telefon bimbitnya digodam pagi ini. FOTO NSTP
Wan Rosdy akan membua laporan polis selepas telefon bimbitnya digodam pagi ini. FOTO NSTP

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa talian telefon bimbitnya digodam sejak awal pagi ini.

Susulan itu, beliau akan membuat laporan polis untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Saya memohon berbanyak-banyak maaf kepada semua pihak yang mungkin cuba berkomunikasi dengan saya menerusi talian telefon bimbit.

"Saya ingin memaklumkan talian telefon bimbit saya dipercayai digodam sejak awal pagi ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, ini kali pertama kes talian telefon Menteri Besar Pahang itu digodam.

Pada tahun 2019, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya memastikan aplikasi dalam telefon sentiasa dikemas kini bagi mengelak maklumat peribadi digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Suruhanjaya itu berkata pihaknya menerima aduan mengenai insiden pengambilalihan akses kepada akaun yang didaftarkan atas nombor telefon milik individu berprofil tinggi.

Modus operandi penipuan dalam talian adalah dengan melakukan penyamaran sebagai individu berpengaruh dan cuba mempengaruhi mangsa memuat turun dan memasang aplikasi pemesejan segera seperti Telegram dan Viber ke dalam sistem telefon mangsa.

Tommy Thomas auta?

  Borhan Abu Samah

Haniff Khatri berkata, dakwaan Tommy Thomas bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak cadangan Datuk Seri Wan Azizah Wan Azizah sebagai Perdana Menteri adalah diragui.

Peguam kepada Dr. Mahathir itu berkata, tulisan Tommy lebih kepada pandangan berkepentingan politik bukan profesional sebagai bekas Peguam Negara.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa sebagai seorang  peguam negara  pada ketika itu, iaitu jawatan tertinggi perundangan dalam negara, Tommy Thomas sepatutnya tahu dan faham konsep sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat kepada mana-mana Perdana Menteri mesti ada pada setiap masa, untuk seseorang Perdana Menteri itu, untuk kekal sebagai Perdana Menteri menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kata beliau, apabila berlakunya Langkah Sheraton pada 23 Februari tahun lalu, iaitu satu fakta Tommy tidak wajar dipertikai kerana  sekumpulan wakil rakyat dari Pakatan Harapan diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu dan Datuk Seri Azmin Ali dari PKR menarik sokongan kepada Dr. Mahathir menyebabkan Dr. Mahathir terpaksa mengadap Yang di-Pertuan Agong, sebelum meletakkan jawatan.

Ini bermakna, kata beliau, dakwaan Dr. Mahathir sengaja meletakkan jawatan adalah tidak benar.

“Dari sudut keperluan Perlembagaan, menurut Perkara 43(4) itu, Dr. Mahathir wajib mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletakkan jawatan seperti yang dilakukan pada 24 Februari tahun lalu,” katanya.

Beliau juga terkejut apabila Tommy menyatakan keputusan melantikan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri menjadi keputusan perlembagaan yang betul.

“Seorang Peguam Negara pada masa itu, sedangkan jika pada hakikatnya Pakatan Harapan sudah hilang majoriti, maka sesiapa sahaja Menteri Kanan, mahupun Timbalan Perdana Menteri, tiada mempunyai hak untuk terus mentadbir negara dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri secara automatik selepas itu, sebab Pakatan Harapan  sudahpun hilang majoriti untuk kekal sebagai Kerajaan,” katanya.

Kata Haniff, perkara asas berkaitan kedudukan Perdana Menteri itu, seharusnya dalam pengetahuan mana-mana Peguam biasa.

“Ia boleh menimbulkan persepsi – Adakah catatan dan pandangan Tommy dicemari dengan fahaman, pegangan dan sokongan politik semata-mata,” katanya. 

Tommy katanya, juga mendakwa Dr. Mahathir  campur tangan dan berkeras ingin menjadi perdana menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong mencadangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu, juga tidak benar dan mencemar nama baik Agong.

Haniff juga mempertikaikan jika Tommy berpandangan apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir tidak mengikut Perlembagaan, mengapa beliau tidak menasihatkan perdana menteri ketika itu.

Haniff juga mempersoal profesionalisme Tommy apabila mendedahkan intipati urusan dengan anak guamnya kepada umum kerana ia mencemarkan integriti guaman apabila dibuat secara semberono.

Dr Mahathir Mohamad didakwa campur tangan dan berkeras ingin menjadi perdana menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu, kata Tommy.

Dalam pendedahan menerusi buku memoirnya My Story: Justice In The Wilderness, bekas peguam negara itu turut menyifatkan Mahathir sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Punca utama kegagalan hubungan gabungan PH disebabkan pemimpinnya, perdana menteri Mahathir. Pemimpin PH bertanggungjawab atas kegagalan ini,” tulis Thomas.

Dia juga menganggap sokongan yang diberikan pelbagai lapisan masyarakat kepada ahli parlimen Langkawi pada peringkat awal kerajaan PH juga sebagai luar biasa.

Selain itu, Thomas mendedahkan tindakan Mahathir menggalakkan anggota parlimen UMNO meninggalkan parti itu untuk melompat ke Bersatu juga membimbangkan.

Pada masa sama katanya tindakan Mahathir meminggirkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang dipersetujui bersama untuk dilantik sebagai perdana menteri kemudiannya – juga tidak disenangi.

“Yang memburukkan lagi keraguan (Anwar) untuk jadi perdana menteri jelas pada tahun pertama pentadbiran PH, ketika hubungan perdana menteri dengan musuh utama Anwar dalam PKR, Azmin.

“Tindak balas PH yang disifatkan tidak aktif dan lambat berhubung isu perkauman dan agama juga membuahkan keputusan pelik dari perdana menteri,” kata Tommy. SM

Syabas anggota AMK pertama terima vaksin Covid kajian klinikal

Bukan semua individu sanggup menyahut cabaran untuk menerima vaksin Covid 19 peringkat ujian klinikal.

Malah menteri-menteri kabinet Perikatan Nasional yang didesak rakyat agar menjadi orang pertama disuntik vaksin untuk mengetahui keberkesanan dan alahannya juga tidak berbuat demikian.

 BK Tan menjadi individu kedua menerima vaksin Covid

Oleh itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir mengucapkan syabas kepada dua sukarelawan dari sayap parti itu yang menjadi individu pertama dan kedua menerima vaksin ujian klinikal Covid 19 di Malaysia.

"Mereka telah mengambil inisiatif menawarkan diri sebagai sukarelawan kajian ini dan berani mengambil risiko supaya negara kita dapat mencari vaksin yang selamat dan berkesan demi melindungi orang ramai daripada Covid-19.

 "Fasa ini adalah pusingan terakhir ujian sebelum sebarang vaksin atau ubat diluluskan untuk kegunaan umum.

"AMK Malaysia merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih buat saudara Adam Loh (gambar atas) dan BK Tan atas pengorbanan yang diberikan," katanya.

Semalam, Adam Lo, Naib Ketua AMK Kedah dan BK Tan dari AMK Sungai Petani menjadi individu pertama dan kedua yang disuntik vaksin Covid 19 oleh kerajaan Malaysia.

Konon lompat parti sebab moral Anwar, status video seks Sandakan apa cerita?


Pernyataan pembelaan yang menunding jari kepada Presiden KEADILAN yang difailkan menteri kanan Azmin Ali terhadap saman pengundinya di Parlimen Gombak yang tidak berpuas hati beliau melompat parti menimbulkan tanda tanya.

Bagi Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman, bekas Timbalan Presiden KEADILAN itu tidak wajar membuat pertanyaan kononnya 'kes fitnah seksual' terhadap Anwar menjadi punca dia hilang kepercayaan terhadap presiden KEADILAN dan mengambil keputusan meninggalkan parti.

Menurut Syed Badli, Azmin tidak layak menuduh orang lain bermoral rendah sedangkan beliau mempunyai kes video seksual di Sandakan yang sehingga kini masih belum diselesaikan.

"Mohamed Azmin Ali tidak layak menuduh orang lain dengan tuduhan tidak bermoral sedangkan beliau sendiri terkait dengan pelbagai masalah moral.

"Pengkhianatan terhadap Parti Keadilan Rakyat dan pengundi Gombak adalah salah satu bukti yang beliau bukan manusia yang bermaruah.

"Malahan sehingga ke hari ini beliau masih gagal menafikan bahkan tiada langung sebarang usaha untuk membersihkan namanya yang terkait dengan satu skandal video seks luar tabii yang tular sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan..

Sehubungan itu, Syed Badli menyeru agar pihak polis meneruskan siasatan berkenaan kes video seks Sandakan dan mengemukakan penemuan mereka siapakah pelaku dalam video tersebut.

"Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tahun lalu, siasatan terhadap video seks itu tidak dapat diteruskan di atas faktor teknikal.

"Namun kes tersebut tidak pernah ditutup dan kes akan dibuka semula jika terdapat bukti baru

"Justeru itu, saya ingin bertanya kepada Ketua Polis Negara apakah status kes itu kini? Setahun berlalu adakah polis masih gagal menemui sebarang bukti untuk mengesahkan identiti pelaku?

"Saya menggesa pihak berkuasa untuk mengumumkan status terkini kes terbabit dan saya menyeru agar pihak berkuasa tidak berat sebelah untuk melindungi mana-mana individu berpengaruh," katanya lagi.

Untuk rekod, Azmin pada 2019 juga terpalit dengan skandal seks luar tabie apabila video yang memaparkan individu mirip wajarnya tersebar.

Namun kes tersebut 'senyap' pada era pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional.

Kerajaan PH Jatuh Sebab Zalim… Kerajaan PN Beringatlah – Ahmad Maslan

Oleh: Nurul Saadah Latib

 

 KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan sesebuah kerajaan seharusnya peka dengan rakyat serta tidak mengamalkan sikap yang zalim di dalam berhadapan dengan sesuatu isu.

“Selain integriti dan tepati janji sebagai asas utama kerajaan yang diyakini rakyat, nilai adil dan tidak zalim juga sangat penting,” ujarnya menerusi satu hantaran di Twitternya.

Beliau yang juga Setiusaha Agung Barisan Nasional mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menjadikan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu sebagai iktibar.

“Banyak kerajaan di dunia ini yang jatuh kerana sifat zalim pemimpin kerajaan kepada lawan politiknya dan rakyat terbanyak.

“Kerajaan PH jatuh sebab zalim dan kerajaan PN beringatlah,” tegasnya.

Terdahulu, kerajaan PH tumbang 24 Feb tahun lalu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan PPBM keluar dari PH, selain 11 anggota PKR turut keluar dari gagasan itu.

Ekoran itu, Perikatan Nasional dibentuk sebagai noktah terhadap kemelut politik yang mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas sokongan dari UMNO, PAS, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak dan wakil bebas.

Sepanjang 22 bulan pentadbiran PH ternyata janji ‘Malaysia Baharu’ mengecewakan rakyat ekoran kegagalan menunaikan janji-janji semasa PRU-14 lalu malah sebaliknya yang berlaku.

Antara janji-janji PH sebelum berkerajaan ialah hapus hutang PTPTN, warga petani, peladang dan nelayan akan dijaga kebajikan lebih baik selain warga Felda dan Risda turut dijanjikan penghapusan hutang, kos sara hidup turun, peluang pekerjaan 1 juta, harga minyak petrol di bawah RM1.50, tol akan dimansuhkan, BR1M akan dinaikkan, undang-undang negara akan diperbaiki di samping kestabilan politik dan ekonomi negara lebih baik.– UMNO Online

UMNO Kekal Relevan, Perjuangan Tidak Luntur – Zahid

Oleh: Nurul Saadah Latib

 

 KUALA LUMPUR – UMNO ternyata sebuah parti yang kekal relevan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah lama UMNO ‘dimuziumkan’ namun berbekalkan semangat ahli parti yang tidak berputus asa, parti ini kembali bangkit semula.

“Jelasnya tidak, UMNO tidak mengalah. Panji-panjinya terus berkibar dengan semangat baharu.

“Pemimpin UMNO pelbagai peringkat Pusat, Bahagian, Cawangan yang setia terus bertahan dan menggasak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, berbekalkan iltizam serta semangat sebagai satu pasukan, fitnah yang dilemparkan kepada parti dapat diatasi tanpa gentar.

“Biarpun depan mata menyaksikan ramai sahabat perjuangan bertempiaran menyelamatkan diri,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mengucapkan terima kasih kepada ahli parti yang kekal bersama beliau demi mempertahankan perjuangan.

“Allhamdulillah, kini UMNO semakin jauh keterhadapan. Jauh daripada tebing nan mendukacitakan.

“Terima kasih semua. Perjuangan agama, bangsa dan negara tidak pernah luntur. Kerana itu kita tidak goyah dan masih di sini.

“Kita bersama teruskan momentum UMNO. Kita teruskan pelayaran ini. Kepada Allah S.W.T kita bertawakal,” katanya. – UMNO Online

Perketat PKP… Sekurang-kurangnya Tiga Minggu Lagi – Pemuda UMNO

 Oleh: Nurul Saadah Latib

 

 KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan akan menyampaikan perutusan khas jam 9 malam ini.

Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO hari ini memberikan lapan cadangan kepada kerajaan berkenaan situasi semasa khususnya melibatkan pandemik COVID-19.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan seharusnya memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sekurang-kurangnya tiga minggu untuk menurunkan penularan COVID-19.

“Namun ianya harus dilaksanakan dengan pemberian beberapa pakej bantuan kepada rakyat yang tidak dapat bekerja, berniaga, tetap tanggung pelbagai komitmen dan terpaksa kekal di rumah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Berikut merupakan lapan cadangan Pemuda UMNO sekiranya PKP diperketatkan:

1. Memansuhkan segala syarat dan kriteria bagi membolehkan pengeluaran secara otomatik bagi semua kategori i-Sinar KWSP.

2. Melaksanakan kaedah serupa dengan PKP 1.0 dahulu dengan mengarahkan bank-bank dan institusi-institusi yang menawarkan pinjaman agar melanjutkan moratorium secara otomatik tanpa faedah atau caj tambahan dan tanpa perlu tertakluk kelulusan permohonan kepada bank.

3. Memberikan diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus berdasarkan penggunaan isi rumah.

4. Menambah insentif bantuan gaji sekurang-kurangnya selama 3 bulan sebanyak RM1200 bagi setiap pekerja.

5. Menyalurkan Bantuan Tunai Khas sepanjang Lockdown kepada rakyat.

6. Membekalkan alat peranti elektronik sekurang-kurangnya Tab kepada pelajar yang memerlukan terutamanya daripada keluarga dalam senarai E-Kasih, B40, M40 yang punya anak ramai, untuk menjalani program pendidikan melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah.

7. Memperkasa dan menambah baik segera talian komunikasi di kawasan luar bandar.

8. Mewujudkan TV Pendidikan di saluran milik kerajaan dan memanfaatkan Ordinan Darurat bagi mengarahkan stesen swasta (Astro dan Media Prima) untuk mewujudkan saluran pendidikan khusus secara PERCUMA sepertimana ketetapan Kementerian Pendidikan. – UMNO Online

AMK mahu kerajaan umum tarikh sebenar vaksin diterima

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pemuda PKR (AMK) mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera mengumumkan tarikh sebenar vaksin Covid-19 tiba di Malaysia.

Ketuanya Akmal Nasir berkata hal itu diperlukan kerana setakat ini Putrajaya memberikan tarikh berbeza dan ia merunsingkan rakyat.

Katanya rakyat sendiri sudah sedia terbeban dengan "kegagalan berterusan" kerajaan menguruskan pelbagai kemelut yang melanda.

"Pada 13 Okt 2020, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa vaksin Covid-19 dijangka tiba selewat-lewatnya akhir 2020.

"Kemudian Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba) memaklumkan fasa pertama vaksin Covid-19 akan mula diagih dan disuntik bermula Feb 2021; dan terbaru Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) pula menyasarkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara akan bermula pada Mac ini.

"Kenyataan berdolak-dalik ini merunsingkan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan kegagalan berterusan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin menangani isu ekonomi, pendidikan, kesejahteraan rakyat, kesihatan awam dan lain-lain," kata Akmal dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, ahli parlimen Johor Bahru itu mendakwa kerajaan gagal melaksanakan program vaksinasi seperti yang sepatutnya.

Katanya, negara lain seperti Indonesia dan Singapura sudah mula melaksanakan program vaksinasi.

"Bahkan Bangladesh juga akan memulakan vaksinasi secara penuh ke seluruh negara bermula 7 Feb ini namun Malaysia masih belum menyatakan dengan tepat tarikh sebenar suntikan vaksin Covid-19 secara percuma akan dijalankan," katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu segera membentangkan kepada rakyat tarikh sebenar penerimaan vaksin di Malaysia serta garis masa pelan suntikannya yang digerakkan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Macam mana syarikat buat tiang keluli dapat kebenaran edar vaksin, tanya Zahid

MGF14092020_PRESIDEN-BN-BERSAMA-CALON-13
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan bagaimana syarikat yang terlibat dalam pembuatan tiang keluli untuk lampu jalan mendakwa mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan untuk mengedarkan vaksin Covid-19.

Presiden UMNO itu berkata, walaupun Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menyangkal dakwaan itu bersama timbalan menteri, tetapi bagaimana satu pihak pula mendakwa mendapat kebenaran itu.

Beliau menegaskan vaksin Covid-19 ini amat penting untuk rakyat Malaysia kerana membawa harapan baru bagi semua rakyat yang kini berhadapan dengan pandemik Covid-19.

”Dalam pemahaman saya, kerajaan sebelum ini sudahpun memberi keyakinan bahawa urusan pembelian vaksin Covid-19 hanya melibatkan antara kerajaan dengan kerajaan atau kerajaan bersama syarikat pengeluar.

”Semalam, tidak ada angin tidak ada ribut tiba-tiba tersebar pula dakwaan Mestron Holding Berhad kononnya mereka menerima surat kebenaran daripada KKM untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat berhubung pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

”Saya tertanya-tanya, bagaimana syarikat bukan pengeluar vaksin boleh dakwa ada surat kebenaran edar vaksin?,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Mestron Holdings Bhd mengulangi kenyataan telah menerima surat kebenaran daripada KKM untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari China berhubung pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

Mestron menjelaskan surat bertarikh 8 Januari 2021 membolehkan pihaknya mengadakan perbincangan dan kerjasama mengenai pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin negara ini.

Mestron kini dalam proses rundingan dengan Zhongyu Yexing (Chengdu) Industrial Co., Ltd. mengenai perincian bagi potensi kerjasama.

Pada Jumaat lalu, Mestron telah menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan Zhongyu Yexing untuk memulakan perbincangan mengenai struktur dan terma-terma cadangan kerjasama yang berkaitan dengan pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

Kedua-dua pihak menjangka dapat memuktamadkan dan memeterai perjanjian definitif dalam tempoh 30 hari selepas perbincangan dan rundingan selesai. – MalaysiaGazette