HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Jun 2020

Calon PM: PKR sedia berbincang

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) sedia berbincang mengenai calon perdana menteri daripada Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun sebarang keputusan di peringkat Pakatan Harapan perlu diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Tegas beliau, sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi oleh mana-mana pihak.

“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah mengadakan mesyuarat bulanan hari ini dan telah membincangkan beberapa perkara termasuk pendirian parti dalam isu calon Perdana Menteri, mandat rakyat dan persediaan bagi Pilihanraya Umum ke-15.

“Walaupun PKR telah menyatakan pendirian dalam isu calon Perdana Menteri sebelum ini, PKR sedia untuk berbincang namun sebarang keputusan di peringkat Pakatan Harapan perlu diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh,” kata Saiffuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Saiffuddin juga berkata, PKR kekal dengan pendirian bahawa mandat rakyat mesti dipulangkan ke tempatnya pada kadar segera dan dalam bentuk yang telah diberi oleh rakyat kepada Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke-14.

Ini termasuk dalam isu peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media semalam melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan beliau bersama Parti Amanah Negara, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP mencalonkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama Shafie; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Turut hadbir beberapa Ahli Parlimen lain seperti Anthony Loke, M. Kulasegaran, Liew Chin Tong dan Tan Kok Wai dalam satu pertemuan di Rumah Tetamu Sabah dekat sini dua hari lalu.

Tambah Dr. Mahathir, mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 manakala anaknya, Datuk Seri Muhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Bagaimanapun Mohamad Sabu dan Guan Eng berkata, cadangan menamakan Presiden Warisan itu sebagai calon perdana menteri akan dibincangkan di peringkat kepimpinan Amanah dan DAP serta dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk diputuskan secara bersama.

Menurut mereka, pertemuan beberapa pimpinan DAP dan Amanah sebelum ini dengan Dr Mahathir merupakan pertemuan tidak rasmi.

PKR sebelum ini menegaskan mereka mahukan Anwar sebagai calon perdana menteri dari Pakatan Harapan dan  menolak cadangan bagi mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-9.

“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

“Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” kata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.-SM

Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dijangka siap 2024

CITA-CITA rakyat Kelantan untuk memiliki lebuh raya bakal tercapai pada 2024 apabila lebuh raya Kota Bharu keKuala Krai dijadualkan siap.

Lebuh raya sejauh 74 kilometer  setakat ini sudah siap beberapa fasa dan bakinya akan disiapkan sepenuhnya dalam tempoh empat tahun lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek lebuh raya Kuala Krai ke Gua Musang dan seterusnya ke sempadan Pahang turut dibincangkan dan semuanya berjalan lancar namun masih tertumpu kepada isu peruntukan.

Mustapa Mohamed

Katanya, Kelantan akan memohon peruntukan disediakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membolehkan cita-cita rakyat Kelantan untuk mempunyai lebuh raya tercapai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Mustapa berkata beliau juga diberi taklimat cadangan bagaimana boleh melancarkan pembangunan di Kelantan terutama berkaitan perbelanjaan penyelenggaraan jalan.

“JKR Kelantan berpandangan banyak jalan-jalan perlu diselenggara lebih baik dan sudah pastinya diberi tambahan peruntukan.

“Satu lagi cadangan ialah mengenai mewujudkan semula Jawatankuasa Tender di peringkat negeri melibatkan projek di bawah RM20 juta yang sekarang ini sudah tiada. Saya difahamkan jawatankuasa ini boleh mempercepatkan lagi pertimbangan ke atas beberapa projek di negeri ini,” katanya seperti yang dipetik dari BERNAMA.

Mengulas projek pembangunan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sudah lama diuar-uarkan, Mustapa berkata beliau difahamkan perbincangan sudah di peringkat akhir dan keputusan mengenainya mungkin akan dibuat tidak lama lagi.

Pada Januri lalu, kerajaan Pakatan Harapan memberi jaminan akan memastikan lima projek berimpak tinggi yang diumumkan di Kelantan, akan bermula tahun ini.

Lima projek berkenaan adalah projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3); menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); laluan baharu Pasir Puteh – Machang – Jeli; Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dan Jambatan Palekbang – Kota Bharu.

Walaupun projek berkenaan berlaku kelewatan, namun kesemua projek itu tetap akan dilaksanakan.

Lima projek berkenaan adalah projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3); menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); laluan baharu Pasir Puteh – Machang – Jeli; Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dan Jambatan Palekbang – Kota Bharu.

Pada 7 Mac 2019 pula, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ketika lawatan ke Kelantan mengumumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan tambahan RM200 juta untuk pembangunan negeri itu, menjadikan peruntukan keseluruhan disalurkan kepada Kelantan menerusi Kajian Separuh Penggal RMKe-11 sebanyak RM1.4 bilion.

Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, lima projek pembangunan untuk rakyat di Kelantan diluluskan pada mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu. – SM

Lembu wagyu untuk ibadah korban satu bahagian RM29,999

Lembu jenis wagyu memang terkenal dengan kualti dagingnya. Malah satu hidangan daging itu yang diimport dari negara asalnya Jepun boleh mencapai ribuan ringgit di Malaysia.

Dek kerana mahalnya daging itu hanya golongan kaya dan berada sahaja yang mampu menikmatinya. Namun mungkin juga orang yang berpendapatan sederhana dan rendah boleh juga menikmatinya apabila ada pihak yang menawarkan lembu wagyu sebagai haiwan untuk ibadah korban pada Hari Raya Haji nanti.

Lembu wagyu asalnya dari Jepun.

 Buat pertama kali,  syarikat Asia Harvest memperkenalkan Qorban Waqyu. Lembu itu didatangkan dari wilayah Miyazaki, Jepun. Satu bahagian korban lembu wagyu itu bernilai RM29,999 sahaja.

 “Sembelihan akan dibuat di rumah sembelihan yang diiktiraf oleh pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia di sana dan daging lembu akan di bawa proses hingga sampai ke Malaysia kelak,” kata Asia Harvest dalam satu kenyataan di Facebooknya.
.
Menurut Asia Harvest, seekor lembu hidup Wagyu tulen dengan dagingnya bergred terbaik iaitu A5 biasanya seberat 800 kilogram.
Apabila diproses lembu berkenaan akan memberikan blok daging seberat 360 kg.

“Setiap peserta akan menerima 50 kg daging dengan nilai harga pasaran ada mencecah RM50,000. Daging tersebut akan dihantar hingga ke rumah anda untuk anda edarkan sendiri kepada fakir miskin yang mungkin teringin juga merasai nikmat daging ini,” kata Asia Harvest.
.
Jadi tidak hairanlah bagi harga satu bahagian kurban wagyu ini adalah RM29, 999.00 bagi mereka yg berkemampuan dan memilih ternakan yg terbaik bagi korban mereka.

Untuk pengetahuan, daging wagyu terkenal dengan tekstur marbling yang unik. Marbling adalah lapisan lemak di antara daging yang memberikan rasa lemak dan enak apabila dimasak kepada daging tersebut.

Lemak tidak tepu ini memberi rasa yang penuh nikmat juga meninggikan nilai potongan daging tersebut. Marbling adalah petunjuk pada kualiti daging wagyu.

Semakin banyak marbling, semakin tinggi skor marbling dan semakin tinggi harga potongan daging tersebut. Marbling juga membuatkan daging ini cair dimulut dan lembut apabila dimakan.

Ternakan lembu Wagyu ini memerlukan penjagaan khas dan kesabaran. Untuk pembentukan yang sempurna, ternakan ini dibesarkan dengan teliti, mengurangkan tekanan terhadap ternakan sebanyak mungkin, dijaga oleh penternak yang pakar, dan diberikan diet khas.

Wagyu hanya diberi makan bijiran berkualiti tinggi, protein sayuran, dan makanan ternakan khas.

Diet khas ini menuntut kos yang agak tinggi berbanding ternakan lembu konvensional yang lain yang selalunya diberi makan jagung.-SM

Chini Memilih: Saya harap Tun Mahathir turun berkempen, tetapi tidak - Najib

Chini Memilih: Saya harap Tun Mahathir turun berkempen, tetapi tidak - Najib
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengopek durian dalam program calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain bersama masyarakat orang asli Tasik Mentiga. - Foto Astro AWANI

PEKAN : Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjangkakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini.

Jelasnya, sebagai tuan rumah, beliau sentiasa bersedia untuk menerima kehadiran bekas Perdana Menteri ke-7 itu untuk turun berkempen secara fizikal bersama calon Bebas.

"Dia (Mahathir) sudah kempen dulu di Cameron Highlands pun dia turun bukan sahaja video tetapi dia turun di Cameron Highlands dan kita tahu majoriti Barisan Nasional (BN) di situ meningkat meskipun Tun Mahathir sendiri turun.

"Kali ini dia tidak turun, kita harap dia turun tapi tidak cuma muatkan video dia sahaja untuk sokong calon Bebas. Tetapi dia (Mahathir) tidak bagi sebab mengapa patut sokong calon Bebas, kalau ucapan macam itu tidak beri keyakinan kepada pengundi di Chini ini sebab kawasan ini mereka sebati dengan BN," katanya.

Malah ujarnya, penduduk di sekitar kawasan DUN itu sedar akan kemajuan yang telah dibawa oleh BN sebelum ini.

"Dalam konteks masyarakat kita, mereka faham calon Bebas ini tidak boleh membawa apa-apa kesan kepada kehidupan mereka dan tidak membawa apa-apa erti.

"Sebab kalau kita (rakyat) undi calon Bebas, undi kita tidak boleh memberi apa pulangan kepada kita," jelas Najib ketika ditemui dalam program calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain bersama masyarakat orang asli di Kampung Tasik Mentiga di Chini pada Khamis.

Ahad, 28 Jun 2020

Saya dah kata, setiap langkah Mahathir untuk jadikan Mukhriz PM, kata Najib

mykmu.net

Najib Razak hari ini secara sinis mengucapkan tahniah kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana dilihat akan mendapat semula kedudukannya sebelum ini, iaitu sebagai timbalan perdana menteri, selepas 22 tahun berjuang.

Najib berkata, setiap jalan yang dipilih oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad adalah untuk mengangkat anaknya, Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.

“Pakatan Harapan minus (tanpa PKR) sebulat suara sokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai perdana menteri, Anwar dijadikan timbalan perdana menteri 1 dan Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2. Kan saya dah kata?

“Setiap jalan yang dipilih perdana menteri ke-7 akan berakhir dengan Mukhriz menjadi timbalan perdana menteri dan akhirnya perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 1997, sewaktu negara dipimpin oleh Mahathir sebagai perdana menteri ke-4, beliau bertindak memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri.

Keputusan itu menyebabkan tercetusnya gerakan reformasi untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), yang akhirnya berjaya pada 2018 dalam pilihan raya umum ke-14 apabila gabungan politik itu gagal mendapat bilangan kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat.

Najib berkata, langkahnya untuk tidak menyokong Mukhriz sebagai naib presiden Umno sebelum ini dikatakan antara sebab Mahathir mula meluahkan perasaan marahnya, iaitu sewaktu pemilihan Umno pada akhir 2013.

“Siapa suruh kamu percaya sangat pada DAP dan konconya, Amanah. Kan kamu sudah terang-terang dikhianat mereka. Mana mungkin DAP boleh diharap, tidak percaya tanyalah parti PAS,” katanya merujuk kepada pembubaran Pakatan Rakyat pada 2017 susulan perbalahan antara DAP dengan PAS.

Terdahulu hari ini Mahathir mendedahkan bahawa kumpulannya bersama-sama DAP, Amanah dan Warisan bersetuju mencadangkan supaya Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagai timbalan perdana menteri 1 dan anaknya Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas gabungan pembangkang membuat keputusan sebulat suara untuk mencalonkan Shafie sebagai calon perdana menteri sekiranya mereka kembali berkuasa.

Menurut Mahathir, Shafie merupakan salah seorang pemimpin asal yang menentang kerajaan kleptokrasi sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi.

Bahkan katanya, Shafie adalah pemimpin awal yang menjadi mangsa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.FMT

Anwar sendir Mahathir, Tolak politik tipu helah


PETALING JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menggesa masyarakat supaya menolak politik tipu helah dengan berkata, politik bukanlah sekadar perebutan kuasa, tetapi tentang bagaimana ia diterjemahkan.

Gesaan itu merupakan kenyataan pertama beliau menerusi media sosial selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersama-sama Warisan, Amanah dan DAP bersetuju untuk menamakan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

“Tolak politik tipu helah. Politik tidak sekadar perebutan kuasa, tetapi juga tentang bagaimana ia mahu diterjemahkan. Sama ada untuk membela rakyat atau sekadar meneruskan sistem lama yang lapuk dan usang?” katanya tanpa merujuk kepada isu pencalonan Shafie.

Anwar turut melampirkan video berdurasi 4.35 minit yang merupakan rakaman ucapan yang disampaikannya semalam.

Antara isu yang diberikan penekanan adalah berkaitan tanggungjawab sebenar ahli politik bagi membela nasib rakyat dan memperbaiki masalah negara.

“Ada sekarang ini (pihak) cuba menangguk di air keruh. Ada yang sekonyong-konyong nak muncul menjadi juara, sebagai tokoh hebat, yang kononnya pendamai atau menyelesai, jambatan dan pelbagai. Itu lumrah alam dalam keadaan begini.

“Politik ini bukan sepak terajang politikus untuk sekadar mencari helah, taktik untuk merebut kuasa. Politik adalah berkait dengan urusan tadbir, soal rakyat.

“Apakah dasar ini mengekalkan corak pentadbiran usang, lapuk, rasuah, menindas seperti berlaku sekarang atau dahulu.

Politik dan penguasa bukan sandaran untuk memperkaya diri dan keluarga, untuk meneruskan nafsu serakah dan melemparkan dendam kesumat pada orang, tetapi mencari titik perdamaian, merangkul kekuatan,” katanya.

Terdahulu hari ini Mahathir mendedahkan bahawa kumpulannya bersama-sama DAP, Amanah dan Warisan bersetuju mencadangkan supaya Anwar dilantik sebagai timbalan perdana menteri 1 dan anaknya Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2 sekiranya gabungan pembangkang itu kembali berkuasa.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas pembangkang mengambil keputusan untuk menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri.

Menurut Mahathir, Shafie merupakan salah seorang pemimpin asal yang menentang kerajaan kleptokrasi sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi.

Bahkan katanya, Shafie adalah pemimpin awal yang menjadi mangsa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

MR :  Makin parah.. dulu 2 penjuru sekarang 3 penjuru

Dilema agihan kerusi, logo hantui Perikatan Nasional

TIDAK dapat dielakkan. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) hampir pasti dijalankan sebelum tahun ini berakhir.

Kalau paling lewat pun sebelum pertengahan tahun depan, kata sumber yang layak dipercayai kepada Belang baru-baru ini.

Barisan Nasional (BN) dikatakan sudah bersedia. Sedang menyelesaikan urusan-urusan yang perlu.

Adakah di peringkat Perikatan Nasional (PN), sama ada datang dari Muafakat Nasional (UMNO-PAS), BERSATU, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan BN Sabah sudah bersedia? Kalau PN telah didaftarkan, apa muktamadnya?

Jika bertanding dalam PRU-15, gabungan tersebut akan pakai lambang atau logo apa?

Persoalannya jika lambang PN jadi pilihan, siapa yang kenal?

Di Sarawak, GPS sendiri masih teraba-raba dalam memperkenalkan identiti mereka. Logo GPS berlambangkan Burung Kenyalang siapa yang kenal berbanding BN Sarawak?

Dikatakan, lambang Kenyalang tak berapa laku digunakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dalam menghadapi pilihan raya negeri ke-12 yang akan berlangsung sebelum Mei 2021.

Dalil lima pilihan raya kecil (PRK) terakhir yang dimenangi oleh MN (UMNO-PAS) di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis suatu bukti terang lagi bersuluh bahawa BN tidak sahaja mengatasi lawannya, tetapi lebih dari itu, menang bergaya.

Kemenangan BN di PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 contohnya digambarkan bukan sahaja mencerrminkan kekuatan MN semata-mata, tetapi bukti MN telah terlajak laris diterima oleh masyarakat semua kaum. Calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang besar dengan majoriti 15,086 undi berbanding kekalahannya berjumlah 524 undi dalam PRU-14.

Suatu ketika seorang pemimpin dalam MN mengingatkan pucuk pimpinan UMNO untuk apa BN meletakkan calon bertanding di Tanjung Piai? Tapi sudah terbukti hasilnya, MN menang 25 kali ganda. Ia bukti jelas rakyat undi lambang BN.

Meskipun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada approval rating sekitar 78 peratus dari keupayaan membendung penularan Covid-19, penyokongnya atau ahli BERSATU tak boleh `berkepak’.

Pengiktirafan buat presiden BERSATU itu untuk dirinya (Muhyiddin) sahaja. Tetapi bukan untuk keseluruhan BERSATU. Tidak ada apa yang menakjubkan untuk parti.

Adakah PN dengan menggunakan lambang parti masing-masing masih mampu mengelakkan pertandingan tiga penjuru – pertembungan sesama sendiri UMNO-PAS-BERSATU?

Katakanlah kerusi Parlimen Larut, orang UMNO barangkali tidak mahu Datuk Seri Hamzah Zainuddin diletakkan sebagai calon di situ. Katakan PN letak calon Bebas, sentimennya bagaimana? Di Mersing, BERSATU pula dipercayai tak mahu Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, jadi macam mana?

Sebelum ini, PAS cakap mereka selesa dengan BERSATU tetapi bila sudah berasa dipergunakan, parti itu tersedar. Kini PAS cukup selesa dengan UMNO.

MN ikhlas dalam membentuk kerajaan hari ini. UMNO-PAS bukan nak duit `depa’, kata sumber.

Dulu masa PRU-14, UMNO bertanding 120 kerusi, menang 54. Akan datang ini UMNO-PAS dipercayai akan membentuk kerajaan Melayu-Islam. Untuk itu UMNO kena bersatu. Penyediaan penyatuan ke arah itu sedang berlaku.

Dengan pemilihan UMNO perlu dilaksanakan selewat-lewtnya Disember tahun depan, tahun 2021 juga berhadapan cabaran ekonomi yang kian memburuk.

Dari risikan Belang, UMNO-PAS menaruh keyakinan tinggi PN akan mencipta kemenangan dalam PRU-15. Kajian empirikal menunjukkan jumlah undi gabungan UMNO-Pas yang bakal diperoleh. Persaingan di kerusi Parlimen Pokok Sena kawasan Datuk Mahfuz Omar misalnya, berdasarkan keputusan semasa PRU-14, cantuman undi diraih calon UMNO dan PAS mencapai 41,791 undi berbanding PH, 28,959 undi.

Di Titiwangsa, cantuman undi UMNO-Pas memperoleh 26,546 undi berbanding PH, 23,840. Majoriti undi diraih MN adalah 2,706.

Senario hari ini sudah berubah. Dulu orang UMNO ada yang tidak keluar mengundi. Jangan dilupakan pengundi 21 tahun ke atas yang pertama kali mengundi. Kohort 1.75 juta setiap tahun. Hari ini terdapat 3.5 juta pengundi baharu – 21 tahun ke atas.

Dengan pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang memberi manfaat kepada semua, Belang yakin pengundi muda 21 tahun ke atas yang dikatakan anti establisment kini lebih selesa dengan kerajaan.

Apatah lagi, pengundi luar bandar fragile. Pengundi kategori ini duduk di bandar tetapi mengundi misalnya di Taiping. Pemikiran bandar. Kategori ini meliputi 67.5 peratus.

Isu yang berlaku di bandar mempengaruhi pengundi luar bandar. Contohnya Semenyih, Kuala Langat, Sepang dan Dengkil.

Persoalannya, mana satu lebih baik, PN atau MN kah? Lambang manakah pula pilihan PN untuk digunakan berdepan PH dalam PRU-15?

Terserah. – SM

Jangan ada sekatan terhadap peniaga

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengingatkan majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan suapaya tidak ada sekatan atau halangan tidak perlu terhadap perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula.

Jelas Muyhiddin, semua pihak perlu memudahkan urusan peniga berikutan banyak sektor ekonomi terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

“Saya memperingatkan jangan ada apa pun sekatan atau halangan tidak perlu bagi perniagaan-perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula daripada menjalankan urusan perniagaan mereka.

“Kita mesti permudahkan urusan mereka. Sekiranya mereka tidak punyai lesen, permudahkan urusan permohonan dan percepatkan proses memberi kelulusan kepada mereka,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin hari ini berjumpa dan berdialog dengan wakil-wakil persatuan peniaga serta industri dalam daerah Muar di Pejabat Daerah Muar.

Kumpulan itu mewakili industri kecil dan sederhana (IKS), penternak, perusahaan perabot, pengusaha bas, peniaga pasar malam dan pasar awam, pusat jagaan orang tua, di samping persatuan kontraktor dan wakil Dewan Perniagaan India Muar.

Menurut Muhyiddin, walaupun Malaysia adalah antara negara yang diiktiraf terbaik dalam mengawal penularan wabak Covid-19 namun negara jangan terkebelakang berbanding negara-negara lain dalam fasa pemulihan ekonomi.

Katanya, kerajaan telah mengambil keputusan yang tegas dan berani untuk membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat bagi memastikan semua perniagaan atau industri memulakan semula aktiviti sekaligus memulihkan perniagaan mereka.

“Majlis-majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan mesti bersikap lebih proaktif bagi membantu para peniaga memulakan semula perniagaan. Dalam hal ini, pendekatan yang berbeza perlu dilakukan agar usaha kerajaan bagi menjana semula ekonomi negara berjaya dilaksanakan.

“Jika sebelum ini, peniaga dan pengusaha yang perlu merujuk kepada Majlis Daerah, PBT atau dewan-dewan perniagaan, kini pihak-pihak berkuasa dan agensi kerajaan pula perlu ke lapangan bertemu dengan peniaga untuk mengambil tahu masalah mereka,” kata Muhyiddin.

Pihak berkuasa tempata juga perlu membiasakan diri terhadap normal baharu dalam cara bekerja.-SM

Pas, UMNO, BN makin serasi

DUA parti terbesar mewakili orang Melayu dan Islam, UMNO dan Pas semakin serasi dalam mengerakkan kerjasama antara mereka.

Malah unit dalam kedua-dua parti itu seperti Skuad Sabil Pemuda UMNO dan Jabatan Amal PAS yang bertugas secara sukarela sepanjang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chini juga menampakkan kerjasama yang semakin erat.

“Ini merupakan PRK ke-3 yang menampilkan dua unit beruniform dua parti terbesar Melayu-Islam UMNO dan PAS bergabung tenaga bagi memastikan aspek keselamatan jentera parti dapat dijaga dan dipelihara.

“Terima kasih Sukarelawan Skuad Sabil dan Amal yang terus istiqomah berjuang tanpa mengharapkan sebarang imbuhan melainkan keredaan Allah dalam perjuangan,” kata Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Perasaan yang sama turut dilontarkan bekas Presiden UMNO dan bekas Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, gandingan  Pas dan BN semakin mantap dan diterima oleh rakyat.

“Inilah yang belah sana bimbang. Sementera mereka berebut macam budak-budak. Saya bersama kepimpinan jentera PAS ni.

“PAS banyak membantu kita di Chini dan juga semua PRK-PRK sebelum ini. Kedua-dua BN dan PAS apabila berganding bahu, mantap dan diterima rakyat,” kata Najib.-SM

'Bukan isu kos PRU, tapi kos manifesto bulan bintang'- Pensyarah UPM

Desakan agar pilihan raya umum (PRU) disegerakan bagi memecah ketidaktentuan majoriti di parlimen, dilihat sesetengah pihak sebagai tidak kena pada masanya, di kala negara masih di fasa awal pemulihan daripada kesan wabak Covid-19.

Terutamanya, kesan ekonomi yang memberi tempias kepada bukan sedikit rakyat akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mula-mula dikuasakan pada 18 Mac lalu, sedangkan kos mengadakan PRU bakal menelan belanja yang tidak sedikit.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kos PRU bukan menjadi kebimbangannya.

Tetapi katanya, kos untuk melunaskan janji manifesto “bulan dan bintang” yang bakal diketengahkan ahli-ahli politik bagi memancing sokongan pengundi.

Selain itu, katanya, persoalan yang lebih penting, adalah perubahan dasar dan polisi yang selain menjejaskan pelaksanaan pelan rangsangan ekonomi bagi menangani kesan Covid-19 sedia ada, dijangka turut meningkatkan kos pelaksanaan dasar baru.

“Takut, demi nak mendapatkan populariti bila berlaku PRU ini, setiap pihak akan menjanjikan bulan dan bintang. Jadi bila menang, mereka akan perkenalkan polisi baru. Ini akan menyebabkan semua pelaksanaan terganggu.

“Isu saya lebih kepada kesinambungan pelaksanaan polisi dasar berdasarkan pelan rangsangan yang terkini ini. Sebab apa saja benda yang baru nak diperkenalkan akan mengambil masa dari segi pembentukan polisi dan juga dari segi kos.

“Dan kita sedia maklum apa saja janji mana-mana pihak, memang akan melibatkan tambahan kos,” kata Dr Ahmed (gambar, bawah) ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini, kerajaan sedang melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), dengan jumlah keseluruhan RM295 bilion.

Daripada jumlah itu, RM45 bilion akan disuntik terus oleh kerajaan.

Pada Februari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun menganggarkan kos antara RM750 juta hingga RM800 juta untuk pelaksanaan PRU, lebih tinggi berbanding kos RM500 juta pada PRU-14.

Jumlah itu adalah anggaran sebelum amalan norma baru gara-gara Covid-19.

Ahmed Razman pula menganggarkan kos pilihan raya umum boleh mencecah sehingga RM1 bilion, jika mengambil kira pertambahan bilangan pengundi muda yang berumur antara 18 ke 21 tahun.

“(Tapi) Isunya bukan RM1 bilion (anggaran kos PRU). Isu dia lebih kepada perubahan polisi dan dasar, yang tentunya melibatkan berpuluh-puluh lagi bilion di situ.

“Yang itu akan berlaku selepas mana-mana pihak dilantik (menjadi kerajaan). Jadi itu isu yang besar sebenarnya. Sebab disebabkan janji-janji yang mungkin akan nampak macam terlalu populis,” jelas beliau.

RM1 bilion kerajaan mampu tanggung

Ahmed Razman meramalkan parti politik akan memfokuskan janji manifesto mereka terhadap perkara-perkara yang diberikan perhatian di bawah pakej rangsangan ekonomi, seperti antaranya, peluang pekerjaan dan bantuan sara hidup tunai.

Sementara itu, dari segi kos PRU pula, Ahmed Razman berkata peruntukan sebanyak RM1 bilion merupakan angka yang masih boleh ditanggung kerajaan dan tidaklah terlalu besar.

PN dan PH kini sedang berada dalam kedudukan sengit berhubung sokongan majoriti di parlimen, dengan PH sedang dalam usaha merampas semula pentadbiran kerajaan.

Berdasarkan susunan kerusi dalam sidang parlimen pada Mei, Muhyiddin dipercayai hanya mempunyai majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat, namun jumlah itu bertambah menjadi tiga apabila seorang ahli parlimen PKR keluar parti.

Rundingan dikatakan masih terus berlaku di kedua-dua belah pihak berhubung sokongan di Dewan Rakyat, dan dalam proses itu, perselisihan juga nampaknya semakin ketara hatta di dalam blok yang sama.

Sementara PH sehingga kini masih berselisih soal calon perdana menteri, kerjasama PN pula sering dibayangi isu hubungan antara Bersatu dengan PAS dan Umno.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad menyatakan sokongannya kepada Shafie Apdal untuk menjadi calon perdana menteri blok pembangkang.

Pengalaman pahit golongan marhaen

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno menyuarakan desakan serupa, dengan kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menggesa parlimen dibubar untuk memberi ruang PRU disegerakan, namun cadangan itu disifatkan Setiausaha Agung BN Annuar Musa sebagai “tidak berbangkit”.

Semalam pula, PAS mengemukakan usul undi percaya terhadap Muhyiddin bagi menzahirkan sokongan terhadap Muhyiddin, namun bagi sebahagian pemimpin pembangkang, langkah itu dilihat seperti muslihat untuk menyegerakan PRU.

Bagi Profesor Ulung Ekonomi di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Prof Dr Rajah Rasiah (gambar, atas) beliau melihat PRU sebagai “pilihan terbaik” bagi mengatasi ketidakpastian ekonomi yang melanda negara kini.

Katanya, ketegangan politik telah menyebabkan isu keperluan rakyat tidak dipandang berat oleh ahli politik, menyebabkan rakyat terpaksa berdepan pelbagai masalah dan pengalaman pahit.

“Saya lihat pilihan raya sebagai pilihan terbaik untuk mengatasi ketidakpastian berleluasa yang wujud kini dalam ekonomi negara.

“Pandangan demikian berasaskan ketegangan hubungan di antara ahli parlimen parti PN dan PH yang semakin memperlihatkan arus kurang sihat sehinggakan hal ehwal keperluan asas rakyat mendapat layanan yang ringan.

“Antara masalah yang saya perhatikan termasuklah kenaikan bil elektrik dan air, ketidaksetaraan dalam perhakiman berasaskan kelas, kenaikan dalam pengangguran, dan penutupan firma kecil dan sederhana yang membawa pengalaman yang pahit kepada golongan marhaen,” katanya kepada Malaysiakini.