HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Februari 2021

Pejuang mahu heret menteri ke mahkamah jika tiada jawapan

Malaysiakini

Pejuang akan sekali lagi ke mahkamah jika Menteri Dalam Negeri tidak memberikan jawapan berhubung rayuannya untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Peguam kumpulan itu, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, rayuan adalah sebahagian daripada pilihan di bawah Akta Pertubuhan untuk Pejuang, susulan tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang menolak permohonannya untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Mior bagaimanapun meluahkan kekesalannya dengan tindakan Hamzah Zainuddin selaku menteri yang tidak memberikan sebarang jawapan berhubung permohonan kumpulan itu yang difailkan setelah RoS menolak permohonan pendaftarannya pada 6 Januari.

"Pejuang mematuhi prosedur di bawah Akta Pertubuhan, setelah RoS menolak permohonan pendaftaran, kami kemudian mengajukan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.

"Rayuan itu dikemukakan sehari setelah RoS menolak permohonan tersebut.

"Walau bagaimanapun, kami akan mengirimkan surat lanjut kerana menteri sama sekali tidak memberikan sebarang jawapan.

"Di sebalik, cakap-cakap bahawa dia (menteri) mungkin sakit, pasti dia akan menyerahkan tugas (untuk menangani rayuan Pejuang) itu kepada pegawai lain.

"Jika tidak ada jawaban yang munasabah (daripada menteri), kami akan ke mahkamah sekali lagi (untuk memaksa RoS mendaftarkan Pejuang sebagai sebuah parti politik).

"Pejuang sedang menunggu keputusan rayuan (daripada menteri) dan akan mempertimbangkan tindakan yang sesuai mengikut undang-undang nanti," kata Mior.

Media melaporkan Hamzah baru-baru ini keluar dari hospital, setelah pulih dari Covid

Projek RM1.16 bilion: SPRM mesti berani siasat

  Mohamad Athir Ismail

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya berani menyiasat skandal baharu membabitkan institusi Perdana Menteri dalam kerajaan.

Projek bernilai RM1.16 bilion dikaitkan dengan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui menantunya Datuk Adlan Berhan tular.

Ini kerana projek tersebut didakwa diperoleh melalui usaha melobi yang dilakukan oleh syarikat Iris Information Technology (Iris) yang mana Adlan dikatakan sebagai rakan kongsinya.

Melalui Iris, Adlan dipercayai mempunyai kepentingan melalui syarikat S5 Holdings Incorporation (S5) dengan pemilikan saham dalam syarikat Agathistwo Jia Sdn Bhd.

Skandal ini menjadi tumpuan kerana penganugerahan projek National Integrated Information System (NIIS) Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) diberikan ketika negara berada dalam tempoh Proklamasi Darurat iaitu pada 29 Januari 2021. 

Malah, akibat penganugerahan projek ini dan penggantian sistem sedia ada iaitu Malaysian Immigration System (myIMMS) oleh syarikat Prestariang Berhad (kini dikenali sebagai Awantec) menyebabkan kerajaan dituntut ganti rugi sebanyak RM732 juta.

“Banyak yang rakyat mahu tahu termasuk tindakan saman oleh Prestariang yang menuntut ganti rugi sebanyak RM732 Juta. SPRM mesti berani menyiasat.

“Amat mendukacitakan di musim darurat ini macam macam lulus. Buat tiga dewan di Parlimen Pagoh sampai RM35 .4 Juta.

“Kini menantu pula adalah orang berkepentingan dalam projek yang bernilai RM1.16 Bilion.”

MOHD. PUAD ZARKASHI

Demikian tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dalam satu kenyataan hari ini menggesa jawapan daripada Muhyiddin berhubung skandal ini. SM

Selepas buat posting jangan makan rasuah, Syed Saddiq kena troll

  Borhan Abu Samah

Troll atau sindiran adalah perkara biasa pada masakini. Kebanyakan yang menjadi mangsa adalah orang menjadi perhatian awam.

Yang sering kena troll ialah ahli politik dan artis. Terbaharu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah.

Walaupun sudah tidak menjadi menteri belia dan sukan, beliau sering menjadi sasaran troll di media sosial.

Mungkin kerana beliau dilihat ancaman di dalam gelanggang politik selepas menubuhkan parti Muda, walaupun belum dapat didaftarkan secara sah.

Selepas membuat posting ini beliau kena troll:

Bagaimana saya dapat Laptop berkualiti x1 RM1300 even though market price RM1800.

Mudah.

1) Jangan makan rasuah.

2) Jangan guna orang tengah. Saya sendiri jumpa & tawar menawar.

3) Buy in Bulk! Beli banyak & negotiate hard. Cara pilih macam “open tender”.

The best for Muar

Walaupun mendapat ribuan retweet, tetapi ia tidak disenangi oleh musuh politik yang terus mengaitkan Syed Saddiq dengan kes rasuah dan salah guna kuasa dihadapi beliau.

Prinsip seseorang itu hanya bersalah, apabila didapati bersalah oleh mahkamah ditolak ke tepi, yang penting dapat memburukkan imej individu berkenaan.

Moga Syed Saddiq tidak lemah semangat dan terus berkhidmat untuk masyarakat dengan cara tersendiri. SM

Buku biografi Tommy Thomas membuka pekung di dada

Mohamad Athir Ismail

PENERBITAN buku biografi oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didakwa mendedahkan pekung di dada berbanding jasa kepada negara.

Ini kerana pendedahan-pendedahan yang dilakukan beliau dalam buku ‘My Story: Justice in the wilderness’ dikatakan sebagai memberitahu kelemahan sendiri.

Pendedahan yang dilakukan termasuklah tindakan mendedahkan konflik politik ketika Februari 2020 yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong sebagai kegagalan beliau sebagai Peguam Negara.

Sebagai Peguam Negara, beliau sepatutnya menyedari hakikat pemisahan kuasa dalam Kehakiman, Perundangan dan Eksekutif.

Justeru, pendedahannya itu menunjukkan beliau kelihatan tidak tegas dalam pendiriannya sebagai Peguam Negara dan mudah dipengaruhi campur tangan politik. 

“Biografinya mendedah lebih banyak pekong di dada. Ia bukti, Tommy adalah Peguam Negara lantikan politik.

“Contohnya, dia mengaku tidak mendakwa Zakir Naik (Pendakwah dan penceramah antarabangsa) atas arahan Mahathir (Tun. Dr.) dan lepaskan 12 suspek LTTE setelah dapat izin dari Tun M (Dr. Mahathir).

“Dalam kes Adib, Tommy berkeras tidak mahu dakwa suspek. Pada hal Koroner Rofiah Mohd putuskan kematian Adib adalah perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua atau tiga perusuh yang belum dikenali.

“Hairan juga, kenapa tidak tulis pasal Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP). Kenapa tidak dedah bagaimana kes Guan Eng digugurkan. Mustahil dia tidak rujuk kepada Mahathir sebelum kes itu dibuang.”

Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, dalam satu kenyataan yang turut mendakwa Tommy sebagai Peguam Negara terburuk dalam sejarah keadilan negara.

Selain daripada itu, antara kes lain yang tular tetapi tidak diambil tindakan atas alasan tidak munasabah adalah isu melibatkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Tommy juga tidak sentuh isu Azmin Ali. Sepatutnya dia bertanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, betul ke video itu kabur?,” katanya.

Oleh demikian, Mohd. Puad memberitahu beliau bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

“Saya setuju dengan komen balas Dzulkifli bekas boss SPRM. Katanya ‘Tommy yang gagal faham atau confuse antara tanggungjawab beliau sebagai Peguam Negara dan pendakwa raya’.

“Menurut Dzulkifli lagi, ‘Tommy keliru antara tugas menjadi penasihat undang undang kepada kerajaan dengan tugas melindungi dan membela rakyat daripada penjenayah’.

“Maka apa tujuan Tommy mendedah banyak cerita dalam biografinya yang terbaru.

“Apabila dia kata Yang di-Pertuan Agong mahu Wan Azizah (bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.) jadi PM untuk ganti Tun M yang letak jawatan, apakah Tommy menuduh Agong main politik?

“Tommy sebenarnya mahu ‘justified‘ apa yang dibuatnya selama menjadi AG (Peguam Negara) adalah betul. Dia rasa malu kerana hanya menjadi AG tidak sampai sepenggal,” tempelaknya. – SM

‘Datuk Seri’: Ciapan Syed Saddiq ditempelak netizen

Mohamad Athir Ismail 

Antara yang menerimanya termasuklah mereka dalam bidang politik, perniagaan, perkhidmatan awam dan juga perkhidmatan sosial.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyatakan gelaran dan pangkat itu lebih baik diberikan kepada individu yang benar-benar berjasa kepada rakyat.

Kerana menurutnya, berbanding menteri dan ahli politik, pendakwah seperti Ebit Irawan Ibrahim Lew lebih layak menerimanya.

“Lebih baik anugerahkan pangkat ‘Datuk Seri’ ke Ustaz Ebit Liew dari Menteri & Ahli Politik. Setuju?”

Ciap Syed Saddiq dalam Twitternya, namun ciapan itu tidak disambut baik oleh netizen yang kembali menempelak beliau.

“Pangkat darjat itu duniawi sahajalah. Chill jelaa. Siapa yang dapat anggap sahaja rezeki dia. Mungkin pangkat darjat itu pun satu ujian Allah dekat orang itu.

“Kita yang tak dapat ini chill jela jangan dengki-dengki. Hendak berkhidmat tak perlukan pangkat,” komen @amirul_naim7

“Ebit tak kebulur nak pangkat Datuk Seri. Sebab dia buat kerja ikhlas. Tak ada kelebihan langsung untuk diri dia kalau dapat gelaran itu. Senang kata dia tak perlukanlah,” tempelak @zieyzulshaari.

“Zaman tuan lagi dahsyat, baharu naik jadi menteri sudah dapat pelbagai gelaran.

“Padahal tak teruji dengan pelbagai badai pentadbiran atau wujud polisi yang hebat. Alangkah baiknya tuan dulu buat perubahan, tetapi itulah, dipersiakan,” balas @RenPa14.

“Jangan heret Ustaz Ebit Liew jadi ahli ‘politaik’ nanti banyak fitnah berleluasa. Ada sahajalah nanti kes lewatlah, khalwatlah.

“Tak payah biar Ebit Liew dapat pangkat seperti (beliau) super hero di mata kami walaupun tak ada pangkat, tetapi pahala dia banyak. apa ada pada pangkat dunia?” soal @nyctophfilia.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan seramai 355 orang menerima anugerah pingat dan kebesaran sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Antara penerimanya termasuklah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jiddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraidah Kamarudin.

Selain itu, ahli politik yang menerimanya adalah Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – SM

Hanya boleh bersuara isu rakyat, tiada kuasa buat keputusan – Zahid

  KHAIRULANUAR YAHAYA

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan segala isu masyarakat yang diluahkan oleh rakyat kepadanya akan disampaikan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional meminta rakyat untuk memahami bahawa dia hanya setakat boleh menyampaikan segala masalah kepada kerajaan tanpa mempunyai kuasa untuk mempengarui sebarang keputusan yang dibuat.

Ini kerana dia tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam kerajaan untuk mendesak atau mempengaruhi sebarang keputusan dalam sesuatu isu melibatkan rakyat.

“Saya adalah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang tidak memegang tampuk pentadbiran negara.

“Apa yang boleh saya lakukan dalam kapisiti yang terhad ini adalah akan bersuara dan terus bersuara demi kepentingan kita semua. 

“Jika perkara yang dibangkitkan itu tidak dilayan pihak berwajib, saya cuma mampu memohon maaf kepada saudara saudari,” kata Ahmad Zahid.

Tambahnya, dia juga mempunyai kuasa yang terhad terhadap menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional untuk mempengaruhi sebarang keputusan yang dibuat oleh Kerajaan.

“Saya akui beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Tetapi ia bukanlah bersifat partisan, bahkan ada kuasa yang lebih mendahului mereka.

“Jika anda melihat saya sebagai orang yang boleh bersuara, ya saya ada melakukannya seperti yang saya lakukan dalam pembentangan bajet dan banyak lagi sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ruangan komen di Facebooknya dilimpahi dengan pendapat dan saranan daripada rakyat berkaitan pelbagai isu yang melibatkan mereka untuk disuarakan kepada kerajaan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membaca semua pendapat dan pandangan yang diluahkan di ruang tersebut.

Justeru beliau mengalu-alukan setiap pandangan, cetusan idea, keluhan mahupun aduan untuk disampaikan kepada rakyat.

“Asslamualaikum saudara saudari sahabat Facebook yang dikasihi sekalian. Saya membaca kebanyakan komen-komen dan pandangan saudara saudari apabila kelapangan.

“Saya tahu ramai saudara saudari meminta supaya saya mengetengahkan lebih banyak isu. Terutama berkaitan bebanan dan kesukaran hidup pada masa ini, pengangguran dan bermacam lagi.

“Saya beri jaminan akan mengetengahkannya sebanyak yang boleh. Media sosial platform kita berinteraksi dan bersuara.

“Namun saya berharap saudara saudari memahami jua saya tiada dalam sebarang kedudukan untuk membuat keputusan bagi pihak kerajaan.” kata Ahmad Zahid.-SM

K'jaan S'gor kena saman - konspirasi tamat kontrak projek tanam semula hutan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Sebuah syarikat dan lima anak syarikatnya telah mengheret kerajaan negeri Selangor ke mahkamah atas tuduhan konspirasi menamatkan kontrak projek penanaman semula hutan simpan yang telah berlangsung sejak tahun 2001.

Mega Forest Plantation Management Sdn Bhd dan lima yang lain memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.

Syarikat lain yang disenaraikan sebagai plaintif ialah Megafores Nursery Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama dengan kerajaan negeri; dan anak syarikat Mega-Forestindah Paya Sdn Bhd, Mega-Foresternak Sdn Bhd, Megaforest Ideal Feed Sdn Bhd, dan Mega Forest Plantation Sdn Bhd.

Firma undang-undang Tetuan Akram Hizri & Azmir memfailkan tuntutan saman tersebut yang menamakan kerajaan negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Jabatan Perhutanan negeri, dan syarikat Trieco Green Sdn Bhd dan General Gadget Solution Sdn Bhd.

Ketika dihubungi hari ini, peguam mewakili enam plaintif, Hizri Hasshan berkata saman itu difailkan kerana penamatan kontrak berkaitan dengan pengurusan hutan lestari berkenaan didorong oleh unsur politik tertentu.

"Terdapat beberapa elemen politik ketika MB (menteri besar) Selangor berubah kepada Khalid Ibrahim (setelah pilihan raya ke-12 pada 8 Mac 2008).

"Kerajaan negeri cuba keluar daripada projek itu dan membatalkan kontrak yang terlibat," dakwa peguam itu.

Hizri mendakwa anak guamnya hanya mengetahui kontrak penghutanan semula ditamatkan tahun ini.

Perkara pokok tuntutan saman itu merangkumi perjanjian sewa dan konsesi yang ditandatangani pada 22 Februari 2001, yang melibatkan tanah rizab seluas 5,000 hektar di Hutan Simpan Rantau Panjang dan 5,000 hektar Hutan Simpan Bukit Tarek, di Ulu Selangor.

Perjanjian tersebut dilakukan berdasarkan penghutanan semula di mana kawasan pokok Akasia Mangium di kedua hutan simpan akan diganti dengan Sentang, Jati dan spesies pokok lain yang dipersetujui oleh Jabatan Perhutanan Selangor. Konsesi itu bagi tempoh selama 60 tahun.

Mega Forest Plantation Management pada kenyataan media hari ini berkata saman tersebut dikemukakan setelah anak syarikat kerajaan negeri mengakhiri perjanjian usaha sama itu.

Isu tadbir urus k'jaan negeri PH

Plaintif mendakwa perjanjian itu ditamatkan atas alasan pelaburan mereka tidak sah kerana tidak menerima lampu hijau daripada menteri kewangan pada tahun 2001.

"Syarikat Mega Forest Plantation mempertikaikan mengapa perkara ini hanya dibangkitkan pada masa kini dan bagaimana keperluan perundangan tersebut tidak disemak oleh kerajaan negeri sedangkan semua perjanjian diteliti dan diluluskan oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor pada ketika itu.

"Tindakan kerajaan negeri ini didakwa seolah-olah dirancang untuk mengusir pelabur selepas jutaan ringgit dibelanjakan untuk kos penanaman semula kawasan hutan simpan.

"Perkara ini jelas melibatkan isu integriti dan tadbir urus kerajaan negeri yang kini diterajui Pakatan Harapan," dakwa firma itu.

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman, enam syarikat itu memohon mahkamah mengisytiharkan defendan-defendan "secara bersesama telah melakukan tort konspirasi (conspiracy to injure) untuk menafikan hak-hak plaintif-plaintif di bawah perjanjian usahasama dan tort campurtangan tidak sah (tort of unlawful interference) terhadap perniagaan plaintif-plaintif."

Mereka meminta pengisytiharan bahawa Jabatan Perhutanan Selangor dan Trieco Green menandatangani kontrak tidak sah yang merupakan konspirasi untuk memusnahkan aset (pokok ditanam semula) yang diusahakan oleh pihak plaintif.

Plaintif menuntut perintah mahkamah untuk mendapatkan ganti rugi atas kehilangan aset di tanah yang terlibat dengan kadar pasaran semasa, antara lain.

Mereka juga meminta perintah sementara mahkamah untuk menahan pihak defendan daripada melakukan pembalakan, menceroboh atau menjual aset tersebut, sementara menunggu keputusan tuntutan saman tersebut.

Tindakan undang-undang ini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 1 Mac di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Rampasan kuasa: ASEAN tidak boleh hanya jadi pemerhati – Tok Mat

Shawaliah Hadir
myanmar-army
Tentera Myanmar. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu memanggil mesyuarat Menteri Luar ASEAN dalam usaha mencari penyelesaian terhadap pergolakan yang berlaku di Myanmar.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia juga perlu segera mendesak supaya semua pemimpin parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dibebaskan  dari tahanan.

Katanya lagi, tidak wajar untuk ASEAN  hanya menjadi pemerhati terhadap apa yang berlaku di Myanmar hari ini.

“Junta tentera wajar menghormati keputusan pilihan raya umum pada November lepas yang memberikan kemenangan besar kepada NLD, iaitu sebanyak 356 dari 412 kerusi.

“Malaysia perlu memanggil segera mesyuarat Menteri Luar ASEAN dan meneroka penyelesaian politik untuk Myanmar. ASEAN tidak lagi boleh hanya menjadi pemerhati pegun terhadap konflik yang membimbangkan ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau yang menyifatkan rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar sebagai mendukacitakan dalam masa yang sama menganggap tindakan tersebut sebagai merencatkan reformasi ke arah demokrasi di negara itu.

“Mengembalikan demokrasi dan memelihara kepentingan hak asasi manusia adalah urusan ASEAN dan ia mesti menjadi pencatur keamanan yang diyakini untuk rantau ini,” katanya lagi.

Tentera di Myanmar hari ini mengisytiharkan darurat di negara itu selama setahun selepas menangkap beberapa pemimpin NLD termasuk San Suu Kyi.

Tentera mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya umum pada November tahun lalu, yang memberi kemenangan besar kepada NLD pimpinan Suu Kyi. – MalaysiaGazette

Isnin, 1 Februari 2021

Dengan RM100 juta, hospital swasta patut lebih banyak bantu, kata Adun PKR

Kerajaan memperuntukkan RM100 juta di bawah pakej bantuan PERMAI 
untuk hospital swasta membantu memerangi Covid-19
.

PETALING JAYA: Seorang Adun PKR mempersoalkan Putrajaya tidak meminta hospital swasta melakukan lebih banyak lagi untuk membantu memerangi Covid-19, selepas kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada mereka.

Menyifatkannya sebagai “masa kritikal”, Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, orang ramai mengharapkan semua 96 hospital yang diwakili Persatuan Hospital Swasta Malaysia “tampil dan menyediakan perkhidmatan kepada negara”.

Katanya, semua maklum banyak hospital swasta “meraih berjuta-juta” keuntungan, walaupun berdepan tempoh sekatan akibat Covid-19.

Di bawah pakej bantuan PERMAI yang diumumkan kerajaan pada 18 Jan lalu, peruntukan RM100 juta disediakan bertujuan meningkatkan kerjasama antara hospital swasta dan awam bagi memerangi wabak tersebut.

Lee mendesak Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menjelaskan perincian peruntukan tersebut.

“Secara moralnya, sukar untuk diterima ketika kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan pelaksanaan darurat, dalam masa sama, ia tidak menuntut pihak hospital swasta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka,” katanya.

Beliau turut mendesak hospital swasta “berkongsi cadangan mereka” untuk mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam.

Pesakit dirujuk ke hospital swasta oleh doktor kerajaan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh memberitahu FMT, pesakit dipindahkan dari hospital awam ke hospital swasta mengikut budi bicara doktor kerajaan.

“Sekiranya pesakit Covid atau bukan Covid perlu dipindahkan, doktor kerajaan yang akan memutuskan sama ada pesakit perlu dipindahkan ke hospital swasta. Ia bukan keputusan pesakit.”

Katanya, diplomat, ekspatriat dan rakyat Malaysia yang memutuskan untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta perlu menanggung semua perbelanjaan sendiri.

Beliau berkata, caj yang dikenakan juga “tetap sama”.

“Kami mengenakan (kadar) bayaran normal, kos kami adalah tetap dan tidak boleh lebih rendah. Apapun caj yang dikenakan adalah yang paling rendah.”

Kuljit berkata, persatuan telah mengadakan perbincangan dengan syarikat insurans untuk melindungi pesakit Covid-19, tetapi firma tersebut menyatakan sebarang pandemik tidak termasuk dalam perlindungan

Adun DAP Johor positif Covid-19

Sheikh Omar Ali berkata, doktor menghubunginya hari ini untuk memaklumkan 
beliau positif Covid-19. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Wakil rakyat DAP di Johor, Sheikh Omar Ali mendedahkan beliau positif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian saringan hari ini.

Adun Paloh itu berkata, beliau ke Pejabat Kesihatan Daerah Kluang untuk menjalani ujian swab pada 11.30 pagi semalam kerana tidak sihat.

“Tadi doktor telah menghubungi saya untuk maklumkan keputusan ujian swab. Dukacita saya disahkan positif Covid-19.

“Saya mohon maaf pada semua, doakan saya dan keluarga kembali sihat dan selamat.

“Saya akan menerima rawatan lanjut mengikut saranan dan panduan pihak hospital,” katanya di Facebook.

Kes Covid-19 Johor melonjak sejak bulan lalu dengan 1,020 kes baru direkodkan semalam yang menyebabkan keseluruhan meningkat melebihi 21,000 kes di negeri itu.

Terbaru, pejabat menteri besar Johor ditutup untuk sanitasi selepas setiausaha politik menteri besar disahkan positif Covid-19.