HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Februari 2011

Umno adakan pemilihan olok-olok, mahu elak nasib PKR

BERNAMA

IPOH — Umno akan mengadakan pemilihan olok-olok di peringkat cawangan dan bahagian pada tahun ini sebagai persediaan memastikan proses pemilihan yang akan diadakan mengikut pindaan perlembagaan parti pada perhimpunan agung khas 2009 lalu berjalan lancar apabila dilaksanakan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata walaupun tarikh pemilihan sebenar belum ditetapkan, persediaan perlu dibuat supaya pelaksanaannya nanti tidak menimbulkan sebarang masalah.

Katanya Umno telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi memantau pemilihan olok-olok yang akan diadakan di peringkat bahagian dan cawangan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Serentak Cawangan-Cawangan Umno Perak di sini hari ini, beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu mendapat restu Majlis Tertinggi (MT).

“Ia juga bertujuan memastikan persiapan pemilihan dalam parti nanti berjalan dengan lancar ... mana-mana bahagian yang boleh buat pemilihan seperti itu kerana bukan semua bahagian boleh buat, kalau tak buat tahun ni pun tak apa kerana kita tidak tahu bila pemilihan dalam parti akan diadakan.

Beliau berkata langkah itu diambil kerana Umno tidak mahu keadaan yang berlaku seperti dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini turut terjadi kepada Umno.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata pimpinan parti melihat insiden seperti yang berlaku di Timur Tengah baru-baru ini sebagai iktibar untuk melakukan transformasi demi kepentingan rakyat.

Katanya pendekatan yang dilaksanakan terhadap golongan muda melalui penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter menunjukkan para pemimpin parti sentiasa mengikut keadaan dan tuntutan semasa.

“Cara untuk bergerak bergantung kepada pendekatan yang mungkin di luar kotak yang mana rakyat kita dahulukan dan pengundi tentukan nasib kita akan membawa — manfaat kepada parti dan masa depan negara menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13,” katanya.

Ahad, 27 Februari 2011

Rosmah tak mahu lawan, serah pada Allah

Jimadie Shah Othman

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang jarang kelihatan pada kempen pilihan raya kecil, hari ini turun padang di DUN Kerdau.

Sambil merayu penduduk setempat memberikan undi pada calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, Rosmah mengingatkan pengundi supaya menolak "dakyah" dan "fitnah" Pakatan Rakyat.

NONE"Jangan dengar dakyah pembangkang. Pembangkang ini cuma sedap mengata saja. Alhamdulillah.

"Saya tak mahu lawan. Saya serah pada Allah sahaja," katanya dalam majlis ramah mesra di Felda Jengka 25 - antara kubu kuat BN di Kerdau.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai menilai sendiri dirinya dan bukan mendengar semata-mata daripada kumpulan tersebut.

"Tengok muka saya puas-puas. Ada ke muka penipu? Tak ada kan?" soalnya.

Bukan seronok-seronok


Berucap kepada kira-kira 200 penduduk setempat, Rosmah yang sering menghadapi pelbagai sindiran pembangkang tampil secara terbuka menjawab dakwaan-dakwaan terhadapnya.

Beliau antaranya menafikan mengawal suaminya Datuk Seri Najib Razak dan melakukan pemborosan dalam rawatanya bagi menyampaikan ucap utama dalam persidangan mengenai pendidikan di Arab Saudi baru-baru ini.

najib and rosmah 250608 01"Bila masa saya cakap (pada Najib) buat macam itu, buat macam ini. Mahu Datuk Najib nak ikut cakap saya. Saya ini, (contohnya) kalau dia kata duduk, saya duduklah," katanya yang kerap berseloroh dalam ucapannya.

Berhubung lawatannya ke Riyadh, Rosmah menjelaskan beliau hadir ke sana kerana diberikan peluang dan pengiktirafan oleh negara luar yang diakwanya jarang diperoleh oleh rakyat Malaysia, apatah lagi seorang wanita.

Menurutnya, pemergiannya atas undangan kerajaan Arab Saudi itu mendapat sambutan menggalakkan, antaranya daripada anakanda raja dan permaisuri kerajaan itu sendiri yang mengucapkan terima kasih melalui panggilan telefon dan menjemputnya makan malam bersama.

"Saya bukan hendak membesarkan diri, tetapi saya hendak tunjukkan, saya pergi saya bukan untuk seronok-senorok, bukan hendak 'happy happy' (bergembira)," katanya lagi.

'Dia tak kerja, beritahu saya'


Justeru, beliau yang mengaku berpeluh-peluh berkempen datang ke kawasan Felda itu bagi membantu kempen Najib merayu penduduk Kerdau terus memberikan undi kepada calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad.

azlan"Saya minta 30 minit saja (mengundi Syed Ibrahim). Esok kalau dia menang, ada masalah apa pergilah ketuk pintu rumah dia.

"Kalau dia tidak buat apa beritahu saya," katanya berseloroh.

Rosmah sebelum itu mengunjungi beberapa rumah di Felda tersebut bagi beramah-mesra dan bertanyakan masalah penduduk setempat.

Felda Jengka 25 merupakan antara tiga kawasan Felda di kawasan itu yang dianggap sebagai kubu kuat BN dan menjadi faktor yang menjamin kemenangan mereka selama ini.

Dalam pilihan raya kecil DUN itu pada 6 Mac ini, calon BN atau lebih dikenali sebagai Syed Ibra akan ditandingi calon PAS Hassanuddin Salim - seorang bekas kontraktor untuk projek berskala besar.

Penduduk tegur MB agih biasiswa macam angpau

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH: Seorang penduduk kampung melahirkan rasa hairan bagaimana wang biasiswa yang sepatutnya dipohon mengikut prosedur tertentu, boleh diagihkan seperti angpau oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakub kepada penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau.

Abdul Aziz Ismail, 55, dari Desa Baru Purun dekat sini berkata, majlis penyampaian berkenaan diadakan di Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang kelmarin melibatkan pelajar-pelajar dalam daripada Dun berkenaan.

Tambahnya, wang bernilai RM250 yang dikatakan biasiswa Yayasan Pahang itu diberi dalam sampul surat bersama borang dan baki RM250 lagi akan dibayar beberapa bulan lagi.

“Orang kampung jadi pelik bila MB agih duit biasiswa macam bagi ang pau sebab selama ini penduduk nak minta bantuan tersebut bukan main ketat lagi prosedurnya.

“Tapi kelmarin saya percaya seluruh pelajar dalam Dun Kerdau semuanya dapat duit biasiswa tanpa perlu mengisi borang dan tanda tangan wakil rakyat seperti selalunya.

“Walaupun wang itu memang hak rakyat yang layak menerimanya, tetapi saya percaya akan menyebabkan penduduk yang bukan dalam Dun Kerdau tidak puas hati sebab anak mereka juga layak dapat biasiswa,” jelasnya.

Kelmarin Adnan mengagihkan wang Yayasan Pahang di Sekolah Kebangsaan Telok Sentang kepada pelajar-pelajar anak penduduk kampung tradisional dan penempatan Orang Asli dalam Dun Kerdau.

Selain Teluk Sentang, pelajar-pelajar daripada pusat mengundi Kerai dan Batu Sawar turut dipunggah ke situ. Selain daripada itu, penduduk di tiga kawasan Felda iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25 juga turut menerima biasiswa daripada Adnan.

Abdul Aziz berkata, selain Adnan beberapa menteri lain juga turut melawat kawasan termasuk Datuk Seri Shapie Apdal yang menyerahkan kunci perumahan Risda, sedangkan rumah tersebut sudah lama diduduki.

“Saya diberitahu Najib dan Muhyiddin juga sudah diatur programnya bagi menemui penduduk di kawasan kami dan saya yakin mereka juga akan mengagihkan wang kepada orang tua, orang kurang upaya (OKU) dan orang miskin.

“Mungkin turun sekali seumur hidup itu baik bagi penduduk untuk bertemu dan menadapat wang daripada pemimpin, tapi apa yang saya bimbang ialah pada masa depan jika rakyat berada dalam kesusahan atau ada masalah, mereka akan mengharapkan wakil rakyat mereka mati.

“Sebab apabila berlaku PRK, segala yang diminta biasanya akan segera makbul,” ujarnya.

Sertai Umno: 1,800 atau 18 orang

M Faqih

PASIR PUTEH: Seramai 1,800 orang atau 18 orang bekas penyokong PAS yang dikatakan menyertai Umno. Inilah gimik yang berjaya dicetus ketua Umno bahagian ini, Zawawi Othman.

Atau beliau sekadar mahu menutup 300 penyokong Umno yang kecewa dengannya sehingga bertindak meninggalkan Umno di Dun Selising baru-baru ini.

Naib Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, Ketua Umno sekarang terpaksa mencipta gimik yang keterlaluan bagi mengatasi pencabarnya dalam Umno sendiri.

“Sebab itulah cerita yang tidak masuk pun hendak disumbat dalam media massa bagi menggambarkan Umno bahagian ketika di bawahnya sekarang kuat.

“Sedangkan Zawawi sedang berdepan dengan situasi agak mencabar apabila beberapa nama besar Umno di Pasir Puteh sedang berusaha menjatuhnya,” katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan seramai 1,800 penyokong PAS sertai Umno di Pasir Puteh dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini kononnya menyedari mereka ditipu.

Malah retorik itu beberapa kali diulang tayang sehingga seorang wanita yang memakai purdah dikenali sebagai Noriah Salleh disebut sebagai ketua muslimat PAS, sedangkan tiada ahli bernama seperti itu di Semerak.

Wan Hassan yang juga Adun Semerak berkata, Zawawi terpaksa mencipta pelbagai gimik yang tidak masuk akal untuk menggambarkan kekuatannya sekarang.

“Sepatutnya beliau menjawab mengapa 300 penyokong Umno di Dun Selising meninggalkan parti itu baru-baru ini. Ini realiti yang berlaku dan cuba disembunyikan Zawawi.

“Di Dun Semerak pula tiga bekas Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan seorang ketua JKKKP Semerak hilang kepercayaan kepada Zawawi kerana sikap begitu ego,” katanya.

Malah kata beliau ketua Umno Pasir Puteh sekarang didakwa menghalang bukan penyokongnya mendapat bantuan di bawah kerajaan pusat.

Dakwa beliau mana-mana ahli Umno yang didapati menyokong kumpulan lain termasuk bekas ketua bahagian, Datuk Kamaruddin Mohd Nor dan bekas ketua pemuda, Rujhan Salleh akan dipinggirkan.

Demo : Lebih 300 Sudah Ditangkap (TERKINI)

Ditulis oleh Radzi Razak


KUALA LUMPUR : Lebih 300 peserta perhimpunan aman anjuran Parti Hak Asasi dan sekutunya Hindraf ditahan polis di sekitar Kuala Lumpur termasuk pemimpinnya P Uthayakumar yang ditangkap seawal pagi tadi ketika beliau hendak keluar ke kawasan protes.

Dalam perkembangan terbaru, setakat jam 11 pagi tadi para peserta perhimpunan berkumpul di Kuil Kottei Mallai di Pudu untuk meneruskan bantahan. Menurut wakil HRP Y.Mohan lebih 1,000 masyarakat India turun menyertai perhimpunan ini namun lebih 300 orang telah ditahan. Penasihat HRP M Ganeson kecewa dengan tindakan polìs dan mahu mereka yang ditangkap dibebaskan segera.

Uthayakumar, yang sebelum ini telah berkali-kali ditahan sebagai pemimpin kumpulan yang diharamkan, Hindraf juga pernah merengkok selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negara, (ISA). Kali ini, dia ditangkap di pangsapurinya di Pantai Hillpark pada jam 8 pagi.

"Dia digari dan dibawa ke dalam sebuah van putih," kata adik kepada Uthayakumar, - Waythamoorthy dari London menerusi satu mesej SMS kepada Malaysiakini.

Menurut ketua penerangan HRP, S Jayathas, - Uthayakumar telah dibawa ke ibu pejabat daerah polis Pudu untuk disoal-siasat.

Adalah difahamkan perarakan itu sepatutnya bermula dari Hotel Renaissance, yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Selain Uthayakumar, 17 lagi individu yang terbabit dengan perarakan itu juga dicekup oleh polis awal pagi tadi - tujuh di KLCC manakala 10 lagi di Hotel Renaissance.

Identiti mereka belum diketahui.

Sementara itu, jalan-jalan utama ke pusat bandaraya Kuala Lumpur sejak malam semalam telah dipantau dengan beberapa sekatan di lokasi-lokasi strategik bagi mematahkan demonstarsi yang dirancangkan itu.


hindraf mass rally against umno and interlok 270211 4Antara tempat yang dilaporkan itu termasuk di Jalan Ampang, Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Tun Razak dan jalan Duta-Lebuhraya Sungai Buluh.

Perarakan itu sepatutnya bermula di KLCC tetapi rancangan mereka terpaksa ditukar kerana kehadiran jumlah polis yang agak besar pagi ini sekitar bangunan berkenaan.

Dianggarkan tidak kurang 200 anggota polis termasuk mereka yang tidak memakai pakaian seragam berada di lokasi berkenaan. Sebahagian besar mereka ditempatkan di antara Jalan Ampang - Avenue K dan bangunan berkembar Petronas.

Wartawan diberi arahan supaya tunggu di sebuah perhentian bas di KLCC, tetapi arahan itu seringkali tidak diendahkan apabila mereka mendapat tahu berlaku kekecohan di sesetengah tempat.

Demo : Polis Sekali Lagi Guna Kekerasan, Ratusan Peserta Ditangkap

Ditulis oleh Edi Suleiman



KUALA LUMPUR : Polis Simpanan Persekutuan (FRU) hari ini sekali lagi menggunakan kekerasan sebelum menangkap ratusan rakyat kaum India yang membantah dasar-dasar rasis Umno dan penggunaan sebuah novel kontroversi sebagai buku teks di sekolah.

Menurut pihak polis, seramai 109 penunjuk perasaan ditahan, namun mengikut penganjur perhimpunan jumlah tangkapan melebihi 300 orang.

Sebelum ini ratusan aktivis dan orang ramai berhimpun di beberapa tempat sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur, dalam adegan-adegan yang mirip dengan tunjuk perasaan anjuran Hindraf pada tahun 2007.

Tunjuk perasaan lebih 10,000 orang itu menjadi puncak kemarahan kaum India terhadap Umno-Barisan Nasional , sebagaimana yang dizahirkan pada pilihanraya umum tahun 2008.

Kali ini, walaupun jumlah yang hadir adalah lebih rendah, namun kemarahan terhadap dasar-dasar diskriminasi Umno-BN masih kuat membara.

Mereka berkumpul dari awal pagi, penduduk kaum India yang sekali lagi menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap dasar-dasar Umno-Barisan Nasional.

Walaupun diberi pelbagai janji oleh Perdana Menteri Najib Razak, namun mereka terus terpinggir dalam pelbagai isu, walaupun merangkumi kaum ketiga terbesar di Malaysia.

Kali ini api kemarahan disemarakkan dengan keengganan kerajaan menarik balik buku novel Interlok yang menggunakan ungkapan yang menghina kaum India.

Penganjur bantahan menjanjikan tunjuk perasaan yang aman, dengan syarat tidak ada campurtangan polis. Dan mereka merujuk nasihat Perdana Menteri Najib Razak kepada dunia Islam untuk tidak menggunakan kekerasan ke atas rakyat yang mahu menyuarakan pandangan mereka.

Namun nasihat Perdana menteri itu jelas tidak digunapakai di Malaysia sendiri.

Penunjuk perasaan dikasari, ada yang dipijak kepala sebelum digari untuk di bawa ke lokap polis.

Mereka berkumpul secara aman di beberapa lokasi termasuk Hotel Maya, Hotel Renaissance, KLCC dan sebuah kuil di Jalan Pudu.

Ratusan polis lengkap dengan trak meriam air, senjata automatik dan gas pemedih mata, melakukan tangkapan ke atas sesiapa sahaja yang dipercayai menyertai tunjuk perasaan ini .Seramai 103 orang di tangkap di bawah Akta Polis dan Akta Pertubuhan.

Antara yang ditahan adalah P.Uthayakumar, seorang peguam dan pengasas Hindraf serta Parti Hak Asasi Malaysia. Beliau sebelum ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana menganjur tunjuk persaan Hindraf yang terdahulu. Turut ditahan dua wartawan dari media alternatif yang dituduh menghalang polis daripada menjalankan tugas mereka.

"Kami dilayan seperti anjing oleh polis. Kita menganggotai Majlis Keselamatan PBB tetapi kerajaan melayan rakyatnya sendiri seperti ini," kata M.Ganeson, penasihat Parti Hak Asasi sebelum beliau ditangkap oleh polis.

Mereka yang ditahan di bawa ke beberapa balai polis di sekitar Kuala Lumpur. Penyokong termasuk ahli keluarga mereka yang ditahan berkumpul di luar balai polis setelah tidak dibenarkan masuk untuk berjumpa mereka. Isteri Uthayakumar turut dilarang berjumpa suaminya. Antara yang hadir untuk memberi bantuan guaman adalah peguam dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

"Ini satu lagi contoh penyalahgunaan kuasa untuk menghalang protes, jadi kami mahu tahanan dibebaskan secepat mungkin," kata Gobind.

Tidak Mustahil Asia Ikut Jejak Mesir Jika Demokrasi Ditekan - Anwar

Ditulis oleh Edi Suleiman

Kebanyakan negara Asia akan berdepan dengan kebangkitan rakyat ala Mesir jika mereka terus mengekang institusi- institusi seperti badan kehakiman dan media-massa yang menjadi penanda aras demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu menegaskan pemerintah autokratik di rantau ini tidak lagi boleh menghalalkan kekangan sebegitu sebagai pra-syarat mengejar kemajuan kerana lambat laun rakyat akan bangkit menolak penindasan sebegitu.

“Anggapan bahawa sesebuah kerajaan harus memusatkan segala kuasa pada dirinya, memerintah secara autokratik demi mencapai pemodenan dan membasmi kemiskinan, tanpa diselia oleh institusi-institusi berwibawa...amat bertentangan dengan konsep demokrasi dan kebebasan,’ tegas Anwar.

Anwar menyifatkan Jepun, India dan kini Indonesia sebagai pengamal sistem demokrasi yang agak rancak, manakala kebanyakan negara Asia yang lain dibelit dengan pemerintahan kuku besi.

“Pemimpin di rantau ini harus diingatkan untuk melaksanakan pembaharuan sosio ekonomi dan memperkasakan institusi-institusi demokrasi dan hak kebebasan rakyat,” kata Anwar dalam ucaptamanya mengenai forum kebangkitan Asia yang berlansung di Phonm Penh Kemboja.

Anwar berkata gerakan demokrasi di Mesir, Libya, Tunisia dan dunia Islam lain mempunyai impak yang besar ke atas negara-negara Asia.

Seperti di Timur Tengah, ramai pemerintah di Asia secara sistematik bertindak menghakis, malah memansuhkan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan keseimbangan kuasa.

“Sebagai pengganti, mereka memperkenalkan undang-undang zalim yang mencabul kebebasan asas rakyat dan konsep pengasingan kuasa yang menjadi prinsip asas sistem demokrasi,” tegas Anwar.

Akibatnya, kata Anwar, hak dan kebebasan rakyat di negara-negara Asia berkenaan semakin terhakis, tidak kira samada mereka dari golongan miskin, suku kaum minoriti atau kelas pertengahan.

“Di tengah-tengah penindasan ini, kita melihat pemimpin kerajaan begitu ghairah mencari sokongan walaupun dengan cara meniupkan api perkauman yang menggugat kestabilan negara,” tambah Anwar.

Lebih menjengkelkan apabila pemimpin negara penduduk majmuk mengawal penuh institusi-institusi negara temasuk media massa hanya untuk mencetuskan ketegangan kaum demi kelangsungan politik diri.

Dalam ucapannya itu, Anwar menegaskan selain pilihanraya yang bebas dan adil, institusi kehakiman adalah tunjang utma untuk mempertahankan kewibawaan sesebuah negara.

“Sesebuah badan kehakiman yang tercemar boleh dan akan membawa negara ke ambang kehancuran. Ia akan membawa kepada kegagalan secara terancang proses keadilan di negara itu,” kata Anwar.

Anwar melahirkan rasa kesal dengan sesetengah pemimpin Asia yang terus engkar menghayati mesej yang dibawa menerusi kebangkitan rakyat di Timur Tengah.

“Kita harus ingatkan pemimpin autokrat yang angkuh ini bahawa lambat laun mereka akan membayar harga yang tinggi kerana menolak suara rakyat menuntut kebebasan dan demokrasi,” tegas Anwar.

“Apa yang rakyat mahukan ialah keadilan sosial, kebertanggungjawaban untuk membanteras rasuah, urus tadbir telus dan pemberdayaan politik,” tambah Anwar.

Najib: Saya tak kata Ikhwanul Muslimin Mesir kumpulan pengganas

THE MALAYSIAN INSIDER


Najib Razak bersalam dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dun Kerdau Syed Ibrahim Syed Ahmad selepas majlis mesra bersama warga Felda Jengka 23 di sini, hari ini. — Foto Bernama

TEMERLOH— Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak pernah melabelkan kumpulan Islam terbesar Mesir Ikhwanul Muslimin dan ulama terkenal dunia Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai pengganas.

Perdana Menteri berkata sebaliknya gerakan itu perlu menghilangkan persepsi dunia terhadap mereka yang dianggap sebagai kumpulan ekstrem.

“Saya tak kata Muslim Brotherhood (Ikhwanul Muslimin) ini kumpulan pengganas. Saya kata Muslim Brotherhood (Ikhwanul Muslimin) boleh ambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat menolak keganasan dan fahaman ekstremis, sebab ini (kumpulan pengganas adalah) pandangan umum terhadap Muslim Brotherhood, bukan pandangan saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Felda Jengka 25, di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak beliau menarik balik tuduhan liar yang dilemparkan kepada Ikhwanul Muslimin dan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Dalam kenyataannya semalam, Nasharudin mendesak Najib supaya menarik balik “tuduhan liar” yang didakwa dilemparkan ke atas Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf Al-Qardhawi berhubung penglibatannya dalam politik pascaera Hosni Mubarak.

“Memetik ucapan yang dibuat olehnya (Najib) di Istanbul baru-baru ini, beliau mendakwa parti politik Ikhwanul Muslimin terlibat dengan keganasan dan sifat ekstremis.

“(Sebaliknya) Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah gerakan Islam sah di Mesir. Malah, mereka turut terlibat dan berpartisipasi secara aktif dalam beberapa siri pilihan raya di Mesir,” kata Nasharudin.

Dalam kenyataan dibawa oleh National Review Online, Najib dipetik berkata Ikhwanul Muslimin tidak seharusnya “mengambil bahagian dalam proses (pemulihan Mesir) selagi mereka tidak menolak keganasan dan ektremisme.”

“Sesiapa yang mahu menjadi sebahagian daripada proses politik harus menerima bilia yang selari dengan demokrasi,” kata Najib dipetik laman web itu.

Nasharudin menambah, mereka sering melaungkan tema “penglibatan dan bukan penguasaan” di samping memelihara peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan Mesir.

Bagaimanapun kata beliau, hak dan nilai demokrasi mereka sebagai rakyat dan parti politik yang sah telah dicabul sehingga mereka terpaksa berdepan dengan ancaman, ugutan serta penyelewengan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah Mesir.

Sehubungan itu, Najib berkata gerakan itu perlulah menghormati undang-undang, proses demokrasi dan cintakan keamanan.

“Kalau mereka (gerakan itu) kata, bahawa mereka tak ada ideologi sedemikian rupa (ekstrem), mereka nak ambil bahagian ikut proses undang-undang, menghormati proses demokrasi, cintakan keamanan. Kita (Malaysia) tak ada masalah untuk menerima mereka untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Lagipun ini bukan keputusan saya, ini keputusan yang perlu dibuat oleh negara lain, negara masing-masing. Saya tak kata mereka ini golongan ekstremis atau pengganas. Soalnya, untuk mereka menghilangkan persepsi dunia terhadap kumpulan ni,” kata Najib dipetik Bernama.

Nik Aziz: Saya tak minta lahir sebagai Melayu, tapi asalkan Islam

BERNAMA


Beliau juga berkata adalah secara kebetulan beliau lahir di negara ini.
KOTA BARU — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak minta untuk dilahirkan sebagai seorang berbangsa Melayu.

Beliau juga berkata adalah secara kebetulan beliau lahir di negara ini.

“Kalau saya (lahir) dari kalangan masyarakat Orang Asli sekalipun tidak apa, asalkan saya Islam dan beriman dengan Allah SWT,” katanya.

Nik Aziz mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta beliau bersyukur dilahirkan sebagai bangsa Melayu yang tentunya beragama Islam.

Dr Mahathir berkata Melayu adalah bangsa yang unik di dunia kerana mengikut Perlembagaan, bangsa Melayu mesti bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adab Melayu dan beragama Islam.

Nik Aziz berkata semua bangsa adalah sama dan tidak ada keistimewaan kepada satu-satu bangsa sebagaimana juga bangsa Arab sendiri kecuali seseorang itu Islam dan beriman kepada Allah SWT.

“Kalau pada bangsa, tentu bapa saudara Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Jahal (masuk syurga) tetapi Allah SWT telah menyatakan awal-awal lagi dia (bapa saudara Nabi) adalah ahli Neraka,” katanya.

Mengenai Islam yang diperjuangkannya, Nik Aziz berkata ia adalah Islam sederhana yang diletak di tempat yang tinggi dan menentang tindakan melampau yang bertentangan dengan agama.

Bagaimanapun, beliau mengakui agak sukar untuk mengembalikan Islam sebenar sebagaimana air yang mengalir dari hulu sungai tidak sama dengan air di muara.

“Setelah mengalir jauh, pastinya melalui pelbagai rintangan, sampah sarap dan pelbagai kekotoran, untuk minum (air di muara) kena tapis dulu, kita kena rebus (masak) dulu,” jelasnya.

MT Umno tentukan harga petrol?

PASPB



Kalau mengikut cakap 'yang selalu tak serupa bikin' Menteri Perdagangan Dalam Negeri, harga bahan petroleum tidak akan dinaikkan.

Tahun 2010 dulu pun pernah maklum harga petrol RON95 tidak akan dinaikkan sehingga penghujung 2010 tetapi dinaikkan walaupun tahun 2010 masih berbaki beberapa bulan.

Menjelang PRK DUN Kerdau dan Merlimau, Ismail Sabri menabur janji sekali lagi bahawa harga petrol tidak akan dinaikkan tetapi kemungkinan

besar akan dinaikkan sebaik-baik keputusan kedua-dua PRK memberi kemenangan kepada umno/BN seperti yang terjadi di Tenang.

Dua puluh empat jam setelah diumumkan kemenangan, kerajaan (Majlis Tertinggi Umno) mengumumkan kenaikan harga RON97. Majlis Tertinggi Umno?

Kenyataanya, begitulah. Semua keputusan menaikkan harga atau mengikut bahasa umno - penyelarasan harga - dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno rupa-rupanya....

Dan jangan kita hairan jika 'keputusan Majlis Tertinggi Umno' itu sebenarnya adalah keputusan yang dibuat oleh DS

Flom di dalam kamar tidur yang kemudiannya dibawa oleh Najib ke dalam Majlis Tertinggi Umno.

Sejak era najib, macam-macam perkara yang tidak pernah dijangka berlaku, telah, sedang dan akan terus berlaku.