HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Oktober 2021

Sebelum ini SPRM kompaun saya 50 kali ganda pada 2019: Ahmad Maslan

AGENDA DAILY

Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan bertindak melawan pendakwaan terhadapnya berhubung isu wang RM2 juta pada 2019 adalah disebabkan kompaun yang terlalu tinggi dikenakan, iaitu sebanyak 50 kali ganda oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen (MP) Pontian itu berkata tawaran kompaun SPRM sebelum ini yang dikenakan kepadanya tidak adil dan melampau menyebabkan beliau sanggup melawan keputusan agensi pencegah rasuah tersebut di mahkamah.

“Saya telah ditawarkan kompaun, apabila saya ditawarkan kompaun pada Oktober 2019 saya lawan kerana apa saya lawan kerana ada yang dikompaunkan itu dapat RM50,000 dikompaun 50 kali ganda oleh SPRM. Saya rasa Yang Amat Berhormat Langkawi pun pada ketika itu dia tak tahu tentang perkara itu.

“Macam mana 50 kali ganda kompaun. Ada orang yang menerima RM100,000 dikompaun 25 kali ganda maka saya lawan pada ketika itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini selepas diasak Ahli Parlimen pembangkang berhubung isu tersebut.

Ujarnya lagi, proses yang sedang dihadapinya memakan masa dan mengambil keputusan untuk membayar tawaran kompaun yang diberikan SPRM supaya tidak memanjangkan isu berhubung tersebut.

“Tapi saya melihat lambat betul proses saya mengaku pada SPRM saya terima RM1.1 juga. Saya tidak mengaku saya terima dua.

“Kemudian tanya kepada orang yang bagi iaitu Yang Berhormat Pekan (Datuk Seri Najib Razak). Yang Berhormat Pekan mengesahkan RM1.1 juta, oleh kerana itu saya telah membayar maka saya lepas dan bebas. Itu keputusan mahkamah yang patut kita hormati,” katanya lagi.

Semalam, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad terhadap dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Keputusan dibuat selepas Ahmad membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta

Sebelum ini Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ahmad, 55, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya.

PN mula susun pembahagian kerusi, bersiap hadapi PRU15


Perikatan Nasional (PN) sudah mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kesepakatan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini yang dihadiri semua parti komponen membabitkan Bersatu, PAS, parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR Sabah), Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Gerakan.

“Majlis Tertinggi juga telah membincangkan mengenai persiapan pilihan raya umum yang akan datang.

“Parti-parti komponen Perikatan Nasional telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi-kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata susulan pelaksanaan Undi-18, PN juga membincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan bagi menyantuni golongan muda dan bersiap sedia dengan penambahan pengundi-pengundi muda dan baharu ini.

Menurutnya PN sentiasa menghormati dan komited mendukung hak generasi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini.

Bekas Perdana Menteri juga berkata mesyuarat itu juga mencapai ketetapan menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September 2021.

PN, katanya, akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian parti itu dari semasa ke semasa mengenai MoU itu.

“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional bagi menyampaikan pendirian yang telah diambil oleh PN berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Pada masa sama Muhyiddin berkata majlis pelancaran rasmi PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November 2021 dengan PN Selangor menjadi tuan rumah.

Selain itu, beliau turut mengumumkan Haji Saiful Adli Mohd Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

Menurutnya, beberapa isu lain termasuk pentadbiran kerajaan, perancangan Majlis Pemulihan Negara, pengurusan pandemik Covid-19,situasi ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-12 dan isu-isu yang berbangkit berkaitan politik semasa, turut dibincangkan.

Agihan kerusi dibuat sesama parti PN, tak tunggu UMNO: Muhyiddin


Pengagihan kerusi sudah dibincangkan antara parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) tanpa melibatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang masih tidak jelas berhubung pendirian mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata hala tuju UMNO dan BN yang tidak jelas menyebabkan sebarang rundingan kerusi tidak akan melibatkan parti tersebut, sebaliknya PN akan mengagihkan pembahagian kerusi sesama parti yang berada dalam gabungan itu.

“Sementara ini kita peringkat Perikatan Nasional membuat keputusan kerana kita belum dapat pasti hala tuju UMNO ke hadapan dan belum ada satu pernyataan yang jelas pada pihak pimpinan UMNO ataupun BN sendiri supaya rundingan kerusi itu dibuat antara kita, parti-parti dalam Pakatan Nasional.

“So basically yang akan kita rundingi ialah kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang kita akan agihkan antara parti-parti Bersatu, PAS, Gerakan dan untuk Sabah dan Sarawak termasuklah Parti Star dan SAPP,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PN hari ini.

Jelas Muhyiddin lagi, pilihan raya umum (PRU) yang dijangka berlangsung tahun depan sudah semakin hampir dan PN tidak boleh menunggu keputusan parti lain yang belum membuat keputusan untuk bersama mereka atau sebaliknya.

“Sebab itu keputusan yang telah pun kita buat kerana kita jangka pilihan raya akan diadakan mungkin pada tahun hadapan.

“Tempoh masa tidak lama… Jadi kalau kita nakparti lain membuat satu keputusan dan pendirian ini akan terganggu urusan-urusan persiapan pilihan raya yang nak diatur oleh parti Perikatan Nasional,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, PN berada dalam kerajaan ketika ini bagi mengelakkan blok pembangkang dapat menerajui semula kerajaan selepas beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Kerajaan sekarang pimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terbentuk juga hasil sokongan PN, tanpa sokongan tersebut UMNO tidak akan dapat kembali menjadi dominan di Putrajaya.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merancang pakatan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga cikgunya untuk menjatuhkan Muhyiddin tetapi membuat pusingan-U apabila tidak menyokong Presiden PKR itu menjadi PM yang baharu.

Selain itu, pencalonan Ismail Sabri sebagai PM Kesembilan juga dikemukakan oleh Muhyiddin sebagai syarat kepada UMNO untuk mendapatkan sokongan.

Hanya Perhimpunan Agung pada 13 Jan tahun depan, tiada pemilihan


Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan diadakan pada tahun depan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022 tetapi tiada pemilihan parti akan dijalankan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Katanya, mesyuarat itu turut memutuskan persidangan UMNO Cawangan akan diadakan daripada 15 Oktober hingga 30 November ini.

“Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian pula diadakan secara serentak seluruh negara bermula 11 hingga 12 Disember.

“Bagi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, ia akan diadakan secara serentak seluruh negara pada 18 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Maslan, semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sudah bersetuju mengenai penangguhan pemilihan parti sehingga 29 Disember 2022.

“Mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dengan maya mengikut situasi COVID-19 di kawasan masing-masing.

“Kehadiran mesyuarat adalah dengan korum minimum satu perempat daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada satu perempat asalkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan mengikut kawasan masing-masing,” katanya.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.

Ahmad Maslan bakal dipilih Timbalan Speaker selepas dibebaskan?


Susulan keputusan dibebaskan daripada dua pertuduhan selepas bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, spekulasi bertiup kencang mengatakan Datuk Seri Ahmad Maslan bakal dilantik sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

Setiausaha Agung UMNO itu membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta terhadap dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seorang Ahli Parlimen (Batu Gajah), V Sivakumar mempersoalkan keputusan kompaun tersebut dibayar Ahmad dan menimbulkan tanda tanya sama ada beliau akan dilantik sebagai Timbalan Speaker.

“Rakyat melihat tindakan ini sebagai satu kompromi yang amat menjejaskan imej institusi kehakiman dan Peguam Negara. Penarikan semula pendakwaan terhadap Ahmad Maslan adalah tidak wajar

“Apakah ini sengaja dilakukan untuk memberi peluang dan membuka jalan kepada beliau untuk dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini mencalonkan Ahmad sebagai calon Timbalan Speaker, sementara pembangkang menamakan MP DAP, Nga Kor Ming sebagai calon mereka.

Dewan Rakyat menangguh pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada sidang kali ini ke Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan depan.

Mengikut ketetapan awal, usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

Pindaan Akta Parlimen dikaji larang Kluster Mahkamah hadir sidang


Mesyuarat Khas Transformasi Parlimen bersetuju Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dipinda, bagi melarang Ahli Parlimen (MP) atau Senator yang berdepan pendakwaan di mahkamah, daripada mengambil bahagian dalam persidangan sehingga kes selesai.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata perkara itu antara yang dicapai pada mesyuarat khas Transformasi Parlimen bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, semalam.

“Selain itu kedua-dua Dewan juga sedang meneliti untuk menggubal satu kod etika khas bagi Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan semalam. Beliau mempengerusikan mesyuarat itu mewakili Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Pentadbir Parlimen, Nor Yahati Awang serta kedua-dua Setiausaha Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Susulan mesyuarat itu, satu draf rang undang-undang dan Memorandum Jemaah Menteri mengenai transformasi Parlimen telah diserahkan kepada Menteri untuk dibentang dan diluluskan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata perkembangan penting yang turut dicapai ialah apabila Menteri turut menyokong penuh langkah meminda dan memperkasa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 agar konsep pengasingan kuasa antara legislatif dan eksekutif dapat dijelmakan sebagaimana termaktub dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, langkah itu akan menyaksikan Parlimen tidak lagi tertakluk di bawah kuasa eksekutif serta membolehkan beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas baharu yang mempunyai kuasa perundangan diwujudkan dalam masa terdekat.

Rais berkata segala transformasi yang sedang rancak diusahakan ini adalah selari dengan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September lalu, yang antara lain memberi fokus kepada transformasi Parlimen itu sendiri.

Satu interaksi dan taklimat khas mengenai perincian transformasi Parlimen ini akan dibuat kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan senator dalam masa terdekat bagi memastikan usaha ini dapat dilunaskan sebaik mungkin, katanya.

Kertas siasatan kes Guan Eng diserah ke pejabat pendakwaan

Siti Fatimah

Setiausaha Agung DAP nafi dakwaan langgar syarat kuarantin kendiri

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang telah menghantar kertas siasatan kes Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung dakwaan ingkar arahan kuarantin kendiri dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 September lepas ke Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang untuk tindakan seterusnya.

“Pihak polis telah selesai menyiasat kes itu dengan 11 orang termasuk Lim direkodkan keterangan bagi membantu siasatan dan kertas siasatannya juga telah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang untuk tindakan seterusnya.

“Sehingga kini kertas siasatan masih belum mendapat sebarang arahan dari Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang, siasatan kes itu dijalankan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 8 September, jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang Mohd Aswaad Jaafaf membuat laporan polis terhadap Lim yang didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.

Laporan polis itu dibuat selepas peguam Lim, Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan projek pembinaan terowong dasar laut, memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September.

Bagaimanapun, Lim telah menafikan dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri dan berkata beliau hanya dimaklumkan pada 2 Sept berhubung perkara itu selepas menghadiri persidangan DUN. – Bernama

BERJASA syor wujudkan Tabung Waqaf Perniagaan Bumiputera

Ainul Illia

Jadikan dasar ekuiti Bumiputera lebih inklusif, tidak hanya kayakan kroni

BANGI – Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berpandangan, dasar ekuiti Bumiputera mesti disekalikan dengan polisi  membantu Bumiputera yang lain kerana mampu memberi kesan positif lebih menyeluruh. 

Bagi menjayakan tujuan itu, beliau mencadangkan penubuhan Tabung Waqaf Perniagaan Bumiputera (Bumiputra Endowment Business Fund) dan diselia di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Melalui tabung berkenaan, satu polisi perlu digubal untuk mewajibkan Melayu Bumiputera yang sudah mendapat manfaat meletakkan sumbangan dana yang akan digunakan untuk membantu Melayu dan Bumiputera lain membuka perniagaan berimpak tinggi. 

“Tabung ini memfokuskan dana kepada orang Melayu dan Bumiputera yang layak dan berkemahuan untuk menceburi perniagaan berimpak tinggi.

“Antaranya bidang teknologi, industri ketenteraan, perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan dan sebagainya sehingga disenaraikan di papan Bursa Malaysia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Hazwan berkata, tabung ini akan memberi pinjaman perniagaan tanpa faedah, tetapi dengan syarat mesti mengembalikan semula bantuan yang diberikan dalam tempoh beberapa tahun.

Paling penting, mereka kemudian melakukan perkara yang sama iaitu meletakkan lebihan dana tambahan untuk kegunaan dan faedah lain.

“Dasar dan polisi ini akan mampu menghasilkan lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing seterusnya membantu meningkatkan ekuiti Bumiputera.

“Melalui polisi ini, ia akan menjadikan dasar ekuiti Bumiputera sebagai sebuah dasar yang inklusif dan tidak hanya mengkayakan kroni atau mengkayakan orang Melayu dan Bumiputera yang sedia ada kaya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus pegangan dalam sektor berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran tahun 2019 menunjukkan pegangan ekuiti Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus.

Justeru, beliau menyatakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bagi memastikan penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijualkan kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang lain.

Bagaimanapun, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rancangan tersebut akan menguntungkan tuan politik serta ‘kroni’ dan bukannya orang miskin.

Justeru, Anwar mempertikaikan apakah inisiatif pemberdayaan Bumiputera dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan membantu golongan yang memerlukan.

PN sepakat selesaikan pembahagian kerusi antara parti komponen

KUALA LUMPUR: Parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kata sepakat itu dicapai dalam Mesyuarat MT PN yang disertai oleh BERSATU, PAS,

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan GERAKAN.

Katanya, pembahagian kerusi itu hanya membabitkan parti komponen dalam PN tanpa UMNO ataupun Barisan Nasional (BN) berikutan mereka belum memberikan kata putus mengenai hala tuju.

"Ini kerana, kita tidak dapat apa-apa lagi gambaran walaupun realitinya kita bersama dalam kerajaan.

"Bagi menunggu parti lain, ia akan mengganggu urusan kerana kita menjangkakan PRU-15 pada tahun depan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT PN yang berlangsung di Ibu pejabat PN, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, keputusan pembahagian kerusi antara parti komponen PN dilaksanakan berikutan PN tidak tahu hala tuju UMNO atau BN untuk PRU-15.

"Pembahagian kerusi Parlimen dan DUN di Semenanjung akan membabitkan antara BERSATU, PAS dan GERAKAN.

"Bagi Sabah pula, hanya pembahagian kerusi untuk Parlimen kerana kerusi DUN sudah selesai pada September tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat MT turut menetapkan majlis pelancaran rasmi parti PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November depan dengan PN Selangor akan menjadi tuan rumah.

Pada mesyuarat sama, Saiful Adli Mohd Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif parti PN berkuat kuasa esok.

Media sebelum ini melaporkan, UMNO enggan mengadakan sebarang perbincangan dengan BERSATU berhubung pembahagian kerusi menjelang PRU-15.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata perkara itu jelas kerana UMNO sudah memutuskan lebih awal dan dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 kali ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Januari ini

KUALA LUMPUR: UMNO menetapkan Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan diadakan pada tahun hadapan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Katanya, mesyuarat itu turut memutuskan persidangan UMNO Cawangan akan diadakan daripada 15 Oktober hingga 30 November ini.

"Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian pula diadakan secara serentak seluruh negara bermula 11 hingga 12 Disember.

"Bagi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, ia akan diadakan secara serentak seluruh negara pada 18 Disember ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Maslan, semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sudah bersetuju mengenai penangguhan pemilihan parti sehingga 29 Disember 2022.

"Mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dengan maya mengikut situasi COVID-19 di kawasan masing-masing.

"Kehadiran mesyuarat adalah dengan korum minimum satu perempat daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada satu perempat asalkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan mengikut kawasan masing-masing," katanya.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.